Panggilan Misi
Bab 6: Cari Sifat-sifat Seperti Kristus


“Bab 6: Cari Sifat-sifat Seperti Kristus,” Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan Untuk Berkongsi Injil Yesus Kristus (2023)

“Bab 6,” Mengkhutbahkan Injil-Ku

Calling of the Fishermen (Christ Calling Peter and Andrew) [Memanggil Para Nelayan (Kristus Memanggil Petrus dan Andreas)], oleh Harry Anderson

Bab 6

Mencari Sifat-sifat seperti Kristus

Pertimbangkanlah Ini

  • Bagaimanakah mencari sifat-sifat seperti Kristus membantu saya memenuhi tujuan saya sebagai seorang misionari?

  • Bagaimana saya boleh mencari dan menerima sifat-sifat seperti Kristus?

  • Apakah sifat yang harus saya tumpukan sekarang?

Pengenalan

Pada permulaan pelayanan fana-Nya, Yesus berjalan di sepanjang pantai Laut Galilea dan memanggil dua orang nelayan, Petrus dan Andreas. “Ikutlah Aku,” Dia berfirman, “Aku akan mengajar kamu menjala orang” (Matius 4:19; lihat juga Markus 1:17).

Tuhan juga telah memanggil anda ke dalam pekerjaan-Nya, dan Dia juga menjemput anda untuk mengikuti-Nya. “Kamu harus menjadi orang yang bagaimana?” Dia tanya. “Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahkan seperti Aku” (3 Nefi 27:27).

Beberapa bab dalam Mengkhutbahkan Injil-Ku berfokus pada apa yang anda perlu lakukan sebagai seorang misionari, seperti bagaimana untuk mengkaji, mengajar, dan menetapkan matlamat. Sama pentingnya dengan apa yang anda lakukan adalah siapa anda dan siapa anda akan menjadi. Itulah fokus dalam bab ini.

Tulisan suci menggambarkan sifat-sifat seperti Kristus yang penting untuk anda cari sebagai seorang misionari dan sepanjang hidup anda. Sifat seperti Kristus adalah kualiti atau perwatakan Juruselamat. Bab ini menerangkan beberapa sifat-sifat tersebut. Kajilah ia dan tulisan suci yang berkaitan. Cari sifat-sifat seperti Kristus yang lain semasa anda mengkaji ayat-ayat suci lain.

Kajian Peribadi

Kaji Ajaran dan Perjanjian 4. Apakah sifat-sifat yang Tuhan kenal pasti sebagai penting bagi para misionari? Bagaimanakah mencari sifat-sifat ini membantu anda memenuhi tujuan misionari anda?

“Mencari Yesus Ini”

Nabi Moroni menggesa, “Aku hendak mengajakmu untuk mencari Yesus ini yang telah ditulis oleh para nabi dan rasul tentangnya” (Eter 12:41). Satu cara penting untuk mencari Yesus adalah tekun berusaha untuk belajar tentang Dia dan menjadi lebih seperti Dia. Misi anda adalah masa yang ideal untuk berfokus pada ini.

Apabila anda berusaha untuk menjadi lebih seperti Kristus, anda akan mencapai tujuan anda sebagai seorang misionari dengan lebih baik. Anda akan mengalami kebahagiaan, kedamaian, dan perkembangan rohani apabila sifat-sifat-Nya menjadi sebahagian daripada perwatakan anda. Anda juga akan menubuhkan satu landasan untuk terus mengikuti-Nya sepanjang hidup anda.

Kurnia-kurnia Daripada Tuhan

Sifat seperti Kristus adalah kurnia daripada Tuhan. Seperti semua hal yang baik, semua kurnia datang dari “rahmat Tuhan Bapa, dan juga Tuhan Yesus Kristus, dan Roh Kudus” (Eter 12:41).

Tumpukan pada Kristus semasa anda berusaha untuk memupuk sifat-sifat-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 6:36). Sifat-sifat ini bukanlah hal-hal dalam senarai semak. Ia bukanlah teknik-teknik yang anda bangunkan dalam program peningkatan diri. Ia tidak diperoleh hanya melalui ketekunan peribadi. Sebaliknya, anda boleh menerimanya semasa anda berusaha untuk menjadi pengikut Yesus Kristus yang lebih setia.

Berdoalah kepada Tuhan untuk memberkati anda dengan sifat-sifat ini. Dengan rendah hati mengakui kelemahan anda dan keperluan anda untuk kuasa-Nya dalam hidup anda. Apabila anda berbuat sedemikian, Dia akan “menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat bagi [anda]” (Eter 12:27).

Satu Proses Beransur

Menjadi lebih seperti Juruselamat adalah satu proses beransur dan sepanjang hidup. Dengan hasrat untuk menyenangkan Tuhan, memperbaiki satu keputusan pada satu masa.

Bersabar dengan diri anda. Tuhan tahu perubahan dan perkembangan mengambil masa. Dia gembira dengan hasrat ikhlas anda dan akan memberkati anda untuk setiap usaha yang anda lakukan.

Apabila anda berusaha untuk menjadi lebih seperti Kristus, hasrat, fikiran, dan tindakan anda akan berubah. Melalui Korban Tebusan Yesus Kristus dan kuasa Roh Kudus, sifat anda akan dihaluskan (lihat Mosia 3:19).

Parley P. Pratt

Roh Kudus memperluaskan dan memperkembangkan kebolehan kita. Dia “mengilhami hemah, baik hati, kebaikan, kasih, kelembutan, dan ihsan. … Kesimpulannya, ia adalah, seakan-akan, sumsum kepada tulang, kebahagiaan kepada hati, cahaya kepada mata, muzik kepada telinga, dan kehidupan kepada seluruh makhluk” (Parley P. Pratt, Key to the Science of Theology [1855], 98–99).

Kajian Kitab Suci

Apakah yang tulisan suci ini ajarkan tentang mengikuti teladan Yesus Kristus?

Apakah yang anda boleh belajar dari tulisan suci berikut tentang mencari sifat-sifat seperti Kristus?

Arise and Walk [Bangunlah dan Berjalanlah], oleh Simon Dewey

Iman kepada Yesus Kristus

Kerana iman membawa kepada penyelamatan, anda mesti memusatkannya dalam Yesus Kristus (lihat Kisah Rasul-Rasul 4:10–12; Mosia 3:17; Moroni 7:24–26). Apabila anda beriman kepada Kristus, anda percaya kepada Dia sebagai Putera Tunggal Tuhan. Anda yakin apabila anda bertaubat, dosa anda akan diampuni melalui korban tebusan-Nya dan dikuduskan oleh Roh Kudus (lihat 3 Nefi 27:16, 20).

Iman bukanlah untuk memiliki pengetahuan yang sempurna. Sebaliknya, ia adalah satu jaminan dari Roh berkenaan hal-hal yang anda tidak nampak tetapi adalah benar. (Lihat Alma 32:21.)

Anda menyatakan iman anda melalui tindakan. Tindakan ini termasuk mengikuti ajaran dan teladan Juruselamat. Ia termasuk melayani orang lain dan membantu mereka memilih untuk mengikuti Kristus. Anda juga menyatakan iman anda melalui ketekunan, pertaubatan dan kasih.

Iman ialah asas kuasa. Apabila anda beriman kepada Yesus Kristus, anda akan diberkati dengan kuasa-Nya yang disesuaikan untuk keadaan anda. Anda akan dapat mengalami mukjizat menurut kehendak Tuhan. (Lihat Yakub 4:4–7; Moroni 7:33; 10:7.)

Iman anda kepada Yesus Kristus akan berkembang apabila anda lebih mengenali Dia dan ajaran-ajaran-Nya. Ia akan bertambah apabila anda menyelidiki tulisan suci, berdoa dengan ikhlas dan mematuhi perintah-perintah. Keraguan dan dosa melemahkan iman.

Elder Neil L. Andersen

“Iman bukan sahaja suatu perasaan; ia satu keputusan. Dengan doa, pembelajaran, kepatuhan, dan perjanjian, kita membina dan mengukuhkan iman kita. Kepercayaan kita terhadap Juruselamat dan pekerjaan zaman akhir-Nya menjadi kanta yang berkuasa di mana kita menghakimi semua yang lain. Kemudian, apabila kita mendapati diri kita di dalam salib kehidupan, … kita peroleh kekuatan untuk mengambil jalan yang betul” (Neil L. Andersen, “Ia Benar, Bukan? Jadi Apa Lagi yang Penting?Liahona, Mei 2007, 74).

Kajian Kitab Suci

Apakah itu Iman?

Bagaimanakah anda mendapatkan iman, dan apakah yang anda boleh lakukan melalui iman?

Apakah berkat-berkat yang datang melalui iman?

Risen Hope [Harapan Meningkat], oleh Joseph Brickey

Harapan

Harapan bukan hanya angan-angan. Sebaliknya, ia adalah keyakinan yang kekal, berlandaskan iman anda kepada Kristus, bahawa Tuhan akan memenuhi janji-janji-Nya kepada anda (lihat Moroni 7:42). Ia adalah jangkaan “perkara-perkara baik” yang akan datang melalui Kristus (Ibrani 9:11).

Sumber harapan utama anda ialah Yesus Kristus. Nabi Mormon bertanya, “Apakah yang harus kamu harapkan?” Kemudian dia menjawab, “Kamu akan berharapan melalui korban tebusan Kristus dan kuasa kebangkitan-Nya, untuk dibangkitkan kepada kehidupan yang abadi, dan ini disebabkan imanmu kepada-Nya menurut perjanjian tersebut” (Moroni 7:41; lihat ayat 40–43).

Apabila anda memusatkan harapan anda kepada Kristus, anda mempunyai keyakinan bahawa segala hal akan bekerja bersama demi kebaikanmu (lihat Ajaran dan Perjanjian 90:24). Jaminan ini membantu anda bertahan dengan iman apabila anda menghadapi cubaan. Ia juga boleh membantu anda berkembang dari percubaan dan mengembangkan ketahanan dan kekuatan rohani. Harapan dalam Kristus menjadi sauh bagi jiwa anda (lihat Eter 12:4).

Harapan memberi anda keyakinan bahawa Tuhan akan mengembangkan usaha anda yang tekun dan soleh (lihat Ajaran dan Perjanjian 123:17).

Salah satu cara untuk meningkatkan harapan adalah melalui pertaubatan. Menjadi suci dan diampuni melalui korban tebusan Yesus Kristus akan memulihkan dan menghidupkan semula harapan (lihat Alma 22:16).

Nefi menggesa, “Maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia” (2 Nefi 31:20). Apabila anda mengamalkan injil, anda akan meningkatkan kemampuan anda untuk “berharap kepada Tuhan” (Roma 15:13).

Presiden Dieter F. Uchtdorf

“Dalam masa kesusahan, kita boleh berpegang teguh kepada harapan bahawa hal-hal akan ‘bekerja bersama demi kebaikan [kita]’ semasa kita mengikuti nasihat nabi-nabi Tuhan. Harapan jenis ini dalam Tuhan, kebaikan-Nya, dan kuasa-Nya menyegarkan kita dengan keberanian semasa cabaran-cabaran susah dan memberi kekuatan, keraguan, dan kekecewaan” (Dieter F. Uchtdorf, “Kuasa Harapan yang Tidak Terhingga,” Liahona, Nov. 2008, 23).

Kajian Kitab Suci

Apakah itu harapan, dan apakah yang kita harapkan?

Christ and the Children [Kristus dan Kanak-kanak], oleh Minerva Teichert

Kasih Ihsan dan Kasih Sayang

Seseorang bertanyakan Yesus, “Perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Yesus menjawab: “Kasihilah Tuhan, Rajamu, dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu. Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Matius 22:36–39).

Kasih ihsan “adalah kasih suci Kristus” (Moroni 7:47). Ia termasuk kasih abadi Tuhan kepada semua anak-Nya.

Nabi Mormon mengajar, “Berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih ini” (Moroni 7:48). Apabila anda berdoa untuk kasih ihsan memenuhi hati anda, anda akan merasai kasih Tuhan. Kasih anda terhadap orang akan meningkat, dan anda akan peduli tentang kegembiraan abadi mereka. Anda akan melihat mereka sebagai anak-anak Tuhan yang berpotensi untuk menjadi seperti Dia, dan anda akan bekerja bagi pihak mereka.

Semasa anda berdoa untuk kurnia kasih ihsan, kecenderungan untuk memikir tentang perasaan negatif seperti marah atau iri hati berkurangan. Anda akan menjadi kurang menghakimi atau mengkritik orang lain. Anda akan mempunyai lebih hasrat untuk cuba memahami mereka dan pandangan mereka. Anda akan menjadi lebih sabar dan cuba membantu orang ketika mereka bergelut atau kecewa. (Lihat Moroni 7:45.)

Kasih ihsan, seperti iman, membawa kepada tindakan. Anda menguatkannya semasa anda melayani orang lain dan menawarkan diri anda.

Kasih ihsan mengubah. Bapa Syurgawi menganugerahkannya “kepada semua yang merupakan pengikut sejati Putera-Nya, Yesus Kristus; … agar apabila Dia akan memperlihatkan diri-Nya kita akan kelihatan seperti Dia, … agar kita boleh disucikan bahkan seperti Dia yang adalah suci” (Moroni 7:48).

Kajian Kitab Suci

Apakah itu kasih ihsan?

Bagaimanakah Yesus Kristus menunjukkan kasih ihsan?

Apakah yang anda boleh pelajari tentang kasih ihsan dari tulisan suci berikut?

Esther (Queen Esther) [Ester (Permaisuri Ester)], oleh Minerva Teichert

Hemah

“Kami percaya harus … berhemah,” nyata Fasal-Fasal Kepercayaan (1:13). Hemah adalah pola pemikiran dan tingkah laku berdasarkan standard moral yang tinggi. Ia adalah kesetiaan kepada Tuhan dan orang lain. Satu bahagian penting kehemahan adalah berusaha menjadi bersih dan suci secara rohani dan jasmani.

Kehemahan bermula dari fikiran dan hasrat anda. “Biarlah kehemahan mengisi fikiranmu tanpa henti,” firman Tuhan (Ajaran dan Perjanjian 121:45). Tumpukan pada fikiran yang soleh dan yang menaikkan semangat. Usir pemikiran yang tidak layak dari fikiranmu dan tidak asyik memikirkannya.

Minda anda adalah seperti satu pentas di teater. Jika anda membenarkan pemikiran tidak baik berkekalan di pentas minda anda, anda lebih cenderung untuk berdosa. Jika anda mengisi minda anda dengan hal-hal yang baik, anda lebih cenderung untuk memeluk apa yang berhemah dan menjauhi apa yang jahat. Jadilah bijak tentang apa yang anda benarkan untuk masuk dan kekal di pentas minda anda.

Apabila anda berusaha untuk hidup secara berhemah, “keyakinanmu akan menjadi kuat di dalam hadirat Tuhan; dan … Roh Kudus akan menjadi temanmu yang tetap” (Ajaran dan Perjanjian 121:45–46).

Kajian Kitab Suci

Apakah maksudnya untuk berhemah tinggi?

Kesempurnaan Akhlak

Integriti datang dari perintah utama pertama untuk mengasihi Tuhan (lihat Matius 22:37). Kerana anda mengasihi Tuhan, anda setia kepada-Nya sentiasa. Seperti putera-putera Helaman, anda “berjalan dengan lurus di hadapan-Nya” (Alma 53:21).

Apabila anda mempunyai integriti, anda memahami bahawa terdapatnya benar dan salah dan bahawa terdapat kebenaran mutlak—kebenaran Tuhan. Anda gunakan hak pilihan anda untuk memilih menurut kebenaran Tuhan dan bertaubat serta merta apabila anda tidak. Apa yang anda pilih untuk fikirkan—dan apa yang anda lakukan apabila anda percaya tiada sesiapa pun yang sedang melihat—ialah ukuran integriti anda yang kuat.

Daniel in the Lions’ Den [Daniel dalam Jerumun Singa], oleh Clark Kelley Price

Integriti bermaksud anda tidak merendahkan standard atau tingkah laku anda untuk mengagumkan atau diterima oleh orang lain. Anda melakukan apa yang benar walaupun orang lain mengejek hasrat anda untuk setia kepada Tuhan (lihat 1 Nefi 8:24–28). Anda hidup dengan kehormatan dalam semua persekitaran, termasuk bagaimana anda mewakili diri anda semasa dalam talian.

Apabila anda mempunyai integriti, anda mentaati perjanjian anda dengan Tuhan dan juga komitmen soleh anda kepada orang lain.

Integriti termasuk jujur kepada Tuhan, diri anda, pemimpin anda, dan orang lain. Anda tidak berdusta, mencuri, menipu, atau memperdaya. Apabila anda melakukan sesuatu yang salah, anda menerima tanggungjawab dan bertaubat dari cuba membenarkannya atau merasionalkannya.

Apabila anda hidup dengan integriti, anda akan mempunyai kedamaian dalaman dan kehormatan diri. Tuhan dan orang lain akan mempercayai anda.

Kajian Kitab Suci

Bagaimanakah Yesus menunjukkan integriti bahkan dalam detik yang paling sukar?

Bagaimanakah pahlawan muda dalam tentera Helaman menunjukkan integriti?

Bagaimanakah Daniel menunjukkan integriti? Bagaimanakah Tuhan memberkati Daniel kerana integritinya?

Mengapakah Tuhan mengasihi abang Joseph Smith, Hyrum?

Add to Faith, Virtue [Tambahkan kepada Iman, Hemah,] oleh Walter Rane

Pengetahuan

Tuhan menasihati, “Carilah pembelajaran, bahkan melalui pembelajaran dan juga melalui iman” (Ajaran dan Perjanjian 88:118). Ketika misi dan sepanjang hidup anda, carilah pengetahuan, terutamanya pengetahuan rohani.

Kaji tulisan suci setiap hari, dan juga kata-kata para nabi yang hidup. Melalui kajian dan doa, cari bantuan untuk soalan, cabaran, dan peluang tertentu. Cari ayat-ayat suci yang anda boleh gunakan dalam ajaran dan jawab soalan-soalan tentang injil.

Semasa anda mengkaji dengan tekun dan berdoa, Roh Kudus akan menerangi minda anda. Dia akan mengajar dan memberi anda pemahaman. Dia akan membantu anda mengaplikasikan ajaran-ajaran tulisan suci dan nabi-nabi zaman akhir dalam hidup anda. Seperti Nefi, anda boleh berkata:

“Jiwaku suka akan tulisan-tulisan suci, dan hatiku merenungkannya. … Lihatlah, jiwaku suka akan perkara-perkara Tuhan; dan hatiku merenung secara terus-menerus berkenaan hal-hal yang telah aku lihat dan dengar” (2 Nefi 4:15–16).

Kajian Kitab Suci

Bagaimanakah pengetahuan boleh membantu anda dalam pekerjaan Tuhan?

Bagaimanakah anda boleh mendapatkan pengetahuan?

bayangan seseorang oleh cahaya matahari

Kesabaran

Kesabaran adalah keupayaan untuk mempercayai Tuhan semasa anda menghadapi kelewatan, pertentangan, atau penderitaan. Melalui iman anda, anda mempercayai masa Tuhan bagi berkat-berkat-Nya yang dijanjikan untuk digenapi.

Apabila anda sabar, anda melihat kehidupan dengan perspektif abadi. Anda tidak mengharapkan berkat atau hasil segera. Hasratsoleh anda akan dicapai “baris demi baris, … di sini sedikit dan di sana sedikit” (2 Nefi 28:30). Sesetengah hasrat yang soleh mungkin tidak dicapai sehingga selepas kehidupan ini.

Kesabaran bukanlah kemalasan atau penerimaan hakikat secara pasif. Ia adalah “dengan riang [melakukan] segala hal yang berada dalam kuasa [anda]” ketika melayani Tuhan (Ajaran dan Perjanjian 123:17). Anda menanam, menyiram, dan memelihara benih, dan Tuhan memberi peningkatan “dalam masa yang singkat” (Alma 32:42; lihat juga 1 Korintus 3:6–8). Anda bekerjasama dengan Tuhan, mempercayai bahawa apabila anda telah melakukan bahagian anda, Dia akan melaksanakan pekerjaan-Nya dalam masa-Nya dan menurut hak pilihan individu.

Kesabaran juga bermaksud bahawa apabila sesuatu tidak dapat diubah, anda akan menerimanya dengan berani, rahmat, dan iman.

Mengembangkan kesabaran terhadap orang lain, termasuk rakan anda dan mereka yang anda layani. Bersabarlah dengan diri anda juga. Berusaha untuk yang terbaik sementara menyedari bahawa anda akan berkembang langkah demi langkah.

Seperti sifat-sifat Kristus yang lain, berkembang dalam kesabaran adalah satu proses sepanjang hidup. Mengamalkan kesabaran boleh mempunyai pengaruh yang menyembuhkan bagi jiwa anda dan orang di sekeliling anda.

Presiden Dieter F. Uchtdorf

Kesabaran bermaksud menunggu dan bertahan secara aktif. Ia bermaksud kekal dengan sesuatu dan melakukan segala yang kita boleh—bekerja, berharap, dan menjalankan iman; menanggung kesusahan dengan tabah, walaupun keinginan hati kita ditangguhkan. Kesabaran bukan hanya bertahan; ia adalah bertahan dengan baik!” (Dieter F. Uchtdorf, “Continue in Patience,” Liahona, Mei 2010, 57).

Kajian Peribadi

Kaji Mosia 28:1–9.

  • Apakah hasrat para putera Mosia?

  • Apakah nasihat Tuhan kepada para misionari tersebut? (Lihat Alma 17:10–11; 26:27.)

  • Apakah hasil kesabaran dan ketekunan mereka? (Lihat Alma 26.)

Tuliskan jawapan anda dalam jurnal kajian anda.

Kajian Kitab Suci

Mengapakah kesabaran itu penting? Bagaimana kesabaran dan iman berkaitan?

In Favour with God (Jesus Praying with His Mother) [Memihak bersama Tuhan (Yesus Berdoa bersama Ibu-Nya)], oleh Simon Dewey

Kerendahan hati

Kerendahan hati adalah kesediaan untuk menyerah kepada kehendak Tuhan. Ia adalah kesediaan untuk memberi-Nya kehormatan bagi segala yang telah dicapai. Ia bermaksud boleh diajar (lihat Ajaran dan Perjanjian 136:32). Kerendahan hati termasuk kesyukuran untuk berkat-berkat Tuhan dan mengaku keperluan bantuan-Nya yang berterusan. Dia membantu mereka yang rendah hati.

Kerendahan hati adalah tanda kekuatan rohani, bukan kelemahan. Kerendahan hati adalah mangkin yang penting untuk perkembangan rohani (lihat Eter 12:27).

Apabila anda mempercayai Tuhan dengan rendah hati, anda boleh yakin bahawa perintah-perintah-Nya adalah untuk kebaikan anda. Anda yakin bahawa anda boleh melakukan apa pun yang Dia perlukan daripada anda jika anda bergantung kepada-Nya. Anda juga bersedia untuk mempercayai hamba-hamba-Nya dan mengikuti nasihat mereka. Kerendahan hati akan membantu anda menjadi patuh, bekerja keras, dan melayani.

Pertentangan kerendahan hati ialah keangkuhan. Menjadi angkuh bermaksud meletakkan kepercayaan yang lebih pada diri sendiri dari Tuhan. Ia juga bermaksud untuk meletakkan hal-hal dunia melebihi hal-hal Tuhan. Keangkuhan adalah bersaingan; mereka yang angkuh berusaha untuk mempunyai lebih dan menganggap mereka lebih baik daripada yang lain. Keangkuhan ialah halangan yang besar.

Kajian Kitab Suci

Apakah maksud menjadi rendah hati?

Apakah berkat-berkat yang anda terima apabila anda merendahkan hati anda?

Bagaimanakah anda dapat mengenali keangkuhan dalam diri anda?

Paulus, rasul, mengajar orang ramai

Ketekunan

Ketekunan adalah usaha yang konsisten dan bersungguh-sungguh. Dalam kerja misionari, ketekunan ialah satu ungkapan kasih anda kepada Tuhan. Apabila anda tekun, anda menemui kebahagiaan dan kepuasan dalam pekerjaan Tuhan (lihat Alma 26:16).

Ketekunan termasuk melakukan banyak hal baik menurut kehendak bebas anda sendiri daripada menunggu para pemimpin untuk memberitahu anda apa yang perlu dilakukan (lihat Ajaran dan Perjanjian 58:27–29).

Teruskan berbuat baik walaupun ia susah atau anda penat. Namun mengenali keperluan untuk keseimbangan dan rehat supaya anda tidak “berlari lebih cepat daripada kekuatan yang [anda] miliki” (Mosia 4:27).

Tumpukan hati dan minat anda kepada Tuhan dan kerja-Nya. Elakkan hal-hal yang mengalihkan perhatian anda dari keutamaan anda. Tumpukan masa dan usaha anda pada aktiviti-aktiviti yang akan menjadi paling berkesan di kawasan anda dan paling membantu orang yang anda ajar.

Presiden Henry B. Eyring

“Inilah Gereja Tuhan. Dia memanggil kita dan mempercayai kita walaupun Dia tahu kelemahan kita. Dia tahu percubaan yang kita akan hadapi. Melalui pelayanan yang beriman dan melalui Korban Tebusan-Nya, kita turuti kehendak-Nya dan menjadi apa yang kita harus menjadi untuk memberkati mereka yang kita layani. Apabila kita melayani-Nya dengan cukup lama dan dengan ketekunan, kita akan diubah. Kita boleh menjadi lebih seperti Dia” (Henry B. Eyring, “Act in All Diligence,” Liahona, Mei 2010, 62–63).

Kajian Kitab Suci

Apakah maksudnya untuk menjadi tekun?

Mengapakah Tuhan mahu kita menjadi tekun?

Bagaimana ketekunan berkaitan dengan hak pilihan?

Two Thousand Young Warriors (Two Thousand Stripling Warriors) [Dua Ribu Pahlawan Muda (Dua Ribu Pahlawan Teruna)], oleh Arnold Friberg

Kepatuhan

Pelayanan anda sebagai seorang misionari adalah tambahan kepada perjanjian yang anda buat dengan Tuhan di pembaptisan dan di bait suci. Apabila anda menerima tatacara pembaptisan dan anugerahan, anda berjanji bahawa anda akan mematuhi perintah-perintah-Nya.

Raja Benyamin mengajarkan: “Dan selain itu, aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani; dan jika mereka bertahan setia sampai akhir mereka diterima ke dalam syurga, agar dengan demikian mereka boleh berdiam bersama tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir” (Mosia 2:41).

Mematuhi perintah-perintah adalah ungkapan kasih kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus (lihat Yohanes 14:15). Yesus berfirman, “Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu; seperti Bapa tetap mengasihi Aku, kerana Aku mentaati perintah-Nya” (Yohanes 15:10).

Ikut garis panduan dalam Standard Penginjilan (Misionari) Untuk Pengikut Yesus Kristus. Juga ikuti nasihat presiden misi anda dan isterinya semasa mereka menasihati anda dalam kesolehan.

Elder Dale G. Renlund

“Kepatuhan adalah pilihan kita. Juruselamat menjelaskan ini. Seperti yang tertulis dalam Joseph Smith Translation di Luke 14:28, Yesus mengarahkan, ‘Kerana itu, selesaikanlah ini dalam hatimu, agar kamu akan melakukan hal-hal yang akan Aku ajarkan, dan perintahkan kepadamu.’ Ia adalah mudah. … Apabila kita berbuat demikian, kestabilan rohani kita akan dipertingkatkan dengan besar. Kita akan mengelak dari membazirkan sumber Tuhan dan membuat pilihan yang tidak berfaedah dan memusnahkan kehidupan kita” (Dale G. Renlund, “Constructing Spiritual Stability” [Pertemuan rohani Brigham Young University, 16 Sep 2014], 2, speeches.byu.edu).

Kajian Kitab Suci

Apakah yang anda boleh pelajari tentang kepatuhan dari tulisan suci berikut?

Christ and the Fishermen (Lovest Thou Me More Than These) [Kristus Bersama Para Nelayan (Adakah Kamu Lebih Mengasihi Aku Daripada Semua Orang Ini)], oleh J. Kirk Richards

Suatu Pola untuk Menjadi Lebih Seperti Kristus

Pola berikut boleh membantu anda mengembangkan dan menerima sifat-sifat yang digambarkan dalam bab ini dan sifat-sifat lain yang digambarkan dalam tulisan suci:

  • Kenal pasti sifat yang anda ingin cari.

  • Tuliskan satu huraian sifat tersebut.

  • Senaraikan dan kaji ayat-ayat suci yang menunjukkan contoh-contoh sifat atau yang mengajar tentangnya.

  • Catatkan perasaan dan tanggapan anda.

  • Tetapkan matlamat dan buat rancangan untuk maju dalam sifat itu.

  • Berdoa kepada Tuhan untuk membantu anda mengembangkan dan menerima sifat tersebut.

  • Menilai kemajuan anda dari semasa ke semasa.

Elder Jeffrey R. Holland

“Tuhan memberkati mereka yang mahu meningkatkan diri, yang menerima keperluan untuk perintah-perintah dan cuba mentaati mereka, yang menghargai sifat seperti Kristus dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh mereka. Jika anda tersadung dalam usaha itu, seperti setiap orang; Juruselamat berada di sana untuk membantu anda terus berjuang. … Tidak lama lagi anda akan mempunyai kejayaan yang anda cari” (Jeffrey R. Holland, “Esok Tuhan Akan Melakukan Keajaiban di Antara Kamu,” Liahona, Mei 2016, 126).

Kajian Peribadi

Mengenal pasti satu sifat dari bab ini atau dari tulisan suci. Ikut pola yang digambarkan untuk memahami dan mencari sifat tersebut.

Lihat tag nama misionari anda. Bagaimanakah ia berbeza dengan apa yang pekerja sebuah syarikat pakai? Perhatikan bahawa dua bahagian yang paling penting adalah nama anda dan nama Juruselamat.

  • Bagaimanakah anda boleh mewakili Juruselamat sebagai salah seorang pengikut-Nya dengan lebih baik?

  • Mengapakah ia penting bagi orang untuk mengaitkan nama anda dengan nama Juruselamat secara positif?

Catatkan fikiran dalam jurnal kajian anda.

Kajian Kitab Suci

Kaji semula sifat-sifat yang tersenarai dalam tulisan suci berikut. Catatkan sebarang tanggapan dalam jurnal kajian anda.


Idea-idea untuk Pengkajian dan Aplikasi

Kajian Peribadi

  • Lengkapkan “Aktiviti Sifat-Sifat” yang terdapat di hujung bab ini dari semasa ke semasa.

  • Kenal pasti satu sifat dalam bab ini. Tanya diri sendiri.

    • Bagaimanakah saya boleh belajar lebih tentang sifat ini?

    • Bagaimanakah mencari sifat ini membantu saya menjadi pelayan injil Yesus Kristus yang lebih baik?

  • Cari contoh sifat-sifat seperti Kristus dalam kehidupan lelaki dan wanita yang terdapat dalam tulisan suci. Catatkan tanggapan dalam jurnal kajian anda.

  • Cari contoh sifat-sifat seperti Kristus dalam muzik kudus Gereja. Semasa anda mencari sifat, hafal seni kata lagu rohani atau lagu untuk memperoleh kekuatan dan kuasa. Ulang atau nyanyikan kata-kata itu untuk ilham dan menjemput pengaruh Roh.

Kajian Dengan Rakan dan Pertukaran Rakan

  • Kaji rujukan kepada sifat-sifat seperti Kristus dalam Gospel Library atau sumber-sumber lain yang diluluskan. Bincangkan bagaimana untuk menggunakan apa yang anda pelajari. Anda juga boleh bincangkan apa yang anda telah pelajari dalam usaha peribadi anda untuk menjadi seperti Kristus.

Majlis Daerah, Persidangan Zon, dan Majlis Kepimpinan Misi

  • Beberapa hari sebelum majlis atau persidangan, minta setiap misionari sediakan ucapan lima minit tentang sifat seperti Kristus. Sediakan masa dalam pertemuan untuk beberapa misionari kongsi ucapan mereka.

  • Bahagikan para misionari kepada empat kumpulan dan berikan mereka tugasan berikut:

    Kumpulan 1: Baca 1 Nefi 17:7–16 dan jawab soalan-soalan berikut:

    • Bagaimanakah Nefi menjalankan imannya?

    • Apakah yang Nefi telah lakukan menunjukkan sifat seperti Kristus?

    • Apakah janji-janji yang Tuhan buat dengan Nefi?

    • Bagaimanakah pesanan ini boleh diaplikasikan kepada kerja misionari?

    Kumpulan 2: Baca Markus 5:24–34 dan jawab soalan-soalan berikut:

    • Bagaimanakah wanita ini menjalankan iman kepada Yesus Kristus?

    • Mengapakah dia disembuhkan?

    • Bagaimanakah kita dapat mengikut teladannya dalam usaha misionari kita?

    Kumpulan 3: Baca Yakub 7:1–15 dan jawab soalan-soalan berikut:

    • Mengapakah iman Yakub cukup kuat untuk menentang serangan Serem?

    • Bagaimanakah Yakub menjalankan iman apabila dia bercakap dengan Serem?

    • Bagaimanakah tindakan Yakub seperti Kristus?

    Kumpulan 4: Baca Joseph Smith—Sejarah 1:8–18 dan jawab soalan-soalan berikut:

    • Bagaimanakah Joseph Smith menjalankan iman kepada Yesus Kristus?

    • Bagaimanakah imannya dicabar?

    • Apakah yang dia telah lakukan adalah seperti Kristus?

    • Bagaimanakah kita boleh ikut teladan Joseph Smith?

    Selepas kumpulan itu selesai, kumpulkan misionari bersama dan minta mereka kongsi apa yang mereka telah bincangkan.

Pemimpin Misi dan Penasihat Misi

  • Minta para misionari untuk baca salah satu daripada empat Injil dalam Perjanjian Baru atau 3 Nefi 11–28. Biarkan mereka menggariskan apa tindakan Juruselamat yang mereka juga boleh lakukan.

  • Gunakan penetapan matlamat dan merancang untuk mengajar para misionari tentang ketekunan. Tunjukkan bagaimana ketekunan dalam berfokus pada orang adalah satu ungkapan kasih.

  • Semasa temu duga atau dalam perbualan, minta para misionari bercakap tentang sifat seperti Kristus yang mereka cari.

Aktiviti Sifat-sifat

Tujuan aktiviti ini adalah untuk membantu anda mengenal pasti peluang untuk perkembangan rohani. Baca setiap butiran di bawah. Tentukan pernyataan yang benar tentang anda, dan pilih jawapan yang sesuai. Tulis jawapan anda dalam jurnal kajian anda.

Tiada siapa yang boleh menjawab “selalu” bagi setiap kenyataan. Perkembangan rohani adalah satu proses seumur hidup. Itulah satu sebab ia mengujakan dan memberi ganjaran—kerana terdapat banyak peluang untuk berkembang dan untuk mengalami berkat-berkat perkembangan.

Berasa selesa dengan permulaan di mana anda berada. Buat komitmen kepada diri anda untuk melakukan pekerjaan rohani yang diperlukan untuk berkembang. Carilah bantuan Tuhan. Apabila anda mempunyai halangan, yakin bahawa Dia akan membantu anda. Semasa anda berdoa, carilah bimbingan tentang sifat untuk ditumpukan di pelbagai masa dalam tempoh misi anda.

Kunci Balasan

  • 1 = tidak pernah

  • 2 = kadangkala

  • 3 = kerap

  • 4 = hampir selalu

  • 5 = selalu

Iman

  1. Saya percaya kepada Kristus dan menerima Dia sebagai Juruselamat saya. (2 Nefi 25:29)

  2. Saya yakin bahawa Tuhan mengasihi saya. (1 Nefi 11:17)

  3. Saya cukup mempercayai Juruselamat untuk menerima kehendak-Nya dan melakukan apa yang Dia minta. (1 Nefi 3:7)

  4. Saya percaya bahawa melalui Korban Tebusan Yesus Kristus dan kuasa Roh Kudus, saya dapat diampuni daripada dosa-dosa saya dan dikuduskan semasa saya bertaubat. (Enos 1:2–8)

  5. Saya percaya Tuhan mendengar dan menjawab doa-doa saya. (Mosia 27:14)

  6. Saya berfikir tentang Juruselamat pada siang hari dan mengingati apa yang Dia telah lakukan untuk saya. (Ajaran dan Perjanjian 20:77, 79)

  7. Saya percaya bahawa Tuhan akan mendatangkan hal-hal baik dalam hidup saya dan kehidupan orang lain apabila kita mengabdikan diri kepada Dia dan Putera-Nya. (Eter 12:12)

  8. Saya tahu melalui kuasa Roh Kudus bahawa Kitab Mormon ialah benar. (Moroni 10:3–5)

  9. Saya beriman untuk mencapai apa yang Kristus mahu saya lakukan. (Moroni 7:33)

Harapan

  1. Salah satu hasrat terbesar saya adalah untuk mewarisi kehidupan abadi di kerajaan selestial. (Moroni 7:41)

  2. Saya yakin bahawa saya akan peroleh satu misi yang gembira dan berjaya. (Ajaran dan Perjanjian 31:3–5)

  3. Saya berasa damai dan optimistik tentang masa depan. (Ajaran dan Perjanjian 59:23)

  4. Saya percaya bahawa suatu hari nanti saya akan tinggal bersama Tuhan dan menjadi seperti Dia. (Eter 12:4)

Kasih Ihsan dan Kasih Sayang

  1. Saya merasai hasrat ikhlas untuk kesejahteraan abadi dan kegembiraan orang lain. (Mosia 28:3)

  2. Apabila saya berdoa, saya meminta kasih ihsan—kasih suci Kristus. (Moroni 7:47–48)

  3. Saya cuba memahami perasaan orang lain dan melihat pandangan mereka. (Yudas 1:22)

  4. Saya mengampuni orang lain yang telah menyinggung atau menganiaya saya. (Efesus 4:32)

  5. Saya menjangkau dengan kasih untuk membantu mereka yang kesunyian, kesusahan, atau kecewa. (Mosia 18:9)

  6. Apabila sesuai, saya menyatakan kasih saya dan menjaga orang lain dengan melayani mereka melalui kata-kata dan tindakan. (Lukas 7:12–15)

  7. Saya mencari peluang untuk melayani orang lain. (Mosia 2:17)

  8. Saya mengatakan hal positif tentang orang lain. (Ajaran dan Perjanjian 42:27)

  9. Saya baik hati dan bersabar dengan orang lain, walaupun mereka susah untuk bergaul. (Moroni 7:45)

  10. Saya temui kebahagiaan dalam pencapaian orang lain. (Alma 17:2–4)

Hemah

  1. Saya bersih dan mempunyai hati yang suci. (Mazmur 24:3–4)

  2. Saya berhasrat untuk berbuat baik. (Mosia 5:2)

  3. Saya berfokus pada fikiran yang soleh, menaikkan semangat dan mengusir fikiran yang tidak baik dari minda saya. (Ajaran dan Perjanjian 121:45)

  4. Saya bertaubat akan dosa-dosa saya dan berusaha untuk mengatasi kelemahan saya. (Ajaran dan Perjanjian 49:26–28; Eter 12:27)

  5. Saya rasa pengaruh Roh Kudus dalam hidup saya. (Ajaran dan Perjanjian 11:12–13)

Kesempurnaan Akhlak

  1. Saya sentiasa setia kepada Tuhan. (Mosia 18:9)

  2. Saya tidak merendahkan standard atau tingkah laku saya agar boleh mengagumkan atau diterima oleh orang lain. (1 Nefi 8:24–28)

  3. Saya jujur kepada Tuhan, diri saya, pemimpin saya, dan orang lain. (Ajaran dan Perjanjian 51:9)

  4. Saya boleh dipercayai. (Alma 53:20)

Pengetahuan

  1. Saya berasa yakin dalam pemahaman saya tentang ajaran dan asas-asas injil. (Alma 17:2–3)

  2. Saya mengkaji tulisan suci setiap hari. (2 Timotius 3:16–17)

  3. Saya berusaha untuk memahami kebenaran dan mencari jawapan kepada soalan-soalan saya. (Ajaran dan Perjanjian 6:7)

  4. Saya mencari pengetahuan dan bimbingan melalui Roh. (1 Nefi 4:6)

  5. Saya menghargai ajaran dan asas-asas injil. (2 Nefi 4:15)

Kesabaran

  1. Saya menunggu dengan sabar untuk berkat-berkat dan janji-janji Tuhan digenapi. (2 Nefi 10:17)

  2. Saya boleh menunggu untuk hal-hal tanpa berasa sedih atau kecewa. (Roma 8:25)

  3. Saya bersabar dengan cabaran untuk menjadi seorang misionari. (Alma 17:11)

  4. Saya bersabar dengan orang lain. (Roma 15:1)

  5. Saya bersabar dengan diri saya dan bergantung kepada Tuhan semasa saya berusaha untuk mengatasi kelemahan saya. (Eter 12:27)

  6. Saya menghadapi kesukaran dengan kesabaran dan iman. (Alma 34:40–41)

Kerendahan hati

  1. Saya lembut hati dan rendah hati. (Matius 11:29)

  2. Saya bergantung kepada Tuhan untuk bantuan. (Alma 26:12)

  3. Saya bersyukur atas berkat-berkat yang saya terima daripada Tuhan. (Alma 7:23)

  4. Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. (Enos 1:4)

  5. Saya menghargai arahan daripada para pemimpin atau pengajar saya. (2 Nefi 9:28–29)

  6. Saya berusaha untuk menyerah kepada kehendak Tuhan. (Mosia 24:15)

Ketekunan

  1. Saya bekerja dengan berkesan, walaupun saya tidak berada di bawah pengawasan yang rapat. (Ajaran dan Perjanjian 58:26–27)

  2. Saya menumpukan usaha saya pada hal yang paling penting. (Matius 23:23)

  3. Saya berdoa secara peribadi sekurang-kurangnya dua kali sehari. (Alma 34:17–27)

  4. Saya menumpukan fikiran saya pada panggilan saya sebagai seorang misionari. (Ajaran dan Perjanjian 4:2, 5)

  5. Saya menetapkan matlamat dan merancang dengan kerap. (Ajaran dan Perjanjian 88:119)

  6. Saya bekerja keras sehingga pekerjaan itu selesai. (Ajaran dan Perjanjian 10:4)

  7. Saya mendapat kegembiraan dan kepuasan dalam pekerjaan saya. (Alma 36:24–25)

Kepatuhan

  1. Apabila saya berdoa, saya meminta kekuatan untuk menentang godaan dan melakukan apa yang baik. (3 Nefi 18:15)

  2. Saya layak menerima kad rekomen bait suci. (Ajaran dan Perjanjian 97:8)

  3. Saya sedia mematuhi peraturan misi dan mengikuti nasihat para pemimpin saya. (Ibrani 13:17)

  4. Saya berusaha untuk mematuhi hukum dan asas-asas injil. (Ajaran dan Perjanjian 41:5)