“30 Januari–5 Februari. Matius 4; Lukas 4–5: ‘Roh Tuhan Ada Pada-Ku’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu:Perjanjian Baru 2023 (2022)
“30 Januari–5 Februari. Matius 4; Lukas 4–5,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2023
30 Januari–5 Februari
Matius 4; Lukas 4–5
“Roh Tuhan Ada Pada-Ku”
Apabila anda mengkaji Matius 4 dan Lukas 4–5, catatkan tanggapan rohani anda. Ini akan menjemput inspirasi mengenai cara terbaik untuk memenuhi keperluan kelas anda. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga serta panduan ini untuk memperoleh idea-idea tambahan.
Jemput Perkongsian
Bacaan minggu ini merangkumi kenyataan ini: “Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.” (Lukas 4:32; lihat juga Markus 1:22). Jemput ahli-ahli kelas untuk berkongsi ayat-ayat dari Matius 4 dan Lukas 4–5 yang membantu mereka merasakan kuasa ajaran itu untuk diri mereka sendiri.
Mengajar Ajaran
Bapa Syurgawi telah memberi kita kuasa dan cara untuk menentang godaan.
-
Cerita Juruselamat menentang Setan dapat membantu ahli-ahli kelas mengenali cara-cara di mana Setan cuba menggoda mereka. Ahli-ahli kelas boleh memilih salah satu dari godaan dalam Matius 4:1–11 atau Lukas 4:1–13 dan fikirkan tentang godaan moden yang berkaitan (kenyataan dalam “Sumber-sumber Tambahan” mungkin boleh membantu). Mengapakah ia membantu untuk mengetahui bahawa Juruselamat menghadapi godaan serupa dengan yang kita hadapi hari ini? Mengapakah Kristus dapat menentang godaan? Untuk contoh lain tentang orang-orang dalam tulisan suci menentang Setan, lihat Kejadian 39:7–20; 2 Nefi 4:16–35; dan Musa 1:10–22.
-
Apakah yang boleh membantu ahli-ahli kelas anda menentang godaan? Anda boleh meminta mereka mengkaji semula Matius 4:1–11 atau Lukas 4:1–13 untuk mempelajari bagaimana pengetahuan Juruselamat tentang tulisan suci membantu Dia bertindak balas kepada Setan, seperti yang Dia lakukan apabila Dia katakan, “Di dalam Alkitab tertulis.” Berikan ahli-ahli kelas masa untuk melihat di bawah “Godaan” dalam Panduan Tulisan Suci untuk tulisan suci yang dapat mengukuhkan dan menguatkan mereka ketika mereka rasa tergoda.
Yesus Kristus adalah Mesias yang telah dinubuatkan.
-
Untuk membantu ahli-ahli kelas anda lebih memahami laporan dalam Lukas 4:16–32, anda boleh menerangkan bahawa tajuk Mesias dan Kristus bermaksud “yang terpilih.” Apabila ahli-ahli kelas membaca Lukas 4:18–21, minta mereka untuk berfikir tentang apa yang dimaksudkan dengan mengatakan bahawa Yesus ialah Kristus, Mesias, atau Yang Terpilih. Mereka juga boleh membaca “Yang Terpilih” dalam Panduan Tulisan Suci. Bagaimanakah Yesus mengisytiharkan bahawa Dia ialah Mesias hari ini? Ahli-ahli kelas boleh berkongsi bagaimana mereka mengetahui bahawa Yesus Kristus adalah Juruselamat mereka.
-
Mungkin terdapat pelajaran yang berguna untuk dipelajari dengan meneroka mengapa orang-orang Nasaret tidak menerima Yesus sebagai Mesias yang dinubuatkan. Apakah sebab-sebab dicadangkan dalam Lukas 4:22–24? Ahli-ahli kelas kemudian boleh membandingkan sikap ini dengan sikap balu Sarfat dan Naaman dalam Perjanjian Lama, orang yang bukan orang Israel (lihat Lukas 4:25–27). Anda boleh menghubungi beberapa ahli kelas terlebih dahulu dan minta mereka datang bersedia untuk meringkaskan setiap laporan berikut (lihat 1 Raja-Raja 17:8–24; 2 Raja-Raja 5:1–17; Lukas 4:16–30). Apakah laporan-laporan ini mengajar kita tentang memilliki iman dalam Yesus Kristus? Bolehkah anda melihat apa-apa pesanan untuk kita dalam firman-firman Juruselamat kepada orang Nasaret?
Mengikut Kristus bermaksud meninggalkan kehendak kita dan menerima kehendak-Nya.
-
Kadang-kadang arahan yang Tuhan berikan kepada kita tidak masuk akal pada mulanya. Ahli-ahli kelas boleh mengkaji Lukas 5:1–11, mencari apa yang Juruselamat minta dari Petrus dan mengapa Petrus mungkin meragui arahan-Nya. Bagaimanakah pengalaman ini telah mempengaruhi perasaan Petrus mengenai Juruselamat dan dirinya sendiri? Anda boleh menjemput ahli-ahli kelas untuk berkongsi pengalaman di mana mereka menunjukkan kepercayaan mereka kepada bimbingan ketuhanan walaupun tidak mempunyai pemahaman yang lengkap. Apakah hasilnya apabila mereka menjalankan iman mereka?
-
Seperti nelayan yang “meninggalkan segala-galanya” untuk mengikut Yesus Kristus (Lukas 5:11), terdapat hal-hal yang kita harus tinggalkan untuk menjadi pengikut-Nya. Apakah yang kita pelajari dari Matius 4:18–22 mengenai sikap dan iman Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes? Ia mungkin berguna untuk membawa jaring memancing ke kelas. Kemudian jemputlah ahli-ahli kelas untuk menuliskan hal-hal yang mereka rela tinggalkan atau telah meninggalkan untuk mengikut Kristus dan meletakkannya di dalam jaring. Pertimbangkan untuk menjemput beberapa ahli kelas untuk kongsikan bagaimana kehidupan mereka telah berubah apabila mereka memilih untuk meninggalkan segalanya demi mengikuti Juruselamat.
Sumber-sumber Tambahan
Jenis-jenis godaan.
Selepas bercakap tentang godaan-godaan yang Juruselamat hadapi di padang belantara, Presiden David O. McKay mengenal pasti tiga kategori godaan:
“(1) Godaan selera makan atau nafsu;
“(2) Menunduk kepada keangkuhan, fesyen, atau kesombongan;
“(3) Keinginan untuk kekayaan duniawi atau kuasa dan kekuasaan atas tanah atau harta benda manusia” (Teachings of Presidents of the Church: David O. McKay [2003], 82).