Perjanjian Baru 2023
18–24 September. 2 Korintus 8–13: “Tuhan Mengasihi Orang yang Memberi Dengan Senang Hati”


“18–24 September. 2 Korintus 8–13: ‘Tuhan Mengasihi Orang yang Memberi Dengan Senang Hati’” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Baru 2023 (2022)

“18–24 September. 2 Korintus 8–13,” Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2023

Yesus bercakap dengan seorang anak kecil

18–24 September

2 Korintus 8–13

“Tuhan Mengasihi Orang yang Memberi dengan Senang Hati”

Ketika anda membaca 2 Korintus 8–13, fikirkan tentang mereka yang anda ajar dan rancangkan aktiviti yang dapat membantu mereka menemui asas-asas dalam bab-bab tersebut. Kemudian kaji semula panduan ini untuk idea-idea tambahan.

ikon perkongsian

Jemput Perkongsian

Berikut adalah satu cara untuk menjemput ahli-ahli kelas berkongsi apa yang mereka pelajari dari 2 Korintus 8–13: minta beberapa orang untuk menulis di papan tulis satu frasa kegemaran dari pembacaan mereka dan berkongsi mengapa frasa-frasa ini bermakna bagi mereka.

ikon pengajaran

Mengajar Ajaran

2 Korintus 8:1–15; 9:6–15

Orang Suci dengan senang hati berkongsi apa yang mereka ada untuk memberkati mereka yang miskin dan serba kekurangan.

  • Tuhan telah memerintahkan Orang Suci-Nya untuk membantu menjaga mereka yang serba kekurangan, dan ayat-ayat dalam 2 Korintus 8–9 boleh mengilhami ahli-ahli kelas anda dalam usaha mereka. Untuk membantu mereka mencari ayat-ayat ini, anda boleh menulis soalan-soalan di papan tulis seperti Mengapakah kita memberi? dan Bagaimanakah kita harus memberi? Separuh daripada kelas boleh mencari jawapan dalam 2 Korintus 8:1–15, separuh kelas lagi mencari dalam 2 Korintus 9:6–15. (Anda mungkin menjelaskan bahawa dalam bab 8, ayat 1–5, Paulus bercakap tentang Orang Suci Makedonia sebagai teladan pemberi yang besar hati.) Bagaimanakah asas-asas yang diajar oleh Paulus membantu kita menjaga mereka yang miskin dan serba kekurangan dengan lebih baik?

2 Korintus 11:1–4

Kita harus berfokus pada “kesetiaan … yang sejati kepada Kristus.”

  • Kadangkala ahli-ahli Gereja berasa lemas dengan tanggungjawab-tanggungjawab kehidupan—termasuk apa yang mereka lihat sebagai tanggungjawab untuk menjadi Orang Suci Zaman Akhir. Nasihat Paulus tentang “kesetiaan … yang sejati kepada Kristus” (2 Korintus 11:3) boleh membantu. Anda mungkin boleh baca bersama 2 Korintus 11:3 dan bincangkan maksud “kesetiaan … yang sejati kepada Kristus.” Anda boleh meminta ahli-ahli kelas membayangkan mereka telah dijemput untuk menulis satu penerangan berkenaan injil Yesus Kristus bagi satu suratkhabar, dengan had kata 100 perkataan. Berikan masa untuk mereka tuliskan penerangan mereka, dan biarkan mereka berkongsi dengan satu sama lain apa yang mereka telah tuliskan. Jika mereka memerlukan bantuan, mereka boleh merujuk kepada Yohanes 3:16–17; 3 Nefi 27:13–21; Kenyataan Presiden Dieter F. Uchtdorf dalam “Sumber-sumber Tambahan.” Ahli-ahli kelas boleh berkongsi idea tentang bagaimana untuk “memudahkan pendekatan penganutan kita.”

2 Korintus 12:5–10

Rahmat Juruselamat mencukupi untuk membantu kita mencari kekuatan dalam kelemahan kita.

  • Apakah yang anda akan berkata kepada seorang rakan yang telah berdoa untuk kelegaan daripada kelemahan fizikal tetapi berasa bahawa doanya tidak terjawab? Pertimbangkan untuk menjemput ahli-ahli kelas merenungkan soalan ini sambil membaca 2 Korintus 12:5–10 dengan senyap. Kemudian mereka boleh berkongsi pandangan daripada ayat-ayat tersebut yang dapat membantu situasi ini. Mereka juga boleh berkongsi pengalaman di mana, melalui rahmat Yesus Kristus, atau kuasa dan bantuan ilahi-Nya, mereka memperoleh kekuatan dalam kelemahan. Bagaimanakah pengalaman itu mempengaruhi kehidupan mereka? Mengapakah ia penting untuk percaya pada masa Tuhan?

ikon sumber

Sumber-sumber Tambahan

Kita boleh mempermudahkan cara kita menjalani injil.

Presiden Dieter F. Uchtdorf mengajar:

“Saudara dan saudari, menjalani injil tidak perlu menjadi rumit.

“Ia sangat terus-terang. Ia boleh digambarkan seperti ini:

  • Mendengar firman Tuhan dengan niat yang bersungguh-sungguh membawa kita untuk mempercayai Tuhan dan janji-janji-Nya.

  • Semakin kita percaya kepada Tuhan, semakin hati kita dipenuhi dengan kasih untuk-Nya dan untuk orang lain.

  • Oleh kerana kasih kita kepada Tuhan, kita ingin mengikuti-Nya dan menyelaraskan tindakan kita dengan firman-Nya.

  • Kerana kita mengasihi Tuhan, kita mahu melayan-Nya: kita mahu memberkati kehidupan orang lain dan membantu orang yang miskin dan yang memerlukan pertolongan.

  • Semakin kita berjalan dalam jalan penganutan ini, semakin kita ingin belajar firman Tuhan.

“Dan begitulah, setiap langkah membawa ke langkah yang seterusnya dan mengisi kita dengan iman, harapan dan ihsan yang semakin berkembang.

“Ia adalah mudah, dan ia berfungsi dengan baik.

“Saudara dan saudari, jika anda pernah berfikir bahawa injil tidak berfungsi dengan baik untuk anda, saya menjemput anda untuk berundur, memeriksa kehidupan anda dari pandangan yang lebih tinggi, dan memudahkan pendekatan penganutan kamu. Beri tumpuan kepada ajaran-ajaran, prinsip-prinsip, dan aplikasi-aplikasi injil yang asas. Saya berjanji bahawa Tuhan akan membimbing dan memberkati anda dalam perjalanan anda ke satu kehidupan yang memuaskan, dan injil akan berfungsi dengan lebih baik untuk anda” (“Ia Berfungsi Dengan Baik!,” Liahona, Nov. 2015, 22).

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Bekerjasama dengan ahli-ahli keluarga. “Mereka yang mempunyai pengaruh paling kuat terhadap seorang individu—baik atau jahat—biasanya mereka yang berada di rumah. Kerana rumah adalah pusat pembelajaran dan kehidupan injil, usaha anda untuk memperkukuhkan ahli kelas biasanya paling berkesan apabila anda bekerjasama dengan … ahli-ahli keluarga.” (Teaching in the Savior’s Way, 8).