Bantuan Pengkajian
TJS, Kejadian 14


TJS, Kejadian 14:25–40. Bandingkan dengan Kejadian 14:18–20

Melkisedek memberkati Abram. Pelayanan Melkisedek yang hebat dan kuasa dan berkat-berkat Imamat Melkisedek dihuraikan.

25 Dan Melkisedek mengangkat suaranya dan memberkati Abram.

26 Sekarang Melkisedek merupakan seorang lelaki beriman, yang mengerjakan kesolehan; dan sejak dari kecil dia takut kepada Tuhan, dan menutup mulut-mulut singa, dan memadam keganasan api.

27 Dan demikianlah, setelah diperkenankan oleh Tuhan, dia ditahbiskan sebagai Imam Tinggi menurut tarekat perjanjian suci yang telah Tuhan buat dengan Henokh,

28 Ianya menurut tarekat kudus Putera Tuhan; iaitu tarekat yang datang; bukannya dari manusia, mahupun keinginan manusia; tidak juga dari ayah atau ibu; tidak juga dari permulaan hari ataupun pengakhiran tahun; tetapi daripada Tuhan;

29 Dan ianya diutuskan kepada manusia melalui suara panggilan-Nya sendiri, menurut keinginan-Nya sendiri, kepada seberapa banyak mereka yang percaya kepada nama-Nya.

30 Kerana Tuhan telah bersumpah kepada Henokh dan keturunannya dengan sumpah-Nya sendiri; bahawa setiap mereka yang ditahbiskan menurut tarekat dan panggilan ini akan mempunyai kuasa, melalui iman, untuk menghancurkan gunung-ganang, memisahkan lautan, mengeringkan perairan, dan menyimpangkan alirannya;

31 Untuk menentang para tentera dunia, untuk membahagikan bumi, memecahkan setiap gerombolan, untuk berdiri di hadapan Tuhan; untuk melakukan semua hal menurut keinginan-Nya, menurut perintah-Nya, menundukkan segala prinsip dan kekuasaan; dan ini adalah melalui keinginan Putera Tuhan yang ada sejak pengasasan dunia.

32 Dan para orang yang beriman ini, datang pada tarekat Tuhan ini, diangkat dan dibawa ke syurga.

33 Dan sekarang, Melkisedek merupakan seorang imam dari tarekat ini; oleh itu dia mendapat kedamaian di Salem, dan dipanggil Putera kedamaian.

34 Dan orang-orangnya mengerjakan kesolehan, dan mendapatkan syurga, dan mencari kota Henokh yang telah diangkat Tuhan sebelum ini, memisahkannya dari bumi, menyimpannya untuk zaman akhir, atau pengakhiran dunia;

35 Dan telah mengatakan, dan bersumpah, bahawa langit dan bumi harus bersatu; dan anak-anak Tuhan harus diuji bagaikan dengan api.

36 Dan Melkisedek, setelah menegakkan kesolehan, dipanggil raja syurga oleh orang-orangnya, atau, dalam kata lain, Raja damai.

37 Dan dia mengangkat suaranya, dan memberkati Abram, selaku imam tinggi, dan penjaga gudang Tuhan;

38 Dia yang Tuhan telah lantik untuk menerima persepuluhan bagi yang miskin.

39 Oleh kerana itu, Abram membayar kepadanya persepuluhan bagi segala kekayaan yang dimilikinya, yang Tuhan telah berikan kepadanya lebih dari yang dia perlukan.

40 Dan terjadilah, Tuhan memberkati Abram, dan memberikan kekayaan kepadanya, dan kehormatan, dan tanah untuk dimiliki selamanya; menurut perjanjian suci yang telah dibuatnya, dan menurut berkat yang diberikan oleh Melkisedek kepadanya.