Perjanjian Lama 2022
14–20 Mac. Kejadian 42–50: “Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan”


“14–20 Mac. Kejadian 42–50: ‘Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan’,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“14–20 Mac. Kejadian 42–50”, Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2022

Yusuf dari Mesir

Ilustrasi Yusuf dari Mesir, oleh Robert T. Barrett

14–20 Mac

Kejadian 42–50

“Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan”

Elder David A. Bednar mengatakan, “Pemahaman rohani yang telah anda dan saya diberkati untuk menerima … tidaklah dapat semata-mata diberikan kepada orang lain” (“Seek Learning by Faith”, Ensign, Sept. 2007, 67). Bagaimanakah anda akan membantu ahli-ahli kelas memperoleh pemahaman rohani untuk diri mereka sendiri?

Catat Tanggapan Anda

ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Untuk memberi peluang kepada ahli-ahli kelas berkongsi sesuatu yang mereka anggap bermakna dalam pengkajian tulisan suci peribadi atau keluarga mereka, anda boleh mengemukakan soalan seperti ini pada permulaan kelas: Apakah ayat dalam bab-bab ini yang menarik perhatian anda? Apakah ayat yang anda dapati anda membaca lebih dari sekali? Apakah ayat yang anda kongsikan dengan seseorang? Apakah ayat yang mendorong kepada perbincangan yang mendalam dengan keluarga atau rakan anda?

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran

Kejadian 45:1–15; 50:15–21

Pengampunan membawa kedamaian.

  • Sebelum anda memulakan perbincangan tentang perkara yang pengalaman Yusuf ajarkan tentang pengampunan, minta seseorang untuk mengaitkan cerita dalam Kejadian 37; 39–45. Mengapakah sukar bagi Yusuf untuk mengampuni abang-abangnya? Apakah pengalaman atau sikap yang mungkin telah memberi Yusuf kekuatan untuk mengampuni? (lihat, misalnya, Kejadian 45:1–15 atau 50:15–21). Bagaimanakah teladan Yusuf boleh membantu kita menjadi lebih bersifat mengampuni?

    Bagaimanakah Juruselamat membantu kita mengampuni orang lain?

  • Apakah berkat yang datang dari pengampunan Yusuf terhadap abang-abangnya? Bandingkan hubungan keluarga Yakub pada permulaan cerita (lihat, contohnya, Kejadian 37:3–11) dengan situasi mereka pada akhirnya (lihat Kejadian 45:9–15; 50:15–21). Apakah peranan pengampunan dalam perubahan pada keluarga Yusuf? Bagaimanakah situasi mungkin berakhir secara berbeza jika Yusuf tidak bersedia untuk mengampuni? Anda boleh menjemput ahli-ahli kelas untuk mencadangkan bagaimana cerita ini boleh membantu keluarga pada zaman ini mengatasi pertikaian dan perasaan cemburu.

Kejadian 45:5–11; Terjemahan Joseph Smith, Kejadian 50:24–38 (dalam lampiran Alkitab)

Pekerjaan Yusuf, Musa, Joseph Smith bersaksi tentang misi Yesus Kristus.

  • Dengan cahaya tambahan injil yang dipulihkan, kita tahu bahawa Yusuf, yang telah membebaskan keluarganya daripada kebuluran, turut menubuatkan berkat-berkat besar yang akan datang melalui Musa dan Joseph Smith pada hari kelak. Dan semua nabi ini mengarahkan kita kepada Pembebas Agung kita, Yesus Kristus. Untuk membantu kelas melihat Juruselamat dalam pelayanan ketiga-tiga nabi ini, anda boleh melukis di papan tulis carta seperti yang terdapat dalam “Sumber Tambahan”. Ahli-ahli kelas boleh bekerjasama mengisi carta tersebut. Kemudian, mereka boleh menambah lajur yang menjelaskan pekerjaan Yusuf di Mesir, Musa dan Joseph Smith, dengan menggunakan perkara yang mereka pelajari dari Kejadian 45:5–11 dan Terjemahan Joseph Smith, Kejadian 50:24–38 (dalam lampiran Alkitab). Bagaimanakah pelayanan para nabi ini bersaksi dan mengarahkan kepada misi Juruselamat? (Untuk beberapa contoh persamaan antara kehidupan Yusuf dari Mesir dan kehidupan Juruselamat, lihat Kejadian 37:3 dan Matius 3:17; Kejadian 37:26–28 dan Matius 26:14–16; Kejadian 45:5–7 dan Lukas 4:18; serta Kejadian 47:12 dan Yohanes 6:35; lihat juga Musa 6:63.)

    Yusuf dari Mesir melihat penglihatan bahawa Joseph Smith menerima kepingan-kepingan emas

    Ilustrasi Yusuf dari Mesir, oleh Paul Mann

Kejadian 50:19–21

Tuhan boleh membantu kita mencari makna dalam percubaan kita.

  • Walaupun hal ini mungkin kurang jelas semasa dia melalui percubaannya yang teruk, Yusuf kemudiannya dapat mengimbas semula kesukarannya di Mesir dan melihat bahawa “Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan” (Kejadian 50:20). Jika kita boleh melawat Yusuf ketika dia berada di dalam lubang neraka atau di penjara, bagaimanakah mungkin kita boleh menenangkannya? Bagaimanakah pemikiran yang dinyatakan dalam Kejadian 50:19–21 boleh membantu kita melalui percubaan? Ahli-ahli kelas boleh membincangkan bagaimana Tuhan memberkati mereka, meskipun pengalaman sukar yang dilalui oleh mereka. Apakah yang Ajaran dan Perjanjian 122 tambahkan kepada pemahaman kita tentang asas ini?

additional resources icon

Sumber Tambahan

Kehidupan para nabi bersaksi tentang Yesus Kristus dan misi-Nya.

Kehidupan Yusuf dari Mesir, Musa dan Joseph Smith boleh mengingatkan kita akan Yesus Kristus. Ahli-ahli kelas boleh mengisi carta ini, kemudian tambah lajur untuk Yusuf dari Mesir (lihat Kejadian 45:5–11), Musa (lihat Terjemahan Joseph Smith, Kejadian 50:24, 29, 34–36 [dalam lampiran Alkitab]) dan Joseph Smith (lihat Terjemahan Joseph Smith, Kejadian 50:26–28, 30–33 [dalam lampiran Alkitab]).

Yesus Kristus

Siapakah yang telah dibebaskan?

Dari apakah mereka dibebaskan?

Apakah yang telah dilakukan untuk membebaskan mereka?

Menambah Baik Pengajaran Kita

Tanya soalan-soalan yang menjemput kesaksian. Tanya soalan-soalan yang menggalakkan pelajar memberi kesaksian mereka boleh menjadi cara efektif untuk menjemput Roh. Misalnya, semasa mengajar tentang Kejadian 45:1–15, anda boleh menanya soalan seperti “Apakah berkat-berkat yang telah anda terima selepas mengampuni seseorang?” (lihat Teaching in the Savior’s Way, 32).