“21–27 Disember. Krismas: ‘Dia akan Datang ke Dunia untuk Menebus Umat-Nya,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Kitab Mormon 2020 (2020)
“21–27 Disember. Krismas,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2020
21–27 Disember
Krismas
“Dia akan Datang ke Dunia untuk Menebus Umat-Nya”
Musim Krismas adalah masa untuk merenung dan menyatakan kesyukuran atas kelahiran Juruselamat kita, Yesus Kristus. Semasa anda membaca dan merenung minggu ini mengenai kelahiran dan kehidupannya, pertimbangkan bagaimana kajian Kitab Mormon anda pada tahun ini telah memperkuat kesaksian anda bahawa Dia adalah Juruselamat dunia. Catatkan tanggapan yang anda ada.
Mencatat Tanggapan Anda
Dari Nefi kepada Moroni, setiap nabi Kitab Mormon telah komited kepada tujuan kudus yang diringkaskan pada halaman judul buku: “Untuk menyakinkan [semua orang] bahawa Yesus Kristus ialah Kristus.” Seorang nabi melihat Dia sebagai roh pra-fana, dan yang lain melihat kelahiran dan pelayanan-Nya dalam sebuah penglihatan. Terdapat seorang berdiri di atas tembok untuk mengisytiharkan tanda-tanda kelahiran-Nya dan kematian-Nya, dan yang lain berlutut di hadapan tubuh-Nya yang bangkit, menyentuh luka-luka di tangan, kaki, dan sisi-Nya. Semua mereka mengetahui kebenaran penting ini: “Tidak ada jalan atau cara lain yang dengannya manusia dapat diselamatkan, hanya melalui darah penebusan Yesus Kristus, yang … datang untuk menebus dunia.” (Helaman 5:9).
Oleh itu, semasa musim Krismas ini, sebagai orang yang percaya di seluruh dunia yang meraikan kebaikan dan kasih Tuhan kerana menghantar Putera-Nya, renungkan bagaimana Kitab Mormon telah memperkuatkan iman anda kepada Kristus. Semasa anda berfikir tentang kelahiran-Nya, renungkan mengapa Dia datang dan bagaimana kedatangan-Nya telah mengubah hidup anda. Dengan itu, anda boleh mengalami kegembiraan sebenar Krismas—kurnia yang diberikan oleh Yesus Kristus kepada anda.
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
1 Nefi 11:13–36; Mosia 3:5–10; Helaman 14:1–13; 3 Nefi 1:4–22
Yesus Kristus datang ke bumi untuk menjadi Juruselamat saya.
Membaca kisah kelahiran Juruselamat dalam Perjanjian Baru pada masa Krismas adalah tradisional, tetapi anda juga dapat mencari nubuat yang menyentuh hati tentang peristiwa kudus ini dalam Kitab Mormon. Sebagai contoh, nubuat kelahiran dan pelayanan Juruselamat boleh didapati di 1 Nefi 11:13–36; Mosia 3:5–10; Helaman 14:1–13; dan 3 Nefi 1:4–22. Apakah tanggapan tentang Yesus Kristus yang anda dapat ketika anda membaca petikan-petikan ini dan merenungkan makna dari tanda-tanda kelahiran-Nya? Bagaimanakah kesaksian para nabi ini di Amerika kuno menguatkan kesaksian anda tentang Kristus dan misi-Nya?
Lihat juga Matius 1:18–25; 2; Lukas 2.
2 Nefi 2:6; Alma 7:7–13; 11:40; Helaman 5:9; 14:16–17
Yesus Kristus adalah Penebus bagi semua manusia.
Kita tidak mempunyai alasan untuk merayakan kelahiran Yesus Kristus jika bukan kerana korban tebusan-Nya, di mana Dia menyelamatkan kita dari dosa dan kematian, menghiburkan kita dalam kesengsaraan, dan membantu kita “menjadi sempurna di dalam Kristus;” (Moroni 10:32). Apakah yang anda telah pelajari dari Kitab Mormon tahun ini mengenai kuasa Juruselamat untuk menebus anda? Adakah terdapat sesuatu cerita atau ajaran yang menonjol kepada anda? Pertimbangkan contoh-contoh berikut yang mengajar anda tentang misi penebusan Juruselamat: 2 Nefi 2:6; Alma 7:7–13; 11:40; dan Helaman 5:9; 14:16–17. Apakah yang anda rasa diilhami untuk lakukan untuk menunjukkan kesyukuran anda kepada Dia?? (Christmas.ComeUntoChrist.org mempunyai beberapa idea yang boleh membantu anda untuk bermula.)
1 Nefi 6:4; 19:18; 2 Nefi 25:23, 26; 33:4, 10
Kitab Mormon bersaksi tentang Yesus Kristus.
“Satu Lagi Kesaksian tentang Yesus Kristus” adalah lebih dari sekadar tajuk kecil untuk Kitab Mormon; ia adalah pernyataan tujuan ilahi. Renungkan apa yang anda pelajari dari tulisan suci berikut mengenai misi Kitab Mormon untuk memberi kesaksian tentang Kristus: 1 Nefi 6:4; 19:18; dan 2 Nefi 25:23, 26; 33:4, 10.
Pertimbangkan mencatat dalam jurnal bagaimana mengkaji Kitab Mormon tahun ini telah membawa anda lebih dekat kepada Kristus. Dorongan berikut mungkin boleh membantu:
-
“Sesuatu yang baru saya pelajari mengenai Juruselamat tahun ini adalah …”
-
“Membaca [ayat-ayat mengenai Juruselamat] mengubah cara saya …”
-
“Orang [atau cerita] kegemaran saya dalam Kitab Mormon mengajar saya bahawa Juruselamat …”
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
Apabila anda membaca tulisan suci dengan keluarga anda, Roh boleh membantu anda mengetahui asas apa yang perlu ditekankan dan dibincangkan untuk memenuhi keperluan keluarga anda. Berikut ialah beberapa idea.
1 Nefi 11:13–23; Mosia 3:5–10; Helaman 14:1–13; 3 Nefi 1:4–22
Kanak-kanak mungkin suka melukis gambar apa yang mereka dengar ketika anda membaca kisah-kisah kelahiran dan pelayanan Kristus dalam 1 Nefi 11:13–23; Mosia 3:5–10; Helaman 14:1–13; dan 3 Nephi 1:4–22. Kemudian anak-anak anda dapat menceritakan semula kisah-kisah menggunakan gambar-gambar yang mereka telah lukiskan.
“Dia Adalah Kurnia”
Untuk membantu keluarga anda fokus pada kurnia yang Bapa Syurgawi berikan kepada kita dengan menghantar Putera-Nya, anda boleh membungkuskan gambar Yesus Kristus seperti hadiah Krismas. Ahli keluarga boleh bercakap mengenai hadiah Krismas kegemaran yang mereka terima atau berharap untuk terima. Kemudian mereka boleh membuka bungkusan gambar Kristus dan membincangkan bagaimana Dia telah menjadi hadiah yang berharga bagi kita. Bincangkan bagaimana anda dapat menemui, menerima, dan berkongsi kurnia Juruselamat sebagai satu keluarga pada Krismas ini.
Keluarga anda mungkin juga mendapat manfaat dari berfikir tentang “hadiah” yang mereka ingin berikan kepada Juruselamat, seperti berusaha untuk menjadi lebih baik kepada orang lain atau berusaha untuk mengatasi tabiat buruk. Pertimbangkan untuk menjemput ahli keluarga untuk menulis idea mereka, membungkusnya seperti hadiah, dan meletakkan hadiah mereka di sekeliling gambar Juruselamat.
Semangat Krismas
Merancang aktiviti yang boleh dilakukan oleh keluarga anda pada hari dekat dengan Krismas untuk merasakan Roh Kristus, seperti melayani seseorang atau menyanyi bersama-sama lagu rohani Krismas boleh adalah menyeronokkan. (Untuk idea-idea, lihat christmas.ComeUntoChrist.org.)
Untuk idea lanjut untuk mengajar kanak-kanak, lihat rangka panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.