“31 Oktober–6 November. Daniel 1–6: ‘Tiada Dewa yang Dapat Melakukan Hal yang Telah Dilakukan Tuhan Mereka,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“31 Oktober–6 November. Daniel 1–6,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
31 Oktober–6 November
Daniel 1–6
“Tiada Dewa yang Dapat Melakukan Hal yang Telah Dilakukan Tuhan Mereka”
Elder Richard G. Scott menjelaskan bahawa mencatat ilham “menunjukkan Tuhan bahawa komunikasi-Nya adalah kudus bagi kita. Mencatat juga akan meninggikan kebolehan kita untuk mengingati wahyu” (“Cara untuk Memperoleh Wahyu dan Inspirasi untuk Kehidupan Peribadi Anda”, Ensign atau Liahona, Mei 2012, 46).
Catat Tanggapan Anda
Kemungkinan besar tiada orang yang akan mengancam untuk melemparkan anda ke dalam relau yang membara atau gua singa kerana iman anda terhadap Yesus Kristus. Namun, tiada di antara kita yang melalui kehidupan ini tanpa ujian iman. Kita semua boleh mendapat manfaat daripada contoh orang seperti Daniel, Sadrakh, Mesakh dan Abednego, yang telah dijadikan tawanan semasa muda oleh Empayar orang Babilon yang amat berkuasa (lihat 2 Raja-Raja 24:10–16). Orang-orang muda ini telah dikelilingi budaya asing dengan nilai yang berbeza dan mereka berhadapan dengan godaan yang besar untuk meninggalkan kepercayaan serta tradisi mereka yang soleh. Namun, mereka kekal setia pada perjanjian mereka. Seperti Yusuf di Mesir dan Ester di Parsi, Daniel dan rakannya di Babilon tetap menaruh kepercayaan terhadap Tuhan dan Tuhan telah melakukan mukjizat yang masih mengilhami orang yang percaya sehingga hari ini.
Bagaimanakah mereka mendapat kekuatan untuk kekal setia? Mereka telah melakukan perkara kecil dan mudah yang Tuhan telah meminta agar kita semua lakukan—berdoa, berpuasa, memilih kawan yang baik, mempercayai Tuhan dan menjadi cahaya kepada orang lain. Apabila kita diperkuatkan dengan melakukan perkara kecil dan mudah yang sama ini, dengan iman kita berupaya menghadapi singa dan relau yang membara dalam kehidupan kita sendiri.
Untuk gambaran keseluruhan kitab Daniel, lihat “Kitab Daniel” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Saya boleh percaya kepada Tuhan apabila iman saya dicabar.
Dari satu segi, kita semua tinggal di Babilon. Dunia di sekeliling kita dipenuhi dengan banyak godaan yang menjejaskan standard kita dan mempersoalkan iman kita terhadap Yesus Kristus. Apabila anda membaca Daniel 1, 3 dan 6, perhatikan cara Daniel, Sadrakh, Mesakh dan Abednego dipaksa untuk melakukan kerja yang mereka tahu adalah salah. Adakah anda pernah merasakan tekanan untuk kompromi kepercayaan anda? Apakah yang anda pelajari daripada orang-orang ini yang boleh membantu anda mempercayai Tuhan apabila anda menghadapi pertentangan?
Kitab Daniel dan banyak kitab suci yang lain mencatat pengalaman di mana iman yang mendalam telah membawa kepada mukjizat yang besar. Namun, bagaimana jika iman kita tidak membawa kepada mukjizat yang kita inginkan? (lihat, contohnya, Alma 14:8–13). Berdasarkan perkara yang anda baca dalam Daniel 3:13–18, bagaimanakah anda rasa Sadrakh, Mesakh dan Abednego akan menjawab soalan ini? Bagaimanakah teladan mereka boleh mempengaruhi cara anda berhadapan dengan ujian iman anda?
Kitab Daniel juga menunjukkan cara pilihan soleh individu boleh membimbing orang lain untuk lebih percaya kepada Tuhan. Apakah contoh seperti ini yang anda temui dalam bab 1, 3, dan 6? Renungkan kesan pilihan anda ke atas orang lain (lihat Matius 5:16).
Lihat juga Dieter F. Uchtdorf, “Jangan Takut, Percaya Saja”, Ensign atau Liahona, Nov. 2015, 76–79.
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah kerajaan Tuhan pada bumi ini.
Melalui wahyu, Daniel telah melihat bahawa mimpi Nebukadnezzar telah menubuat kerajaan duniawi yang akan datang dan juga kerajaan Tuhan, yang “tidak dapat dikalahkan” (Daniel 2:44). “Gereja ialah kerajaan zaman akhir yang diwahyukan”, Elder D.Todd Christofferson mengajar, “bukan ciptaan manusia, tetapi ia didirikan oleh Tuhan dari syurga dan akan gerak seperti batu yang jatuh dari tebing dengan sendirinya”. (“Apakah Tujuan Gereja”, Ensign atau Liahona, Nov. 2015, 111). Fikirkan tentang kerajaan zaman akhir Tuhan apabila anda membaca gambaran batu dalam Daniel 2:34–35, 44–45. Apakah persamaan yang anda lihat antara batu dan kerajaan? Bagaimanakah anda melihat kerajaan Tuhan memenuhi bumi pada hari ini?
Juruselamat akan menyokong saya dalam ujian saya.
Apakah pandangan yang datang kepada anda semasa anda membaca tentang susuk tubuh keempat yang muncul di relau yang membara bersama dengan Sadrakh, Mesakh dan Abednego? Bagaimanakah laporan ini boleh membantu anda dalam percubaan yang anda hadapi? Anda mungkin menemui pandangan tambahan dalam Mosia 3:5–7; Alma 7:11–13; Ajaran dan Perjanjian 61:36–37; 121:5–8.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Daniel 1–2.Apabila anda membaca Daniel 1 dan 2 bersama-sama, anda boleh mencari berkat yang Daniel dan rakannya terima dengan menahan diri daripada makan daging serta wain daripada raja. Anda boleh membandingkan berkat itu dengan janji Tuhan kepada kita apabila kita mematuhi perintah-Nya, seperti Kata-kata Bijaksana (lihat Ajaran dan Perjanjian 89:18–21). Bagaimanakah Tuhan memberkati kita kerana mengamalkan Kata-kata Bijaksana?
-
Daniel 3.Bagaimanakah anda boleh membantu keluarga anda mempelajari tentang cerita dalam Daniel 3? Sadrakh, Mesakh, dan Abednego” dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama boleh membantu. Apakah yang mengagumkan kita tentang Sadrakh, Mesakh dan Abednego? Apakah situasi yang kita hadapi, yang mencabar iman kita dan memerlukan kita menunjukkan bahawa kita mempercayai Tuhan?
-
Daniel 6:1–23.Keluarga anda mungkin berseronok melakonkan bahagian cerita dalam Daniel 6:1–23 (misalnya, ayat 10–12 atau 16–23). Apakah yang kita pelajari daripada teladan Daniel? Apakah yang kita boleh lakukan untuk menjadi lebih sepertinya?
-
Daniel 6:25–27.Menurut ayat-ayat ini, bagaimanakah Raja Darius terpengaruh apabila Tuhan menyelamatkan Daniel daripada singa? Anda juga boleh membaca dalam Daniel 2:47; 3:28–29 tentang cara Raja Nebukadnezzar terpengaruh melalui cara yang serupa. Apakah peluang yang kita miliki untuk mempengaruhi orang lain? Bincangkan contoh yang anda telah saksikan tentang cara kepercayaan orang lain, termasuk ahli keluarga, telah mempengaruhi orang lain secara positif.
Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu yang dicadangkan: “Injil Kan Ku Hayati”, Buku Nyanyian Anak-anak, 72.