Ikutlah Aku
10–16 Ogos. Alma 53–63: “Dipelihara Melalui Kuasa-Nya yang Menakjubkan”


“10–16 Ogos. Alma 53–63: ‘Dipelihara Melalui Kuasa-Nya yang Menakjubkan,’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Kitab Mormon 2020 (2020)

“10–16 Ogos. Alma 53–63,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2020

dua ribu pahlawan teruna

Two Thousand Young Warriors, oleh Arnold Friberg

10–16 Ogos

Alma 53–63

“Dipelihara Melalui Kuasa–Nya yang Menakjubkan”

Semasa anda meneroka idea-idea pengajaran dalam rangka panduan ini, fikirkan apa yang berkesan dalam kelas anda, dan gunakan atau ubah suai aktiviti untuk memenuhi keperluan ahli-ahli kelas.

Mencatat Tanggapan Anda

ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Untuk menggalakkan ahli-ahli kelas untuk berkongsi apa yang mereka pelajari dari Alma 53–63, anda boleh meminta mereka untuk mengimbas bab-bab tersebut dan mencari ayat yang mereka boleh kongsi dengan seseorang yang sedang menghadapi cabaran-cabaran. Jemputlah mereka untuk berkongsi ayat-ayat ini dengan seseorang yang bukan dalam kelas.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran

Alma 53:17–21; 56:43–48, 55–56; 57:20–27; 58:39–40

Semasa kita beriman dan percaya kepada Tuhan, Dia akan menguatkan kita.

  • Anda boleh menambah kepelbagaian dalam perbincangan kelas anda tentang para askar Helaman dengan mengaitkan apa yang ahli-ahli kelas pelajari di rumah. Satu cara untuk melakukan ini adalah dengan menjemput ahli-ahli kelas untuk berkongsi ciri-ciri para pahlawan teruna yang mengagumkan mereka (beberapa dari ini boleh ditemui di Alma 53:17–21; 56:45–48; 57:20–21, 26–27; 58:40). Bagaimanakah ciri-ciri ini membantu para pahlawan teruna semasa pertempuran mereka? Bagaimanakah mereka membantu kita semasa pertempuran rohani kita? Ahli-ahli kelas juga boleh berkongsi cerita “pahlawan teruna” di masa moden.

  • Ibu bapa dalam kelas anda mungkin berharap bahawa anak-anak mereka akan membentuk iman seperti para askar muda Helaman. Untuk membantu ibu bapa dan bakal ibu bapa dalam kelas anda belajar dari cerita mereka, anda boleh membentuk satu panel yang terdiri dari beberapa individu yang boleh berkongsi idea-idea tentang membentuk iman dalam anak-anak. Mintalah ahli-ahli panel ini membaca Alma 56:47–48 dan 57:20–27 lebih awal dan bersedia untuk berkongsi pandangan tentang apa yang membantu para pahlawan teruna tersebut membentuk iman. Berikan ahli-ahli kelas masa untuk berkongsi pandangan mereka semasa ahli-ahli panel membentangkan idea-idea. Sumber-sumber lain yang boleh memperkayakan perbincangan ini termasuklah kata-kata Sister Joy D. Jones dalam “Sumber-sumber Tambahan” dan pesanan Presiden Russell M. Nelson “Suatu Rayuan Kepada Para Saudari Saya” (Ensign atau Liahona, Nov. 2015, 95–97). Di penghujung perbincangan, anda boleh memberi ahli-ahli kelas beberapa minit untuk merenungkan soalan-soalan seperti yang berikut: Siapakah yang mungkin bergantung kepada kesaksian anda? Apakah yang anda boleh katakan dan lakukan untuk menguatkan mereka?

anak-anak bangsa Nefi dengan ibu mereka

Heroes (Taught by their Mothers), oleh Liz Lemon Swindle

Alma 58:1–12, 30–3761

Kita boleh memilih untuk memikirkan yang terbaik tentang orang lain dan tidak tersinggung.

  • Reaksi Helaman ketika para askarnya tidak menerima sokongan dapat menjadi satu contoh yang kuat kepada kita ketika kita terasa disalah layani. Untuk menggalakkan perbincangan tentang contoh-contohnya, anda boleh menjemput seorang ahli kelas untuk datang dengan bersedia untuk merumuskan keadaan Helaman dan sebab-sebab kerajaan tidak memberi respon terhadap keperluannya (lihat Alma 58:1–9, 30–37; 61:2–8). Anda boleh menulis di papan tulis Respon Helaman dan Kemungkinan respon-respon yang lain. Kemudian jemputlah ahli-ahli kelas untuk menyelidiki Alma 58:1–12 dan 30–37 dan tuliskan di bawah setiap tajuk penerangan tentang fikiran Helaman, apa yang dikatakan, dan respon yang dilakukan terhadap keadaannya dan, secara bertentangan, apa yang mungkin dia telah fikirkan, katakan, atau lakukan. Apakah yang dapat kita lakukan untuk mengikuti contoh Helaman ketika kita merasa di salah layani atau diabaikan?

  • Ketika Moroni mengkritik Pahoran dalam Alma 60, Pahoran boleh memilih untuk tersinggung. Sebaliknya dia membalas bahawa dia “tidak marah” dan “[bersukacita] dalam kebesaran hati [Moroni]” (Alma 61:9). Untuk membantu ahli-ahli kelas belajar dari teladan Pahoran, anda boleh meminta mereka untuk membayangkan bahawa mereka telah diminta untuk menulis satu artikel untuk majalah Gereja yang memuatkan teladan Pahoran dalam Alma 61 untuk mengajar tentang bagaimana untuk mengelak dari tersinggung oleh orang lain. Anda boleh membahagikan ahli-ahli kelas kepada kumpulan dan meminta mereka untuk membaca Alma 61:3–14 dan senaraikan beberapa isi yang mereka akan masukkan dalam artikel mereka. Nasihat Elder David A. Bednar dalam “Sumber-sumber Tambahan” juga dapat membantu.

Alma 60:7–14

Kita mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat mereka yang berada di sekeliling kita.

  • Moroni menulis bahawa Tuhan akan mengira Pahoran bertanggungjawab jika dia sengaja mengabaikan keperluan pasukan Nefi. Pertimbangkan untuk menjemput ahli-ahli kelas untuk membaca Alma 60:7–14 bersama, dan kemudian meminta mereka untuk memikirkan tentang seseorang yang mereka kenali yang mungkin sedang memerlukan atau berasa terabai. Apakah yang boleh kita lakukan untuk peka dan memenuhi keperluan orang lain? Bagaimanakah keperluan kita dipenuhi oleh orang lain, termasuk pelayan saudara dan saudari kita?

Alma 62:39–41, 48–51

Kita harus ingat Tuhan pada masa-masa kesukaran dan kemakmuran.

  • Tindak balas bangsa Nefi terhadap masa-masa kesukaran dan kemakmuran (lihat Alma 62:39–41, 48–51) menunjukkan bahawa kita boleh pilih untuk rendah hati sama ada kita sedang mengalami kesukaran atau kemakmuran. Anda boleh menjemput ahli kelas membaca ayat-ayat ini dan berkongsi apa yang mengagumkan mereka. Anda boleh menjemput mereka untuk membincangkan pemikiran mereka secara berpasangan sebelum meminta beberapa orang untuk berkongsi dengan seluruh kelas.

ikon pembelajaran

Menggalakkan Pembelajaran di Rumah

Untuk mengilhami minat dalam Helaman 1–6, anda boleh menjelaskan kepada kelas bahawa dalam bab-bab ini bangsa Nefi menjadi jahat dan bangsa Laman soleh. Pembalikan peranan ini mengandungi pengajaran penting bagi kita di zaman akhir yang berbahaya ini.

ikon sumber

Sumber-sumber Tambahan

Menjadikan anak-anak kita menahan dosa.

Sister Joy D. Jones, Presiden Umum Sekolah Primer, berkongsi kunci berikut untuk membesarkan “satu generasi yang menahan dosa”.

“Untuk memulakan, … kita mesti menolong [anak-anak kita] mengetahui tanpa keraguan bahawa mereka anak kepada seorang Bapa Syurgawi yang penyayang dan Dia ada harapan ilahi bagi mereka.

“Kedua, pemahaman ajaran pertaubatan adalah penting untuk menahan dosa. Untuk menahan dosa tidak bererti menjadi tanpa dosa, tetapi ia bererti bertaubat dengan berterusan, berjaga-jaga, dan bermulia. Mungkin menahan dosa ialah berkat dari menentang dosa berulang kali. …

“… Kunci ketiga untuk menolong kanak-kanak untuk menahan dosa adalah untuk menanamkan ajaran dasar Injil pada umur yang awal dengan kasih sayang—menggunakan kitab suci, Fasal-Fasal Kepercayaan, risalah Untuk Kekuatan Remaja , lagu-lagu Sekolah Primer, lagu-lagu rohani, dan kesaksian peribadi kita—yang akan memimpin kanak-kanak kepada Juruselamat. …

“… Menolong kanak-kanak memahami, membuat, dan mentaati perjanjian ialah satu kunci untuk mencipta generasi yang menahan dosa. … Mengajar kanak-kanak untuk mentaati janji yang mudah semasa mereka masih kecil akan memberi kuasa kepada mereka untuk mentaati perjanjian kudus kemudian” (“Satu Generasi yang Menahan Dosa,” Ensign atau Liahona, Mei 2017, 88–89).

Bagaimana untuk mengelakkan daripada tersinggung.

Dalam pesanannya “And Nothing Shall Offend Them” (Ensign atau Liahona, Nov. 2006, 89–92), Elder David A. Bednar memberikan nasihat berikut:

  • Kenali bahawa tersinggung adalah sebuah pilihan. “Percaya bahawa seseorang atau sesuatu dapat membuat kita merasa tersinggung, marah, sakit hati, atau geram merendahkan hak pilihan moral kita dan mengubah kita menjadi sasaran untuk diperlakukan. Bagaimanapun, sebagai perantara, anda dan saya memiliki kuasa untuk bertindak dan memilih bagaimana kita akan bertindak terhadap sebuah situasi yang menyinggung atau menyakitkan.

  • Pandanglah kepada Juruselamat. “Juruselamat adalah teladan terbesar dari bagaimana kita seharusnya bertindak terhadap peristiwa atau situasi yang berpotensi untuk menyinggung” [lihat 1 Nefi 19:9].

  • Memahami kelemahan orang lain. “Salah satu penunjuk terbesar dari kematangan rohani kita sendiri diungkapkan dalam cara kita bertindak terhadap kelemahan, kekurangan pengalaman, serta tindakan yang berpotensi menyinggung diri orang lain.”

  • Berkomunikasi secara langsung. “Jika seseorang mengatakan atau melakukan sesuatu yang kita anggap menyinggung, kewajiban pertama kita adalah menolak untuk menjadi tersinggung dan kemudian berkomunikasi secara peribadi, jujur, dan langsung kepada individu tersebut. Pendekatan sedemikian mengundang ilham daripada Roh Kudus dan membolehkan kesalahan persepsi dijelaskan serta niat sebenar dapat difahami.”

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Kaitkan dengan pengalaman di rumah. Oleh kerana rumah adalah pusat pembelajaran injil, pertimbangkan bagaimana pengalaman dalam kelas anda boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku di rumah. Sebaliknya, anda boleh mengubahsuai banyak aktiviti dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga untuk kegunaan dalam kelas untuk menekankan pengkajian peribadi dan sekeluarga ahli-ahli kelas anda.