Bab 4
(Jun–Oktober 1830)
Bagaimana Setan menjadi iblis—Dia menggoda Hawa—Adam dan Hawa jatuh, dan kematian memasuki dunia.
1 Dan Aku, Tuhan Raja, berfirman kepada Musa, memfirmankan: Setan itu, yang telah engkau perintahkan dalam nama Anak Tunggal-Ku, adalah yang sama yang ada dari permulaan, dan dia datang ke hadapan-Ku, mengatakan—Lihatlah, di sinilah aku, utuslah aku, aku akan menjadi Anak-Mu, dan aku akan menebus seluruh umat manusia, sehingga satu jiwa pun tidak akan hilang, dan pastilah aku akan melakukannya; kerana itu berilah aku kehormatanmu.
2 Tetapi, lihatlah, Putera-Ku Yang Dikasihi, iaitu Yang Dikasihi-Ku dan Terpilih dari permulaan, mengatakan kepada-Ku—Bapa, kehendak-Mu dilakukan, dan kemuliaan adalah milik-Mu selamanya.
3 Kerana itu, disebabkan Setan memberontak melawan-Ku, dan berusaha untuk menghancurkan hak pilihan manusia, yang Aku, Tuhan Raja, telah berikan kepadanya, dan juga, Aku harus memberikan kuasa-Ku kepadanya; melalui kuasa Anak Tunggal-Ku, Aku menyebabkan dia disingkirkan;
4 Dan dia menjadi Setan, ya, bahkan iblis, bapa segala kedustaan, untuk menipu dan untuk membutakan manusia, dan untuk menuntun mereka tertawan pada kehendaknya, bahkan sebanyak mana yang tidak mahu mendengarkan suara-Ku.
5 Dan sekarang ular adalah lebih cerdik daripada mana-mana binatang di padang yang Aku, Tuhan Raja, telah ciptakan.
6 Dan Setan menaruh ke dalam hati ular, (kerana dia telah membawa ramai kepadanya,) dan dia juga berusaha untuk memperdayakan Hawa, kerana dia tidak mengetahui fikiran Tuhan, kerana itu dia berusaha untuk menghancurkan dunia.
7 Dan dia berkata kepada perempuan itu: Ya, adakah Tuhan telah memfirmankan—Kamu tidak harus makan dari setiap pokok di taman? (Dan dia berkata melalui mulut ular.)
8 Dan perempuan itu berkata kepada ular itu: Kami boleh makan buah dari pokok-pokok di taman ini;
9 Tetapi buah dari pokok yang engkau lihat di tengah-tengah taman, Tuhan telah memfirmankan—Kamu tidak harus memakannya, jangan juga kamu menyentuhnya, agar jangan kamu mati.
10 Dan ular berkata kepada perempuan itu: Kamu pastinya tidak akan mati;
11 Kerana Tuhan mengetahui bahawa pada hari kamu memakannya, matamu kemudiannya akan terbuka, dan kamu akan menjadi seperti Tuhan, mengetahui yang baik dan yang jahat.
12 Dan apabila perempuan itu melihat bahawa pokok itu baik untuk makanan, dan menjadi begitu menyenangkan matanya, dan bahawa ianya sebatang pokok yang dinginkan untuk menjadikannya bijaksana, lalu dia mengambil buahnya, dan memakannya, dan juga memberikan kepada suaminya, dan dia pun memakannya.
13 Dan mata mereka berdua terbuka, dan mereka mengetahui bahawa mereka telanjang. Dan mereka menjahit daun-daun ara bersama dan membuat cawat untuk diri mereka sendiri.
14 Dan mereka mendengar suara Tuhan Raja, semasa mereka sedang berjalan di dalam taman, pada hari yang sejuk; dan Adam dan isterinya pergi menyembunyikan diri mereka dari hadirat Tuhan Raja di antara pokok-pokok di taman.
15 Dan Aku, Tuhan Raja, memanggil kepada Adam, dan berfirman kepadanya: Ke mana perginya engkau?
16 Dan dia berkata: Aku mendengar suara-Mu di dalam taman, dan aku takut, kerana aku melihat bahawa aku telanjang, dan aku menyembunyikan diriku.
17 Dan Aku, Tuhan Raja, berfirman kepada Adam: Siapa yang memberitahu engkau telanjang? Adakah engkau telah memakan dari pokok yang telah Aku perintahkan kepada engkau bahawa engkau tidak harus memakannya, jika tidak engkau pasti akan mati?
18 Dan lelaki itu berkata: Perempuan yang Engkau berikan kepadaku, dan perintahkan agar dia harus tinggal bersamaku, dia telah memberikan kepadaku buah dari pokok itu dan aku telah memakannya.
19 Dan Aku, Tuhan Raja, berfirman kepada perempuan itu: Apakah hal yang telah engkau lakukan ini? Dan perempuan itu berkata: Ular itu memperdayakanku, dan aku pun memakannya.
20 Dan Aku, Tuhan Raja, berfirman kepada ular itu: Kerana engkau telah melakukan hal ini engkau akan dikutuk lebih dari segala haiwan ternakan, dan lebih dari setiap binatang di padang; engkau akan menjalar dengan perutmu, dan engkau akan memakan debu seumur hidupmu;
21 Dan Aku akan menjadikan permusuhan di antara engkau dan perempuan itu, di antara keturunanmu dan keturunannya; dan dia akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan mematuk tumitnya.
22 Kepada perempuan itu, Aku, Tuhan Raja, berfirman: Aku akan melipatgandakan kedukaanmu dan kehamilanmu. Dengan kedukaan engkau akan melahirkan anak-anak, dan keinginanmu adalah terhadap suamimu, dan dia akan berkuasa kepadamu.
23 Dan kepada Adam, Aku, Tuhan Raja, berfirman: Kerana engkau telah mendengar kepada suara isterimu, dan telah memakan buah dari pokok yang telah Aku perintahkan kepadamu, memfirmankan—Engkau tidak harus memakannya, terkutuklah tanah ini untuk kepentinganmu; dengan kedukaan engkau akan makan daripadanya seumur hidupmu.
24 Semak berduri, dan juga tumbuh-tumbuhan beronak akan ia hasilkan bagimu, dan engkau akan memakan sayuran dari padang itu.
25 Dengan peluh mukamu engkau akan memakan roti, sehinggalah engkau akan kembali ke tanah—kerana engkau pasti akan mati—kerana daripadanya engkau diambil: kerana engkau dahulunya debu, dan kepada debulah engkau akan kembali.
26 Dan Adam menamakan isterinya Hawa, kerana dia ialah ibu kepada semua yang hidup; maka demikianlah Aku, Tuhan Raja, menamakan yang pertama dari semua perempuan, yang adalah banyak.
27 Kepada Adam, dan juga kepada isterinya, Aku, Tuhan Raja, membuat pakaian kulit binatang, dan memakaikannya kepada mereka.
28 Dan Aku, Tuhan Raja, berfirman kepada Anak Tunggal-Ku: Lihatlah, lelaki itu sudah menjadi salah seorang daripada Kita yang mengetahui kebaikan dan kejahatan; dan sekarang agar jangan dia menghulurkan tangannya dan mengambil buah dari pokok kehidupan itu, dan memakannya dan hidup selamanya,
29 Oleh itu Aku, Tuhan Raja, akan menghantarnya keluar dari Taman Eden, untuk mengerjakan tanah iaitu di mana dia diambil;
30 Kerana sebagaimana Aku, Tuhan Raja, hidup, demikian juga firman-firman-Ku tidak boleh dibatalkan, kerana apabila ianya dimaklumkan daripada mulut-Ku ianya harus digenapi.
31 Maka Aku menghalau lelaki itu, dan Aku menempatkan di timur Taman Eden, kerub-kerub dan sebilah pedang yang menyala, yang berpaling ke setiap arah untuk menjaga jalan ke pokok kehidupan.
32 (Dan ini adalah firman-firman yang Aku firmankan kepada hamba-Ku Musa, dan ianya adalah benar bahkan seperti yang Aku kehendaki; dan Aku telah memfirmankannya kepadamu. Pastikanlah engkau tidak memperlihatkannya kepada sesiapa pun, sehingga Aku perintahkan kepadamu, melainkan kepada mereka yang percaya. Amin.)