Kitab Suci
Abraham 3


Bab 3

Abraham belajar tentang matahari, bulan, dan bintang-bintang melalui Urim dan Tumim—Tuhan mewahyukan kepadanya sifat abadi bagi roh—Dia belajar tentang kehidupan pra-dunia, pra-pentahbisan, Penciptaan, pemilihan seorang Penebus, dan keadaan kedua manusia.

1 Dan aku, Abraham, memiliki Urim dan Tumim, yang Tuhan Rajaku telah berikan kepadaku, di Ur milik bangsa Kasdim;

2 Dan aku melihat bintang-bintang, bahawa ianya sangat hebat, dan salah satu daripadanya berada paling dekat dengan takhta Tuhan; dan ada banyak bintang hebat yang berdekatan dengannya;

3 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Inilah bintang-bintang yang mengatur; dan nama yang agung itu adalah Kolob, kerana ia dekat dengan-Ku, kerana Akulah Tuhan Rajamu: Aku telah menempatkan yang ini untuk mengatur semua yang mempunyai aturan yang sama seperti yang engkau berdiri di atasnya.

4 Dan Tuhan berfirman kepadaku, melalui Urim dan Tumim, bahawa Kolob adalah menurut cara Tuhan, menurut waktu dan masa dalam peredarannya; bahawa satu peredaran adalah satu hari bagi Tuhan, menurut cara pengiraan-Nya, itu adalah seribu tahun menurut waktu yang ditentukan bagi yang engkau berdiri di atasnya. Inilah pengiraan waktu Tuhan, menurut pengiraan Kolob.

5 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Planet yang cahayanya lebih kecil, lebih kecil daripada yang menguasai siang hari, bahkan juga malam hari, adalah lebih tinggi atau adalah lebih agung daripada yang engkau berdiri di atasnya pada titik pengiraan, kerana ia bergerak dalam urutan lebih lambat; ianya dalam urutan kerana ia berdiri di atas bumi yang engkau berdiri di atasnya, oleh kerana itu pengiraan waktunya tidak begitu banyak sehubungan dengan jumlah hari, bulan, dan tahunnya.

6 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Sekarang, Abraham, dua fakta ini wujud, lihatlah matamu melihatnya; diberikan kepadamu untuk mengetahui waktu pengiraan, dan waktu yang ditetapkan, ya, waktu yang ditetapkan bagi bumi yang engkau berdiri di atasnya, dan waktu yang ditetapkan bagi cahaya yang lebih besar yang ditetapkan untuk menguasai siang hari, dan waktu yang ditetapkan bagi cahaya yang lebih kecil yang ditetapkan untuk menguasai malam hari.

7 Sekarang waktu yang ditetapkan untuk cahaya yang lebih kecil adalah waktu yang lebih panjang menurut pengiraannya daripada pengiraan waktu bumi yang engkau berdiri di atasnya.

8 Dan di mana dua fakta ini wujud, akan ada fakta lain yang lebih tinggi, iaitu, akan ada planet lain yang pengiraan waktunya akan lebih panjang;

9 Dan demikianlah pengiraan waktu sebuah planet akan ada di peringkat yang lebih tinggi dari yang lain, sehingga engkau datang dekat kepada Kolob, yang mana Kolob adalah menurut pengiraan waktu Tuhan; yang mana Kolob ditetapkan berdekatan dengan takhta Tuhan, untuk mengatur semua planet yang mempunyai aturan yang sama seperti yang engkau berdiri di atasnya.

10 Dan diberikan kepadamu untuk mengetahui waktu yang ditetapkan bagi semua bintang yang ditentukan untuk menerangi, sehingga engkau datang dekat kepada takhta Tuhan.

11 Demikianlah aku, Abraham, bercakap dengan Tuhan, berhadapan muka, seperti seseorang bercakap dengan yang lain; dan Dia memberitahuku tentang pekerjaan-pekerjaan yang telah dijadikan oleh tangan-Nya;

12 Dan Dia berfirman kepadaku: Anak-Ku, anak-Ku (dan tangan-Nya terentang), lihatlah Aku akan menunjukkanmu semua ini. Dan Dia meletakkan tangan-Nya di atas mataku, dan aku melihat hal-hal yang telah dijadikan oleh tangan-Nya, yang banyak; dan ianya bertambah di hadapan mataku, dan aku tidak dapat melihat penghujungnya.

13 Dan Dia berfirman kepadaku: Inilah Sineha, iaitu matahari. Dan Dia berfirman kepadaku: Kokob, iaitu bintang. Dan Dia berfirman kepadaku: Olea, iaitu bulan. Dan Dia berfirman kepadaku: Kokaubim, yang bermaksud bintang-bintang, atau segala cahaya yang besar, yang berada di cakerawala langit.

14 Dan ianya adalah waktu malam semasa Tuhan memfirmankan firman ini kepadaku: Aku akan menjadikan engkau bertambah, dan keturunanmu selepas engkau, seperti semua ini; dan jika engkau dapat mengira jumlah pasir, demikianlah juga jumlah keturunanmu.

15 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Abraham, Aku menunjukkan hal-hal ini kepadamu sebelum kamu pergi ke Mesir, agar kamu boleh memaklumkan segala firman ini.

16 Jika dua hal wujud, dan ada satu yang lebih tinggi dari yang lain, akan terdapat hal-hal yang lebih tinggi daripadanya; oleh kerana itu Kolob adalah yang teragung dari semua Kokaubim yang engkau telah lihat, kerana itu yang paling dekat kepada-Ku.

17 Sekarang, jika ada dua hal, yang satu lebih tinggi dari yang lain, dan bulan lebih tinggi dari bumi, maka boleh adanya sebuah planet atau sebuah bintang yang wujud di peringkat yang lebih tinggi daripadanya; dan jika Tuhan Raja memutuskan dalam hati-Nya untuk melakukan sesuatu, maka Dia akan melakukannya.

18 Sebagaimana Dia telah menciptakan bintang yang lebih agung; seperti itu juga, jika ada dua roh, dan salah satunya akan menjadi lebih cerdas daripada yang satu lagi, namun kedua-dua roh ini, walaupun salah satunya lebih cerdas daripada yang satu lagi, tidak mempunyai permulaan; mereka sudah wujud sebelum ini, mereka tidak akan mempunyai akhir, mereka akan wujud selepas ini, kerana mereka adalah nolaum, atau abadi.

19 Dan Tuhan berfirman kepadaku: Dua fakta ini wujud, bahawa ada dua roh, salah satunya lebih cerdas daripada yang satu lagi; akan ada satu lagi yang lebih cerdas daripada mereka; Akulah Tuhan Rajamu, Aku lebih cerdas daripada mereka semua.

20 Tuhan Rajamu telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan engkau dari tangan imam Elkena.

21 Aku berada di tengah-tengah mereka semua; Oleh kerana itu, sekarang Aku telah turun kepadamu untuk memaklumkan kepadamu pekerjaan-pekerjaan yang telah diciptakan oleh tangan-Ku, dimana kebijaksanaan-Ku mengungguli mereka semua, kerana Aku berkuasa di langit di atas, dan di bumi di bawah, dalam segala kebijaksanaan dan kearifan, ke atas semua kecerdasan yang telah dilihat oleh matamu sejak dari permulaan; Aku turun pada permulaan di tengah-tengah semua kecerdasan yang telah engkau lihat.

22 Sekarang Tuhan telah memperlihatkan kepadamu, Abraham, kecerdasan-kecerdasan yang sudah diatur sebelum dunia ada; dan di antara semua ini terdapat ramai yang mulia dan agung;

23 Dan Tuhan melihat jiwa-jiwa ini bahawa mereka adalah baik, dan Dia berdiri di tengah-tengah mereka, dan Dia berfirman: Semua ini akan Aku jadikan para pemerintah-Ku; kerana Dia berdiri di antara mereka yang merupakan roh, dan Dia melihat bahawa mereka adalah baik; dan Dia berfirman kepadaku: Abraham, engkau adalah salah seorang daripada mereka; engkau telah dipilih sebelum engkau dilahirkan.

24 Dan terdapat seorang yang berdiri di kalangan mereka yang seperti Tuhan, dan Dia berfirman kepada mereka yang bersama-Nya: Kita akan turun, kerana terdapatnya ruang di sana, dan kita akan membawa bahan-bahan ini, dan kita akan membuat sebuah bumi agar mereka ini boleh tinggal diatasnya;

25 Dan dengan ini kita akan menguji mereka, untuk melihat adakah mereka akan melakukan segala hal apa pun yang Tuhan Raja mereka akan perintahkan kepada mereka;

26 Dan mereka yang menepati syarat keadaan pertama mereka akan ditambahkan kepadanya; dan mereka yang tidak menepati syarat keadaan pertama mereka tidak akan memperoleh kemuliaan di dalam kerajaan yang sama bersama mereka yang menepati syarat keadaan pertama mereka; dan mereka yang menepati syarat keadaan kedua mereka akan memperoleh kemuliaan yang ditambahkan ke atas kepala mereka untuk selama-lamanya.

27 Dan Tuhan berfirman: Siapakah yang harus Aku utus? Dan seseorang menjawab seperti Putera Manusia: Di sinilah Aku, utuslah Aku. Dan yang seorang lagi menjawab dan berkata: Di sinilah aku, utuslah aku. Dan Tuhan berfirman: Aku akan mengutus yang pertama.

28 Dan yang kedua marah, dan tidak menepati syarat keadaan pertamanya; dan, pada hari itu, ramai yang mengikutinya.