Kesedihan Kita Akan Berubah Menjadi Kegembiraan
Saya menjemput semua yang merasa sedih, semua yang bertanya-tanya apa yang terjadi selepas kita mati, untuk meletakkan iman anda dalam Kristus.
Beberapa tahun yang lalu, semasa menghadiri pertemuan di Salt Lake City, saya disambut oleh nabi terkasih kita, Russell M. Nelson. Dengan caranya yang biasa penuh kasih dan peribadi, dia bertanya, “Mark, bagaimana keadaan ibu kamu?”
Saya memberitahunya yang saya telah bersamanya pada awal minggu itu di rumahnya di New Zealand dan dia semakin tua tetapi penuh dengan iman dan ilham bagi semua yang mengenalnya.
Presiden Nelson kemudian berkata, “Sila sampaikan kasih saya kepadanya… dan beritahu dia aku tidak sabar untuk melihat dia sekali lagi.”
Saya agak terkejut dan bertanya, “Adakah kamu merancang untuk ke New Zealand tidak lama lagi?”
Dengan keikhlasan dia menjawab, “Oh tidak, saya akan melihat dia di kehidupan seterusnya.”
Tiada nada sambil lewa dalam balasannya. Ia adalah ungkapan fakta semula jadi yang sempurna. Pada saat peribadi dan tidak dijangka itu, saya dengar dan rasa kesaksian murni daripada seorang nabi yang masih hidup bahawa kehidupan berlanjutan selepas kematian.
Pada hujung minggu persidangan ini, anda akan dengar para rasul dan nabi yang hidup bersaksi tentang Kebangkitan Yesus Kristus. “Asas-asas dasar agama kita adalah kesaksian para Rasul dan Nabi, tentang Yesus Kristus, bahawa Dia mati, dikuburkan, dan bangkit semula pada hari ketiga[;] … semua perkara lain yang berkaitan dengan agama kita hanyalah tambahan kepada [kebenaran ini].”1 Saya berjanji yang semasa anda dengar dengan niat sebenar, Roh akan mengesahkan dalam fikiran dan hati anda kebenaran kesaksian ini.2
Para rasul kuno Yesus diubah selamanya setelah Dia muncul kepada mereka selepas kematian-Nya. Sepuluh daripada mereka melihat sendiri yang Dia telah dibangkitkan. Tomas, awalnya tidak hadir, berkata, “Kecuali aku melihat … aku tidak mahu percaya.”3 Kemudian Yesus menegur Tomas, “Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah.”4 Kemudian Tuhan mengajar peranan penting iman: “Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku.”5
Tuhan yang telah bangkit memberi para Rasul-Nya tanggungjawab untuk bersaksi tentang Dia. Seperti para Rasul kita yang hidup hari ini, mereka meninggalkan pekerjaan duniawi dan menghabiskan sisa hidup mereka dengan berani menyatakan yang Tuhan telah bangkitkan Yesus ini. Kesaksian mereka yang sangat berkuasa membawa ribuan orang menerima jemputan untuk dibaptiskan.6
Pesanan yang sangat indah pada pagi Easter adalah pusat bagi semua agama Kristian. Yesus Kristus telah bangkit dari kematian, dan kerana ini, kita juga akan hidup kembali setelah kita mati. Pengetahuan ini memberi makna dan tujuan untuk kehidupan kita. Jika kita maju dalam iman, kita akan berubah selamanya, seperti juga para Rasul zaman dahulu. Kita, seperti mereka, akan dapat menanggung segala kesukaran dengan iman kepada Yesus Kristus. Iman ini juga memberi kita harapan untuk masa ketika “kesedihan [kita] itu akan berubah menjadi kegembiraan.”7
Iman saya sendiri bermula dari masa kesedihan.
Ayah dan ibu saya adalah penternak biri-biri di New Zealand.8 Mereka menikmati kehidupan mereka. Sebagai pasangan muda yang sudah berkahwin, mereka diberkati dengan tiga orang anak perempuan. Anak perempuan bongsu bernama Ann. Suatu hari ketika mereka bercuti bersama di sebuah tasik, Ann yang berusia 17 bulan hilang. Setelah beberapa minit mencari, dia ditemui tidak bernyawa dalam air.
Mimpi ngeri ini menimbulkan kesedihan yang tidak dapat diungkapkan. Ayah menulis bertahun-tahun kemudian yang sebahagian kegembiraan hilang dari hidup mereka selamanya. Ini juga menimbulkan keinginan untuk jawapan kepada soalan terpenting dalam hidup: Apa yang akan terjadi pada kesayangan Ann kami? Adakah kami akan melihatnya lagi? Bagaimana keluarga kami boleh gembira semula?
Beberapa tahun selepas tragedi ini, dua penginjil muda dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir datang ke ladang kami. Mereka mula mengajar kebenaran yang terdapat dalam Kitab Mormon dan Alkitab. Kebenaran ini termasuk jaminan yang Ann kini tinggal di dunia roh. Kerana Kebangkitan Yesus Kristus, dia juga akan dibangkitkan. Mereka ajarkan yang Gereja Yesus Kristus sekali lagi dipulihkan di bumi dengan seorang nabi yang hidup dan dua belas Rasul. Dan mereka ajarkan ajaran yang unik dan luar biasa yang keluarga dapat diikat bersama selamanya oleh wewenang imamat yang sama yang Yesus Kristus berikan kepada ketua Rasul-Nya, Petrus.9
Ibu dengan serta-merta mengenali kebenaran dan menerima saksi Roh. Tapi, Ayah bergelut selama setahun seterusnya antara keraguan dan dorongan rohani. Dia juga keberatan untuk ubah cara hidupnya. Suatu pagi selepas malam tanpa tidur, sambil berjalan mundar-mandir, dia menoleh ke arah Ibu dan berkata, “Saya akan dibaptiskan hari ini atau tidak.”
Ibu beritahu para penginjil apa yang telah terjadi, dan mereka segera sedar kerlipan iman dalam ayah saya sekarang akan dinyalakan atau dipadamkan.
Pagi itu kami sekeluarga pergi ke pantai terdekat. Tidak menyedari apa yang sedang berlaku, kami anak-anak berkelah di bukit pasir sementara Elders Boyd Green dan Gary Sheffield membawa ibu bapa saya ke laut dan membaptiskan mereka. Dalam tindakan iman selanjutnya, Ayah secara peribadi komited kepada Tuhan yang tak kira apa yang berlaku, dia akan taati perjanjian dia sepanjang hidupnya.
Setahun kemudian sebuah bait suci dibaktikan di Hamilton, New Zealand. Tidak lama kemudian, keluarga kami, bersama seseorang yang mewakili Ann, berlutut di sekitar altar di rumah Tuhan yang kudus itu. Di sana, dengan wewenang imamat, kita disatukan sebagai keluarga abadi dalam tatacara yang sederhana dan indah. Ini membawa kedamaian dan kegembiraan yang besar.
Bertahun-tahun kemudian ayah beritahu saya yang jika tidak kerana kematian tragis Ann, dia tidak akan pernah cukup rendah hati untuk menerima injil yang dipulihkan. Namun Roh Tuhan menanamkan harapan bahawa apa yang diajarkan oleh para penginjil itu benar. Iman ibu bapa saya terus bertambah hingga kesaksian diperkuatkan dan dengan tenang dan rendah hati membimbing setiap keputusan mereka dalam hidup.
Saya akan sentiasa bersyukur atas teladan ibu bapa saya kepada generasi akan datang. Ia mustahil untuk mengukur jumlah nyawa yang berubah selamanya kerana tindakan iman mereka sebagai tindak balas terhadap kesedihan yang mendalam.
Saya menjemput semua yang merasa sedih, semua yang bergelut dengan keraguan, semua yang bertanya-tanya apa yang terjadi selepas kita mati, untuk meletakkan iman anda dalam Kristus. Saya berjanji jika anda ingin percaya, kemudian bertindak dalam iman dan ikuti bisikan Roh, anda akan temui kegembiraan dalam kehidupan ini dan di dunia yang akan datang.
Saya sangat menantikan hari saya akan bertemu dengan kakak saya, Ann. Saya berharap dapat bertemu kembali dengan ayah saya, yang meninggal lebih 30 tahun yang lalu. Saya bersaksi tentang kegembiraan yang dapat ditemui dalam hidup dengan iman, percaya tanpa melihat, tetapi mengetahui dengan kuasa Roh Kudus bahawa Yesus Kristus hidup. Dengan sepenuh hati dan jiwa saya, saya pilih untuk ikuti Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan. Ini telah berkati setiap aspek dalam hidup saya. Saya tahu yang Yesus ialah Kristus, Putera Tuhan, Juruselamat dan Penebus kita. Dalam nama Yesus Kristus, amin.