“23 April. Bagaimanakah Saya Boleh Menunjukkan Kasih Yang Lebih Besar kepada Orang-orang di sekeliling Saya? Matius 18; Lukas 10,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2023 (2022)
“23 April. Bagaimanakah Saya Boleh Menunjukkan Kasih Yang Lebih Besar kepada Orang-orang di sekeliling Saya?,” Ikutlah Aku—Untuk Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri: Topik Ajaran 2023
April 23
Bagaimanakah Saya Boleh Menunjukkan Kasih Yang Lebih Besar kepada Orang-orang di sekeliling Saya?
Berunding Bersama
Dipimpin oleh seorang ahli presidensi kuorum atau kelas; lebih kurang 10–20 minit
Pada permulaan pertemuan, ulangi Tema Remaja Puteri atau Tema Kuorum Imamat Harun bersama. Kemudian, pimpin perbincangan tentang pekerjaan penyelamatan dan permuliaan dengan menggunakan satu atau beberapa soalan berikut atau soalan anda sendiri (lihat General Handbook, 10.2, 11.2). Rancang cara untuk bertindak berdasarkan perbincangan.
-
Mengamalkan injil. Apakah pengalaman baru-baru ini yang membawa kita lebih dekat kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus?
-
Menjaga mereka yang memerlukan bantuan. Adakah sesiapa yang baru berpindah ke bahagian kita atau baru menyertai Gereja? Bagaimanakah kita boleh bantu mereka berasa dialu-alukan?
-
Jemput semua untuk menerima injil. Apakah aktiviti-aktiviti akan datang yang kita boleh menjemput rakan-rakan kita untuk hadir?
-
Satukan keluarga untuk keabadian. Apakah usaha yang boleh kita lakukan untuk mencatat sejarah peribadi kita?
Pada penghujung pelajaran, jika sesuai, lakukan perkara berikut:
-
Bersaksi tentang asas-asas yang diajar.
-
Ingatkan ahli kelas atau kuorum tentang rancangan dan jemputan yang telah dibuat dalam pertemuan.
Mengajar Ajaran
Dipimpin oleh seorang pemimpin dewasa atau remaja; lebih kurang 25–35 minit
Mempersiapkan Diri Secara Rohani
Selepas Yesus mengajar seorang “guru Taurat” kepentingan dua perintah besar—mengasihi Tuhan dan mengasihi sesama kita—peguam bertanya, “Siapakah sesama saya?” (lihat Lukas 10:25–29; Matius 22:35–40). Sebagai jawapan, Juruselamat berkongsi perumpamaan tentang seorang Samaria yang membahayakan nyawanya untuk menjaga seorang lelaki Yahudi yang cedera, membawa lelaki itu ke tempat penginapan untuk dijaga, dan membayar kos pemulihannya. Orang Samaria tidak berfokus pada perbezaan di antara dirinya dan lelaki itu, yang dianggap sebagai musuh oleh rakyatnya, atau menghakiminya atau mencari alasan untuk tidak membantu. Dia melayani lelaki yang berkeperluan, di sebalik kesulitan dan pengorbanan peribadi, maka menunjukkan kasih kepada lelaki itu dan kepada Tuhan. Semasa anda merenungkan ajaran Juruselamat dalam Lukas 10:25–37, fikirkan tentang apa yang dimaksudkan dengan “kasihlah … sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (ayat 27).
Bagaimanakah anda akan membantu mereka yang anda ajar memahami bahawa apabila mereka melayani orang di sekeliling mereka, mereka menunjukkan kasih mereka kepada Tuhan? Apakah yang boleh mengilhami mereka untuk mengasihi dan melayani orang lain? Semasa anda bersedia, anda boleh kaji semula pesanan Presiden Russell M. Nelson “Perintah Utama Kedua” (Liahona, Nov. 2019, 96–100).
Belajar Bersama
Untuk memulakan perbincangan tentang menunjukkan kasih yang lebih besar kepada mereka di sekeliling kita, anda boleh meminta ahli-ahli kelas atau kuorum untuk berkongsi apa yang mereka pelajari tentang mengasihi orang lain dari perumpamaan orang Samaria yang baik, yang terdapat dalam Lukas 10:25–37. Apakah yang kita pelajari tentang hubungan antara perintah utama pertama dan kedua dari Lukas 10:27 dan penyataan Presiden Dallin H. Oaks dalam “Sumber-sumber Berkaitan”? Idea-idea berikut boleh membantu anda meneruskan perbincangan tentang menunjukkan kasih yang lebih besar kepada orang di sekeliling kita.
-
Yesus Kristus adalah teladan hebat kita untuk menunjukkan kasih kepada Tuhan dengan melayani orang lain, dan ahli-ahli kelas atau kuorum akan diilhami dengan mengkaji teladan-Nya. Jemput setiap orang untuk merenungkan kehidupan fana Yesus Kristus dan memilih satu pengalaman dari kehidupan-Nya yang menunjukkan kasih besar-Nya kepada orang lain. Minta setiap orang untuk berkongsi pengalaman yang mereka pilih, bersama dengan mengapa ia bermakna bagi mereka. Jemput mereka yang anda ajar untuk memikirkan satu cara mereka ingin mengikuti teladan kasih Juruselamat. Mereka juga boleh berkongsi pendapat mereka tentang seseorang yang mereka kenali yang mengikuti contoh ini.
-
Kongsi dan bincangkan dengan ahli-ahli kelas atau kuorum kenyataan oleh Presiden Russell M. Nelson yang terdapat dalam “Sumber-sumber Berkaitan.” Anda boleh menjemput ahli-ahli kelas atau kuorum untuk mengkaji semula satu atau beberapa pesanan persidangan umum yang dipetik dalam panduan ini, mencari ajaran-ajaran yang boleh membimbing kita dalam usaha kita untuk mengasihi orang lain. Mereka boleh berfokus pada yang berikut: contoh-contoh bagaimana kita boleh melayani dari “Perintah Utama Kedua” oleh Presiden Nelson; bahagian I, II, dan VI dalam pesanan Presiden Oaks “Mengasihi Orang Lain dan Bercampur dengan Orang Lain Tidak Mengira Perbezaan Apa-apa”; dan cerita tentang arnab dan nasihat kepada para remaja dari “Hati Terkait Bersama” oleh Elder Gary E. Stevenson. Anda juga boleh membaca bersama Mosia 2:17 dan Moroni 7:45–48. Ia mungkin berguna untuk menulis ajaran-ajaran yang dibincangkan oleh para remaja di papan tulis. Kemudian kelas atau kuorum boleh berunding bersama tentang cara tertentu mereka boleh menggunakan ajaran-ajaran ini dengan lebih baik dalam hubungan mereka bersama ahli keluarga, kawan, dan dalam komuniti mereka, termasuk orang yang kelihatan sukar untuk dikasihi.
-
Usaha ahli kelas atau kuorum dalam pekerjaan penyelamatan dan permuliaan akan menjadi lebih bermakna dan bahagia apabila mereka diilhami oleh kasih. Untuk membantu mereka melihat bagaimana setiap aspek pekerjaan penyelamatan dan permuliaan (lihat General Handbook, 1.2) didorongi oleh kasih, tuliskan empat aspek di papan tulis. Kemudian minta para remaja untuk membincangkan bagaimana mempunyai hati yang penuh kasih terhadap orang lain boleh mengubah bagaimana mereka mengambil bahagian dalam setiap aspek. Mereka mungkin mempunyai pengalaman dari kehidupan mereka sendiri atau kehidupan orang lain yang mereka boleh kongsi.
Bertindak dengan Iman
Galakkan ahli kelas atau kuorum untuk merenung dan mencatatkan perkara yang mereka akan lakukan untuk bertindak menurut tanggapan yang mereka terima hari ini. Jika sudi, mereka boleh berkongsi idea mereka. Jemput mereka untuk fikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus boleh diperkukuhkan semasa mereka bertindak mengikut tanggapan.
Sumber-sumber Berkaitan
-
Dallin H. Oaks, “Mengasihi Orang Lain dan Bercampur dengan Orang Lain Tidak Mengira Perbezaan Apa-apa,” Liahona, Nov. 2014, 25-28
-
Gary E. Stevenson, “Hati Terkait Bersama,” Liahona, Mei. 2021, 19–23
-
Presiden Dallin H. Oaks mengajar: “Kesungguhan kita untuk mematuhi perintah kedua tidak harus menyebabkan kita lupa perintah pertama, iaitu untuk mengasihi Tuhan dengan segenap jiwa dan segenap akal budi kita. … Kita harus cuba untuk mematuhi kedua-dua perintah yang utama. Untuk melakukannya, kita perlu mengimbangi hukum dan kasih—mematuhi perintah-perintah dan berjalan pada jalan perjanjian, sambil mengasihi sesama orang di sepanjang jalan. Perjalanan ini memerlukan kita mencari ilham ilahi tentang bagaimana untuk menyokong dan menentang dan bagaimana untuk mengasihi dan mendengar dengan hormat dan mengajar dalam proses itu. Perjalanan kita menuntut agar kita tidak berkompromi dengan perintah tetapi menunjukkan pemahaman dan kasih yang penuh” (“Dua Perintah yang Utama,” Liahona, Nov. 2019, 73–75).
-
Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Orang Suci Zaman Akhir … benar-benar berusaha untuk mematuhi perintah terbesar pertama dan kedua. Apabila kita mengasihi Tuhan dengan segala hati kita, Dia memaling hati kita kepada kesejahteraan orang lain dalam kitaran yang indah serta bajik. … Memberi bantuan kepada orang lain—membuat usaha cermat untuk mengambil berat tentang orang lain sebanyak atau lebih daripada kita mengambil berat tentang diri kita—ialah kegembiraan kita. Terutamanya, saya boleh menambah, apabila ia tidak sesuai dan apabila ia di luar zon selesa kita. Mengamal perintah terbesar kedua itu adalah kunci untuk menjadi pengikut Yesus Kristus yang benar” (“Perintah Utama Kedua,” Liahona, Nov. 2019, 97, 100).