2010–2019
Memandang Ke Depan dan Percaya
Oktober 2013


10:32

Memandang ke Depan dan Percaya

Sebagai anak kecil bekerja di ladang dengan ibu saya, dia mengajar saya salah satu dari pelajaran terpenting dalam kehidupan saya. Waktu itu lewat pagi, matahari sudah tinggi, dan kami telah mencangkul selama apa yang saya rasa adalah masa yang sangat lama. Saya berhenti untuk melihat apa yang sudah kami kerjakan dan berkata kepada ibu saya, “Lihatlah semua yang telah kita buat!” Ibu tidak membalas. Dengan berfikir bahawa dia tidak mendengar saya, saya mengulang lagi apa yang saya katakan dengan suara yang lebih kuat. Dia masih tidak membalas. Dengan suara yang lebih kuat lagi, saya mengulang lagi. Akhirnya, dia berpaling kepada saya dan mengatakan, “Edward, jangan sekali pun memandang ke belakang, pandanglah ke depan pada apa yang masih ada untuk kita buat.”

Saudara-saudari yang terkasih, perjanjian yang kita buat dengan Tuhan apabila kita dibaptiskan, “untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal, dan di segala tempat di mana kamu boleh berada” (Mosia 18:9), adalah komitmen sepanjang hidup kita. Presiden Dieter F. Uchtdorf menasihati, “Mereka yang sudah masuk ke dalam air pembaptisan dan menerima kurnia Roh Kudus sudah bermula dalam jalan kemuridan dan ditugaskan untuk mengikut dengan tetap dan sepenuhnya dalam jejak Juruselamat kita” (“Saints for All Seasons,” Ensign atau Liahona, Sept. 2013, 5). Tuhan melalui para hamba-Nya memanggil kita untuk melayani dalam pelbagai panggilan, yang kita terima dengan komitmen yang penuh. Apabila kita dilepaskan dan kita dipanggil kepada panggilan yang berbeza, kita menerimanya dengan gembira, mengetahui, seperti nenek moyang kita mengetahui, bahawa “dalam pelayanan bagi Tuhan, tak kira di mana kamu melayani tetapi bagaimana” (J.  Reuben Clark  Jr., in Conference Report, Apr. 1951, 154).

Oleh itu apabila seorang presiden pancang atau seorang uskup dilepaskan, dia menerima pelepasannya dengan gembira, dan apabila pemanggilan ditugaskan untuk melayani dalam cara apa pun yang Tuhan, melalui para hamba-Nya, “anggap patut” (Mosia 3:19), dia tidak dipengaruhi oleh pengalamannya yang sebelumnya, tidak juga dia melihat ke belakang dan berfikir bahawa dia sudah melayani cukup banyak. Dia tidak “letih dalam melakukan yang baik,” kerana dia tahu bahawa dia “sedang meletakkan landasan suatu pekerjaan besar” dengan pandangan yang jelas bahawa usaha itu akan memberkati kehidupan untuk selamanya. Dengan demikian “dari hal-hal yang kecil mulailah apa yang besar.” (A&P 64:33).

Kita semua harus “bersemangat terlibat dalam perkara yang baik, dan melakukan banyak hal dari kehendak bebas [kita] sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran” (A&P 58:27).

Elder Jeffery R. Holland dari Kurorum Dua Belas Para Rasul menasihati: “Kita harus belajar dari masa lepas tetapi tidak hidup di dalamnya. Kita memandang ke belakang untuk mengambil bara api dari pengalaman yang cemerlang tetapi bukan abunya. Dan apabila kita sudah belajar apa yang perlu kita dipelajari dan sudah membawa yang paling baik dari pengalaman kita, kemudian kita memandang ke depan dan ingat bahawa iman selalu diarahkan kepada masa depan (“The Best Is Yet to Be,” Ensign, Jan. 2010, 24; or Liahona, Jan. 2010, 18).

Walaupun pelajaran ibu saya tentang memandang ke depan diarahkan kepada rumpai-rumpai yang boleh dilihat di ladang, cabaran itu adalah kecil jika dibandingkan pada apa yang dialami oleh Orang Suci yang awal. Elder Joseph B. Wirthlin menjelaskan pengalaman ini dengan begitu baik: “Pada tahun 1846, lebih daripada 10,000 [orang] meninggalkan kota Nauvoo yang berkembang maju dan yang didirikan pada tebing Sungai Mississippi. Dengan iman kepada pemimpin nabi, para ahli Gereja yang awal itu meninggalkan ‘Kota Indah’ mereka dan berangkat ke dalam padang belantara di sempadan Amerika. Mereka tidak tahu dengan pasti ke mana mereka pergi, berapa batu di depan mereka, dan berapa lama perjalanan yang akan diambil, atau apa yang ada di masa depan mereka. Tetapi mereka pasti tahu bahawa mereka dipimpin oleh Tuhan dan para hamba-Nya” (“Faith of Our Fathers,” Ensign, Mei 1996, 33).

Mereka telah tahu bagaimana rasanya untuk memandang ke depan dan percaya. Satu dekad setengah lebih awal, sebahagian dari para anggota ini hadir apabila wahyu diterima.

“Karena sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, diberkatilah dia yang menaati perintah-perintah-Ku, apakah dalam kehidupan atau dalam kematian; dan dia yang setia dalam kesukaran, pahala orang yang sama itu lebih besar di dalam kerajaan surga.

Kamu tidak dapat melihat dengan mata alamimu, untuk waktu sekarang ini, rancangan aAllahmu mengenai hal-hal itu yang akan datang setelah ini, –an bkemuliaan yang akan mengikuti setelah banyak kesukaran.” (A&P 58:2-3).

Kita juga boleh memandang ke depan dan percaya. Kita boleh menerima jemputan Tuhan kita, yang dengan tangan yang diulurkan menjemput kita:

“Marilah kepada-Ku, semua yang letih dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.

“Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah pada-Ku, karena Aku lemah lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan.

“Sebab kuk yang Kupasang itu enak dan beban-Ku pun ringan.” (Matius 11:28–28).

Nabi kita yang terkasih, Presiden Thomas S. Monson; para penasihatnya; dan Kuorum Dua Belas Para Rasul sudah menjemput kita semua untuk terlibat dalam pekerjaan keselamatan. Orang yang baru dibaptiskan, remaja, dewasa muda, mereka yang sudah bersara dari pekerjaan mereka, dan juga para mubaligh penuh waktu perlu membuat tugas yang sama dalam mempercepatkan pekerjaan keselamatan.

Presiden Boyd K. Packer dari Kuorum Dua Belas Para Rasul pernah sekali menghadiri sebuah pertandingan menarik dengan lembu, di mana dia membuat sebuah analogi. Dia mengatakan tentang pengalaman itu: “Sebuah kereta luncur kayu dibebankan dengan bongkah-bongkah simen: sepuluh ribu paun [4,535 kg]---lima tan.… Tujuannya adalah untuk lembu tersebut menggerakkan kereta luncur kira-kira semeter… Saya melihat dua lembu dengan pelbagai warna yang sangat besar, binatang yang berwarna biru dan kelabu… seperti lembu biru yang besar dari zaman lalu.”

Berbicara tentang hasil pertandingan itu, dia mengatakan: “Pasukan-pasukan kalah satu demi satu… Lembu biru yang besar itu juga tidak menang! Sekawanan binatang yang kecil dan yang tidak berapa istimewa, yang tidak serupa dalam saiz mereka, menggerakkan kereta luncur itu sebanyak tiga kali.”

Dia kemudian memberikan penjelasan untuk kejadian yang mengejutkan itu: “Yang besar dan biru lebih besar dan lebih kuat dan lebih serupa secara saiz daripada pasukan yang lain. Tetapi lembu yang lebih kecil itu bekerjasama dengan lebih baik. Mereka menarik kuk itu bersama. Kedua-dua binatang menarik ke hadapan tepat pada masa yang sama dan daya kuasa itu menggerakkan beban tersebut.(“Equally Yoked Together,” ucapan disampaikan di seminar perwakilan serantau,Apr.  3, 1975; dalam Teaching Seminary: Preservice Readings [2004], 30).

Semasa kita memandang ke depan dan percaya, kita memerlukan kerja pasukan yang sama seperti ini dalam mempercepatkan pekerjaan keselamatan semasa kita menjemput orang lain untuk datang kepada Kristus. Dalam keupayaan individu kita, kita perlu mengikuti nasihat Presiden Dieter F. Uchtdorf untuk “berdiri dekat bersama dan mengangkat di mana kita berdiri.” (“Lift Where You Stand,” Ensign atau Liahona, Nov. 2008, 56). Kita boleh menggunakan potensi kita yang penuh, seperti yang diperhatikan oleh Elder L. Tom Perry dari Kuorum Dua Belas Rasul: “Semasa saya berjalan untuk melihat orang di seluruh Gereja saya takjub dengan semua hal yang baik yang sedang terjadi. Tetapi saya belum lagi pernah berasa bahawa kita, sebagai kumpulan, menggunakan potensi kita yang sebenarnya. Saya berasa bahawa kita tidak selalu bekerjasama, bahawa kita masih terlalu ditarik oleh keinginan untuk kehormatan dan kejayaan peribadi, dan terlalu kurang menunjukkan minat dalam matlamat kita semua untuk membina kerajaan Tuhan.” (“United in Building the Kingdom of God,” Ensign, Mei 1987, 35).

Semoga kita semua bersatu dalam matlamat yang sama untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan kekal bagi manusia” (Musa 1:39).

Juruselamat kita, Yesus Kristus, yang mengetahui dari permulaan hinggalah ke akhiran, sudah tahu dengan baik perjalanan yang akan dilalui-Nya ke Getsemani dan Golgota apabila dia mengisytiharkan, “Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah.” (Lukas 9:62). Dalam pandangan Tuhan, adalah kurang penting apa yang kita sudah buat atau ke mana kita sudah pergi tetapi lebih penting ke mana kita sanggup untuk pergi.

Asas-asas yang memimpin kita diajar kepada kita oleh Presiden Joseph Smith: “Asas dasar agama kita adalah kesaksian para Rasul dan para Nabi tentang Yesus Kristus, bahawa dia telah mati, dikuburkan, dan bangkit semula pada hari yang ketiga, dan naik ke syurga; dan semua hal lain lagi dalam agama kita adalah hanya tambahan kepadanya” (Ajaran-Ajaran Para Presiden Gereja: Joseph Smith [2007], 49).

Saya bersaksi bahawa semasa kita mengikuti teladan Juruselamat kita, Yesus Kristus, dan mengangkat tangan kita sebagai tindakan untuk menyokong nabi kita yang terkasih, Presiden Thomas  S. Monson, kita akan menemui kedamaian, penghiburan, dan sukacita, dan kita “akan memakan yang baik dari tanah... pada zaman terakhir ini.” (A&P 64:34). Dalam nama Yesus Kristus, amin.