“14–20 November. Amos; Obaja: ‘Kembalilah kepada Tuhan, Maka Kamu Akan Hidup,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“14–20 November. Amos; Obaja,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
14–20 November
Amos; Obaja
“Kembalilah kepada Tuhan, Maka Kamu Akan Hidup”
Roh Kudus boleh membuka minda dan hati anda kepada pesanan dalam firman Tuhan yang dimaksudkan hanya untuk anda. Apakah yang anda rasa Tuhan mahu anda pelajari pada minggu ini?
Catat Tanggapan Anda
Tuhan telah memilih keturunan Abraham untuk menjadi umat perjanjian-Nya supaya mereka menjadi “berkat” bagi bangsa lain (lihat Kejadian 12:2–3). Namun, sebaliknya, sehingga zaman pelayanan Amos, ramai daripada umat perjanjian menindas orang miskin dan tidak mengendahkan nabi, menyebabkan perbuatan menyembah mereka tidak membuahkan hasil dan tidak bermakna (lihat Amos 2:6–16). Memang betul, negara-negara di sekeliling mereka juga melakukan dosa yang teruk (lihat Amos 1; 2:1–5), tetapi itu tidak sekali-kali boleh menjadi alasan untuk umat Tuhan (lihat Amos 3:2). Oleh itu, Tuhan telah mengutus seorang penggembala dari Yehuda bernama Amos untuk mengajar Kerajaan Israel tentang pertaubatan. Kemudian, Tuhan juga menyatakan melalui nabi Obaja bahawa walaupun Kerajaan Yehuda telah dimusnahkan, Tuhan akan mengumpulkan dan memberkati umat-Nya sekali lagi. Umat perjanjian telah menyimpang daripada Tuhan, kedua-dua nabi telah bersaksi, tetapi mereka tidak akan disingkirkan selamanya. Apabila Tuhan mengungkapkan rancangan-Nya kepada para nabi-Nya (lihat Amos 3:7), kita boleh mentafsir hal ini sebagai suatu tanda bahawa Dia masih mahu membantu kita menggenapi perjanjian yang kita telah buat dengan-Nya.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kitab Amos dan Obaja, lihat “Amos” dan “Obaja” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan mengungkapkan kebenaran melalui para nabi-Nya.
Dalam Amos 3:3–6, nabi Amos telah membentangkan beberapa contoh sebab dan akibat: oleh kerana singa mendapat mangsa, singa mengaum; oleh kerana perangkap yang berumpan telah diletakkan untuk burung, burung terperangkap. (Ambil perhatian bahawa dalam Terjemahan Joseph Smith ayat 6, perkataan “mendatangkan” telah diubah kepada “mengetahui” [dalam Amos 3:6, nota kakib].) Dalam ayat 7–8, Amos telah menggunakan logik ini pada para nabi. Apakah yang menyebabkan seorang nabi bernubuat? Apakah lagi yang anda pelajari tentang para nabi apabila anda membaca Amos 7:10–15? Renungkan sebab anda bersyukur bahawa Tuhan masih “menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi” (Amos 3:7). Apakah yang kebenaran ini cadangkan kepada anda mengenai Tuhan?
Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 1:38; 21:4–8; 35:13–14.
“Kembalilah kepada Tuhan, maka kamu akan hidup.”
Semasa anda membaca Amos 4:6–13, perhatikan penghakiman yang telah dikenakan ke atas umat Israel oleh Tuhan. Apakah yang dicadangkan dalam ayat-ayat ini tentang perkara yang Tuhan harapkan akan berlaku selepas setiap pengalaman ini? (lihat juga Helaman 12:3). Fikirkan tentang ujian yang anda telah alami baru-baru ini. Walaupun ujian anda mungkin tidak dihantar oleh Tuhan, renungkan cara ujian ini boleh memberi anda peluang untuk kembali kepada-Nya.
Baca Amos 5:4, 14–15 dan renungkan cara Tuhan “mengasihani” (ayat 15) anda apabila anda kembali kepada-Nya, walaupun sepanjang tempoh ujian anda.
Firman Tuhan boleh memenuhi kelaparan dan kehausan rohani.
Kita semua mengalami tempoh kelaparan dan kehausan rohani tetapi kita tidak perlu “mengembara dari Laut Mati ke Laut Tengah” (Amos 8:12) untuk mendapatkan sesuatu yang memenuhi keperluan kita. Kita tahu perkara yang akan memenuhi kelaparan rohani itu dan kita telah diberkati firman Tuhan dengan banyaknya. Apabila anda membaca Amos 8:11–12, fikirkan tentang sebab kebuluran merupakan perbandingan yang bagus untuk mengibaratkan kehidupan tanpa firman Tuhan. Apakah pandangan tambahan yang anda peroleh dalam Matius 5:6; Yohanes 6:26–35; 2 Nefi 9:50–51; 32:3; Enos 1:4–8?
Siapakah “penyelamat … di bukit Sion”?
Presiden Gordon B. Hinckley telah memberikan satu tafsiran yang mungkin untuk frasa “penyelamat di bukit Sion”, yang mengaitkan frasa itu dengan kerja bait suci dan sejarah keluarga: “[Di bait suci] kita benar-benar menjadi penyelamat di Bukit Sion. Apakah maksudnya? Sama seperti Penebus kita telah memberikan Nyawa-Nya sebagai pengorbanan untuk semua manusia dan dengan berbuat demikian telah menjadi Juruselamat kita, begitu juga dengan kita, melalui usaha yang kecil, apabila kita terlibat dalam kerja proksi di bait suci, boleh menjadi penyelamat kepada mereka di seberang sana, yang tidak berupaya untuk mara ke hadapan melainkan sesuatu dibuat bagi pihak mereka oleh orang di bumi” (“Closing Remarks”, Ensign atau Liahona, Nov. 2004, 105).
Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Amos 3:7.Anda boleh menyemak beberapa pesanan terbaru daripada Presiden Gereja dan membincangkan perkara yang diungkapkan oleh Tuhan kepada keluarga anda melaluinya. Mengapakah mempunyai seorang nabi untuk memimpin Gereja adalah penting? Bagaimanakah kita boleh mengetahui bahawa dia seorang nabi yang benar? Apakah yang kita sedang lakukan untuk mengikut nasihatnya?
-
Amos 5:4.Keluarga anda boleh menghasilkan poster untuk digantung di dalam rumah anda dengan ayat ini di atasnya. Apakah yang dimaksudkan untuk kembali kepada Tuhan? Bagaimanakah kita kembali kepada-Nya? Apakah berkat yang kita terima apabila kita berbuat demikian? Anda boleh menjemput ahli keluarga untuk berkongsi dan membincangkan pesanan lain yang mengajar tentang Tuhan, seperti Matius 7:7–8; Eter 12:41 dan Ajaran dan Perjanjian 88:63.
-
Amos 8:11–12.Kanak-kanak mungkin seronok beraksi mengikut frasa dalam ayat-ayat ini. Apabila badan kita lapar atau dahaga, apakah yang kita lakukan? Apabila roh kita lapar atau dahaga, apakah yang kita lakukan? Bagaimanakah Pemulihan injil memenuhi kelaparan rohani kita?
-
Obaja 1:21.Apakah maksud yang mungkin untuk menjadi “penyelamat … di bukit Sion”? (Untuk satu penjelasan yang mungkin, lihat pernyataan oleh Presiden Gordon B. Hinckley dalam “Idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi”.) Nenek moyang kita yang manakah memerlukan tatacara penyelamatan? Apakah yang kita akan lakukan untuk membantu mereka?
Untuk mendapatkan idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu yang dicadangkan: “Kami Bersyukur bagi Nabi”, Nyanyian Rohani, no.8.