Perjanjian Lama 2022
10–16 Oktober. Yeremia 1–3; 7; 16–18; 20: “Sebelum Aku Membentuk Engkau Dalam Rahim Ibumu [Aku Mengenali Engkau]”


“10–16 Oktober. Yeremia 1–3; 7; 16–18; 20: ‘Sebelum Aku Membentuk Engkau Dalam Rahim Ibumu [Aku Mengenali Engkau],’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“10–16 Oktober. Yeremia 1–3; 7; 16–18; 20,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga 2022

nabi sedang bercakap dengan para lelaki

Jeremiah (Yeremia), oleh Walter Rane

10–16 Oktober

Yeremia 1–3; 7; 16–18; 20

“Sebelum Aku Membentuk Engkau Dalam Rahim Ibumu [Aku Mengenali Engkau]”

Elder David A. Bednar berkata: “Salah satu cara saya mendengar [Tuhan] adalah dalam tulisan suci. Tulisan suci ialah suara Tuhan yang telah dirakamkan terdahulu” (“‘Hear Him’ in Your Heart and in Your Mind”, ChurchofJesusChrist.org).

Catat Tanggapan Anda

Pada mulanya, Yeremia tidak menyangka dia akan menjadi seorang nabi yang baik. “Aku tidak pandai bercakap”, dia membantah apabila Tuhan memanggilnya pada awalnya (Yeremia 1:6). Tuhan memberi kepastian kepadanya, “Aku memberi engkau firman-Ku yang harus engkau ucapkan” (ayat 9). Yeremia merasakan bahawa dia “masih terlalu muda” (ayat 6) dan tidak berpengalaman, tetapi Tuhan telah menjelaskan bahawa dia lebih bersedia daripada yang disedarinya—dia telah ditahbiskan dengan panggilan ini malah sebelum dia dilahirkan (lihat ayat 5). Jadi Yeremia mengetepikan ketakutannya dan menerima panggilan itu. Dia telah memberi peringatan kepada raja-raja dan imam-imam Yerusalem bahawa kekudusan mereka yang berpura-pura tidak akan menyelamatkan mereka daripada kehancuran. Jejaka “masih terlalu muda” yang merasakan dia tidak pandai bercakap mula merasakan firman Tuhan “bagaikan api yang membara dalam hati sanubari[nya]” dan tidak dapat dipadamkan (Yeremia 20:9).

Kisah Yeremia juga merupakan kisah kita. Tuhan mengenali kita juga, sebelum kita dilahirkan dan telah mempersiapkan kita untuk melakukan kerja-Nya di bumi. Antara lainnya, kerja itu termasuk sesuatu yang telah dinubuat oleh Yeremia: mengumpulkan umat Tuhan, satu per satu, untuk “membawa [mereka] kembali ke Bukit Sion” (Yeremia 3:14). Di samping itu, walaupun kita tidak betul-betul tahu perkara untuk dilakukan atau dikatakan, kita harus “jangan takut…; kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu” (Yeremia 1:8, 19).

Untuk gambaran keseluruhan kitab Yeremia, lihat “Yeremia” dalam Panduan Tulisan Suci.

ikon pengkajian peribadi

Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Yeremia 1:4–19; 7:1–7; 20:8–10

Para nabi telah dipanggil untuk mengucapkan firman Tuhan.

Apabila anda membaca dalam Yeremia 1:4–19 tentang panggilan Yeremia untuk menjadi nabi, renungkan peranan nabi dalam hidup anda. Apakah yang anda pelajari tentang nabi daripada firman Tuhan kepada Yeremia? (lihat juga Yeremia 7:1–7). Ajaran Yeremia sering ditolak (lihat Yeremia 20:8, 10). Apakah yang anda pelajari daripada firman Yeremia dalam Yeremia 20:9? Ingatlah pesanan ini sepanjang pengkajian anda mengenai ajaran Yeremia. Apakah yang anda temui dalam ajaran-ajaran ini yang mengilhami anda untuk mengikuti nabi zaman akhir kita?

Yeremia 1:5

Tuhan mengenali saya sebelum saya dilahirkan.

Sebelum Yeremia dilahirkan, Tuhan telah mengenali dan memilihnya atau mentahbiskan sebelumnya untuk dia menyempurnakan misi di bumi (lihat Jeremiah 1:5). Mengapakah pada pendapat anda, pengetahuan tentang hal ini bernilai bagi Yeremia?

Tuhan juga mengenali anda sebelum anda dilahirkan dan telah mentahbiskan sebelumnya tanggungjawab tertentu untuk anda (lihat Alma 13:1–4; Ajaran dan Perjanjian 138:53–56; Abraham 3:22–23). Apakah perbezaan dalam hidup anda dengan mengetahui tentang hal ini? Jika anda telah menerima berkat bapa bangsa, anda boleh mengkaji semula dengan sungguh-sungguh dan bertanya kepada Tuhan cara melaksanakan kerja yang ditahbiskan sebelumnya oleh-Nya untuk anda lakukan.

seseorang sedang berdiri di perigi purba

Orang Israel purba telah menggunakan perigi untuk menyimpan air yang berharga.

Yeremia 2; 7

“Mereka meninggalkan Aku, sumber air pemberi hidup kepada manusia”.

Di wilayah gersang yang orang Israel tinggal, orang ramai menyimpan air yang berharga di dalam takungan bawah tanah yang dipanggil perigi. Mengapakah menerima air daripada sumber air pemberi hidup lebih baik daripada bergantung pada perigi? Apakah maksudnya untuk meninggalkan “sumber air pemberi hidup”? Pada pendapat anda, apakah yang mungkin dilambangkan oleh “kolam yang bocor” yang disebut dalam Yeremia 2:13? Apabila anda membaca Yeremia 2 dan7, perhatikan cara orang ramai telah meninggalkan sumber air pemberi hidup dan fikirkan tentang cara anda menerima sumber air pemberi hidup dalam hidup anda.

Yeremia 7 ditujukan kepada mereka yang masuk ke “rumah Tuhan dan berdiri di pintu gerbang … untuk beribadat” (Yeremia 7:2). Namun, di sebalik penampilan luaran yang kelihatan taat ini, mereka bersalah atas kejahatan yang teruk (lihat ayat 2–11). Apakah pesanan yang anda rasa mungkin disampaikan oleh Tuhan kepada anda dalam ayat 21–23?

Yeremia 3:14–18; 16:14–21

Tuhan akan mengumpulkan umat-Nya.

Apabila Yeremia bernubuat tentang pengumpulan orang Israel yang tercerai-berai, dia mengatakan bahawa pengumpulan ini lebih agung daripada Keluaran dari Mesir (lihat Yeremia 16:14–15). Dengan semangat yang serupa, Presiden Russell M. Nelson berkata: “Anda diutus ke bumi pada masa khas ini … untuk bantu mengumpul Israel. Tiada apa pun berlaku di bumi sekarang yang lebih penting dari [pengumpulan] itu. … Pengumpulan ini sepatutnya sungguh penting bagi anda” (Russell M. Nelson dan Wendy W. Nelson, “Harapan Israel” [pertemuan rohani sedunia, 3 Jun 2018, tambahan kepada New Era dan Ensign, Ogos 2018, 12, ChurchofJesusChrist.org).

Apabila anda mempelajari Yeremia 3:14–18; 16:14–21, apakah yang mengilhami anda tentang pengumpulan orang Israel zaman akhir? Apakah yang dicadangkan oleh ayat-ayat ini mengenai cara pengumpulan itu akan berlaku? Apakah pandangan tambahan yang anda peroleh dalam pesanan Presiden Nelson yang selebihnya, yang disebut di atas?

ikon pengkajian sekeluarga

Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Yeremia 1:5.Anda boleh menggunakan ayat ini untuk membincangkan tentang hidup kita dengan Bapa Syurgawi sebelum kita dilahirkan. Sumber seperti “Pengenalan: Rancangan Bapa Syurgawi Kita” (dalam Cerita-cerita Perjanjian Baru, 1–5) mungkin berguna. Bagaimanakah dengan mengetahui tentang kehidupan pra-fana kita mempengaruhi cara kita menjalani kehidupan fana kita?

Yeremia 2:13; 17:13–14.Untuk membantu ahli keluarga membayangkan ayat-ayat ini, anda boleh menunjukkan perkara yang berlaku apabila anda memasukkan air ke dalam bekas yang telah retak atau pecah. Apakah yang mungkin diwakili oleh “sumber air pemberi hidup” dan “kolam yang bocor”? (Yeremia 2:13). Bagaimanakah kita minum daripada air pemberi hidup Tuhan?

Yeremia 16:16.Presiden Russell M. Nelson telah membandingkan pemancing dan pemburu dalam ayat ini kepada penginjil zaman akhir. Ahli keluarga boleh “memburu” objek di sekeliling rumah anda dan membincangkan tentang cara anda boleh membantu “memancing” serta “memburu” Israel yang tercerai-berai.

Yeremia 18:1–6.Untuk menerokai ayat-ayat ini, anda boleh membincangkan atau menunjukkan cara tembikar dibuat. Apakah pesanan yang disampaikan oleh Tuhan kepada orang Israel dalam Yeremia 18:1–6? Apakah maksudnya sebagai tanah liat untuk diciptakan Tuhan? (lihat juga Yesaya 64:8). Untuk cerita lain yang mengibaratkan kita sebagai tanah liat tembikar, lihat pesanan Elder Richard J. Maynes “Kegembiraan dari Menjalani Kehidupan Yang Berpusat Pada Kristus” (Ensign atau Liahona, Nov. 2015, 27–30).

Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu yang dicadangkan: “Israel, Tuhanmu Memanggil”, Nyanyian Rohani, no.6.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Gunakan cerita. Juruselamat sering mengajar menggunakan cerita. Fikirkan cerita daripada kehidupan anda sendiri yang merealisasikan penerapan asas injil. (Lihat Teaching in the Savior’s Way, 22.)

tanah liat di atas roda tembikar

“Hai umat Israel, …Sebagaimana tanah liat itu dalam tangan tukang periuk, demikian juga kamu dalam tangan-Ku.” (Yeremia 18:6).