2010–2019
Tahukah Kita Apa yang Kita Miliki?
Oktober 2013


11:35

Tahukah Kita Apa Yang Kita Miliki?

Perjanjian dan tatacara keimamatan memberi peluang untuk memperoleh berkat penuh yang dijanjikan kepada kita oleh Tuhan, dan yang diboleh mungkinkan oleh Korban Tebusan Juruselamat.

Dalam “Keluarga: Suatu Pengisytiharan Kepada Dunia,” Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Para Rasul menyatakan: “Semua insan – lelaki dan perempuan – dicipta untuk menyerupai Tuhan. Setiap insan adalah anak rohani lelaki dan anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi, dan, oleh demikian, masing-masing mempunyai sifat dan takdir ilahi.”1 Untuk mencapai takdir ilahi ini, setiap anak Tuhan memerlukan tatacara dan perjanjian keimamatan.

Kita perlukan pembaptisan. Apabila kita dicelupkan dalam air pembaptisan, kita berjanji untuk mengambil nama Kristus ke atas diri kita, sentiasa mengingati-Nya, menaati perintah-Nya, dan melayani-Nya sampai akhir, agar kita sentiasa mempunyai Roh-Nya bersama kita.2

Kita perlukan kurniaan Roh Kudus. Tatacara tersebut membolehkan kita sentiasa mempunyai penemanan Roh. Presiden Wilford Woodruff mengajar: “Setiap lelaki dan perempuan yang memasuki gereja Tuhan dan telah dibaptiskan bagi pengampunan dari dosa berhak mendapatkan wahyu, hak untuk Roh Tuhan membantu mereka dalam pekerjaan mereka, dalam mentadbir dan memberi nasihat kepada anak-anak mereka dan terhadap mereka yang berada di bawah pengawasan pemanggilan mereka. Roh Kudus tidak terhad kepada lelaki, rasul atau nabi: ia kepunyaan setiap lelaki dan perempuan yang setia, dan setiap kanak-kanak yang cukup umur untuk menerima injil Kristus.3

Kita perlu menerima anugerahan bait suci. Elder M.  Russell Ballard telah berkata: “Apabila lelaki dan perempuan pergi ke bait suci, mereka dianugerahi dengan kuasa yang sama, iaitu kuasa keimamatan.  … Penganugerahan sebenarnya adalah sebuah anugerah kuasa.”4

Kita perlukan tatacara pemeteraian, yang menuntun kepada kehidupan abadi, “yang kurnia itu adalah yang terbesar dari segala kurnia Tuhan.”5 Tatacara keimamatan ini diterima hanya oleh seorang lelaki dan seorang perempuan bersama. Elder Russell M. Nelson mengajar, “Wewenang imamat telah dipulihkan agar keluarga boleh dimeteraikan selama-lamanya.”6

Kita perlukan peluang untuk memperbaharui perjanjian-perjanjian kita setiap minggu apabila kita mengambil sakramen. Para nabi dan rasul hari ini mengajar jika kita mengambil sakramen dengan layak, kita bukan sahaja dapat memperbaharui perjanjian pembaptisan kita tetapi “semua perjanjian yang dibuat dengan Tuhan.”7

Tatacara dan perjanjian keimamatan ini membolehkan penerimaan berkat penuh yang dijanjikan kepada kita oleh Tuhan, dan yang diboleh mungkinkan oleh Korban Tebusan Juruselamat. Ia memperlengkapi anak-anak Tuhan dengan kuasa, kuasa Tuhan,8 dan memberi kita peluang untuk menerima kehidupan abadi – iaitu kembali ke hadirat Tuhan dan tinggal bersama-Nya dalam keluarga abadi-Nya.

Baru-baru ini, saya bersama pemimpin-pemimpin imamat melawat empat wanita di Honduras. Saudari-saudari ini bersama keluarga mereka dalam keperluan akan kunci-kunci dan wewenang, tatacara dan perjanjian, dan kuasa dan berkat keimamatan.

Kami melawat seorang saudari yang dikasihi yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang cantik. Dia setia dan aktif dalam Gereja, dan dia mengajar anak-anaknya untuk memilih yang benar. Suaminya menyokong aktiviti Gerejanya, tetapi dia bukanlah seorang anggota. Keluarga mereka kuat, tetapi untuk menikmati kekuatan yang lebih mendalam, mereka memerlukan berkat tambahan keimamatan. Bapa mereka perlu menerima tatacara pembaptisan dan kurnia Roh Kudus dan memperoleh keimamatan melalui perletakan tangan. Mereka memerlukan kuasa imamat yang dapat datang melalui penganugerahan dan pemeteraian.

Lawatan seterusnya adalah rumah dua saudari yang sangat beriman. Seorang mempunyai anak lelaki yang sedang bersedia untuk melayani misi. Seorang lagi sedang menerima rawatan kanser. Di saat kehilangan semangat atau teringin putus asa, mereka mengingati Korban Tebusan Juruselamat dan dipenuhi dengan iman dan harapan. Mereka berdua memerlukan berkat tambahan dan kuasa yang diperoleh daripada tatacara-tatacara bait suci. Kami menggalakkan mereka bersedia untuk menerima tatacara tersebut bersama anak yang sedang bersedia untuk menjadi mubaligh.

Lawatan terakhir adalah rumah seorang saudari yang baru sahaja kehilangan suaminya dalam satu kemalangan yang tragik. Dia penganut baru dan tidak mengetahui bahawa dia boleh menerima penganugerahan bait suci sendiri dan dimeteraikan kepada mendiang suaminya. Apabila kami mengajar berkat-berkat yang ada bagi diri dan mendiang suaminya, dia dipenuhi dengan harapan. Dia bersedia untuk membuat sejarah keluarga dan kerja baitsuci untuk suami dan saudara lain. Dengan mengetahui bahawa melalui tatacara bait suci dan perjanjian, keluarganya dapat dimeteraikan bersama, dia mula mempunyai iman dan tekad untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

Balu ini mempunyai anak lelaki yang sedang bersedia untuk menerima imamat Harun. Penetapannya akan menjadi satu berkat yang besar kepada ibu dan keluarganya. Mereka akan mempunyai seorang pemegang imamat di rumah mereka. 

Apabila saya berjumpa dengan wanita-wanita beriman ini di Honduras, saya dapat melihat usaha mereka untuk memastikan keluarga mereka aktif dalam injil. Mereka menyatakan kesyukuran atas para ahli gereja yang memegang perjanjian dengan lembut menjaga mereka dan memberi sokongan keperluan duniawi dan rohani kepada mereka. Walaupun demikian, setiap saudari-saudari ini masih mempunyai keperluan yang belum dipenuhi.

Di setiap tiga buah rumah yang kami lawati, seorang pemimpin imamat yang bijaksana menanya setiap saudari ini jika mereka pernah menerima pemberian berkat imamat. Setiap saudari menjawab tidak. Mereka meminta dan menerima berkat imamat pada hari itu. Mereka menangis sambil mengucapkan terima kasih atas penghiburan hati, arahan, galakan, dan inspirasi yang datang dari Bapa Syurgawi mereka melalui seorang pemegang imamat yang layak.

Saudari-saudari ini mengilhami saya. Mereka menunjukkan takzim untuk Tuhan dan kuasa dan wewenang-Nya. Saya juga bersyukur atas para pemimpin imamat yang melawat rumah-rumah ini bersama saya. Setelah meninggalkan setiap rumah, kami berbincang bersama cara untuk membantu keluarga-keluarga ini menerima tatacara yang diperlukan agar boleh maju dalam pemegangan perjanjian dan mengukuhkan keluarga mereka.

Hari ini, kita amat memerlukan lelaki dan perempuan yang memupuk kehormatan sesama sebagai para putera dan puteri Tuhan dan ketakziman terhadap Bapa kita di Syurga dan keimamatan-Nya – kuasa dan wewenang-Nya.

Dia mempunyai rancangan untuk kita, dan apabila kita menjalankan iman dan kepercayaan dalam rancangan-Nya, takzim kita terhadap-Nya dan bagi kuasa imamat dan wewenang-Nya akan diperkukuhkan.

Semasa latihan kepimpinan sedunia bertajuk Memperkuatkan Keluarga dan Gereja melalui Imamat, kita telah diajar bahawa saudari-saudari yang tidak mempunyai pemegang imamat di rumah tidak perlu berasa keseorangan. Mereka diberkati dan diperkuatkan melalui tatacara-tatacara yang mereka terima dan perjanjian yang mereka pegang. Mereka tidak patut teragak-agak untuk membantu apabila bantuan diperlukan. Elder M.  Russell Ballard mengajar bahawa setiap wanita dalam Gereja perlu tahu yang mereka mempunyai uskup, presiden kuorum elder, pengajar keluarga, atau pemegang imamat lain yang layak yang mereka boleh bergantung untuk datang ke rumah dan membantu mereka, dan seperti Sister Rosemary  M. Wixom menambah, untuk “memberi berkat.”9

Elder Ballard juga mengajar: “Bapa kita di Syurga adalah murah hati dengan kuasa-Nya. Semua lelaki dan perempuan mempunyai akses kepada kuasa ini untuk bantuan dalam kehidupan kita. Semua yang telah membuat dan menghormati perjanjian kudus dengan Tuhan layak untuk menerima wahyu peribadi, untuk diberkati oleh pelayanan para malaikat, [dan] bersekutu dengan Tuhan.”10

Kita semua memerlukan satu sama lain. Para putera Tuhan memerlukan para puteri Tuhan, dan para puteri Tuhan memerlukan para putera Tuhan.

Kita semua mempunyai kurniaan dan kekuatan yang berlainan. Korintus Pertama pasal 12 menekankan keperluan bagi para putera dan puteri Tuhan, setiap kita, untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab individu kita menurut rancangan Tuhan, agar semua memperoleh manfaat.11

Para putera Tuhan, tahukah kamu siapa kamu? Tahukah kamu apa yang kamu miliki? Adakah kamu layak untuk menggunakan imamat dan menerima kuasa dan berkat keimamatan? Adakah kamu menerima peranan dan tanggungjawab untuk mengukuhkan keluarga sebagai para bapa, datuk, anak, abang dan pakcik? Adakah kamu menghormati wanita, kewanitaan dan keibuan?

Para puteri Tuhan, tahukah kita siapa kita? Tahukah kita apa yang kita miliki? Adakah kita layak untuk menerima kuasa dan berkat keimamatan? Adakah kita menerima kurniaan yang di berikan kepada kita dengan kesyukuran, rahmat dan maruah? Adakah kita menerima peranan dan tanggungjawab kita untuk mengukuhkan keluarga sebagai para ibu, nenek, anak, kakak, dan makcik? Adakah kita menghormati lelaki, kelelakian dan kebapaan?

Sebagai para putera dan puteri perjanjian, adakah kita mempunyai iman terhadap Bapa Syurgawi kita dan rancangan abadi-Nya untuk kita? Adakah kita mempunyai iman terhadap Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya? Adakah kita percaya yang kita mempunyai sifat keilahian dan takdir? Dan dalam usaha kita untuk mencapai takdir ini dan menerima semua yang Bapa miliki,12 adakah kita faham kepentingan penerimaan tatacara keimamatan dan untuk membuat, memegang dan memperbaharui perjanjian-perjanjian kita dengan Tuhan?

Kita adalah anak-anak roh ibu bapa syurgawi, yang mempunyai sifat dan takdir ilahi. Juruselamat kita, Yesus Kristus, cukup menyayangi kita sehingga sanggup mengorbankan diri-Nya untuk kita. Korban Tebusan-Nya membolehkan kita maju dan kembali ke rumah syurgawi kita, melalui tatacara dan perjanjian keimamatan yang kudus.

Perjanjian dan tatacara keimamatan ini telah dipulihkan ke bumi melalui Nabi Joseph Smith, dan hari ini, Presiden Thomas  S. Monson memegang semua kunci keimamatan di bumi.

Elder D. Todd Christofferson mengajar: “Terdapatnya wewenang keimamatan dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir untuk mentadbir tatacara-tatacara di mana kita boleh membuat perjanjian dengan Bapa Syurgawi kita dalam nama Anak-Nya yang Kudus. … Tuhan akan menepati janji-janji-Nya kepada kamu apabila kamu menghormati perjanjian kamu dengan Dia.”13

Saya bersaksi semua ini dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. “Keluarga: Suatu Pengisytiharan Kepada Dunia,” Ensign atauLiahona, Nov. 2010, 129.

  2. Lihat Moroni 4:3; 6:3.

  3. Ajaran-Ajaran Para Presiden Gereja: Wilford Woodruff (2004), 49.

  4. M.  Russell Ballard, “Let Us Think Straight” (Brigham Young University Education Week devotional, Aug. 20, 2013); speeches.byu.edu.

  5. Ajaran dan Perjanjian 14:7; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 131:1–4.

  6. Russell M. Nelson, “Nurturing Marriage,” Ensign atauLiahona, May 2006, 37; atau dalam Daughters in My Kingdom: The History and Work of Relief Society (2011), 134.

  7. Delbert L. Stapley, dalam Conference Report, Oct. 1965, 14; dipetik dalam L. Tom Perry, “As Now We Take the Sacrament,” Ensign  atau  Liahona, May 2006, 41; lihat juga Teachings of Gordon  B. Hinckley (1997), 561; The Teachings of Spencer  W. Kimball, ed. Edward L. Kimball (1982), 220.

  8. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:22.

  9. Lihat M. Russell Ballard dan Rosemary M. Wixom, “Blessings of the Priesthood in Every Home.” dalam Strengthening the Family and the Church Through the Priesthood (latihan kepimpinan sedunia,2013); lds.org/broadcasts.

  10. M. Russell Ballard, “Let Us Think Straight,”: speeches.byu.edu.

  11. Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 46:9, 12.

  12. Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:38.

  13. D. Todd Christofferson, “The Power of Covenants,” Ensign atauLiahona, Mei 2009, 22.