“7–13 November. Hosea 1–6; 10–14; Yoel: ‘Mereka Akan Kukasihi Dengan Segenap Hati,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“7–13 November. Hosea 1–6; 10–14; Yoel”, Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2022
7–13 November
Hosea 1–6; 10–14; Yoel
“Mereka Akan Kukasihi Dengan Segenap Hati”
Semasa anda mengkaji dan membuat persediaan pada minggu ini, pertimbangkan pesanan indah dan yang menggalakkan daripada kitab Hosea dan Yoel yang boleh membantu memenuhi keperluan ahli kelas.
Catat Tanggapan Anda
Jemput Perkongsian
Untuk membantu ahli kelas berkongsi perkara yang mereka pelajari pada minggu ini, anda boleh menjemput mereka untuk menulis di papan tulis perkataan atau frasa yang mengilhami mereka sepanjang pengkajian mereka. Kemudian, mereka boleh berkongsi mengapa perkataan atau frasa ini bermakna bagi mereka. Perkataan dan frasa ini boleh membantu membimbing perbincangan anda yang selebihnya.
Mengajar Ajaran
Tuhan menjemput kita untuk kembali kepada-Nya.
-
Anda boleh memulakan perbincangan tentang Hosea 1–3 dengan menulis perkataan perkahwinan di papan tulis dan meminta ahli kelas untuk menyenaraikan perkataan yang berkaitan dengan perkahwinan. Bagaimanakah membuat perjanjian dengan Tuhan diibaratkan sebagai memasuki perkahwinan? Bagaimanakah melanggar perjanjian itu diibaratkan sebagai berlaku curang terhadap pasangan? (lihat Hosea 2:5–7, 13). Kemudian, ahli kelas boleh membincangkan bagaimana hubungan antara Hosea dan Gomer melambangkan hubungan antara Tuhan dan umat-Nya. Apakah Hosea 2:14–23 dan Hosea14 ajarkan kita tentang kasih dan belas kasihan Tuhan? Bagaimanakah kita menunjukkan kasih dan kesetiaan kita kepada Tuhan?
-
Hosea 14 menggambarkan banyak janji indah yang Tuhan buat kepada bani Israel jika mereka kembali kepada-Nya. Ahli kelas boleh mencari janji-janji ini dalam bab ini. Apakah yang Tuhan akan lakukan? Apakah maksud frasa “Kukasihi dengan segenap hati”? (ayat 4). Apakah metafora tumbuh-tumbuhan dalam ayat 5–8 ajarkan kita tentang berkat Tuhan kepada kita, termasuk berkat pertaubatan?
Pengabdian terhadap Tuhan hendaklah dirasai secara dalaman, bukan hanya ditunjukkan secara luaran.
-
Hosea 6:6 dan Yoel 2:12–13 merujuk persembahan korban binatang dan perbuatan mengoyakkan pakaian sebagai tanda penyesalan. Walaupun amalan seperti ini mungkin tidak lazim pada hari ini, ayat-ayat ini boleh mendorong perbincangan tentang perkara yang paling penting bagi Tuhan. Anda boleh membaca Hosea 6:6 bersama dan membincangkan maksud ayat ini. Jemput beberapa ahli kelas untuk membaca Matius 9:10–13 dan yang lain pula membaca Matius 12:1–8. Kemudian, ahli kelas boleh mengajar sesama sendiri bagaimana peristiwa dalam pelayanan Juruselamat membantu kita memahami asas-asas yang diajar dalam Hosea 6:6. Bagaimanakah kita mengamalkan asas ini pada zaman kita?
Anda juga boleh membaca Yoel 2:12–13 bersama dan bincangkan maksud biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian. Apakah yang kita pelajari daripada ayat-ayat ini tentang maksud menjadi pengikut Yesus Kristus yang sejati?
“Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada semua orang.”
-
Untuk memulakan perbincangan tentang Yoel 2, anda boleh berkongsi perkara yang Moroni katakan tentang nubuat ini apabila dia melawat Joseph Smith pada tahun 1823 (lihat Joseph Smith—Sejarah 1:41). Ahli kelas boleh berkongsi pendapat mereka tentang bagaimana nubuat dalam Yoel 2:28–32 digenapi pada zaman kita. Anda juga boleh membincangkan bagaimana ucapan Elder David A. Bednar dalam “Sumber-sumber Tambahan” berkaitan dengan nubuat Yoel. Ahli kelas boleh membincangkan maksud merasakan curahan Roh Kudus dalam kehidupan harian mereka. Apakah yang kita boleh lakukan jika kita rasa kita tidak menerima curahan itu? Bagaimanakah kita boleh membantu “anak lelaki dan anak perempuan [kita]” menerimanya? (ayat 28).
Sumber-sumber Tambahan
“Kita boleh bergantung pada Roh Kudus untuk membimbing kita.”
Elder David A. Bednar mengajar:
“Kita sering membuat kita sendiri sukar untuk menerima wahyu peribadi. Maksud saya ialah, janji perjanjian adalah apabila kita mematuhi perjanjian, kita boleh sentiasa memiliki Roh Kudus sebagai rakan tetap kita. Tetapi kita membincangkan hal ini dan kita mempunyai tanggapan seolah-olah mendengar suara Tuhan melalui Roh-Nya merupakan kejadian yang jarang berlaku. … [Roh] seharusnya bersama kita sepanjang masa. Bukanlah pada setiap saat, tetapi jika seseorang telah melakukan yang terbaik—anda tidak perlu menjadi sempurna—tetapi jika anda dan saya telah berusaha sedaya upaya dan kita tidak melakukan pelanggaran yang serius, maka kita boleh bergantung pada Roh Kudus untuk membimbing kita.…
“…Kita seolah-olah percaya bahawa Roh Kudus bersifat dramatik, besar dan secara tiba-tiba, padahal Roh Kudus adalah halus, kecil dan bertambah dari masa ke masa. Anda tidak sedar bahawa anda menerima wahyu pada saat anda menerima wahyu” (“Elder David A. Bednar Discussion” [Petang bersama Penguasa Umum, Feb.7, 2020], broadcasts.ChurchofJesusChrist.org).