Hati Terkait Bersama
Semasa anda hulurkan kebaikan, perhatian, dan rasa kasihan, saya berjanji yang anda akan angkat tangan yang lemah dan akan menyembuhkan hati.
Pengenalan
Bukankah ia menarik bagaimana penemuan saintifik yang penting kadangkala diilhami oleh peristiwa semudah epal jatuh dari pokok?
Hari ini, izinkan saya berkongsi penemuan yang berlaku kerana kumpulan sampel arnab.
Pada tahun 1970-an, para penyelidik lakukan eksperimen untuk kaji kesan diet terhadap kesihatan jantung. Sepanjang beberapa bulan, mereka beri makan kumpulan arnab diet tinggi lemak dan pantau tekanan darah, denyutan jantung, dan kolesterol mereka.
Seperti yang dijangkakan, banyak arnab tunjukkan pertambahan lemak di bahagian dalam arteri mereka. Tetapi ini bukan semua! Para penyelidik telah temui sesuatu yang sedikit tidak masuk akal. Walaupun semua arnab mempunyai pertambahan lemak, terdapat satu kumpulan, tanpa disangka, memiliki 60 peratus lebih sedikit daripada yang lain. Ia kelihatan seperti mereka sedang lihat dua kumpulan arnab yang berbeza.
Bagi para ahli sains, keputusan seperti ini boleh menyebabkan mereka risau. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Semua arnab adalah keturunan yang sama dari New Zealand, dari kumpulan gen yang hampir sama. Setiap mereka menerima jumlah makanan yang sama.
Apakah maksud ini?
Adakah keputusan ini mentaksahkan kajian ini? Adakah terdapat kelemahan dalam reka bentuk eksperimen?
Para saintis bergelut untuk memahami hasil yang tidak dijangka ini!
Akhirnya, mereka alihkan perhatian mereka kepada staf penyelidikan Adakah mungkin para penyelidik telah lakukan sesuatu untuk pengaruhi keputusannya? Ketika mereka siasat ini, mereka dapati yang setiap arnab dengan lemak yang lebih sedikit berada di bawah jagaan seorang penyelidik. Dia beri makan arnab makanan yang sama seperti yang lain. Tetapi, seorang ahli sains laporkan, “dia adalah individu yang sangat baik dan penyayang.” Ketika dia beri makan arnab, “dia bercakap dengan mereka, memeluk, dan membelai mereka. … ‘Dia tidak dapat menahan diri. Begitulah sikapnya.”1
Dia lakukan lebih dari sekadar beri makanan kepada arnab. Dia beri mereka kasih!
Pada pandangan pertama, ia kelihatan seperti tidak mungkin inilah sebab perbezaan dramatik, tetapi pasukan penyelidik tidak dapat lihat kemungkinan lain.
Oleh itu, mereka ulangi eksperimen—kali ini dengan ketat mengawal setiap pembolehubah yang lain. Ketika mereka menganalisis keputusan, perkara yang sama berlaku! Arnab di bawah jagaan penyelidik penyayang ada hasil kesihatan yang jauh lebih tinggi.
Para ahli sains menerbitkan hasil kajian ini dalam jurnal berprestij Science.2
Beberapa tahun kemudian, penemuan eksperimen ini masih berpengaruh dalam komuniti perubatan. Beberapa tahun kebelakangan ini, Dr. Kelli Harding menerbitkan sebuah buku yang bertajuk The Rabbit Effect yang dinamakan berdasarkan eksperimen. Kesimpulannya: “Ambil seekor arnab dengan gaya hidup yang tidak sihat. Bercakap dengannya. Peluknya. Berinya kasih. … Hubungan itu membuat perbezaan. … Akhirnya,” dia menyimpulkan, “apa yang pengaruhi kesihatan kita dengan cara yang paling bermakna ada kaitan dengan bagaimana kita perlakukan satu sama lain, bagaimana kita hidup, dan bagaimana kita fikir tentang makna menjadi manusia.”3
Dalam dunia sekular, jambatan yang hubungkan sains dengan kebenaran injil kadangkala kelihatan sangat sedikit. Namun sebagai Kristian, pengikut Yesus Kristus, Orang Suci Zaman Akhir, hasil kajian saintifik ini mungkin tidak mengejutkan. Bagi saya, ini membuktikan kebaikan adalah penting sebagai asas injil penyembuhan—yang boleh menyembuh hati secara emosi, rohani dan seperti ditunjukkan, secara jasmani.
Hati Terkait Bersama
Apabila ditanya,“Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Juruselamat membalas dengan “Kasihilah Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu,” diikuti dengan, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”4 Jawapan Juruselamat memperkuatkan tugas syurgawi kita. Seorang nabi kuno memerintahkan agar “hendaknya tidak ada perselisihan satu sama lain, tetapi agar [kita] hendaknya menanti-nantikan … menjadikan hati [kita] terkait bersama dalam perpaduan dan dalam kasih terhadap satu sama lain.”5 Kita diajar lebih lanjut yang “kuasa atau pengaruh … seharusnya dipertahankan … dengan kelemah-lembutan dan kelembutan hati, … dengan kebaikan hati, … tanpa tipu daya.”6
Saya percaya asas ini ada aplikasi universal untuk semua Orang Suci Zaman Akhir: orang dewasa, remaja, dan kanak-kanak.
Oleh itu, izinkan saya bercakap terus kepada anda yang berusia kanak-kanak Sekolah Primer.
Anda sudah faham betapa pentingnya untuk berbaik hati. Korus salah satu lagu Sekolah Primer anda, “Ku Mau Jadi S’perti Yesus,” ajarkan:
Saling mengasihi s’perti Yesus.
Kar’na Dia pun mengasihimu.
Baik hati, penuh kasih serta lembut,
Itulah ajaran Yesus.7
Walaupun begitu, kadangkala anda hadapi masa yang sukar. Berikut adalah kisah yang mungkin dapat bantu anda tentang seorang kana-kanak lelaki Sekolah Primer bernama Minchan Kim dari Korea Selatan Keluarganya sertai Gereja kira-kira enam tahun yang lalu.
“Suatu hari di sekolah, beberapa rakan kelas saya ejek pelajar lain dengan memanggilnya nama. Ia nampak seronok, jadi selama beberapa minggu saya sertai mereka.
“Beberapa minggu kemudian, budak lelaki itu beritahu saya walaupun dia pura-pura tidak peduli, dia terluka dengan kata-kata kami, dan dia menangis setiap malam. Saya hampir menangis ketika dia beritahu saya. Saya rasa sangat menyesal dan ingin bantunya. Keesokan harinya saya dekatinya dan letakkan lengan saya di bahunya dan meminta maaf, dengan berkata, ‘Saya benar-benar menyesal kerana saya ejek kamu.’ Dia mengangguk pada kata-kata saya, dan matanya dipenuhi air mata.
“Tetapi kanak-kanak lain masih mengejek dia. Kemudian saya teringat apa yang saya pelajari di kelas Sekolah Primer, pilih yang benar. Oleh itu, saya minta rakan kelas saya berhenti. Kebanyakan mereka tidak mahu berubah dan marah dengan saya. Tetapi salah seorang budak lelaki lain meminta maaf, dan kami bertiga jadi kawan baik.
“Walaupun beberapa orang masih ejeknya, dia rasa lebih baik kerana dia ada kami.
“Saya pilih yang benar dengan bantu rakan yang memerlukan.”8
Bukankah ini contoh yang baik untuk anda berusaha menjadi seperti Yesus?
Sekarang, bagi remaja putera dan remaja puteri, ketika anda semakin membesar, mengejek orang lain dapat berkembang dengan sangat berbahaya. Keresahan, kemurungan, dan yang lebih teruk sering disebabkan oleh buli, “Walaupun membuli bukanlah konsep baharu, media sosial dan teknologi telah membawa buli ke tahap yang baharu. Ia menjadi ancaman yang lebih berterusan dan selalu ada—buli siber.”9
Jelas sekali, musuh guna ini untuk sakiti generasi anda. Tiada tempat untuk ini di ruang siber, kawasan kejiranan, sekolah, kuorum atau kelas anda. Sila lakukan semua yang anda dapat lakukan untuk jadikan tempat-tempat ini lebih baik dan selamat. Jika anda perhatikan atau melibatkan diri secara pasif kepada ini, saya tahu nasihat yang pernah diberikan oleh Elder Dieter F. Uchtdorf:
“Apabila seorang mahu membenci, bergosip, tak mempedulikan, mengejek, berpegang dendam, atau mahu meluka hati orang lain, tolong menerapkan yang berikutnya:
“Berhentilah!”10
Anda dengarkah? Berhentilah! Semasa anda hulurkan kebaikan, perhatian, dan rasa kasihan, bahkan secara digital, saya berjanji yang anda akan angkat tangan yang lemah dan akan menyembuhkan hati.
Setelah berucap dengan kanak-kanak dan remaja, saya sekarang sampaikan ucapan saya kepada orang dewasa Gereja. Kita ada tanggungjawab utama untuk tetapkan sifat dan jadi teladan kebaikan, pemasukan, dan ketertiban—untuk ajar sifat seperti Kristus kepada generasi muda dalam apa yang kita katakan dan bagaimana kita bertindak. Hal ini sangat penting ketika kita lihat perubahan sosial yang jelas ke arah perpecahan dalam politik, kelas sosial, dan hampir setiap perbezaan buatan manusia yang lain.
Presiden M. Russell Ballard juga telah ajarkan yang Orang Suci Zaman Akhir tidak hanya harus berbaik kepada satu sama lain, tetapi juga kepada semua orang di sekitar kita. Dia perhatikan: “Kadangkala saya dengar tentang ahli yang menyinggung perasaan penganut agama lain dengan abaikan mereka dan jemput mereka untuk sertai aktiviti. Ini boleh berlaku terutamanya di komuniti di mana ahli kita adalah majoriti. Saya pernah dengar tentang ibu bapa yang berfikiran sempit yang beritahu anak-anak bahawa mereka tidak dapat bermain dengan anak tertentu di kawasan kejiranan hanya kerana keluarganya bukan ahli Gereja kita. Tingkah laku seperti ini tidak sesuai dengan ajaran-ajaran Tuhan Yesus Kristus. Saya tidak dapat faham mengapa mana-mana ahli Gereja kita benarkan perkara seperti ini berlaku. … Saya tidak pernah dengar para ahli Gereja ini didesak untuk jadi apa-apa kecuali pengasih, bertoleransi, dan berbaik hati kepada rakan-rakan dan jiran-jiran kita dari agama lain.”11
Tuhan harapkan kita untuk ajar bahawa pemasukan adalah cara positif menuju kesatuan dan pengecualian itu membawa kepada perpecahan.
Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita kecewa ketika kita dengar bagaimana anak-anak Tuhan dianiaya berdasarkan bangsa mereka. Kita sangat sedih mendengar serangan baru-baru ini terhadap orang-orang berkulit hitam, Asia, Latino, atau kumpulan lain. Prasangka, ketegangan antara kaum, atau keganasan tidak boleh ada tempat di kawasan kejiranan, komuniti, atau dalam Gereja kita.
Marilah kita semua, tidak kira usia kita, berusaha untuk menjadi yang terbaik.
Kasihilah Musuh Kamu
Walaupun anda berusaha untuk berinteraksi kasih, rasa hormat, dan kebaikan, anda pasti akan terluka atau dipengaruhi oleh pilihan orang lain yang tidak baik. Apakah kita harus lakukan? Kita ikuti nasihat Tuhan untuk “kasihilah musuh kamu … dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu.”12
Kita berusaha sedaya upaya untuk atasi kesukaran yang kita hadapi. Kita berusaha untuk bertahan hingga akhir, sepanjang masa berdoa agar tangan Tuhan mengubah keadaan kita. Kita mempersembah kesyukuran bagi mereka yang Dia berikan untuk bantu kita.
Saya terharu oleh satu contoh ini dari sejarah awal Gereja kita. Semasa musim sejuk tahun 1838, Joseph Smith dan para pemimpin Gereja lain ditahan di Penjara Liberty ketika Orang Suci Zaman Akhir dipaksa keluar dari rumah mereka di negeri Missouri. Para Orang Suci miskin, tiada kawan, dan menderita kerana kesejukan dan kekurangan sumber. Penduduk Quincy, Illinois, nampak keadaan mereka yang terdesak dan hulurkan rasa kasihan dan persahabatan.
Wandle Mace, seorang penduduk Quincy, kemudian teringat ketika dia pertama kali nampak para Orang Suci di sepanjang Sungai Mississippi di khemah-khemah sementara: “Sebilangan ada kain diregangkan untuk buat sedikit perlindungan dari angin, … kanak-kanak menggigil di sekitar api yang ditiup angin jadi ia tidak begitu berkesan. Para Orang Suci sedang sangat menderita.”13
Melihat keadaan para Orang Suci, penduduk Quincy berkumpul bersama untuk berikan bantuan, malah ada yang bantu mengangkut para rakan baharu mereka menyeberangi sungai. Mace teruskan, “[Mereka] beri sumbangan dengan banyak, para pedagang bersaing satu sama lain untuk lihat siapa yang paling banyak membantu … dengan … daging, … gula, … kasut dan pakaian, segala yang diperlukan oleh orang miskin.”14 Tidak lama kemudian, para pelarian melebihi jumlah penduduk Quincy, yang membuka rumah mereka dan berkongsi sumber mereka yang sedikit dengan pengorbanan peribadi yang besar.15
Sebilangan besar Orang Suci selamat dari musim sejuk yang kasar hanya kerana rasa kasihan dan kemurahan hati penduduk Quincy. Para malaikat duniawi ini buka hati dan rumah mereka, bawa makanan, kehangatan, dan—mungkin yang paling penting—tangan persahabatan kepada para Orang Suci yang menderita. Walaupun persinggahan mereka di Quincy agak singkat, para Orang Suci tidak pernah lupakan hutang kesyukuran mereka kepada jiran yang mereka kasihi, dan Quincy menjadi terkenal sebagai “kota perlindungan.”16
Apabila kesusahan dan kesengsaraan menimpa kita dengan tindakan kritis, negatif, bahkan berunsur jahat, kita dapat pilih untuk berharap kepada Kristus. Harapan ini datang dari jemputan dan janji-Nya untuk “cerialah, kerana Aku akan menuntunmu”17 dan Dia akan membaktikan kesengsaraanmu demi keuntungan anda.18
Gembala yang Baik
Marilah kita berahkir di mana kita bermula: seorang pengasuh yang berbelas kasihan, membantu dengan kebaikan hati dan penyayang, dan hasil yang tidak dijangka—menyembuh hati haiwan dalam pengawasannya. Mengapa? Kerana itulah sifatnya!
Ketika kita lihat melalui sebuah kanta injil, kita sedar yang kita juga berada di bawah pengawasan pengasuh yang penuh rasa kasihan, yang hulurkan diri-Nya dalam kebaikan dan semangat yang memupuk. Gembala yang baik kenal setiap kita dengan nama dan “mengambil berat tentang kita.19 Tuhan Yesus Kristus Sendiri berfirman: “Akulah gembala yang baik … Aku mengenal domba-domba-Ku. … “Aku mengorbankan nyawa untuk mereka.”20
Pada hujung minggu Easter yang kudus ini, saya temui kedamaian yang kekal dalam mengetahui yang “Tuhan ialah gembalaku”21 dan setiap kita dikenali oleh-Nya dan di bawah jagaan-Nya yang baik. Ketika kita hadapi kesukaran hidup, penyakit dan kecederaan, Tuhan—Gembala kita, Pengasuh kita—akan beri kita kasih dan kebaikan. Dia akan sembuhkan hati kita dan pulihkan jiwa kita.
Saya bersaksi tentang ini—dan tentang Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus kita—dalam nama Yesus Kristus, amin.