Perjanjian Baru 2023
26 Disember–1 Januari. Kita Bertanggungjawab Untuk Pembelajaran Diri Sendiri


“26 Disember–1 Januari. Kita Bertanggungjawab Untuk Pembelajaran Diri Sendiri,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Baru 2023 (2022)

“26 Disember–1 Januari. Kita Bertanggungjawab Untuk Pembelajaran Diri Sendiri,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2023

Imej
keluarga sedang melihat album gambar

26 Disember–1 Januari

Kita Bertanggungjawab Untuk Pembelajaran Diri Sendiri

Ketika anda membaca tulisan-tulisan suci dalam panduan ini, catatkan sebarang tanggapan rohani yang anda perolehi. Anda akan perhati bahawa setiap panduan dalam buku panduan ini mempunyai aktiviti-aktiviti untuk kanak-kanak yang lebih kecil dan kanak-kanak yang lebih besar, namun anda boleh ubahsuaikan apa pun aktiviti untuk kelas anda.

Imej
ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Di permulaan setiap kelas, berikan kanak-kanak peluang untuk kongsi apa yang mereka pelajari tentang injil. Contohnya, minggu ini anda boleh menjemput mereka untuk kongsi cerita kegemaran mereka mengenai Yesus Kristus.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Yesus Kristus ingin saya mengikut Dia.

Anda dan kanak-kanak kelas anda akan membaca banyak cerita daripada kehidupan Yesus Kristus tahun ini. Bantu kanak-kanak faham bahawa kita pelajari cerita-cerita ini supaya kita boleh mengikut teladan sempurna Yesus Kristus dengan lebih baik.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Beritahu kanak-kanak tentang jemputan Juruselamat, “Ikutlah aku,” yang terdapat dalam Matius 4:18–22. Lakukan aktiviti di mana seorang kanak-kanak melakukan aksi dan kemudian memberitahu kanak-kanak yang lain, “Ikutlah Aku.” Jemput kanak-kanak lain untuk ulangi aksi itu.

  • Tunjukkan gambar orang yang mengikuti Juruselamat dengan cara yang berbeza, semasa pelayanan fana-Nya dan pada zaman kita. Anda boleh mencari gambar dalam Buku Seni Injil atau dalam majalah Gereja. Minta kanak-kanak mengenal pasti bagaimana orang mengikut Juruselamat.

  • Bantu kanak-kanak untuk fikirkan perkara-perkara yang mereka sedang lakukan untuk mengikut Juruselamat. Menyanyi “Sejak Kecil Ku Mencari Tuhan” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 67) boleh memberi mereka idea. Benarkan kanak-kanak melukis diri mereka melakukan perkara-perkara tersebut.

Imej
budak lelaki membaca kitab suci

Kanak-kanak boleh peroleh kesaksian sendiri tentang kebenaran tulisan suci.

Kitab-kitab suci adalah benar.

Kanak-kanak boleh memperoleh kesaksian bahawa kitab suci adalah benar bahkan sebelum mereka boleh membaca. Apabila anda mengkaji tulisan suci bersama kanak-kanak tahun ini, anda dapat membantu mereka tahu bahawa kitab suci adalah benar.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Jemput kanak-kanak untuk ceritakan hadiah-hadiah kegemaran yang mereka telah terima di hari jadi atau sempena lain. Bawa satu jilid kitab suci yang telah dibungkus dengan kertas hadiah, minta seseorang membukanya, dan bersaksi bahawa kitab suci merupakan kurniaan Tuhan untuk kita.

  • Tunjukkan kepada kanak-kanak beberapa buku cerita fiksyen, dan tanyakan mereka tentang cerita kegemaran mereka. Tunjukkan kepada mereka tulisan suci, dan bersaksi bahawa tulisan suci mengandungi firman Tuhan untuk kita. Ia menceritakan tentang orang-orang yang benar-benar hidup dan perkara yang benar-benar berlaku.

  • Kongsi mesej yang terdapat dalam 2 Timotius 3:15 dan Moroni 10:3–5, bantu kanak-kanak mengulangi beberapa frasa. Bantu mereka untuk faham bahawa mereka sendiri boleh tahu kebenaran kitab suci.

  • Sembunyikan satu gambar Juruselamat, dan berikan kanak-kanak petunjuk untuk membantu mereka mencarinya. Bantu kanak-kanak faham bagaimana pengkajian kitab suci dapat membantu kita mengenali Yesus Kristus. Minta kanak-kanak bergilir untuk menyembunyikan gambar dan memberikan petunjuk kepada kanak-kanak lain.

  • Nyanyi bersama sebuah lagu tentang pembelajaran injil, seperti “Cari, Renungkan Dan Berdoa” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 66), dan bantu kanak-kanak membuat aksi mengikut perkataan. Kongsi dengan kanak-kanak satu atau dua ayat suci kegemaran anda, dan beritahu mereka bagaimana anda tahu bahawa kitab suci adalah benar. Jika kanak-kanak mempunyai ayat suci atau kisah tulisan suci kegemaran, jemput mereka untuk berkongsi.

Imej
ikon pengajaran

Mengajar Ajaran: Kanak-kanak yang Lebih Besar

Yesus Kristus ingin saya belajar tentang Dia dan mengikut Dia.

Fikirkan bagaimana anda telah mengenali Yesus Kristus. Apakah yang anda boleh lakukan untuk membantu kanak-kanak belajar mengenai-Nya dan mengikut Dia?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Jemput kanak-kanak untuk ceritakan tentang seorang rakan rapat yang mereka kenal dan jelaskan bagaimana orang ini menjadi rakan mereka. Baca dan bincangkan Yohanes 5:39 dan Yohanes 14:15 untuk mencari cara-cara kita dapat berasa dekat dengan Yesus. Minta kanak-kanak untuk kongsi masa-masa mereka berasa dekat kepada Dia.

  • Bawa kelas anda untuk berjalan di sekeliling bangunan Gereja. Jemput kanak-kanak untuk angkat tangan apabila mereka melihat sesuatu dalam perjalanan yang mengingatkan mereka bagaimana mereka boleh mengikut Juruselamat (contohnya kolam pembaptisan atau satu gambar).

  • Nyanyi bersama kanak-kanak lagu tentang mengikuti Yesus Kristus, seperti “Ikut Aku” (Nyanyian Rohani, no. 43). Jemput kanak-kanak untuk kongsi masa-masa mereka telah mengikuti teladan Juruselamat.

Saya boleh mengkaji kitab suci untuk diri sendiri.

Ketika anda membaca ayat suci bersama kanak-kanak dan bertanya mereka soalan-soalan, anda boleh meningkatkan keyakinan mereka bahawa mereka dapat belajar dari kitab suci dan memperoleh pengetahuan yang berharga.

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Baca bersama Yohanes 5:39 dan Kisah Rasul-Rasul 17:10–11, dan tanya kanak-kanak apa yang mereka pelajari tentang cara mengkaji tulisan suci.

  • Pilih beberapa ayat suci yang mudah, dan berkuasa dari Perjanjian Baru, tuliskan setiap ayat di atas sekeping kertas, dan sembunyikan kertas-kertas tersebut. Ciptakan beberapa petunjuk yang akan membimbing kanak-kanak dalam permainan “mencari harta karun” dalam bilik atau bangunan gereja untuk mencarikan ayat-ayat suci itu. Setelah mereka menjumpai setiap ayat suci, bincangkan makna tulisan suci itu dan bagaimanakah ia satu harta karun.

  • Kongsi beberapa ayat suci yang penting bagi anda dan mengapa ia berharga. Sebagai kelas, kumpulkan satu senarai ayat suci berharga yang kanak-kanak dapati dalam Perjanjian Baru tahun ini—di rumah atau ketika Sekolah Primer.

  • Bincangkan dengan kanak-kanak berkenaan mengapa ia kadangkala susah untuk membaca kitab suci. Minta kanak-kanak berkongsi nasihat dengan satu sama lain berkenaan pengkajian kitab suci. Minta mereka berkongsi juga pengalaman-pengalaman positif tentang kitab suci.

  • Bantu kanak-kanak menciptakan kalendar mudah yang mereka boleh gunakan untuk menanda kekerapan mereka membaca kitab suci. Kalendar-kalendar ini akan menjadi peringatan kepada mereka untuk membaca kitab suci setiap hari.

Saya memerlukan kesaksian sendiri.

Kanak-kanak yang anda ajar memerlukan kesaksian mereka sendiri tentang Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Apakah yang anda boleh lakukan untuk mengilhami mereka supaya mereka belajar kebenaran itu untuk diri sendiri?

Aktiviti-aktiviti yang Bersesuaian

  • Kongsi cerita tentang sepuluh orang gadis (lihat Matius 25:1–13; lihat juga “Bab 47: Sepuluh Orang Gadis,” dalam Cerita-cerita Perjanjian Baru, 118–20). Tanya kanak-kanak soalan seperti ini: Bagaimanakah kesaksian kita seperti lampu? Mengapakah ia penting untuk memperoleh kesaksian sendiri?

  • Bincangkan apa yang kita boleh lakukan untuk memperkukuhkan kesaksian-kesaksian kita. Untuk idea, jemput kanak-kanak untuk mengkaji Yohanes 7:17 dan Moroni 10:3–5. Jemput mereka untuk kongsi perkara-perkara yang mereka tahu adalah benar.

  • Minta kanak-kanak membantu anda melabelkan blok binaan dengan kebenaran yang membentuk kesaksian kita. Minta kanak-kanak menggunakan blok-blok itu untuk membina struktur yang mewakili kesaksian.

Imej
ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Bagaimanakah anda boleh menggalakkan kanak-kanak dan ibu bapa mereka pelajari Perjanjian Baru di rumah? Contohnya, anda boleh menjemput kanak-kanak untuk menghafal salah satu tulisan suci yang anda bincangkan dalam kelas (anda boleh pecahkan tulisan suci itu kepada ungkapan pendek) dan berkongsi ayat itu dengan keluarga mereka.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Ubah suai aktiviti menurut umur dan kebolehan kanak-kanak yang anda ajar. Kanak-kanak yang lebih kecil memerlukan penjelasan yang terperinci dan belajar dari cara pengajaran yang pelbagai. Apabila kanak-kanak mula matang, mereka boleh menyumbang lebih banyak dan mungkin lebih baik dalam berkongsi fikiran mereka. Berikan mereka peluang untuk berkongsi, bersaksi, dan mengambil bahagian. Sediakan bantuan jika perlu. (Lihat Teaching in the Savior’s Way, 25–26.)

Cetak