Ku Ingin Ke Bait Suci
Di bait sucilah kita boleh menerima jaminan hubungan kekeluargaan yang akan berterusan selepas kematian dan bertahan secara abadi.
Para saudara dan saudari terkasih, saya bersyukur bersama anda di sesi pertama persidangan umum ini. Para pembicara, muzik, dan doa telah membawa Roh—dan juga terang serta harapan.
Perasaan itu mengingatkan saya pada hari pertama saya memasuki Bait Suci Salt Lake. Ketika itu saya seorang dewasa muda. Ibu bapa sahajalah teman saya pada hari itu. Di dalam, mereka berhenti seketika dan disapa oleh seorang pekerja bait suci. Saya berjalan seorang diri di hadapan mereka.
Saya disapa oleh seorang wanita berambut putih berpakaian putih bait suci yang cantik. Dia melihat saya dan senyum, lalu berkata dengan lembut, “Selamat datang ke bait suci, Brother Eyring.” Untuk seketika saya fikir dia seorang malaikat kerana dia tahu nama saya. Saya tidak sedar terdapat kad kecil berisi nama saya diletak di kelepak kot saya.
Saya melaluinya dan berhenti. Saya memandang ke siling tinggi putih yang menjadikan bilik itu sangat cerah sehinggakan ia seperti terbuka ke langit. Pada saat itu, satu fikiran jelas datang ke minda saya: “Saya pernah berada di tempat cerah ini.” Tetapi dengan serta merta, satu suara bukan kepunyaan saya, berkata: “Tidak, kamu tidak pernah datang ke sini. Kamu sedang mengingati masa sebelum kamu dilahirkan. Kamu berada di satu tempat kudus seperti ini.”
Di luar bait suci kita, terdapat kata “Kekudusan bagi Tuhan.” Saya tahu bahawa kata-kata itu benar. Bait suci adalah tempat kudus di mana wahyu datang dengan mudah jika hati kita terbuka dan kita layak menerimanya.
Kemudian pada hari itu, saya sekali lagi merasa Roh yang sama. Kata-kata di upacara bait suci menyebabkan hati saya membara, mengesahkan apa yang ditunjukkan adalah benar. Perasaan peribadi berkenaan masa depan saya menjadi nyata 40 tahun kemudian melalui satu panggilan Tuhan untuk melayani.
Saya alami perasaan yang sama ketika berkahwin di Bait Suci Logan Utah. Presiden Spencer W. Kimball yang melaksanakan pemeteraian itu. Dalam kata-katanya, dia menasihati: “Hal dan Kathy, jalani hidup agar ketika panggilan itu datang, kamu boleh tinggalkan segera.”
Semasa dia mengucap itu, dalam fikiran saya jelas melihat, penuh berwarna, sebuah bukit curam dan satu jalan menuju ke puncak. Satu pagar putih di kiri jalan dan lesap di antara satu barisan pokok di atas bukit. Sebuah rumah putih hampir tidak kelihatan di tengah pokok-pokok.
Setahun kemudian, saya kenali bukit itu apabila bapa mertua saya memandu di jalan itu. Bayangan yang saya peroleh amat jelas ketika Presiden Kimball memberi nasihat.
Apabila kami tiba di atas bukit itu, bapa mertua saya berhenti di tepi rumah putih itu. Dia memberitahu kami bahawa dia dan isterinya akan membeli tanah itu dan dia ingin kami berdua tinggal di rumah tetamu itu. Mereka akan tinggal di rumah utama. Jadi, selama 10 tahun kami tinggal di suasana keluarga yang indah itu, saya dan isteri saya berkata setiap hari, “Kita harus menikmati tempat ini kerana kita tidak akan berada di sini lama.”
Satu panggilan daripada pesuruhjaya pendidikan Gereja, Neal A. Maxwell. Amaran Presiden Kimball untuk bersedia “tinggalkan segera” menjadi nyata. Ia satu panggilan untuk meninggalkan situasi keluarga yang indah dan pergi bertugas di satu tempat yang saya tidak kenali. Keluarga kami bersedia untuk tinggalkan tempat dan masa indah itu kerana seorang nabi, di bait suci kudus, tempat berwahyu, telah melihat masa depan yang kami telah dipersediakan.
Saya tahu bahawa bait suci Tuhan adalah tempat yang kudus. Tujuan saya berucap tentang bait suci adalah untuk meningkatkan hasrat kita supaya layak dan bersedia untuk peningkatan peluang pengalaman bait suci yang akan datang.
Bagi saya, motivasi terbesar untuk layak bagi pengalaman bait suci adalah apa yang Tuhan telah firmankan tentang rumah kudus-Nya:
“Dan sejauh umat-Ku membina sebuah rumah bagi-Ku dalam nama Tuhan, dan tidak membiarkan apa pun yang tidak bersih datang ke dalamnya, agar ia tidak ternoda, kemuliaan-Ku akan berdiam di dalamnya;
“Ya, dan kehadiran-Ku akan berada di sana, kerana Aku akan datang ke dalamnya, dan semua yang suci hatinya yang akan datang ke dalamnya akan melihat Tuhan.
“Tetapi jika ianya ternoda Aku tidak akan datang ke dalamnya, dan kemuliaan-Ku tidak akan ada di sana; kerana Aku tidak akan datang ke dalam bait suci-bait suci yang tidak kudus.”1
Presiden Russell M. Nelson menjelaskan bahawa kita boleh “lihat” Juruselamat di dalam bait suci di mana Dia bukan lagi asing kepada kita. Presiden Nelson berkata: “Kita memahami Dia. Kita fahami pekerjaan dan kemuliaan-Nya. Dan kita merasa kesan tidak terhingga kerana kehidupan-Nya yang tidak terbanding.”2
Jika anda atau saya pergi ke bait suci tetapi tidak suci, kita tidak akan dapat lihat, dengan kuasa Roh Kudus, ajaran rohani tentang Juruselamat yang boleh diterima di bait suci.
Apabila kita layak untuk menerima ajaran tersebut, pengalaman bait suci boleh mengembangkan harapan, kebahagiaan, dan optimisme dalam kehidupan kita. Harapan, kebahagiaan, dan optimisme itu hanya boleh didapati melalui penerimaan tatacara injil yang dilaksanakan di bait suci kudus. Di bait sucilah kita boleh menerima jaminan hubungan kekeluargaan yang akan berterusan selepas kematian dan bertahan secara abadi.
Bertahun lalu, ketika saya seorang uskup, seorang lelaki dewasa muda yang baik hati menolak jemputan untuk menjadi layak hidup bersama Tuhan dan keluarga secara abadi. Dia memberitahu saya keseronokan yang dia alami bersama kawan-kawannya. Saya beri dia masa untuk bercakap. Kemudian dia berkongsi dalam satu pesta, di tengah keriuhan, dia tiba-tiba rasa sangat keseorangan. Saya tanyakan dia apa yang telah berlaku. Dia kata dia teringat ketika masih kecil, duduk di pangkuan ibunya, dan dipeluk ibunya. Setelah dia berkata itu, dia berlinang air mata. Saya bersaksi kepadanya apa yang saya ketahui adalah benar: “Hanya satu cara anda boleh peroleh perasaan pelukan keluarga abadi iaitu dengan melayakkan diri dan membantu orang lain menerima tatacara injil pemeteraian di bait suci.”
Kita tidak tahu perincian hubungan keluarga di dunia roh atau apa yang akan berlaku setelah kita dibangkitkan. Namun kita tahu bahawa nabi Elia telah datang seperti yang dijanjikan untuk memalingkan hati nenek moyang kepada anak-anak, dan anak-anak kepada nenek moyang.3 Dan kita tahu bahawa kegembiraan abadi bergantung pada usaha terbaik kita dalam berkongsi kegembiraan kekal kepada saudara kita seramai mungkin.
Saya berhasrat untuk berjaya dalam menjemput ahli-ahli keluarga agar hidup layak bagi menerima dan patuhi tatacara injil pemeteraian bait suci. Itu sebahagian daripada perjanjian pengumpulan Israel pada hari-hari terakhir bagi dua belah tirai.
Salah satu peluang terbaik adalah ketika ahli keluarga kita masih muda. Mereka dilahirkan dengan kurnia Cahaya Kristus. Ia membolehkan mereka untuk mengesan apa yang baik dan jahat. Oleh itu, dengan melihat bait suci atau gambar bait suci dapat memupuk hasrat seorang anak untuk menjadi layak dan berpeluang memasuki bangunan itu.
Hari itu akan tiba apabila, sebagai remaja, mereka menerima rekomen bait suci untuk melaksanakan pembaptisan wakil di bait suci. Melalui pengalaman itu, perasaan mereka boleh berkembang dan tatacara bait suci akan sentiasa menunjuk kepada Juruselamat dan Korban Tebusan-Nya. Apabila mereka membantu seseorang di dunia roh untuk dibersihkan dari dosa, perasaan mereka untuk membantu dalam pekerjaan kudus Juruselamat dan memberkati anak Tuhan Bapa Syurgawi akan bertambah.
Saya pernah lihat pengalaman itu mengubah kehidupan seorang remaja. Bertahun dahulu, saya dan anak perempuan saya pergi ke bait suci lewat petang. Dia orang terakhir untuk melayani sebagai wakil di tempat pembaptisan. Anak saya ditanya jika dia boleh berada lebih lama supaya dia boleh melaksanakan tatacara bagi semua nama yang telah disediakan. Dia menjawab, “ya.”
Saya memerhatikan anak perempuan saya memasuki kolam pembaptisan itu. Pembaptisan bermula. Air mengalir dari muka anak saya setiap kali dia diangkat dari air. Dia ditanya berkali-kali, “Kamu masih boleh teruskan?” Setiap kali dia menjawab, “ya.”
Sebagai bapa, saya berharap mereka tidak akan minta dia melakukan lebih banyak. Tetapi saya ingat setiap kali dia ditanya, dia akan menjawab dengan suara tekad, “Ya.” Dia teruskan sehingga nama terakhir dalam senarai hari itu telah menerima berkat pembaptisan dalam nama Yesus Kristus.
Apabila kami berjalan keluar dari bait suci malam itu, saya merenungkan apa yang saya telah lihat. Seorang anak telah diangkat dan diubah dengan melayani Tuhan di depan mata saya. Saya masih ingat perasaan terang dan damai itu ketika kami keluar bersama dari bait suci.
Bertahun telah berlalu. Dia masih katakan “ya” kepada Tuhan jika dia diminta untuk melakukan lebih atau jika ia susah. Itulah yang pelayanan bait suci lakukan untuk mengubah dan mengangkat kita. Itulah sebabnya saya berharap anda dan semua keluarga anda akan meningkatkan hasrat dan bertekad menjadi layak untuk masuk ke rumah Tuhan sekerap yang boleh.
Dia mengalu-alukan kedatangan anda di sana. Semoga anda akan memupuk hasrat anak-anak Bapa Syurgawi untuk ke sana, agar boleh berasa dekat kepada-Nya, dan anda juga akan menjemput moyang anda supaya layak untuk bersama Tuhan dan anda buat selamanya.
Kata-kata berikut boleh menjadi milik kita:
Ku ingin ke bait suci,
Suatu hari nanti.
‘Tuk resapi Roh Suci,
Dengar dan memuji.
Ker’na bait suci rumah Tuhan,
Tempat kasih yang indah.
Sejak kecil kusiapkan diri;
Ini tugas yang suci.4
Saya bersaksi bahawa kita anak-anak Bapa Syurgawi yang penuh kasih. Dia memilih Putera Terkasih-Nya, Yesus Kristus, untuk menjadi Juruselamat dan Penebus kita. Hanya satu cara untuk kembali hidup bersama Mereka dan keluarga kita iaitu melalui tatacara injil bait suci kudus. Saya bersaksi bahawa Presiden Russell M. Nelson memegang dan menjalankan semua kunci imamat supaya semua anak Tuhan berpeluang memperoleh kehidupan abadi. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.