Tuhan Di Kalangan Kita
Tuhan berada di kalangan kita—dan terlibat dalam kehidupan kita dan sedang memimpin anak-anak-Nya.
Sepanjang masa, Tuhan telah berbicara melalui hamba-hamba-Nya, para nabi sepanjang zaman.1 Pada pagi ini, kita telah berpeluang mendengar nabi Tuhan berbicara kepada seluruh dunia. Kami mengasihi kamu, Presiden Nelson, dan saya menjemput semua orang untuk mengkaji dan ikuti nasihat anda.
Sebelum hari jadi ke-12 saya, keluarga kami terpaksa meninggalkan rumah kami dan bermula semula di tengah kekacauan, ketakutan, dan ketidaktentuan akibat peperangan dan perpecahan politik. Ia merupakan masa cemas bagi saya, dan masa mengerikan bagi ibu bapa saya.
Ibu dan ayah saya tidak berkongsi beban ini dengan kami empat beradik. Mereka menanggung tekanan dan penderitaan sendirian sebaik mungkin. Ketakutan itu pastinya menindas, mengambil masa dan memudarkan harapan mereka.
Masa suram selepas Perang Dunia Kedua telah meninggalkan kesan kepada dunia. Ia meninggalkan kesan pada saya.
Semasa itu, pada saat kesepian, saya sering tertanya, “Masihkah ada harapan dalam dunia ini?”
Malaikat Di Kalangan Kita
Ketika merenungkan soalan tersebut, saya teringatkan para penginjil muda Amerika yang melayani di kalangan kami pada masa itu. Mereka telah meninggalkan keselesaan dan keselamatan rumah mereka untuk mengembara ke negara Jerman—tanah musuh mereka ketika itu—untuk membawa harapan ilahi kepada orang kami. Mereka datang bukan untuk menuduh, meleter, atau memalukan. Mereka dengan rela memberikan kehidupan mereka tanpa mengharapkan ganjaran, hanya ingin membantu orang memperoleh kegembiraan dan kedamaian yang mereka alami.
Bagi saya, para lelaki dan perempuan muda tersebut adalah sempurna. Pastinya mereka punyai kekurangan, tetapi tidak bagi saya. Saya sentiasa memikirkan mereka sebagai wira—malaikat bercahaya dan mulia, pelayan yang berbelas kasihan, penuh kebaikan, dan kebenaran.
Ketika dunia ditenggelami kesinisan, kepahitan, kebencian, dan ketakutan, teladan dan ajaran-ajaran para dewasa muda ini memberi saya harapan. Pesanan injil yang mereka kongsi melampaui politik, sejarah, dendam, rungutan, dan agenda peribadi. Pesanan tersebut memberi jawapan ilahi bagi soalan-soalan yang kami ada dalam masa sukar.
Pesanan itu adalah Tuhan hidup dan mengasihi kita, bahkan dalam masa kekacauan, kekeliruan, dan huru-hara. Bahawa Dia muncul di zaman kita untuk memulihkan kebenaran dan cahaya—injil dan Gereja-Nya. Bahawa Dia berbicara kepada para nabinya lagi; bahawa Tuhan berada di kalangan kita—dan terlibat dalam kehidupan kita dan sedang memimpin anak-anak-Nya.
Sungguh mengagumkan apabila kita mengkaji dengan teliti rancangan keselamatan dan permuliaan Bapa Syurgawi, rancangan kegembiraan, bagi anak-anak-Nya. Apabila kita rasa tidak penting, tersingkir, dan dilupai, kita belajar untuk yakin bahawa Tuhan tidak melupai kita; sebenarnya, Dia memberi kita sesuatu yang tidak dapat dibayangkan: untuk menjadi waris “berkat-berkat yang disediakan Tuhan, bersama Kristus.”2
Apakah maksud ini?
Bahawa kita akan hidup selamanya, menerima kegenapan kebahagiaan,3 dan berpotensi untuk “mewarisi takhta, kerajaan, pemerintahan, dan kuasa.”4
Sungguh rendah hati kerana tahu masa depan cemerlang dan ilahi ini boleh terjadi kerana Tuhan.
Dengan pengetahuan ini, patutkah kita merungut, atau kekal marah? Bagaimana mungkin kita berasa rendah diri apabila Raja Yang Terutama menjemput kita untuk mencapai masa depan bahagia yang tidak terbayang?5
Keselamatan Di Kalangan Kita
Kerana kasih sempurna Tuhan dan pengorbanan abadi Yesus Kristus, dosa kita—yang besar dan kecil—boleh dihapuskan dan tidak diingati lagi.6 Kita boleh menghadap Dia dengan suci, layak, dan dikuduskan.
Hati saya penuh kesyukuran bagi Bapa Syurgawi saya. Saya sedari bahawa Dia tidak mentakdirkan anak-anak-Nya untuk melalui kefanaan tanpa harapan masa depan yang cerah dan abadi. Dia telah menyediakan arahan-arahan yang mengungkapkan cara untuk kembali kepada-Nya. Dan pusat segalanya ialah Putera-Nya yang Dikasihi, Yesus Kristus,7 dan pengorbanan-Nya bagi kita.
Korban Tebusan Juruselamat yang tidak terbatas mengubah cara kita melihat pelanggaran dan ketidaksempurnaan kita. Daripada memikirkan semua itu dan berasa tidak dapat ditebus atau tiada harapan, kita boleh belajar darinya dan berharapan.8 Kurnia pembersihan pertaubatan membenarkan kita meninggalkan dosa dan menjadi baru semula.9
Kerana Yesus Kristus, kegagalan kita tidak menentukan kita. Ia menyempurnakan kita.
Seperti seorang pemuzik berlatih muzik, kita lihat kesilapan, kekurangan, dan dosa sebagai peluang untuk lebih kesedaran diri, kasih yang lebih mendalam dan ikhlas terhadap orang lain, dan penyempurnaan melalui pertaubautan.
Jika kita bertaubat, kesilapan tidak menjadikan kita tidak layak. Ia sebahagian daripada kemajuan kita.
Kita merupakan bayi dibandingkan dengan makhluk mulia dan hebat yang kita dirancang untuk menjadi. Tiada manusia fana yang maju dari peringkat merangkak ke berjalan sehingga berlari tanpa tersandung, jatuh dan berlebam. Itulah cara kita belajar.
Jika kita berlatih bersungguh-sungguh, sentiasa berusaha untuk mentaati perintah-perintah Tuhan, dan bertaubat, bertahan, dan gunakan apa yang kita belajar, baris demi baris, kita akan mengumpul cahaya ke dalam jiwa kita.10 Walaupun kita tidak memahami potensi penuh kita pada masa ini, “kita tahu bahawa apabila Kristus datang,” kita akan melihat wajah-Nya dalam diri kita, dan “melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya.”11
Betapa hebat janji itu!
Ya, dunia kini huru-hara. Dan ya, kita punyai kelemahan. Namun kita tidak perlu putus harapan, kerana kita boleh percayai Tuhan, kita boleh percaya Putera-Nya, Yesus Kristus, dan kita boleh menerima kurnia Roh untuk membimbing kita ke jalan yang dipenuhi dengan kebahagiaan dan kegembiraan ilahi.12
Yesus Di Kalangan Kita
Saya sering tertanya, Apakah yang Yesus akan ajar dan lakukan jika Dia berada di kalangan kita hari ini?
Selepas Kebangkitan, Yesus Kristus memenuhi janji-Nya untuk mengunjungi “domba-domba lain.”13
Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Yesus Kristus menceritakan kemunculan-Nya kepada penghuni benua Amerika. Kita mempunyai catatan berharga ini sebagai kesaksian nyata pekerjaan Juruselamat.
Orang-orang Kitab Mormon hidup di seberang dunia—sejarah, kebudayaan, dan iklim politik mereka amat berbeza dengan orang-orang yang Yesus ajar ketika pelayanan fana-Nya. Namun Dia mengajar mereka perkara yang sama seperti yang diajarkan di Tanah Suci.
Mengapa Dia lakukan demikian?
Juruselamat sentiasa mengajar kebenaran yang abadi. Ia boleh digunakan tidak kira umur dan keadaan.
Pesanan-Nya adalah pesanan harapan dan kekitaan—satu kesaksian bahawa Tuhan Bapa Syurgawi kita tidak meninggalkan anak-anak-Nya.
Tuhan berada di kalangan kita!
Dua ratus tahun yang lalu, Juruselamat kembali ke bumi. Dia dan Tuhan Bapa muncul kepada Joseph Smith yang berumur 14 tahun dan membawa Pemulihan injil dan Gereja Yesus Kristus. Sejak hari itu, syurga terbuka, dan utusan syurgawi turun dari dewan kemuliaan baqa. Cahaya dan ilmu melimpah dari takhta selestial.
Tuhan Yesus Kristus kembali berbicara kepada dunia.
Apakah firman Dia?
Kita diberkati, kerana firman-Nya dicatat dalam Ajaran dan Perjanjian—tersedia kepada sesiapapun di dunia yang ingin membaca dan mengkajinya. Betapa berharganya firman-firman itu bagi kita hari ini!
Dan Juruselamat mengajar pesanan teras injil-Nya yang sama: “Engkau haruslah mengasihi Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap daya, fikiran, dan kekuatanmu; dan dalam nama Yesus Kristus engkau akan melayani-Nya.”14 Dia mengilhami kita untuk mencari Tuhan15 dan menjalani hidup mengikut ajaran-ajaran yang Dia telah ungkapkan kepada hamba-hamba-Nya, para nabi.16
Dia mengajar kita untuk kasihi satu sama lain17 dan untuk “penuh kasih ihsan terhadap semua orang.”18
Dia menjemput kita untuk menjadi tangan-Nya, dan berbuat baik.19 “Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan.”20
Dia mencabar kita untuk mengindahkan tugas-Nya yang besar: untuk mengasihi, berkongsi, menjemput semua kepada injil dan Gereja-Nya.21
Dia memerintahkan kita untuk membina bait suci kudus dan masuk dan melayani di sana.22
Dia mengajar kita untuk menjadi pengikut-Nya—agar hati kita tidak berarah kepada kuasa, kekayaan, kelulusan, atau kedudukan peribadi. Dia mengajar kita untuk “mengenepikan hal-hal dari dunia ini, dan mencari hal-hal yang lebih baik.”23
Dia mendesak kita untuk mencari kebahagiaan, keterangan, kedamaian, kebenaran, kegembiraan,24 dan janji kehidupan baqa dan abadi.25
Marilah kita mengambil langkah yang seterusnya. Andaikan Yesus datang ke bahagian, cabang, atau rumah anda hari ini. Apakah yang akan berlaku?
Dia akan melihat terus ke dalam hati anda. Penampilan luaran menjadi tidak penting. Dia akan tahu anda yang sebenarnya. Dia akan tahu keinginan hati anda.
Mereka yang lemah lembut dan rendah hati akan Dia angkatkan.
Mereka yang sakit akan Dia sembuhkan.
Mereka yang sangsi akan diberi iman dan keberanian untuk percaya-Nya.
Dia akan mengajar kita untuk membuka hati kepada Tuhan dan membantu orang lain.
Dia mengenali dan menghormati kejujuran, kerendahan hati, kesempurnaan akhlak, keimanan, belas kasihan, dan ihsan.
Dengan memandang ke dalam mata-Nya akan mengubah kita. Kita akan berubah buat selama-lamanya. Diubah kerana kesedaran mendalam bahawa, sememangnya, Tuhan berada di kalangan kita.
Apakah Yang Harus Kita Lakukan?26
Saya melihat kembali kepada diri muda saya. Jika saya boleh kembali ke masa itu, saya akan menenangkannya dan minta dia untuk kekal berbuat baik dan terus mencari. Saya akan meminta dia untuk menjemput Yesus Kristus ke dalam hidupnya, kerana Tuhan berada di kalangan kita!
Kepada anda, para saudara dan saudari, kawan-kawan, dan kepada semua yang sedang mencari jawapan, kebenaran dan kegembiraan, saya memberi nasihat yang sama: Teruskan mencari dengan iman dan kesabaran.27
Mintalah, dan anda akan menerimanya. Ketuklah, dan ia akan dibukakan bagi anda.28 Percayalah kepada Tuhan.29
Dalam kehidupan seharian kita, adalah tugas terpenting dan peluang yang memberkati untuk menemui Tuhan.
Apabila kita mengetepikan keangkuhan dan mendekati takhta-Nya dengan hati yang hancur dan roh yang menyesal,30 Dia akan mendekati kita.31
Apabila kita mengikuti Yesus Kristus dan jalan penganutan, baris demi baris, hari kita alami kurnia kegenapan kebahagiaan akan tiba.
Rakan-rakan sekalian, Bapa Syurgawi mengasihi anda dengan kasih yang sempurna. Dia telah membuktikan kasih-Nya dalam pelbagai cara, tetapi yang paling hebatnya ialah memberikan Putera Tunggal-Nya sebagai korban dan kurnia bagi anak-anak-Nya agar kepulangan kita kepada ibu bapa syurgawi menjadi nyata.
Saya bersaksi bahawa Bapa Syurgawi kita hidup, Yesus Kristus memimpin Gereja-Nya, dan Presiden Russell M. Nelson adalah nabi-Nya.
Saya menyatakan kasih sayang dan berkat saya kepada anda pada musim Easter meriah ini. Buka hati anda kepada Juruselamat dan Penebus kita, tidak kira keadaan, cabaran, penderitaan, atau kesilapan anda, anda akan tahu Dia hidup, bahawa Dia mengasihi anda, dan kerana Dia, anda tidak akan kesepian.
Tuhan berada di kalangan kita.
Saya bersaksi ini dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.