Perjanjian Lama 2022
Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu


“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu,Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu,Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu: 2022

seseorang sedang berucap dalam kelas gereja

Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Minggu

Bersedia untuk Mengajar di Sekolah Minggu

Pengkajian peribadi dan sekeluarga di rumah harus menjadi pusat pembelajaran injil. Hal ini benar bagi anda dan ahli kelas. Semasa anda bersedia untuk mengajar, mulakan dengan pengalaman anda sendiri tentang tulisan suci. Persediaan anda yang paling penting berlaku apabila menyelidiki tulisan suci dan mencari ilham Roh Kudus.

Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga merupakan bahagian penting dalam pengajian peribadi dan persediaan anda untuk mengajar. Panduan ini akan membantu anda memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang asas-asas ajaran yang terdapat dalam kitab suci. Panduan ini turut membolehkan anda mengilhami dan menjemput ahli kelas untuk menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga bagi meningkatkan pengkajian tulisan suci peribadi dan sekeluarga mereka (untuk mendapatkan bantuan, lihat “Idea untuk Menggalakkan Pengkajian Secara Peribadi dan Sekeluarga” dalam sumber ini). Apabila anda berbuat demikian, peka terhadap ahli kelas yang keadaan keluarga mereka mungkin tidak menyokong pengkajian kitab suci secara sekeluarga dan malam keluarga secara tetap.

Semasa anda bersedia, fikiran dan tanggapan akan datang kepada anda tentang ahli kelas, bagaimana asas-asas dalam tulisan suci akan memberkati kehidupan mereka dan cara anda dapat mengilhami mereka untuk menerokai asas tersebut semasa mereka sendiri mengkaji tulisan suci.

Idea Pengajaran

Apabila anda bersedia untuk mengajar, anda mungkin memperoleh ilham tambahan melalui penerokaan rangka panduan pengajaran dalam sumber ini. Fikirkan idea-idea ini sebagai cadangan untuk mengilhami anda dan bukan sebagai arahan langkah demi langkah. Anda mengenali ahli kelas anda, dan anda akan lebih mengenali mereka semasa anda belajar bersama mereka di dalam kelas. Tuhan juga mengenali mereka dan Dia akan mengilhami anda dengan cara yang terbaik untuk membantu ahli kelas mengukuhkan pembelajaran injil di rumah.

Terdapat banyak sumber lain yang anda boleh gunakan semasa dalam persediaan, termasuk idea dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga dan majalah Gereja. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ini dan sumber-sumber lain, lihat bahagian yang bertajuk “Sumber-sumber Tambahan” di dalam sumber ini.

Peringatan

  • Pembelajaran injil paling berkesan semasa ia berpusat di rumah. Sebagai seorang pengajar, anda mempunyai tanggungjawab yang penting untuk menyokong, menggalakkan dan membina pembelajaran injil ahli kelas di rumah.

  • Penukaran hati ahli kelas kepada Yesus Kristus dan injil-Nya akan semakin mendalam apabila mereka memahami serta menerapkan ajaran yang benar. Galakkan mereka untuk mencatat dan bertindak berdasarkan tanggapan yang mereka terima dari Roh Kudus.

  • Mengajar bukan sekadar berceramah dan membimbing perbincangan sahaja. Sebahagian peranan anda adalah untuk menggalakkan penyertaan yang membina dan berdasarkan tulisan suci. Anda juga harus berkongsi pandangan berilham yang anda terima semasa mengkaji tulisan suci.

  • Ingatlah bahawa ramai ahli kelas mempunyai pengalaman bermakna semasa mengkaji tulisan suci yang akan anda bincangkan di dalam kelas. Anda boleh menyokong pembelajaran mereka dengan kerap memberi peluang untuk berkongsi perkara yang mereka pelajari di rumah.

  • Bapa Syurgawi ingin anda berjaya sebagai seorang pengajar. Dia telah menyediakan banyak sumber untuk membantu anda, termasuk mesyuarat majlis pengajar. Dalam mesyuarat ini, anda boleh berbincang dengan pengajar lain mengenai cabaran yang anda hadapi. Anda juga boleh berbincang dan berlatih menggunakan asas-asas mengajar seperti Kristus.

  • Pelajar dapat belajar dengan lebih baik apabila mereka berpeluang untuk mengajar. Sekali-sekala, pertimbangkan untuk membenarkan ahli kelas, termasuk remaja, untuk mengajar sebahagian daripada pelajaran. Buat keputusan ini berdasarkan keperluan dan kebolehan ahli kelas. Jika anda menjemput ahli kelas untuk mengajar, luangkan masa untuk membantunya agar bersedia terlebih dahulu dengan menggunakan idea yang terdapat dalam sumber ini dan dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga. Ingatlah sebagai pengajar yang dipanggil, anda bertanggungjawab atas kandungan yang diajar di dalam kelas.

Sumber ini merangkumi garis panduan mengajar untuk setiap minggu bagi sepanjang tahun. Pada hari Ahad apabila Sekolah Minggu tidak diadakan, ahli kelas akan terus membaca Perjanjian Lama di rumah mengikut jadual yang digariskan dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga. Semasa Sekolah Minggu diadakan, anda boleh memilih untuk melangkau atau menggabungkan pelajaran.