Bantuan Pengkajian
TJS, Kejadian 9


TJS, Kejadian 9:4–6. Bandingkan dengan Kejadian 8:20–22

Selepas Banjir tersebut, Nuh memohon kepada Tuhan untuk tidak mengutuk bumi lagi.

4 Dan Nuh membuat sebuah altar kepada Tuhan, dan mengambil dari setiap makhluk yang bersih, dan dari setiap burung yang bersih, dan menawarkan korban bakaran di atas altar itu; dan bersyukur kepada Tuhan, dan bersukacita dalam hatinya.

5 Dan Tuhan berbicara kepada Nuh, dan Dia memberkatinya. Dan Nuh terhidu suatu bau yang menyenangkan, dan dia berkata dalam hatinya;

6 Aku akan memanggil nama Tuhan, agar Dia tidak akan mengutuk tanah ini lagi disebabkan perbuatan manusia, kerana hati manusia adalah jahat sejak dari usia mudanya; dan agar Dia tidak lagi akan menghukum segala yang hidup, seperti yang telah Dia lakukan, selagi dunia masih ada.

TJS, Kejadian 9:10–15. Bandingkan dengan Kejadian 9:4–9

Manusia bertanggungjawab ke atas penumpahan darah haiwan dan juga manusia. Tuhan membuat perjanjian yang sama dengan Nuh dan anak-anaknya seperti yang Dia lakukan dengan Henokh.

10 Tetapi, darah semua makhluk yang telah Aku berikan kepadamu sebagai makanan, harus ditumpahkan ke tanah, yang mencabut nyawanya, dan darah itu tidak harus kamu makan.

11 Dan sememangnya, darah tidak harus ditumpahkan, kecuali untuk makanan, untuk menyelamatkan nyawamu; dan darah setiap makhluk akan Aku tuntut daripadamu.

12 Dan sesiapa yang menumpahkan darah manusia, oleh manusia juga darahnya akan ditumpahkan; kerana manusia tidak seharusnya menumpahkan darah manusia.

13 Sebuah perintah Aku berikan, bahawa setiap manusia harus melindungi nyawa sesama manusia, kerana menurut rupaku sendiri telah Aku ciptakan manusia.

14 Dan sebuah perintah Aku berikan kepada mu, Beranaklah dan bertambah; lahirkanlah dengan banyak di atas bumi, dan bertambahlah di dalamnya.

15 Dan Tuhan berbicara kepada Nuh, dan bersama anak-anak lelakinya, memfirmankan, Dan Aku, lihatlah, Aku akan menegakkan perjanjian-Ku bersamamu, yang telah Aku buat dengan ayahmu Henokh, tentang keturunanmu selepas dirimu.

TJS, Kejadian 9:21–25. Bandingkan dengan Kejadian 9:16–17

Pelangi ditempatkan di langit sebagai peringatan tentang perjanjian Tuhan kepada Henokh dan kepada Nuh. Pada zaman akhir perhimpunan umum Gereja Putera Sulung akan bergabung dengan yang soleh di bumi.

21 Dan lengkungan itu akan berada di langit; dan Aku akan melihatnya, agar Aku akan mengingati perjanjian kekal, yang telah Aku buat kepada ayahmu Henokh; bahawa apabila manusia menurut semua perintah-Ku, Sion akan datang lagi ke bumi, iaitu kota Henokh yang telah Aku angkat kepada diri-Ku.

22 Dan inilah perjanjian kekal-Ku, bahawa apabila keturunanmu akan memeluk kebenaran, dan melihat ke atas, barulah Sion akan melihat ke bawah, dan seluruh langit akan bergoncang dengan sukacita, dan bumi bergegar kebahagiaan;

23 Dan perhimpunan umum gereja putera sulung akan turun dari syurga, dan menguasai bumi, dan akan tinggal sehinggalah akhir datang. Dan inilah perjanjian kekal-Ku, yang telah Aku buat dengan ayahmu Henokh.

24 Dan lengkungan itu akan berada di awan, dan aku akan menegakkan perjanjian-Ku kepadamu, yang telah aku buat di antara Aku dan engkau, bagi setiap makhluk hidup bagi semua yang fana yang akan berada di atas bumi.

25 Dan Tuhan berfirman kepada Nuh, ini adalah lambang perjanjian suci yang telah Aku tegakkan di antara Aku dan engkau; bagi semua makhluk fana yang akan berada di atas bumi.