“17–23 Oktober. Yeremia 30–33; 36; Ratapan 1; 3: ‘Aku Akan Mengubah Kedukaan Mereka Menjadi Kesukaan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“17–23 Oktober. “Yeremia 30–33; 36; Ratapan 1; 3,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
17–23 Oktober
Yeremia 30–33; 36; Ratapan 1; 3
“Aku Akan Mengubah Kedukaan Mereka Menjadi Kesukaan”
Semasa anda mencatat tanggapan anda, fikirkan cara asas-asas dalam Yeremia dan Ratapan berkaitan dengan perkara lain yang anda telah pelajari dalam Perjanjian Lama.
Catat Tanggapan Anda
Apabila Tuhan mula-mula memanggil Yeremia untuk menjadi nabi, Dia telah memberitahu bahawa misinya adalah “untuk mencabut dan menjatuhkannya” (Yeremia 1:10)—dan di Yerusalem, terdapat banyak kejahatan untuk dicabut dan dijatuhkan. Namun, ini hanya merupakan sebahagian daripada misi Yeremia—dia juga dipanggil “untuk membina dan menegakkannya” (Yeremia 1:10). Apakah yang boleh dibina atau ditegakkan dalam kehancuran yang ditinggalkan berikutan pemberontakan di Israel? Begitu juga, apabila dosa atau kesukaran telah menghancurkan hidup kita, bagaimanakah kita boleh membina dan menegakkan semula? Jawapannya ada dalam “Seorang yang adil” (Yeremia 33:15), Mesias yang dijanjikan. Mesias membawa “perjanjian yang baru” (Yeremia 31:31)—perjanjian yang memerlukan lebih daripada komitmen bersifat luaran atau penampilan yang kelihatan taat. Hukumnya hendaklah “dalam batin [kita]”, ditulis “pada hati [kita]”. Inilah maksud sebenar untuk Tuhan “menjadi Tuhan [kita], dan kita akan menjadi umat [Dia]” (Yeremia 31:33). Ini merupakan proses sepanjang hayat dan kita masih akan melakukan kesilapan dan ada sebabnya untuk berduka dari semasa ke semasa. Namun, apabila kita berbuat demikian, kita menerima janji ini daripada Tuhan: “Aku akan mengubah kedukaan mereka menjadi kesukaan” (Yeremia 31:13).
Untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang Ratapan, lihat “Kitab Ratapan” dalam Panduan Tulisan Suci (scriptures.ChurchofJesusChrist.org).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan akan melepaskan orang Israel daripada penawanan dan mengumpulkan mereka.
Dalam Yeremia 30–31; 33 Tuhan telah memberitahu tentang “ratapan, tangisan yang penuh kepedihan” (Yeremia 31:15), yang orang Israel akan alami apabila mereka dalam penawanan. Walau bagaimanapun, Dia turut menawarkan ucapan yang menghiburkan dan penuh harapan. Apakah frasa dalam bab-bab ini yang pada pendapat anda akan menghiburkan dan memberi harapan kepada orang Israel? Apakah janji daripada Tuhan kepada umat-Nya yang anda temui? Bagaimanakah janji-janji ini mungkin berkaitan dengan anda pada hari ini?
“Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Tuhan mereka”.
Walaupun orang Israel telah memungkiri perjanjian mereka dengan Tuhan, Yeremia menubuatkan bahawa Tuhan akan mewujudkan satu “perjanjian yang baru” dan “kekal” dengan umat-Nya (Yeremia 31:31; 32:40). Perjanjian yang baru dan kekal ialah “kegenapan Injil Yesus Kristus [lihat Ajaran dan Perjanjian 66:2]. Itu adalah baru setiap kali diungkapkan sekali lagi menyusul suatu tempoh masa kemurtadan. Itu adalah kekal dalam pengertian bahawa itu adalah perjanjian Tuhan dan telah dinikmati dalam setiap zaman keagamaan injil di mana orang-orang telah bersedia untuk menerimanya” (Panduan Tulisan Suci, “Perjanjian yang Baru dan Kekal”, scriptures.ChurchofJesusChrist.org; italik ditambahkan).
Apabila anda membaca Yeremia 31:31–34; 32:37–42, renungkan maksudnya bagi anda untuk menjadi sebahagian daripada umat perjanjian Tuhan. Bagaimanakah ayat-ayat ini mempengaruhi cara anda melihat hubungan perjanjian anda dengan Tuhan? Apakah maksudnya untuk hukum-Nya ditulis pada hati anda? (lihat Yeremia 31:33).
Lihat juga Yeremia 24:7; Ibrani 8:6–12.
Tulisan suci mempunyai kuasa untuk memalingkan saya daripada kejahatan.
Tuhan mengarahkan Yeremia untuk mencatat nubuatnya dalam “sebuah naskhah gulungan” atau skrol, menjelaskan bahawa jika orang ramai mendengar nubuat ini, “apabila … mungkin mereka akan berhenti berbuat jahat. Jika demikian, Aku pun akan mengampunkan kejahatan dan dosa mereka” (Yeremia 36:2–3). Apabila anda membaca Yeremia 36, pertimbangkan untuk mencatat perasaan orang-orang yang berikut tentang nubuat-nubuat ini:
Tuhan:
Yeremia:
Barukh:
Jehudi dan Raja Yoyakim:
Elnathan, Delaiah dan Gemariah:
Renungkan perasaan anda terhadap tulisan suci ini dan peranan tulisan suci ini dalam hidup anda. Bagaimanakah tulisan suci ini telah membantu anda berpaling daripada kejahatan?
Tuhan boleh melegakan kesedihan yang kita alami kerana dosa.
Kitab Ratapan terdiri daripada koleksi puisi yang ditulis setelah kemusnahan Yerusalem dan bait suci Yerusalem. Mengapakah pada pendapat anda, ratapan ini yang dipelihara dan dimasukkan dalam Perjanjian Lama adalah penting? Pertimbangkan metafora dalam Ratapan 1 dan 3 yang membantu anda memahami tentang kesedihan yang orang Israel alami. Apakah pesanan harapan dalam Kristus yang anda temui? (lihat terutamanya Ratapan 3:20–33; lihat juga Matius 5:4; Yakobus 4:8–10; Alma 36:17–20).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Yeremia 31:3.Bagaimanakah Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus menunjukkan “kasih yang kekal” mereka terhadap kita? Dengan menunjukkan gambar mengenai benda yang Kristus telah ciptakan untuk kita atau lakukan sepanjang pelayanan fana-Nya, keluarga anda akan dapat merasai “kasih-Nya”.
-
Yeremia 31:31–34; 32:38–41.Pertimbangkan untuk membuat senarai perkara dalam ayat-ayat ini yang Tuhan janjikan semasa kita membuat perjanjian dengan-Nya. Bagaimanakah ayat-ayat ini mengajar kita tentang kepentingan perjanjian kita?
Alih keluarga juga boleh menulis (atau melukis) di atas hati kertas sesuatu yang menunjukkan perasaan mereka terhadap Juruselamat. Apakah maksudnya untuk hukum-Nya ditulis dalam hati kita? (lihat Yeremia 31:33). Bagaimanakah kita menunjukkan kepada Tuhan bahawa kita mahu menjadi umat-Nya?
-
Yeremia 36.Bagaimanakah anda boleh menggunakan Yeremia 36 untuk membantu keluarga anda memahami tentang kepentingan tulisan suci? (lihat, contohnya, ayat-ayat 1–6, 10, 23–24, 27–28,32). Anda boleh meminta seorang ahli keluarga untuk membaca ayat daripada bab ini sementara ahli keluarga yang lain menulis ayat tersebut, seperti yang dilakukan oleh Barukh untuk Yeremia. Mengapakah kita bersyukur atas usaha orang seperti Barukh, yang telah memelihara firman para nabi? Apakah yang kita boleh lakukan untuk menunjukkan kepada Tuhan bahawa kita menghargai firman-Nya dalam tulisan suci?
-
Ratapan 3:1–17, 21–25, 31–32.Sebagai satu keluarga, anda boleh membincangkan bagaimana cara perasaan yang diluahkan dalam Ratapan 3:1–17 boleh dikaitkan dengan perasaan kita apabila berdosa. Bagaimanakah pesanan dalam ayat-ayat 21–25, 31–32 mempengaruhi kehidupan kita?
Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu yang dicadangkan: “Kurasakan Kasih Jurus’lamat”, Buku Nyanyian Anak-anak, 42.