Kitab Suci
2 Nefi 20


Bab 20

Kehancuran Asyur adalah suatu contoh kehancuran yang jahat semasa Kedatangan Kedua—Sedikit sahaja orang akan tertinggal setelah Tuhan datang lagi—Keturunan Yakub yang selebihnya akan kembali pada hari itu—Bandingkan dengan Yesaya 10. Kira-kira 559–545 tahun S.M.

1 Celakalah mereka yang mengisytiharkan perintah-perintah yang tidak adil, dan yang menulis penindasan yang mereka telah tetapkan;

2 Untuk menolak yang miskin daripada keadilan, dan untuk mengambil hak daripada yang miskin di antara umat-Ku, agar balu-balu mereka boleh menjadi mangsa mereka, dan agar mereka boleh merompak anak yatim!

3 Dan apakah akan kamu buat pada hari pengunjungan, dan dalam kehancuran yang akan datang dari jauh? kepada siapa akan kamu melarikan diri untuk pertolongan? dan di manakah akan kamu tinggalkan kemuliaanmu?

4 Tanpa Aku mereka akan membongkokkan diri di bawah para tawanan, dan mereka akan jatuh ke bawah orang yang terbunuh. Walaupun terjadinya semua ini, kemurkaan-Nya tidak dipalingkan, tetapi tangan-Nya masih terhulur.

5 Wahai orang Asyur, tongkat kemurkaan-Ku, dan topang dalam tangan mereka adalah kemarahan mereka.

6 Aku akan menghantarkannya menentang suatu bangsa munafik, dan menentang orang kemurkaan-Ku akan Aku berikannya tanggungjawab untuk mengambil jarahan, dan untuk mengambil mangsa, dan untuk menginjak-injakkan mereka seperti lumpur di jalan.

7 Walau bagaimanapun, dia tidak bertujuan demikian, tidak juga hatinya berfikir demikian; tetapi dalam hatinya adalah untuk membinasakan dan menyingkirkan bangsa-bangsa yang bukan sedikit.

8 Kerana dia berkata: Bukankah putera-putera beta semuanya raja?

9 Bukankah Kalno seperti Karkemis? Bukankah Hamat seperti Arpad? Bukankah Samaria seperti Damsyik?

10 Sebagaimana tangan beta telah mendirikan kerajaan-kerajaan berhala, dan yang patung-patung ukirannya menggungguli yang di Yerusalem dan di Samaria;

11 Tidak akankan beta, sebagaimana beta telah perlakukan kepada Samaria dan berhala-berhalanya, juga memperlakukan kepada Yerusalem dan berhala-berhalanya?

12 Oleh kerana itu akan terjadi bahawa ketika Tuhan melaksanakan segala kerja-Nya ke atas Gunung Sion dan ke atas Yerusalem, Aku akan menghukum buah daripada hati sombong raja Asyur, dan kemuliaan pandangannya yang tinggi.

13 Kerana dia berkata: Dengan kekuatan tangan beta dan dengan kebijaksanaan beta, beta telah melaksanakan hal-hal ini; kerana beta bijak; dan beta telah memindahkan sempadan-sempadan bangsa itu, dan telah merampas harta benda mereka, dan beta telah menakluk penghuninya seperti seorang lelaki gagah perkasa;

14 Dan tangan beta telah menemui seperti sebuah sarang, kekayaan bangsa itu; dan seperti seorang mengumpul telur-telur yang tertinggal telah beta mengumpulkan seluruh bumi; dan tiada seorang pun yang menggerakkan sayap, atau membuka mulut, atau berciap.

15 Akankah kapak memegahkan dirinya terhadap dia yang menebang dengannya? Akankah gergaji membesar-besarkan dirinya terhadap dia yang menggoncangkannya? Seolah-olah belantan akan menggoncangkan dirinya terhadap mereka yang mengangkatnya, atau seolah-olah topang akan mengangkat dirinya seolah-olah ia bukan kayu!

16 Oleh kerana itu akan Tuhan, Tuhan Semesta Alam, menghantar ke kalangannya yang gemuk, kekurusan; dan di bawah kemuliaannya Dia akan menyalakan pembakaran seperti pembakaran api.

17 Dan cahaya Israel akan seperti api, dan Yang Kudus-Nya seperti nyalaan, dan akan membakar dan akan melahap semak dan belukar berdurinya dalam satu hari;

18 Dan akan menghanguskan kemuliaan hutannya, dan ladang suburnya, baik jiwa mahupun tubuh; dan mereka akan seperti ketika pembawa panji jatuh pengsan.

19 Dan sisa pokok-pokok hutannya akan sedikit, sehingga seorang budak boleh mencatatkannya.

20 Dan akan terjadi pada hari itu, bahawa keturunan Israel yang selebihnya, dan mereka yang telah melarikan diri daripada bani Yakub, tidak lagi akan bersandang pada dia yang mendera mereka, tetapi akan bersandang pada Tuhan, Yang Kudus dari Israel, dalam kebenaran.

21 Yang selebihnya akan kembali, ya, bahkan keturunan Yakub yang selebihnya, kepada Tuhan yang perkasa.

22 Kerana walaupun umatmu Israel seperti pasir di laut, tetapi yang selebihnya daripada mereka akan kembali; pembinasaan yang telah difirmankan akan berlimpah dengan kesolehan.

23 Kerana Tuhan Semesta Alam akan mendatangkan pembinasaan, bahkan ditetapkan di seluruh negeri.

24 Oleh kerana itu, demikianlah firman Tuhan Semesta Alam: Wahai umat-Ku yang diam di Sion, janganlah takut akan orang Asyur; dia akan memukul kamu dengan belantan, dan akan mengangkat tongkatnya melawanmu, mengikut cara di Mesir.

25 Kerana sedikit masa lagi, dan kemarahan akan habis, dan kemurkaan-Ku dalam kebinasaan mereka.

26 Dan Tuhan Semesta Alam akan menimbulkan cambuk untuknya menurut penghapusan Midian di batu Oreb; dan sebagaimana tongkat-Nya berada di atas laut, demikian juga akan Dia mengangkatnya menurut cara di Mesir.

27 Dan akan terjadi pada hari itu bahawa bebannya akan diambil dari bahumu, dan kuknya dari lehermu, dan kuk itu akan dihapuskan kerana pengurapan.

28 Dia telah datang ke Ayat, dia telah melintasi Migron; di Mikhmas dia telah meninggalkan pedati-pedatinya.

29 Mereka telah melintasi genting; mereka telah menginap di Geba; Rama bertakutan; Gibea kota Saul telah melarikan diri.

30 Angkatlah suara, hai puteri Galim; jadikannya terdengar di Laisya, Wahai Anatot yang malang.

31 Madmena telah melarikan diri; penghuni-penghuni Gebim berkumpul bersama untuk melarikan diri.

32 Sekarang pun dia tetap tinggal di Nob pada hari itu; dia akan menggoncangkan tangannya terhdap gunung puteri Sion, bukit Yerusalem.

33 Lihatlah, Tuhan, Tuhan Semesta Alam akan menebang dahan dengan kegentaran; dan orang atasan yang megah akan ditebang; dan yang sombong akan direndahkan.

34 Dan Dia akan menebas semak-semak hutan dengan besi, dan Lebanon akan roboh oleh seorang yang perkasa.