“24–30 Oktober. Yehezkiel 1–3; 33–34; 36–37; 47: ‘Aku Akan Memberi Kamu [Roh] Baru,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“24–30 Oktober. Yehezkiel 1–3; 33–34; 36–37; 47,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
24–30 Oktober
Yehezkiel 1–3; 33–34; 36–37; 47
“Aku Akan Memberi Kamu [Roh] Baru”
Yehezkiel telah dijemput untuk “makan” firman Tuhan secara simbolik—untuk mengisi dirinya dengan firman tersebut (lihat Yehezkiel 2:9–3:3, 10). Bagaimanakah anda akan mengisi diri anda dengan firman Tuhan pada minggu ini?
Catat Tanggapan Anda
Yehezkiel merupakan seorang nabi dalam buangan. Bersama dengan orang Israel yang lain, dia telah ditangkap dan dihantar ke Babilon beberapa tahun sebelum Yerusalem dimusnahkan pada akhirnya. Di Yerusalem, Yehezkiel akan menjadi imam yang melayani di bait suci. Di Babilon, dia merupakan salah seorang daripada “orang buangan” serta “tinggal di situ” (Yehezkiel 3:15), beratus-ratus batu dari bait suci dan mempunyai harapan yang tipis untuk kembali ke rumah Tuhan yang dikasihi. Kemudian pada suatu hari, Yehezkiel menerima penglihatan. Dia telah melihat “hadirat Tuhan” (Yehezkiel 1:28)—bukan di bait suci di Yerusalem tetapi di Babilon dalam kalangan orang buangan. Kejahatan di Yerusalem, yang disedarinya, telah menjadi begitu teruk sehingga hadirat Tuhan tidak lagi berada di situ (lihat Yehezkiel 8–11; 33:21).
Salah satu tugas Yehezkiel adalah untuk memberi peringatan kepada orang Israel tentang akibat pemberontakan mereka—peringatan yang sebahagian besarnya tidak dipedulikan. Namun, pesanan Yehezkiel lebih daripada itu sebenarnya: dia telah bernubuat bahawa, walaupun keadaan telah menjadi begitu buruk, ada jalan untuk kembali. Jika umat Tuhan akan menerima jemputan untuk “mendengar firman Tuhan” (Yehezkiel 37:4), yang telah mati boleh dihidupkan. “Hati yang keras” boleh digantikan dengan “hati yang taat” (Yehezkiel 36:26). “Aku akan menghembuskan nafas-Ku”, Tuhan telah memberitahu mereka, “untuk menghidupkan mereka” (Yehezkiel 37:14). Selain itu pada hari-hari terakhir, Tuhan akan membina bait suci baharu dan Yerusalem baharu, “mulai sekarang kota itu dinamakan, Tuhan Ada Di Sini!” (Yehezkiel 48:35).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
“Sampaikanlah firman-Ku.”
Bacaan tentang panggilan Yehezkiel untuk pelayanan dalam Yehezkiel 1–3 mungkin mendorong anda untuk memikirkan tentang peluang yang Tuhan telah berikan kepada anda untuk “sampaikanlah segala firman-Ku” kepada orang lain (Yehezkiel 3:4). Dalam Yehezkiel 2–3, perhatikan firman galakan dan arahan-Nya kepada Yehezkiel. Walaupun orang yang anda layani mungkin tidak memberontak seteruk rakyat pada zaman Yehezkiel, pertimbangkan cara firman Tuhan kepada Yehezkiel mempengaruhi cara anda melihat pelayanan anda di Gereja, di rumah dan di tempat lain.
Lihat juga Yehezkiel 33:1–9; D. Todd Christofferson, “Suara Amaran”, Ensign atau Liahona, Mei 2017, 108–11.
Tuhan mahu mengampuni.
“Kami merana … menanggung beban dosa dan kesalahan kami”, orang Israel dalam penawanan bertanya-tanya, “Bagaimanakah kami dapat hidup?” (Yehezkiel 33:10). Sebagai tindak balas, Tuhan telah mengajar mereka kebenaran yang penting tentang pertaubatan dan keampunan. Soalan-soalan ini boleh membantu anda merenungkan kebenaran itu:
-
Pada pendapat anda, apakah maksudnya untuk “menyangka bahawa kebaikan [anda] dahulu akan menyelamatkan kamu”? (lihat Yehezkiel 33:12–13).
-
Apakah yang anda akan katakan kepada seseorang yang merasakan bahawa orang baik dan orang jahat yang dijelaskan dalam Yehezkiel 33:12–19 tidak dilayan dengan adil? (lihat juga Matius 21:28–31; Lukas 18:9–14).
-
Apakah frasa yang anda temui dalam ayat-ayat ini yang membantu anda memahami maksud bertaubat? Apakah pandangan tambahan yang anda temui dalam Yehezkiel 36:26–27 dan Alma 7:14–16?
Tuhan menjemput saya untuk menggembalakan domba-Nya.
Dalam Yehezkiel 34, Tuhan merujuk pemimpin umat-Nya sebagai “gembala”. Semasa anda membaca, pertimbangkan tanggapan yang diberikan oleh gelaran ini kepada anda tentang maksud menjadi pemimpin. Siapakah “anak domba” yang Tuhan mahu anda gembalakan? Bagaimanakah anda boleh mengikut contoh yang ditetapkan oleh Juruselamat sebagai gembala? (lihat ayat 11–31).
Lihat juga Yohanes 21:15–17.
Tuhan mengumpulkan umat-Nya dan memberikan mereka kehidupan baharu.
Pengumpulan orang Israel digambarkan dalam Yehezkiel 37 melalui dua lambang. Apabila anda membaca tentang yang pertama—tulang mati dihidupkan semula (lihat ayat 1–14)—renungkan perkara yang anda pelajari tentang pengumpulan orang Israel di kedua-dua belah tirai (lihat juga Yehezkiel 36:24–30).
Lambang yang kedua (lihat ayat 15–28) melibatkan dua batang kayu, yang ramai cendekiawan mentaksirkan batang kayu tersebut sebagai papan tulis kayu yang disambungkan dengan engsel. Kayu Yehuda boleh mewakili Alkitab (kerana sebahagian besar Alkitab telah ditulis oleh keturunan Yehuda), dan kayu Joseph boleh mewakili Kitab Mormon (kerana keluarga Lehi merupakan keturunan Joseph dari Mesir). Dengan mengingati hal ini, apakah yang ayat-ayat ini ajarkan anda tentang peranan tulisan suci dalam pengumpulan orang Israel? Apakah yang 2 Nefi 3:11–13 (nubuat tentang Joseph Smith dan Kitab Mormon) tambahkan kepada pemahaman anda?
Lihat juga 2 Nefi 29:14.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Yehezkiel 33:1–5.Untuk menggambarkan ayat-ayat ini, seorang ahli keluarga boleh berlakon sebagai “penjaga” dengan melihat ke luar tingkap dan memberitahu ahli keluarga yang lain perkara yang berlaku di luar. Bagaimanakah nabi hidup kita menjadi seperti penjaga bagi kita?
-
Yehezkiel 33:15–16.Apakah yang ayat-ayat ini ajarkan kita tentang keampunan yang kita boleh terima melalui Yesus Kristus?
-
Yehezkiel 36:26–27.Tunjukkan kepada keluarga anda beberapa biji batu semasa anda membincangkan maksud memiliki “hati yang keras”. Biarkan mereka mencadangkan perkataan yang menjelaskan “hati yang baharu” dan “roh yang baharu” yang Juruselamat berikan kepada kita (lihat Mosia 3:19; 5:2).
-
Yehezkiel 37:15–28.Ahli keluarga boleh mencari dua batang kayu dan tuliskan Untuk Yehuda (Alkitab) pada salah satunya dan yang satu lagi Untuk Joseph (Kitab Mormon) (lihat ayat 16–19). Mereka kemudiannya boleh berkongsi cerita atau tulisan suci daripada Alkitab dan Kitab Mormon yang membantu mereka merasa lebih dekat kepada Juruselamat dan menjadi “umat [Nya]” (ayat 23).
-
Yehezkiel 47:1–12.Ayat-ayat ini menggambarkan penglihatan Yehezkiel tentang air mengalir dari bait suci dan menyembuhkan Laut Mati—laut yang begitu masin sehingga ikan dan tumbuhan tidak dapat hidup di dalamnya. Kanak-kanak mungkin berseronok melukis gambaran mengenai penglihatan ini. Apakah yang dilambangkan oleh air yang mengalir dari bait suci? Bagaimanakah bait suci membantu menyembuhkan kita? (lihat Yehezkiel 47:8–9,11).
Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu yang dicadangkan: “Berharga bagi Gembala”, Nyanyian Rohani, no.100.