“10–16 April. Matius 15–17; Markus 7–9: ‘Guru ialah Penyelamat yang Diutus Oleh Tuhan’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“10–16 April. Matius 15–17; Markus 7–9,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2023
10–16 April
Matius 15–17; Markus 7–9
“Guru ialah Penyelamat yang Diutus Oleh Tuhan”
Salah satu objektif utama anda sebagai seorang pengajar adalah untuk membantu orang lain membina iman mereka pada Yesus Kristus. Ingatlah ini semasa anda mengkaji tulisan suci minggu ini. Apakah yang anda temui dapat membantu ahli-ahli kelas percaya kepada-Nya dengan lebih mendalam?
Jemput Perkongsian
Satu cara anda boleh menggalakkan ahli-ahli kelas untuk mengkaji tulisan suci secara peribadi dan dengan keluarga mereka adalah dengan menjemput mereka berkongsi setiap minggu bagaimana pengkajian tulisan suci telah membantu mereka menerima wahyu dan memberkati kehidupan mereka. Contohnya, bagaimana pengkajian bab-bab ini mempengaruhi pilihan-pilihan mereka minggu ini?
Mengajar Ajaran
Kesaksian pada Yesus Kristus datang melalui wahyu.
-
Adakah sesiapa dalam kelas anda yang pernah menjelaskan kepada seseorang tentang bagaimana mereka tahu injil adalah benar? Dalam Matius 16:13–17, apakah yang Juruselamat ajar tentang bagaimana kita menerima satu kesaksian? Anda boleh berkongsi bagaimana Alma memperolehi kesaksiannya (lihat Alma 5:45–46) atau apa yang Tuhan ajar Oliver Cowdery tentang wahyu (lihat Ajaran dan Perjanjian 6:14–15, 22–23; 8:2–3). Apa yang anda fikir Petrus atau Alma atau Oliver Cowdery mungkin akan berkata jika seseorang menanya mereka bagaimana mereka tahu injil adalah benar?
-
Mungkin terdapat orang dalam kelas anda yang berdoa untuk wahyu peribadi tetapi tidak tahu bagaimana mengenalinya apabila ia datang. Di HearHim.ChurchofJesusChrist.org, anda boleh mencari video-video di mana para pemimpin Gereja berkongsi bagaimana mereka mengenali suara Tuhan. Anda boleh menonton satu atau beberapa video ini bersama kelas dan bercakap tentang apa yang video-video itu ajarkan tentang menerima wahyu. Apakah pengajaran atau tulisan suci lain yang kelas anda boleh fikirkan yang akan membantu seseorang mengenali wahyu peribadi? (Contohnya, lihat 1 Raja-Raja 19:11–12; Galatia 5:22–23; Enos 1:1–8; Ajaran dan Perjanjian 6:22–24; 8:2–3; 9:7–9.)
Kunci imamat adalah penting untuk keselamatan kita.
-
Untuk memulakan satu perbincangan tentang kunci-kunci imamat, anda boleh menulis rujukan seperti berikut di papan tulis: Matius 16:19; Ajaran dan Perjanjian 107:18–20; 128:8–11; 132:18–19, 59; Joseph Smith—Sejarah 1:72; dan “Kunci-kunci Imamat” dalam Panduan Tulisan Suci (scriptures.ChurchofJesusChrist.org). Kemudian jemput ahli-ahli kelas untuk membaca satu atau lebih petikan dan kongsi sesuatu yang mereka pelajari daripadanya tentang kunci-kunci imamat. Mengapakah kita memerlukan kunci-kunci imamat?
-
Untuk membantu ahli-ahli kelas menguatkan kesaksian mereka tentang pemulihan kunci-kunci imamat pada zaman akhir, anda boleh minta separuh daripada kelas untuk mengkaji Matius 17:1–9 dan separuh yang lain untuk mengkaji Ajaran dan Perjanjian 110. Mereka kemudian boleh berkongsi dengan satu sama lain tentang apa yang mereka belajar dan lihat persamaan di antara dua laporan itu.
Apabila mencari iman yang lebih besar, kita bermula dengan iman yang kita ada.
-
Elder Jeffrey R. Holland menggunakan cerita seorang bapa mencari penyembuhan bagi anak lelakinya untuk mengajar kita bagaimana kita perlu mendekati Tuhan apabila kita berasa bahawa iman kita tidak mencukupi (lihat “Lord, I Believe,” Liahona, Mei 2013, 93–95). Selepas membaca Markus 9:14–30 sebagai satu kelas, anda boleh berbincang bersama tiga pemerhatian Elder Holland (lihat “Sumber-sumber Tambahan”).
Sumber-sumber Tambahan
Tiga pemerhatian untuk membantu kita menambahkan iman.
Selepas menceritakan semula kisah dalam Markus 9:14–29, Elder Jeffrey R. Holland mengajar:
“Pemerhatian nombor satu mengenai cerita ini adalah apabila menghadapi cabaran iman, bapa menegaskan kekuatannya dahulu dan hanya kemudian mengakui pembatasannya. Perisytiharan awalnya pasti dan tanpa keraguan: ‘Tuhan, saya percaya.’ Saya ingin berkata kepada semua yang ingin iman yang lebih, ingati lelaki ini! Dalam masa ketakutan atau kesusahan, berpegang teguh kepada tanah yang anda sudah perolehi, walaupun tanah itu terhad. …
“Pemerhatian kedua adalah variasi yang pertama. Apabila masalah datang dan soalan timbul, jangan memulakan pencarian iman anda dengan berkata betapa banyak yang anda tidak ada, seolah-olah mengarahnya dengan ‘ketidakpercayaan’ anda. … Saya bukan meminta anda berpura-pura mempunyai iman yang anda tidak ada. Saya sedang meminta anda menjadi setia kepada iman yang anda sudah ada. …
“Pemerhatian terakhir: Apabila keraguan atau kesusahan datang, jangan takut untuk meminta bantuan. Jika kita menginginkannya dengan rendah hati dan ikhlas seperti bapa ini, kita boleh mendapatkannya” (“Lord, I Believe,” Liahona, Mei 2013, 93–94).