Bab 3
(Jun–Oktober 1830)
Tuhan telah menciptakan segalanya secara roh sebelum mereka ada secara fana di atas bumi—Dia menciptakan lelaki, manusia pertama, di atas bumi—Perempuan ialah seorang penolong yang sesuai bagi seorang lelaki.
1 Demikianlah langit dan bumi diselesaikan, dan segala isi di dalamnya.
2 Dan pada hari ketujuh Aku, Tuhan, mengakhiri pekerjaan-Ku, dan segala yang telah Aku ciptakan; dan Aku beristirehat pada hari yang ketujuh dari semua pekerjaan-Ku, dan segala yang telah Aku jadikan sudah selesai, dan Aku, Tuhan, melihat bahawa itu adalah baik;
3 Dan Aku, Tuhan, memberkati hari ketujuh, dan menguduskannya; kerana dalam hari itu Aku telah beristirehat dari semua pekerjaan-Ku yang Aku, Tuhan, telah ciptakan dan jadikan.
4 Dan sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa ini adalah riwayat langit dan bumi, semasa mereka diciptakan, pada hari ketika Aku, Tuhan Raja, menciptakan langit dan bumi,
5 Dan setiap tanaman di padang sebelum ia berada di bumi, dan setiap tumbuhan di padang sebelum ianya tumbuh. Kerana Aku, Tuhan Raja, telah menciptakan segalanya, yang Aku firmankan, secara roh, sebelum mereka berada secara fana di atas permukaan bumi. Kerana Aku, Tuhan Raja, belum menurunkan hujan ke atas permukaan bumi. Dan Aku, Tuhan Raja, telah menciptakan seluruh anak manusia; dan belum ada lagi seorang manusia pun untuk mengerjakan tanah; kerana Aku menciptakan mereka di dalam syurga; dan belum ada lagi makhluk di atas bumi, tidak juga di dalam air, tidak juga di udara;
6 Tetapi Aku, Tuhan Raja, berfirman, dan datanglah suatu kabut dari bumi, dan mengairi seluruh permukaan tanah.
7 Dan Aku, Tuhan Raja, membentuk manusia dari debu tanah, dan menghembuskan nafas ke dalam lubang hidungnya nafas kehidupan; dan manusia menjadi suatu jiwa yang hidup, makhluk berdaging pertama di atas bumi, manusia pertama juga; walaupun demikian, segalanya ada sebelum diciptakan; tetapi secara roh mereka diciptakan dan dijadikan menurut firman-Ku.
8 Dan Aku, Tuhan Raja, menanam sebuah taman di sebelah timur di Eden, dan di sana Aku menempatkan lelaki yang telah Aku bentuk.
9 Dan dari tanah telah dijadikan oleh-Ku, Tuhan Raja, untuk menumbuhkan setiap pokok, secara fana, yang menyenangkan pada pandangan manusia; dan manusia dapat melihatnya. Dan ianya juga menjadi suatu jiwa yang hidup. Kerana ianya merupakan roh pada hari Aku menciptakannya; kerana ia berada tetap di dalam sfera yang Aku, Tuhan, telah ciptakan, ya, bahkan segalanya yang Aku sediakan untuk kegunaan manusia; dan manusia melihat bahawa ianya adalah baik untuk makanan. Dan Aku, Tuhan Raja, juga menanam pokok kehidupan di tengah-tengah taman itu, dan juga pokok pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.
10 Dan Aku, Tuhan Raja, menyebabkan sebuah sungai mengalir dari Eden untuk mengairi taman itu; dan dari sana ianya terbahagi, dan menjadi empat hulu.
11 Dan Aku, Tuhan Raja, menyebut nama yang pertama Pison, dan ia mengelilingi seluruh tanah Havila, di mana Aku, Tuhan Raja, menciptakan banyak emas;
12 Dan emas di tanah itu baik, dan ada batu delima dan batu akik.
13 Dan nama sungai kedua disebut Gihon; yang mengelilingi seluruh negeri Etiopia.
14 Dan nama sungai ketiga adalah Hidekel; yang menuju ke arah timur Assyria. Dan sungai keempat adalah Efrat.
15 Dan Aku, Tuhan Raja, mengambil manusia, dan menempatkannya di dalam Taman Eden, untuk mengolahnya, dan untuk menjaganya.
16 Dan Aku, Tuhan Raja, memerintahkan lelaki itu, memfirmankan: Dari setiap pokok di taman ini boleh engkau makan dengan bebas,
17 Tetapi dari pokok pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat, engkau tidak harus memakannya, walaupun demikian, engkau boleh memilih bagi dirimu sendiri, kerana ianya diberikan kepadamu; tetapi, ingatlah bahawa Aku melarangnya, kerana pada hari engkau memakannya engkau pasti akan mati.
18 Dan Aku, Tuhan Raja, berfirman kepada Anak Tunggal-Ku, bahawa tidaklah baik bahawa lelaki itu harus keseorangan; kerana itu, Aku akan menciptakan seorang penolong yang sesuai baginya.
19 Dan dari tanah Aku, Tuhan Raja, membentuk setiap binatang di padang, dan setiap burung di udara; dan memerintahkan agar mereka harus datang kepada Adam, untuk memastikan apa yang dia akan namakan mereka; dan mereka juga merupakan jiwa-jiwa yang hidup; kerana Aku, Tuhan, menghembuskan nafas kepada mereka nafas kehidupan, dan memerintahkan bahawa apa pun yang Adam namakan kepada setiap makhluk hidup, itulah yang akan menjadi namanya.
20 Dan Adam memberikan nama kepada semua haiwan ternakan, dan kepada burung di udara, dan kepada setiap binatang di padang; tetapi untuk Adam, tiada seorang penolong yang sesuai baginya.
21 Dan Aku, Tuhan Raja, menyebabkan tidur yang nyenyak kepada Adam; dan dia tidur, dan Aku mengambil salah satu dari tulang-tulang rusuknya dan menutup kembali dagingnya;
22 Dan tulang rusuk yang Aku, Tuhan Raja, telah ambil dari lelaki itu, telah Aku jadikan seorang perempuan, dan membawanya kepada lelaki itu.
23 Dan Adam berkata: Aku tahu sekarang dia ialah tulang dari tulang-tulangku, dan daging dari dagingku; dia akan dinamakan Perempuan, kerana dia diambil daripada lelaki.
24 Oleh kerana itu seorang lelaki harus meninggalkan bapanya dan ibunya, dan harus berpaut teguh kepada isterinya; dan mereka akan menjadi satu daging.
25 Dan mereka berdua telanjang, lelaki itu dan isterinya, dan tidak malu.