“13–19 Mac. Matius 11–12; Lukas 11: ‘Aku Akan Membebaskan Kamu Daripada Beban Kamu’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“13–19 Mac. Matius 11–12; Lukas 11,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2023
13–19 Mac
Matius 11–12; Lukas 11
“Aku Akan Membebaskan Kamu Daripada Beban Kamu”
Baca Matius 11–12 dan Lukas 11 pada minggu sebelum anda mengajar. Ini akan memberi anda masa untuk merenung dan menerima wahyu tentang apa yang harus ditumpukan di dalam kelas.
Jemput Perkongsian
Mengaplikasikan asas-asas yang kita temui dari tulisan suci dalam kehidupan kita adalah cara penting untuk mengalami kuasa firman Tuhan. Galakkan ahli-ahli kelas untuk berkongsi apa yang mereka temui dari pengkajian tulisan suci mereka minggu ini yang mereka boleh gunakan dalam kehidupan mereka. Berkongsi contoh bagaimana anda menggunakan tulisan suci dapat membantu mengilhami ahli-ahli kelas untuk berkongsi contoh mereka sendiri.
Mengajar Ajaran
Yesus Kristus akan membebaskan kita dari beban apabila kita bergantung kepada-Nya.
-
Dalam Matius 11:28–30, Juruselamat mengajar bahawa Dia akan membantu kita mengangkat beban berat kita jika kita menerima jemputan-Nya “Ikutlah perintah-Ku (Ambillah kuk-Ku ke atas dirimu)” (ayat 29). Untuk membantu ahli-ahli kelas lebih memahami janji ini, anda boleh menunjukkan gambar kuk (lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga) dan kongsikan fakta-fakta seperti berikut: kuk direka untuk membantu haiwan membawa beban berat atau untuk melaksanakan kerja, dan kuk sering dipasang khas untuk haiwan itu. Bagaimanakah butiran-butiran ini menambah kepada pemahaman kita tentang Matius 11:28–30? Apakah jemputan yang terdapat dalam ayat-ayat ini? Apakah berkat-berkat yang dijanjikan kepada kita? Anda juga boleh kongsikan janji Presiden Russell M. Nelson yang terdapat di “Sumber-sumber Tambahan.”
-
Kita semua mempunyai beban yang boleh dijadikan lebih ringan melalui kuasa Yesus Kristus. Untuk menggalakkan perbincangan tentang ini, anda boleh menjemput ahli-ahli kelas untuk membaca dan membincangkan Matius 11:28–30 dengan orang lain di dalam kelas. Mereka boleh memasukkan soalan-soalan seperti ini dalam perbincangan mereka: Apakah beberapa contoh beban yang mungkin dipikul oleh seseorang? Apakah yang kita perlu lakukan untuk datang kepada Kristus? Apakah ertinya untuk mengambil kuk Kristus ke atas diri anda? Bagaimanakah anda merasakan Juruselamat meringankan beban anda apabila anda berpaling kepada-Nya? Ahli-ahli kelas boleh mencari pandangan tambahan dalam pesanan Elder David A. Bednar “Menanggung Beban Mereka dengan Mudah” (Liahona, Mei 2014, 87–90).
Hari sabat adalah hari untuk berbuat baik.
-
Dalam semangat untuk menguduskan hari Sabat, orang Farisi telah melaksanakan peraturan yang ketat dan tradisi buatan manusia, yang akhirnya mengaburkan pemahaman mereka mengenai tujuan sebenar hari Sabat. Untuk memulakan perbincangan tentang mengapa Tuhan memberi kita hari Sabat, anda boleh menjemput ahli-ahli kelas untuk mengkaji semula Matius 12:1–13 dan Terjemahan Joseph Smith, Markus 2:26–27 (dalam Panduan Tulisan Suci). Apakah laporan-laporan tersebut mengajar kita tentang tujuan hari Sabat? Apakah pandangan tambahan tentang hari Sabat yang kita dapati dari Keluaran 31:16–17; Yesaya 58:13–14; dan Ajaran dan Perjanjian 59:9–13? Bagaimanakah hubungan kita dengan Juruselamat berubah apabila kita cuba menguduskan hari-Nya?
-
Sementara orang Farisi menekankan banyak peraturan terperinci tentang hari Sabat, Juruselamat mengajarkan asas yang sederhana: “Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat” (Matius 12:12). Apakah asas-asas lain yang membantu kita menguduskan hari Sabat? (lihat kenyataan oleh Presiden Russell M. Nelson dalam “Sumber-sumber Tambahan”). Mengapakah asas-asas lebih berkesan daripada senarai peraturan semasa kita berusaha untuk mengembangkan keberdikarian rohani?
-
Pesanan Presiden Russell M. Nelson “Hari Sabat Adalah Satu Kebahagiaan” (Liahona, Mei 2015, 129–32) dan video dengan nasihat Elder Jeffrey R. Holland dalam “Sumber-sumber Tambahan” boleh menambah kepada perbincangan tentang hari Sabat.
Sumber-sumber Tambahan
Dikuk bersama Yesus Kristus.
Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Anda datang kepada Kristus untuk dikukkan bersama Dia dan dengan kuasa-Nya, supaya anda tidak menarik beban kehidupan sendiri. Anda menarik beban kehidupan yang dikukkan dengan Juruselamat dan Penebus dunia, dan tiba-tiba masalah anda, tidak kira betapa serius, menjadi lebih ringan” (“The Mission and Ministry of the Savior: A Discussion with Elder Russell M. Nelson,” Ensign, Jun 2005, 18).
“Apakah tanda yang saya ingin beri kepada Tuhan?”
Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Apabila saya perlu membuat keputusan sama ada suatu aktiviti adalah sesuai untuk hari Sabat, saya bertanya kepada diri sendiri, ‘Apakah tanda yang saya ingin beri kepada Tuhan?’ Soalan itu membuat pilihan saya mengenai hari Sabat menjadi jelas” (“Hari Sabat Adalah Satu Kebahagiaan,” Liahona, Mei 2015, 130).