Perjanjian Baru 2023
Memenuhi Keperluan Kanak-kanak yang Lebih Kecil


“Memenuhi Keperluan Kanak-kanak yang Lebih Kecil,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: Perjanjian Baru 2023 (2023)

“Memenuhi Keperluan Kanak-kanak yang Lebih Kecil,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer: 2023

Imej
Kanak-kanak Sekolah Primer

Memenuhi Keperluan Kanak-kanak yang Lebih Kecil

Kanak-kanak bersedia dan ingin belajar tentang injil jika ia disampaikan dengan cara yang mudah difahami. Terutamanya jika anda mengajar kanak-kanak yang lebih kecil, pertimbangkan untuk membantu mereka belajar dengan menggunakan jenis-jenis aktiviti berikut.

  • Bernyanyi. Nyanyian Rohani dan lagu-lagu dari Buku Nyanyian Anak-Anak mengajarkan ajaran dengan berkuasa. Gunakan indeks topik pada belakang Buku Nyanyian Anak-Anak untuk mencarikan lagu-lagu yang berkaitan dengan asas-asas injil yang anda ajar. Bantu kanak-kanak mengaitkan pesanan lagu dengan kehidupan mereka. Contohnya, anda boleh tanya soalan-soalan mengenai perkataan atau frasa dalam lagu. Selain menyanyi, kanak-kanak boleh lakukan gerakan yang mengiringi lagu-lagu atau mendengar lagu sebagai muzik latar belakang sambil mereka lakukan aktiviti-aktiviti lain. Untuk idea lain, lihat bahagian “Menggunakan Muzik untuk Mengajar Ajaran” dan “Membantu Kanak-kanak Belajar dan Mengingati Lagu-lagu Sekolah Primer dan Nyanyian Rohani” dalam lampiran panduan ini.

  • Mendengar atau melakonkan satu cerita. Kanak-kanak kecil menyukai cerita—dari tulisan suci, dari kehidupan anda, dari sejarah Gereja atau sejarah keluarga anda, atau dari majalah Gereja. Cari jalan untuk melibatkan mereka dalam aktiviti bercerita. Mereka boleh memegang gambar atau objek, melukis gambar tentang kisah yang diceritakan, melakonkan cerita atau membantu mengisahkan cerita. Bantu kanak-kanak mengenali kebenaran injil dalam cerita-cerita yang anda kongsi.

  • Baca tulisan suci. Kanak-kanak kecil mungkin tidak dapat membaca dengan banyak, namun anda masih boleh melibatkan mereka dalam pembelajaran tulisan suci. Anda mungkin perlu menumpukan pada satu ayat, kata kunci atau perkataan. Apabila anda membaca ayat suci dengan lantang, anda boleh menjemput mereka untuk berdiri atau mengangkat tangan apabila mereka mendengar perkataan atau frasa yang anda ingin tumpukan. Mereka mungkin dapat menghafal frasa pendek dari ayat suci jika mereka mengulanginya beberapa kali. Apabila mereka mendengar firman Tuhan, mereka akan merasai Roh.

  • Jadilah aktif. Oleh kerana kanak-kanak kecil sangat aktif, rancangkan sesuatu yang membenarkan mereka untuk bergerak—berkawat, melompat, membongkok, berjalan dan gerakan lain yang berkaitan dengan asas atau cerita yang anda ajarkan. Gerakan-gerakan ini juga berkesan apabila bernyanyi bersama.

  • Lihat sebuah gambar atau menonton sebuah video. Apabila anda menunjukkan kanak-kanak gambar atau video yang berkaitan dengan asas atau cerita injil, tanyakan kepada mereka soalan yang membantu mereka belajar dari apa yang mereka lihat. Contohnya, anda boleh tanya, “Apakah yang sedang berlaku dalam gambar atau video ini? Apakah perasaan anda?” Aplikasi Gospel Library, GospelMedia.ChurchofJesusChrist.org, dan children.ChurchofJesusChrist.org adalah tempat yang bagus untuk mencari gambar dan video.

  • Bantu dan galakkan kanak-kanak untuk berkongsi pengalaman. Kanak-kanak kecil mungkin tidak ada banyak pengalaman untuk berkongsi berbanding kanak-kanak yang lebih besar, tetapi jika anda memberikan bimbingan tertentu, mereka dapat berkongsi perasaan dan pengalaman tentang pembelajaran mereka.

  • Cipta. Kanak-kanak boleh membina, melukis atau mewarna sesuatu yang berkaitan dengan cerita atau asas yang dipelajari. Galakkan kanak-kanak untuk membawa ciptaan mereka pulang dan berkongsi dengan ahli keluarga untuk membantu kanak-kanak mengingati pelajaran.

  • Mengambil bahagian dalam pelajaran objek. Mengadakan pelajaran objek dapat membantu kanak-kanak memahami asas injil yang susah untuk difahami. Apabila menggunakan pelajaran objek, cari cara-cara yang melibatkan penyertaan kanak-kanak. Mereka akan belajar secara lebih mendalam melalui pengalaman interaktif, berbanding dengan hanya menyaksikan demonstrasi.

  • Lakon peranan. Apabila kanak-kanak bermain lakon peranan dalam situasi yang mungkin akan dihadapi oleh mereka dalam kehidupan sebenar, mereka akan dapat lebih memahami cara asas injil boleh digunakan dalam kehidupan mereka.

  • Ulangi aktiviti. Kanak-kanak kecil mungkin perlu mendengar konsep beberapa kali untuk memahaminya. Jangan takut untuk mengulang cerita atau aktiviti banyak kali, walaupun dalam pelajaran sama. Contohnya, anda boleh berkongsi satu cerita tulisan suci beberapa kali dalam cara yang berlainan—dengan membaca dari kitab suci, meringkaskan cerita itu dengan perkataan sendiri, tunjukkan video, minta kanak-kanak membantu anda menceritakan cerita, jemput mereka lakonkan cerita, dan sebagainya. Jika aktiviti yang digunakan di kelas juga diulangi di rumah, ulangan ini membantu kanak-kanak belajar dan ingat.

  • Berinteraksi dengan orang lain. Kanak-kanak sedang mengembangkan kemahiran sosial dan sering suka belajar dan bermain dengan rakan-rakan mereka. Cipta peluang-peluang untuk mereka berkongsi, mengambil giliran dan bekerjasama ketika belajar.

  • Mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti. Biasanya kanak-kanak kecil memiliki jangka perhatian yang pendek dan juga cara belajar yang berbeza. Gunakan pelbagai aktiviti dan perhatikan tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak perlukan sesuatu perubahan dalam aktiviti. Contohnya, anda boleh bersilih ganti aktiviti-aktiviti yang senyap dan yang meriah.

Imej
pengajar dan kanak-kanak di Sekolah Primer

Salah satu peranan seorang pengajar kanak-kanak kecil—selain mengajar asas-asas injil—adalah untuk membantu kanak-kanak belajar mengambil bahagian dengan sesuai dalam kelas Gereja. Contohnya, mereka boleh belajar untuk mengambil giliran, berkongsi, menghormati satu sama lain dan seterusnya. Sesetengah pengajar membuat carta yang mengandungi tugasan bagi setiap kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam kelas dengan cara tertentu (seperti memberi doa, memegang gambar atau mengedar kertas). Tugasan itu boleh berubah setiap minggu. Ini membantu kanak-kanak mengambil giliran dan bertumpu terhadap kelakuan kelas yang sesuai.

Kanak-kanak—terutamanya yang lebih kecil—sering kali bermanfaat dari rutin yang tetap dan mudah diketahui. Oleh kerana kanak-kanak kecil memiliki jangka perhatian yang pendek dan kadangkala susah untuk fokus sepanjang masa, maka adalah sesuai jika rutin ini sering berubah dari satu aktiviti ke aktiviti yang lain. Contohnya, rutin kelas anda boleh termasuk masa rehat untuk mewarna gambar, menyanyi lagu dan lain-lain.

Cetak