Melembutkan Hati dan Rendah Hati
Kelembutan hati bukanlah bermaksud kelemahan, melainkan ia bermaksud bertindak dengan kebaikan dan kesopanan.
Mormon mengajarkan bahawa seseorang “tidak dapat beriman dan berharapan, kecuali dia akan melembutkan hati, dan rendah hati.”1 Dia menambah bahawa tanpa sifat-sifat sebegitu, “iman dan harapannya adalah sia-sia, kerana tidak seorang pun dapat diterima di hadapan Tuhan, kecuali yang lembut hati dan rendah hati.”2
Kelembutan hati adalah sifat mereka yang “takut akan [Tuhan], [soleh], rendah hati, mudah diajar, dan sabar di bawah penderitaan.”3 Mereka yang mempunyai sifat ini rela untuk mengikuti Yesus Kristus, dan perangai mereka ialah tenang, jinak, tolak-ansur, dan taat.
Rasul Paulus mengajar bahawa kelembutan hati ialah buah Roh.4 Kerana itu, ia boleh didapati dengan lebih senang kalau kita “hidup oleh Roh.“5 Untuk hidup oleh Roh, gaya hidup kita mesti menunjukkan kesolehan di hadapan Tuhan.
Semasa kita mengambil ke atas diri kita nama Kristus, diharapkan bahawa kita berusaha untuk mencontohi sifat-sifat-Nya dan mengubahkan perilaku kita untuk menjadi lebih seperti Dia setiap hari. Juruselamat, menegur murid-murid-Nya, mengatakan, “Haruslah kamu sempurna, sama seperti Bapamu yang di [syurga] adalah sempurna.”6 Jika kita “datang kepada Kristus, … jahui diri [kita] daripada segala kejahatan; … dan mengasihi Tuhan,” lalu, melalui rahmat Kristus, hari itu akan datang apabila kita boleh diubahkan pada kesempurnaan dalam Dia.7
“Sifat-sifat seperti Kristus adalah kurnia dari Tuhan. [Sifat-sifat ini] datang ketika [kita] menggunakan hak pilihan [kita] dengan benar… . Dengan suatu keinginan untuk menyenangkan [Tuhan], [kita mesti kenali] kelemahan-kelemahan [kita] serta bersedia dan bersemangatlah untuk memperbaiki diri.”8
Kelembutan hati sangatlah penting untuk menjadi lebih seperti Kristus. Tanpanya kita tidak dapat mengembangkan nilai-nilai murni lain yang amat penting. Kelembutan hati bukanlah bermaksud kelemahan, melainkan ia bermaksud bertindak dengan kebaikan dan kesopanan, menunjukkan kekuatan, ketenangan, harga diri yang baik, dan kawalan diri.
Kelembutan hati adalah salah satu sifat yang paling berlimpah dalam kehidupan Juruselamat. Dia, Sendiri, mengajar para murid-Nya, “Belajarlah pada-Ku, [kerana] Aku [lembut hati] dan rendah hati.”9
Kita diberkati untuk dilahirkan dengan benih kelembutan hati dalam hati kita. Kita perlu faham bahawa tidaklah mungkin untuk membesarkan dan mengembangkan benih itu dalam sekelip mata melainkan melalui proses masa. Kristus meminta kita untuk “memikul salib [kita] setiap hari,”10 yang bermaksud bahawa inilah mesti menjadi suatu fokus dan keinginan yang berterusan.
Presiden Lorenzo Snow, nabi kelima dalam zaman keagamaan kita, mengajarkan, “Adalah tugas kita untuk berusaha menjadi sempurna, … untuk menjadi lebih baik setiap hari, dan melihat apa yang telah kita buat minggu lalu dan membuat perkara itu lebih baik minggu ini; buatlah urusan dengan lebih baik hari ini daripada kelmarin.”11 Jadi langkah pertama dalam menjadi lembut hati adalah untuk memperbaiki diri hari demi hari. Setiap hari kita perlu mencuba untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya semasa kita maju terus melalui proses ini.
Presiden Snow menambah:
“Kita ada kesilapan kecil kita dan kelemahan kita; dan kita sepatutnya mengatasi mereka secepat mungkin, dan … sepatutnya [memastikan] perasaan ini dalam hati anak-anak kita … agar mereka dapat belajar untuk [bertindak] dengan patut di hadapan Dia di bawah segala keadaan.
“Jika seorang suami mampu tinggal bersama isterinya selama satu hari tanpa berbantahan atau tanpa memperlakukan sesiapa dengan kurang baik atau tanpa menyedihkan Roh Tuhan … ; sejauh itu dia adalah sempurna. Maka, biarlah dia mencuba melakukan yang sama hari kemudiannya. Tapi, andaikanlah dia gagal dalam usaha keesokan hari, itu bukanlah suatu alasan bagi dia untuk tidak berjaya pada hari ketiga.”12
Selepas mengakui kesetiaan dan ketekunan kita, Tuhan akan memberi kita apa yang tidak dapat kita perolehi oleh kerana ketidaksempurnaan dan kelemahan jasmani kita.
Satu lagi langkah yang penting dalam menjadi lembut hati adalah belajar bagaimana untuk mengendalikan rasa kemarahan kita. Kerana manusia alamiah tinggal di dalam kita masing-masing dan kerana kita tinggal di sebuah dunia penuh dengan tekanan, pengendalian rasa amarah kita boleh menjadi salah satu cabaran dalam kehidupan kita. Fikirlah untuk beberapa saat bagaimana kamu bertindak balas ketika seseorang tidak mematuhi kemahuan kamu pada saat kamu mahukannya. Apa yang terjadi apabila orang tidak bersetuju dengan idea-idea kamu, walaupun kamu pasti sekali bahawa itulah penyelesaian yang wajar bagi suatu masalah? Apakah respons kamu apabila seseorang menyinggung kamu, mengkritik usaha kamu, atau semata-mata kurang baik kerana dia berada dalam mood yang tidak baik? Pada saat-saat ini dan dalam keadaan susah yang lain, kita mesti belajar untuk mengendalikan rasa kemarahan kita dan menyampaikan perasaan kita dengan kesabaran dan pujukan lembut. Inilah terpenting dalam rumah kita dan dalam hubungan kita dengan pasangan abadi kita. Selama 31 tahun sejak berkahwin kepada kekasih saya, dia seringkali memberi saya ingatan lembut tentang hal ini semasa kami menghadapi cabaran kehidupan yang susah.
Di antara arahan yang terdapat dalam Surat Kedua kepada Timotius, Rasul Paulus berkata:
“Seorang hamba Tuhan tidak boleh bertengkar, tetapi harus ramah terhadap semua orang. Ia harus cakap mengajar, sabar,
“Dan dengan [kelembutan hati] dapat menuntun orang yang suka melawan, sebab mungkin Tuhan memberikan kesempatan kepada mereka untuk bertobat dan memimpin mereka sehingga mereka mengenal kebenaran;
“Dan dengan demikian mereka menjadi sedar kembali.”13
Dengan mengendalikan tindak balas kita, menjadi tenang dan sederhana, serta mengelak perbantahan, kita akan bermula melayakkan diri bagi kurnia kelembutan hati. Presiden Henry B. Eyring berkata dulu, “Bila kita dengan iman mengawal kemarahan kita dan padamkan kesombongan kita, Roh Kudus memberi persetujuan-Nya, dan perjanjian-perjanjian yang suci menjadi pasti.”14
Salah satu langkah lagi untuk memperoleh kelembutan hati adalah menjadi rendah hati. Tuhan mengarahkan Thomas B. Marsh melalui Nabi Joseph Smith, mengatakan, “Hendaklah engkau rendah hati; maka Tuhan [Rajamu] akan membimbingmu dan menjawab doa-doamu.”15
Saya percaya, para saudara dan saudari, bahawa hanya mereka yang rendah hati mampu mengakui dan memahami jawaban Tuhan pada doa-doa mereka. Mereka yang rendah hatilah dapat diajari, dengan menyedari pergantungan mereka pada Tuhan dan berkeinginan untuk tunduk pada kehendak Dia. Mereka yang rendah hatilah lembut hati dan mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi orang lain untuk menjadi yang sama. Janji Tuhan kepada yang rendah hati adalah Dia akan membimbing mereka dengan tangan-Nya. Saya benar-benar percaya bahawa kita akan mengelak lencongan dan kesedihan dalam kehidupan kita selagi kita berjalan bergandingan tangan bersama Tuhan.
Salah satu contoh kelembutan hati yang terindah dalam zaman moden ini yang saya sedari adalah contoh penukaran hati Saudara Moses Mahlangu. Penukaran hatinya bermula pada 1964, ketika dia menerima sebuah salinan Kitab Mormon. Dia sangat tertarik semasa dia membaca kitab ini, tetapi bukan sampai awalan ‘70an bahawa dia melihat sebuah tanda Gereja Orang Suci Zaman Akhir di sebuah bangunan di Johannesburg, Afrika Selatan, semasa dia berjalan-jalan. Saudara Mahlangu tertarik dan masuk ke bangunan itu untuk belajar lebih tentang Gereja. Dia diberitahu dengan baik hati bahawa dia tidak dapat menghadiri pertemuan pelayanan atau dibaptiskan kerana hukum-hukum negara tersebut tidak mengizinkannya pada masa itu.
Brother Mahlangu menerima keputusan itu dengan lembut hati, rendah hati, dan tanpa rasa benci, namun dia terus untuk berkeinginan kuat untuk belajar lebih tentang Gereja. Dia meminta para pemimpin Gereja kalau mereka boleh membukakan salah satu tingkap bangunan pertemuan selama pertemuan Hari Ahad agar dia boleh duduk di luar dan mendengar pelayanan tersebut. Selama beberapa tahun, keluarga dan kawan-kawan Saudara Mahlangu menghadiri gereja dengan tetap “melalui tingkap.” Suatu hari dalam tahun 1980 mereka diberitahukan bahawa mereka boleh menghadiri gereja serta dibaptiskan. Betapa mulianya hari itu bagi Saudara Mahlangu.
Selepas itu, Gereja mendirikan sebuah cabang di kejiranannya di Soweto. Ini boleh terjadi hanya kerana ketekunan, keberanian, dan kesetiaan orang-orang seperti Saudara Mahlangu yang terus setia selama bertahun-tahun di bawah keadaan yang susah.
Salah satu kawan Saudara Mahlangu, yang telah masuk ke Gereja pada masa yang sama, mengulangi cerita ini kepada saya ketika saya melawat pancang Soweto. Di hujung perbincangan kami dia memeluk saya. Pada saat itu, para saudara dan saudari, saya berasa seperti saya dikelilingi dalam lengan Juruselamat yang penuh kasih. Kelembutan hati boleh dilihat dari mata saudara yang baik ini. Dengan hati penuh perasaan kebaikan dan kesyukuran yang mendalam, dia meminta kalau saya boleh memberitahu Presiden Thomas S. Monson betapa dia dan orang lain penuh syukur dan diberkati kerana mempunyai injil yang benar dalam kehidupan mereka. Contoh kelembutan hati dari Saudara Mahlangu dan kawannya benar-benar mempengaruhi banyak kehidupan untuk kebaikan—khususnya kehidupan saya.
Saudara-saudari, saya percaya bahawa Juruselamat Yesus Kristus adalah teladan kelembutan hati yang tertinggi. Bahkan dalam saat-saat terakhir kehidupan fananya, selepas dituduh dan dihukum tanpa keadilan, dengan penuh kesakitan memikul salibnya ke Golgota, diejek dan dikutuk oleh musuh-Nya, ditinggalkan seorang sendiri oleh banyak orang yang mengenali-Nya dan yang telah menyaksikan mukjizat-mukjizat-Nya, Dia telah dipaku pada salib.
Bahkan selepas penderitaan jasmani yang melampaui segalanya, Tuhan Yesus berpaling pada Bapa-Nya dan berbicara dari dasar hati-Nya yang lembut dan rendah hati, “Ya Bapa, ampunilah mereka, sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat.”16 Kristus menghadapi penderitaan jasmani dan rohani yang melampau, memberikan kepada kita peluang untuk mengubah watak rohani kita dan menjadi lembut hati seperti Dia.
Saya memberikan kesaksian saya bahawa Yesus Kristus adalah Juruselamat kita. Saya bersaksi kepada kamu bahawa, kerana kasih sayang-Nya, adalah mungkin untuk berubah. Adalah mungkin untuk meninggalkan kelemahan kita di belakang. Adalah mungkin untuk menolak pengaruh jahat dalam kehidupan kita, mengendalikan kemarahan kita, menjadi lembut hati, dan mengembangkan sifat-sifat Juruselamat kita. Dia menunjukkan jalannya kepada kita. Dia memberikan teladan sempurna kepada kita dan memerintahkan kita masing-masing untuk menjadi seperti Dia. Jemputan Dia kepada kita adalah ikutilah Dia, ikutilah teladan-Nya, dan jadilah seperti Dia. Tentang hal-hal ini, saya bersaksi dalam nama kudus-Nya, bahkan Yesus Kristus, amin.