“7–13 November. Hosea 1–6; 10–14; Yoel: ‘Mereka Akan Kukasihi Dengan Segenap Hati,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“7–13 November. Hosea 1–6; 10–14; Yoel,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
7–13 November
Hosea 1–6; 10–14; Yoel
“Mereka Akan Kukasihi Dengan Segenap Hati”
Jemput Roh untuk menjadi teman semasa anda mengkaji Hosea dan Yoel. Catat nota tentang yang Roh berikan kepada hati dan fikiran anda.
Catat Tanggapan Anda
Perjanjian orang Israel dengan Tuhan begitu mendalam dan bermakna sehingga Tuhan mengibaratkan perjanjian ini bagaikan perkahwinan. Perjanjian, seperti perkahwinan, termasuk komitmen yang abadi, pengalaman bersama, membina kehidupan bersama, kesetiaan yang eksklusif dan yang paling penting, mengasihi secara sepenuh hati. Kesetiaan seperti ini datang dengan harapan yang tinggi—dan akibat yang tragis untuk kecurangan. Melalui nabi Hosea, Tuhan telah menggambarkan beberapa akibat yang orang Israel hadapi kerana melanggar perjanjian mereka. Namun, pesanan-Nya bukanlah “Aku akan menolak anda selamanya kerana tidak setia”. Pesanan itu sebaliknya ialah “Aku akan menjemput anda kembali” (lihat Hosea 2:14–15). Tuhan berfirman: “Aku akan berlaku jujur”, (Hosea 2:19). “Umat-Ku yang menyeleweng akan Kubawa kembali. Mereka akan Kukasihi dengan segenap hati” (Hosea 14:4). Ini ialah pesanan yang sama yang Dia berikan kepada kita pada hari ini apabila kita berusaha untuk memenuhi perjanjian kita dengan penuh kasih dan setia.
Yoel telah berkongsi pesanan yang serupa: “Kembalilah kepada Tuhan Raja kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni” (Yoel 2:13). “Dia akan melindungi umat-Nya” (Yoel 3:16). Apabila anda membaca Hosea dan Yoel, renungkan hubungan anda sendiri dengan Tuhan. Fikirkan tentang cara kesetiaan-Nya mengilhami anda untuk setia kepada-Nya.
Untuk gambaran keseluruhan tentang kitab Hosea dan Yoel, lihat “Hosea atau Hoshea” dan “Yoel” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan menjemput saya untuk kembali kepada-Nya.
Isteri Hosea, Gomer, tidak setia kepadanya dan Tuhan mengetengahkan peristiwa yang menyedihkan ini untuk mengajar orang Israel bagaimana perasaannya terhadap mereka serta perjanjian mereka dengan Dia. Apabila anda membaca Hosea 1–3, renungkan cara Tuhan melihat perhubungan-Nya dengan umat perjanjian-Nya. Anda boleh merenungkan cara yang anda mungkin, seperti orang Israel, tidak setia kepada Tuhan dan bagaimana Dia telah membantu anda. Misalnya, apakah yang Hosea 2:14–23 dan Hosea 14 ajarkan anda tentang kasih dan belas kasihan Tuhan? Bagaimanakah anda menunjukkan kasih dan kesetiaan anda kepada-Nya?
Kesetiaan terhadap Tuhan hendaklah dirasai secara dalaman, bukan hanya ditunjukkan secara luaran.
Tuhan telah memerintahkan umat-Nya untuk mempersembahkan korban binatang. Tetapi walaupun rakyat pada zaman Hosea mematuhi hukum-hukum pada ketika itu, mereka telah melanggar perintah yang lebih penting (lihat Hosea 6:4–7). Pada pendapat anda, apakah maksudnya bahawa Tuhan “lebih ingin kamu mengasihi Aku daripada kamu mempersembahkan korban kepada-Ku. Aku lebih suka kamu mengenal Aku daripada membakar korban untuk-Ku”? (Hosea 6:6). Pada pendapat anda, apakah maksudnya untuk kesolehan menjadi seperti kabus atau embun? Bagaimanakah kesolehan kita harus jadi? (lihat Yesaya 48:18; 1 Nefi 2:9–10).
Anda juga boleh membaca Matius 9:10–13; 12:1–8 untuk melihat cara Juruselamat menggunakan Hosea 6:6 sepanjang pelayanan-Nya. Bagaimanakah petikan ini membantu anda memahami firman Hosea?
Apabila membaca Yoel 2:12–13, ia mungkin amat berguna untuk mengetahui bahawa secara tradisinya, perbuatan mengoyakkan pakaian merupakan tanda seseorang meluahkan perasaan penuh dukacita atau penyesalan (misalnya, lihat 2 Tawarikh 34:14–21, 27). Bagaimanakah menghiriskan hati kita berbeza daripada mengoyakkan pakaian suci kita?
Lihat juga Yesaya 1:11–17; Matius 23:23; 1 Yohanes 3:17–18.
“Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada semua orang.”
Apabila Yoel menubuatkan “Hari Tuhan”, dia telah menggambarkan hari tersebut sebagai “gelap dan mendung”, “alangkah dahsyatnya” (Yoel 2:1–2, 11). Orang Israel telah menghadapi tempoh yang amat dahsyat sepanjang sejarahnya dan umat perjanjian Tuhan akan menghadapi lebih banyak lagi pada masa akan datang. Apakah yang mengagumi anda tentang nasihat yang Tuhan berikan dalam Yoel 2:12–17? Selain itu, ambil perhatian juga mengenai berkat yang Dia telah janjikan dalam Yoel 2:18–32. Mengapakah berkat yang dijanjikan dalam ayat 27–32 bernilai terutamanya sepanjang zaman yang digambarkan dalam Yoel 2, termasuk zaman kita?
Pada pendapat anda, apakah maksudnya bahawa Tuhan akan “mencurahkan roh-Ku kepada semua orang”? (Yoel 2:28). Bagaimanakah nubuat dalam Yoel 2:28–29 dipenuhi? (Lihat Kisah Rasul-Rasul 2:1–21; Joseph Smith—Sejarah 1:41.)
Anda boleh merenungkan kata-kata ini daripada presiden Russell M. Nelson: “Di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakan, dan pengaruh yang tetap dari Roh Kudus” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita”, Liahona, Mei 2018, 96). Mengapakah wahyu penting bagi kehidupan rohani kita? Bagaimanakah anda boleh meningkatkan keupayaan anda untuk menerima wahyu peribadi?
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Hosea 2:19–20.Tuhan telah menggunakan metafora perkahwinan untuk menggambarkan hubungan perjanjian-Nya dengan orang Israel (lihat juga Panduan Tulisan Suci, “Pengantin Lelaki”, scriptures.ChurchofJesusChrist.org). Keluarga anda boleh membincangkan sebab perkahwinan boleh menjadi metafora yang sesuai untuk perjanjian kita dengan Tuhan. Bagaimanakah Hosea 2:19–20 membantu kita memahami perasaan Tuhan terhadap kita? Bagaimanakah kita boleh kekal setia kepada perjanjian kita dengan-Nya?
-
Hosea 10:12.Kanak-kanak mungkin berseronok melukis jam dan merancang jalan mereka boleh mencari Tuhan pada waktu yang berlainan sepanjang hari.
-
Yoel 2:12–13.Untuk membantu keluarga membincangkan tentang Yoel 2:12–13, anda boleh meletakkan gambar Juruselamat di salah satu sisi bilik dan perkataan dosa di sisi yang bertentangan. Jemput ahli keluarga mengambil giliran untuk menghadap tanda tersebut, kemudian berpaling ke arah Juruselamat sementara mereka berkongsi perkara yang boleh membantu kita berpaling kepada-Nya “dengan segenap hati [kita]”. Galakkan ahli keluarga untuk memikirkan tentang semua aspek kehidupan mereka, termasuk aktiviti, kerja, sekolah dan perhubungan.
-
Yoel 2:28–29.Apa maksudnya untuk Roh “dicurahkan” kepada kita? Anda boleh membuat demonstrasi dengan menuangkan air, kemudian membandingkan demonstrasi ini dengan titisan atau tetesan air.
Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu yang dicadangkan: “Datang ke Yesus”, Nyanyian Rohani, no.40.