Kitab Suci
Moroni 8


Bab 8

Pembaptisan anak-anak kecil adalah suatu kekejian yang jahat—Anak-anak kecil hidup di dalam Kristus kerana Korban Tebusan—Iman, pertaubatan, kelembutan hati dan kerendahan hati, menerima Roh Kudus, dan bertahan sampai akhir menuntun pada keselamatan. Kira-kira 401–421 tahun M.

1 Sepucuk surat daripada ayahku Mormon, yang dituliskan kepadaku, Moroni; dan ianya ditulis kepadaku tidak lama selepas pemanggilanku pada pelayanan ini. Dan dengan cara ini dia telah menuliskan kepadaku, mengatakan:

2 Anakku yang dikasihi, Moroni, Aku amat bergembira bahawa Tuhanmu Yesus Kristus sentiasa mengingatimu sepenuhnya, dan telah memanggilmu pada pelayanan-Nya, dan pada pekerjaan kudus-Nya.

3 Aku selalu mengingatimu sepenuhnya di dalam doa-doaku, berterusan berdoa kepada Tuhan Bapa dalam nama Putera Kudus-Nya, Yesus, agar Dia, melalui kebaikan dan rahmat-Nya yang tak terbatas, akan melindungimu dengan iman yang berterusan pada nama-Nya sehingga akhir.

4 Dan sekarang, anakku, aku berbicara kepadamu tentang hal yang amat menyedihkanku; kerana menyedihkan bagiku bahawa perselisihan harus timbul di antara kamu.

5 Kerana, jika apa yang aku ketahui adalah benar, terdapat perselisihan di antara kamu tentang pembaptisan anak-anak kecilmu.

6 Dan sekarang, anakku, aku berhasrat agar kamu harus bekerja dengan tekun, agar kesilapan yang menjijikkan ini akan disingkirkan daripada kalangan kamu; kerana, untuk tujuan inilah aku telah menuliskan surat ini.

7 Kerana dengan segera setelah aku mendapat tahu tentang hal-hal ini daripadamu, aku bertanya kepada Tuhan tentang hal ini. Dan firman Tuhan datang kepadaku melalui kuasa Roh Kudus, memfirmankan:

8 Dengarkanlah firman Kristus, Penebusmu, Tuhanmu dan Rajamu. Lihatlah, Aku datang ke dunia bukan untuk memanggil yang soleh tetapi para pendosa pada pertaubatan; orang yang sihat tidak memerlukan tabib, tetapi mereka yang sakit; oleh itu, anak-anak kecil adalah suci, kerana mereka tidak mampu berbuat dosa; oleh itu kutukan Adam diambil daripada mereka di dalam Aku, sehingga ia tidak berkuasa ke atas diri mereka; dan hukum sunat telah diakhiri di dalam Aku.

9 Dan dengan cara inilah Roh Kudus telah menyatakan firman Tuhan kepadaku; oleh itu, anakku yang dikasihi, aku tahu bahawa ini adalah suatu penghinaan yang serius di hadapan Tuhan, bahawa kamu harus membaptiskan anak-anak kecil.

10 Lihatlah aku berkata kepadamu bahawa inilah hal yang akan kamu ajarkan—pertaubatan dan pembaptisan bagi mereka yang bertanggungjawab dan mampu berbuat dosa; ya, ajarlah para ibu bapa bahawa mereka mesti bertaubat dan dibaptiskan, dan merendahkan hati mereka seperti anak-anak kecil mereka, dan mereka semua akan diselamatkan bersama anak-anak kecil mereka.

11 Dan anak-anak kecil mereka tidak memerlukan pertaubatan, dan juga pembaptisan. Lihatlah, pembaptisan adalah untuk pertaubatan untuk menggenapi perintah-perintah untuk pengampunan dosa.

12 Tetapi anak-anak kecil hidup di dalam Kristus, bahkan sejak dari pengasasan dunia lagi; jika tidak demikian, Tuhan adalah Tuhan yang berat sebelah, dan juga Tuhan yang berubah-ubah, dan seorang yang pilih kasih; kerana begitu banyak anak-anak kecil telah meninggal tanpa pembaptisan!

13 Oleh itu, jika anak-anak kecil tidak dapat diselamatkan tanpa pembaptisan, mereka sudah semestinya pergi ke neraka yang tanpa akhir.

14 Lihatlah aku berkata kepadamu, bahawa dia yang menganggap bahawa anak-anak kecil memerlukan pembaptisan berada di dalam hempedu kepahitan dan di dalam belenggu kederhakaan; kerana dia tidak memiliki iman, harapan, dan juga kasih ihsan; oleh itu, seandainya dia disingkirkan pada saat dia memikirkan hal itu, dia mesti turun ke dalam neraka.

15 Kerana dahsyatlah kejahatan untuk menganggap bahawa Tuhan menyelamatkan seorang anak kecil kerana pembaptisan, dan yang lain-lain mesti binasa kerana dia tidak mempunyai pembaptisan.

16 Celakalah mereka yang akan menyimpangkan jalan-jalan Tuhan dengan cara ini, kerana mereka akan binasa kecuali mereka bertaubat. Lihatlah, aku berbicara dengan keberanian, memiliki wewenang daripada Tuhan; dan aku tidak takut terhadap apa yang dapat dilakukan oleh manusia; kerana kasih yang sempurna menyingkirkan segala ketakutan.

17 Dan aku dipenuhi dengan kasih ihsan, yang merupakan kasih abadi; oleh itu, semua anak-anak kecil adalah sama bagiku; oleh itu, aku mengasihi anak-anak kecil dengan kasih yang sempurna; dan mereka semua serupa dan pengambil bahagian keselamatan.

18 Kerana aku tahu bahawa Tuhan bukanlah Tuhan yang berat sebelah, bukan juga seorang yang berubah-ubah; tetapi Dia tidak berubah dari segala keabadian ke segala keabadian.

19 Anak-anak kecil tidak dapat bertaubat; oleh itu, adalah suatu kejahatan yang dahsyat untuk menyangkal belas kasihan yang suci daripada Tuhan kepada mereka, kerana mereka semua hidup di dalam Dia disebabkan belas kasihan-Nya.

20 Dan dia yang berkata bahawa anak-anak kecil memerlukan pembaptisan menyangkal belas kasihan Kristus, dan merendahkan korban tebusan-Nya dan kuasa penebusan-Nya.

21 Celakalah kepada yang sedemikian, kerana mereka berada di dalam bahaya kematian, neraka, dan seksaan tanpa akhir. Aku mengatakannya dengan berani; Tuhan telah memerintahkanku. Dengarkanlah ia dan tumpukanlah perhatian, atau ianya akan berdiri menentangmu di kerusi penghakiman Kristus.

22 Kerana lihatlah bahawa semua anak-anak kecil hidup di dalam Kristus, dan juga mereka semua yang tidak mempunyai hukum. Kerana kuasa penebusan datang kepada mereka semua yang tidak mempunyai hukum; oleh itu, dia yang tidak dihukum, atau dia yang tidak berada di bawah penghukuman, tidak dapat bertaubat; dan kepada mereka yang sedemikian pembaptisan tidak berguna untuk apa pun—

23 Tetapi ianya merupakan penghinaan di hadapan Tuhan, menyangkal belas kasihan Kristus, dan kuasa Roh Kudus-Nya, dan meletakkan kepercayaan dalam pekerjaan-pekerjaan yang mati.

24 Lihatlah, anakku, hal ini tidak seharusnya terjadi; kerana pertaubatan adalah bagi mereka yang berada di bawah penghukuman dan di bawah kutukan akibat hukum yang telah dilanggar.

25 Dan buah pertama dari pertaubatan adalah pembaptisan; dan pembaptisan datang melalui iman untuk menggenapi perintah-perintah tersebut; dan penggenapan perintah-perintah itu memdatangkan pengampunan dosa;

26 Dan pengampunan dosa membawakan kelembutan hati, dan kerendahan hati; dan kerana kelembutan hati dan kerendahan hati datanglah kunjungan Roh Kudus, iaitu Penolong yang dipenuhi dengan harapan dan kasih yang sempurna, yang kasih itu bertahan melalui ketekunan di dalam doa, sehingga akhir itu akan tiba, apabila semua orang suci akan tinggal bersama Tuhan.

27 Lihatlah, anakku, aku akan menulis kepadamu lagi jika aku tidak segera pergi untuk melawan bangsa Laman. Lihatlah, keangkuhan bangsa ini, atau bangsa Nefi, telah membuktikan kehancuran mereka kecuali mereka akan bertaubat.

28 Berdoalah bagi mereka, anakku, agar pertaubatan dapat datang kepada mereka. Tetapi lihatlah, aku takut bahawa Roh telah berhenti berjuang bersama mereka; dan di bahagian negeri ini mereka juga berusaha untuk menumpaskan segala kuasa dan wewenang yang datang daripada Tuhan; dan mereka menyangkal Roh Kudus.

29 Dan setelah menolak pengetahuan yang sebegitu besar, anakku, mereka mesti binasa tidak lama lagi, untuk menggenapi nubuat-nubuat yang telah diucapkan oleh para nabi, dan juga firman Juruselamat kita sendiri.

30 Selamat tinggal, anakku, sehingga aku akan menulis kepadamu, atau akan menemuimu lagi. Amin.