TJS, Wahyu 12:1–17. Bandingkan dengan Wahyu 12:1–17
Yohanes menjelaskan tentang simbol-simbol wanita, anak, batang besi, naga, dan Mikhael. Peperangan yang bermula di dalam syurga diteruskan di atas bumi. Perhatikan perubahan susunan ayat dalam TJS.
1 Dan terdapat suatu tanda hebat yang muncul di syurga, yang serupa dengan hal-hal di bumi; seorang wanita yang diselubungi dengan matahari, dan bulan di bawah kakinya, dan di atas kepalanya sebuah mahkota dua belas bintang.
2 Dan wanita itu mengandung, berteriak, menderita bersalin, dan sakit waktu melahirkan.
3 Dan dia melahirkan seorang anak lelaki, yang akan memerintah seluruh bangsa dengan batang besi; dan anaknya diangkat kepada Tuhan dan takhta-Nya.
4 Dan terdapat satu lagi tanda yang muncul di syurga; dan lihatlah, seekor naga merah yang besar, yang mempunyai tujuh kepada dan sepuluh tanduk, dan tujuh mahkota di atas semua kepalanya. Dan ekornya membawa sepertiga daripada bintang-bintang di syurga, dan mencampak mereka ke bumi. Dan naga itu berdiri di hadapan wanita yang melahirkan itu, bersedia untuk menelan anaknya selepas ia dilahirkan.
5 Dan wanita itu lari ke padang belantara, di mana telah disediakan sebuah tempat baginya oleh Tuhan, agar mereka akan memberinya makan di sana seribu dua ratus enam puluh tahun.
6 Dan terdapat sebuah peperangan di syurga; Mikhael dan para malaikatnya bertempur menentang naga itu; dan naga itu dan para malaikatnya bertempur menentang Mikhael;
7 Dan naga itu tidak berjaya menentang Mikhael, dan juga anak itu, atau wanita itu yang merupakan gereja Tuhan, yang telah dibebaskan daripada kesakitannya, dan mendatangkan kerajaan Tuhan kita dan Kristus-Nya.
8 Tidak juga ada tempat di syurga untuk naga besar itu, yang telah disingkirkan; ular tua itu yang disebut iblis, dan juga dipanggil Setan, yang memperdayakan seluruh dunia; dia disingkirkan ke bumi; dan para malaikatnya disingkirkan bersamanya.
9 Dan aku mendengar suara kuat mengatakan di dalam syurga, Sekarang datanglah keselamatan, dan kekuatan, dan kerajaan Tuhan kita, dan kuasa Kristus-Nya.
10 Kerana penuduh saudara-saudara kita telah disingkirkan, yang menuduh mereka di hadapan Tuhan kita siang dan malam.
11 Kerana mereka telah mengatasinya dengan darah Domba itu, dan dengan kata-kata kesaksian mereka; kerana mereka tidak mengasihi nyawa mereka sendiri, tetapi memegang kesaksian mereka bahkan sehingga kematian. Oleh kerana itu, bersukacitalah Wahai syurga, dan kamu yang tinggal di dalamnya.
12 Dan selepas hal-hal ini aku mendengar suatu suara lagi mengatakan, Celakalah kepada para penghuni bumi, ya, dan mereka yang tinggal di pulau-pulau di laut! Kerana iblis telah turun kepadamu, dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu hanya sedikit masa yang tinggal lagi.
13 Kerana apabila naga itu melihat bahawa dia telah disingkirkan ke bumi, dia menganiaya wanita yang telah melahirkan anak lelaki itu.
14 Oleh kerana itu, wanita itu telah diberikan dua sayap helang yang besar, agar dia boleh lari ke padang belantara, ke dalam tempatnya, di mana dia akan dipelihara untuk suatu tempoh masa, dan beberapa tempoh masa, dan separuh tempoh masa, daripada ular tersebut.
15 Dan ular itu menyemburkan air dari mulutnya bagaikan air bah terhadap wanita itu, agar dia boleh menyebabkan air bah itu untuk menghanyutkannya.
16 Dan bumi membantu wanita itu, dan bumi membuka mulutnya, dan menelan air banjir yang dikeluarkan oleh naga itu dari mulutnya.
17 Oleh kerana itu, naga itu sangat marah dengan wanita itu, dan pergi berperang dengan keturunannya yang selebihnya, yang menurut perintah-perintah Tuhan, dan mempunyai kesaksian kepada Yesus Kristus.