Bantuan Pengkajian
TJS, Wahyu 1


TJS, Wahyu 1:1–8. Bandingkan dengan Wahyu 1:1–8

Rasul Yohanes menerima nubuat-nubuat di dalam kitab Wahyu. Dia telah dikunjungi oleh Yesus Kristus dan seorang malaikat.

1 Wahyu Yohanes, seorang hamba Tuhan, yang telah diberikan kepadanya daripada Yesus Kristus, untuk menunjukkan kepada para hambanya hal-hal yang tidak lama lagi akan terjadi, yang telah Dia utuskan dan beritahukan kepada hamba-Nya Yohanes melalui malaikat-Nya.

2 Yang telah memberikan kesaksian tentang firman Tuhan, dan tentang kesaksian Yesus Kristus, dan segala hal yang telah dilihatnya.

3 Diberkatilah mereka yang membaca, dan mereka yang mendengar dan memahami perkataan-perkataan nubuat ini, dan taat kepada hal-hal yang tertulis di dalamnya, kerana masa kedatangan Tuhan semakin dekat.

4 Sekarang inilah kesaksian Yohanes kepada tujuh hamba yang memimpin tujuh gereja di Asia. Rahmat bagimu, dan damai daripada Dia yang wujud sekarang, dahulu, dan pada masa depan; yang telah mengutuskan malaikat-Nya dari takhta-Nya, untuk bersaksi kepada mereka yang merupakan tujuh hamba yang memimpin tujuh gereja itu.

5 Oleh kerana itu, aku, Yohanes, seorang saksi yang setia, memberikan kesaksian tentang hal-hal yang telah diberikan kepadaku daripada malaikat itu, dan daripada Yesus Kristus putera sulung kematian, dan Putera bagi raja-raja di bumi.

6 Dan kemuliaan bagi Dia yang mengasihi kita; yang membersihkan kita dari dosa kita dengan darah-Nya sendiri, dan menjadikan kita para raja dan imam kepada Tuhan, Bapa-Nya. Kepada-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan, selama-lamanya. Amin.

7 Kerana lihatlah, Dia datang di dalam awan dengan puluhan ribu orang suci-Nya di dalam kerajaan, diselubungi dengan kemuliaan Bapa-Nya. Dan setiap mata akan melihat Dia, dan setiap kaum bumi ini akan meraung disebabkan-Nya. Demikianlah, Amin.

8 Kerana Dia memfirmankan, Akulah Alfa dan Omega, permulaan dan akhir, iaitu Tuhan, yang wujud sekarang, dahulu, dan pada masa depan, yang Maha Kuasa.