“19–25 Ogos: ‘Dipelihara Melalui Kuasa-Nya yang Menakjubkan.’ Alma 53–63,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024 (2023)
“19–25 Ogos. Alma 53–63,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: 2024 (2023)
19–25 Ogos: “Dipelihara Melalui Kuasa-Nya yang Menakjubkan”
Alma 53–63
Apabila dibandingkan dengan tentera bangsa Laman, “tentera muda” Helaman (Alma 56:33) iaitu 2,000 bangsa Nefi yang muda seharusnya tidak mempunyai peluang. Selain jumlah mereka sedikit, tentera Helaman “semuanya … sangat muda,” dan “mereka belum pernah berperang” (Alma 56:46–47). Dalam beberapa cara, keadaan mereka dan kita serupa, yang kadang-kadang merasa kecil dalam jumlah dan terbeban dengan pertempuran zaman akhir kita melawan Setan dan kuasa jahat di dunia.
Tetapi tentera Helaman ada beberapa kelebihan terhadap bangsa Laman yang tidak ada kaitan dengan bilangan atau kemahiran ketenteraan. Mereka memilih Helaman, seorang nabi, untuk memimpin mereka (lihat Alma 53:19); “mereka telah diajar oleh ibu-ibu mereka, bahawa jika mereka tidak ragu, Tuhan akan membebaskan mereka” (Alma 56:47); dan mereka mempunyai “iman yang besar pada apa yang telah diajarkan.” Hasilnya, mereka dilindungi oleh “kuasa-Nya yang menakjubkan” (Alma 57:26). Jadi apabila menghadapi pertempuran hidup, kita boleh berani. Tentera Helaman mengajar kita bahawa “ada seorang Tuhan yang adil, dan barang siapa tidak ragu, [akan] dipelihara melalui kuasa-Nya yang menakjubkan” (Alma 57:26).
Idea-idea untuk Pembelajaran di Rumah dan di Gereja
Alma 53:10–22; 56:43–49, 55–56; 57:20–27; 58:39–40
Beriman kepada Tuhan membantu saya mengatasi ketakutan.
Jika bukan kerana iman mereka, tentera muda Helaman akan ada sebab yang baik untuk merasa takut. Tetapi kerana iman mereka, mereka ada lebih banyak sebab untuk menjadi berani. Semasa anda membaca tentangnya dalam Alma 53–58, cari hal-hal yang membantu anda menghadapi ketakutan anda dengan iman kepada Kristus. Pertimbangkan untuk fokus pada ayat-ayat berikut: Alma 53:10–22; 56:43–49, 55–56; 57:20–27; dan 58:39–40. Jadual ini boleh membantu anda mencatat penemuan anda.
Ciri-ciri askar muda Helaman: | |
Sebab-sebab iman mereka kepada Kristus begitu kuat: | |
Apa yang mereka lakukan untuk menjalankan iman kepada Kristus: | |
Bagaimana Tuhan memberkati mereka: |
Untuk memenangi pertempuran rohani kita, kita juga memerlukan kuasa Yesus Kristus. Bagaimanakah anda mengakses kuasa-Nya? Carilah jawapan dalam pesanan Presiden Russell M. Nelson “Menarik Kuasa Yesus Kristus ke dalam Hidup Kita” (Liahona, Mei 2017, 39–42). Anda boleh membandingkan nasihatnya dengan hal-hal yang askar Helaman lakukan.
Selepas mengkaji hal-hal ini, fikirkan tentang pertempuran rohani anda sendiri. Tuliskan apa yang anda terilham untuk lakukan untuk menjalankan iman kepada Yesus Kristus.
Lihat juga Neil L. Andersen, “Yang Terluka,” Liahona, Nov. 2018, 83–86; “Teguh pada Iman,” Nyanyian Rohani, no. 121.
Para pengikut Yesus Kristus tidak mudah tersinggung.
Helaman dan Pahoran ada alasan yang baik untuk tersinggung. Helaman tidak menerima sokongan yang cukup untuk tenteranya, dan Moroni telah menyalah tuduh Pahoran menahan sokongan itu (lihat Alma 58:4–9, 31–32; 60). Apakah yang anda kagum tentang reaksi mereka dalam Alma 58:1–12, 31–37 dan Alma 61? Mengapakah mereka bertindak sedemikian?
Elder David A. Bednar memuji Pahoran sebagai teladan kelembutan hati dan mengajar bahawa “teladan kelembutan hati yang teragung dan paling bererti boleh didapati dalam kehidupan Juruselamat” (“Lembut hati dan Rendah Hati,” Liahona, Mei 2018, 32). Renungkan bagaimana Juruselamat menunjukkan kelembutan hati. Lihat, contohnya, Matius 27:11–26; Lukas 22:41–42; Yohanes 13:4–17. Bagaimanakah anda dapat mengikuti teladan-Nya?
Saya ada tanggungjawab untuk mengangkat orang di sekeliling saya.
Moroni menulis bahawa Tuhan akan mengira Pahoran bertanggungjawab jika dia sengaja mengabaikan keperluan pasukan Nefi. Apakah yang anda pelajari dari Alma 60:7–14 tentang menjaga orang yang memerlukan? Apakah yang anda boleh lakukan untuk lebih peka dan memenuhi keperluan orang lain?
Jika saya rendah hati, cabaran hidup boleh memalingkan hati saya kepada Tuhan.
Letakkan telur mentah dan ubi kentang dalam air mendidih untuk membantu anda fikirkan bagaimana anda boleh pilih untuk “dilembutkan” atau “dikeraskan” oleh percubaan anda. Semasa telur dan kentang sedang memasak, kaji Alma 62:39–51, dan perhatikan bagaimana orang-orang itu bertindak balas terhadap pelayanan Helaman selepas peperangan lama mereka dengan bangsa Laman. Kemudian anda boleh membandingkan ini dengan bagaimana mereka telah bertindak balas terhadap pengkhutbahan dia 13 tahun sebelumnya (lihat Alma 45:20–24). Bagaimanakah bangsa Nefi dipengaruhi secara berbeza oleh kesengsaraan yang sama? Apabila telur dan kentang dimasak sepenuhnya, pecahkan telur dan potong kentang itu. Bagaimanakah air mendidih mempengaruhi mereka secara berbeza? Apakah yang anda pelajari tentang bagaimana kita boleh pilih untuk bertindak terhadap kesengsaraan? Bagaimanakah anda boleh berpaling kepada Tuhan semasa kesengsaraan anda?
Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak
Saya boleh menjadi setia kepada Tuhan seperti pahlawan muda Helaman.
-
Anda boleh gunakan banyak sumber untuk berkongsi cerita tentera Helaman, termasuk gambar-gambar dalam panduan ini dan “Bab 34: Helaman dan 2,000 Pahlawan Muda” (Cerita-cerita Kitab Mormon, 93–94). Halaman aktiviti minggu ini membantu anak-anak anda memikirkan cara mereka boleh menjadi seperti tentera Helaman. Pertimbangkan untuk berkongsi beberapa kualiti tentera muda dari Alma 53:20–21 untuk memulakannya. Anda juga boleh nyanyi bersama “Membawa Injil Ke Seluruh Dunia” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 92).
Saya boleh menjadi setia kepada apa yang ibu bapa saya ajarkan dalam kesolehan.
-
Askar muda Helaman memandang iman ibu mereka ketika mereka menghadapi cabaran yang hebat. Mungkin anda boleh membaca Alma 56:46–48 dengan anak-anak anda dan menjemput mereka untuk mendengar apa yang ibu-ibu remaja ini ajarkan mereka tentang iman. Anda boleh tanya apa yang mereka telah pelajari daripada ibu bapa mereka—atau orang dewasa beriman yang lain—tentang Juruselamat. Mengapakah ia penting untuk mematuhi “dengan ketepatan”? (Alma 57:21).
-
Bagaimanakah anda—seperti ibu-ibu askar teruna itu—pastikan anak-anak anda tahu tentang iman anda kepada Tuhan? Satu cara adalah untuk berkongsi bagaimana iman anda mempengaruhi kehidupan anda. Contohnya, bagaimana Dia telah “membebaskan” anda apabila anda “tidak ragu”?
Saya boleh mentaati perjanjian saya dengan Bapa Syurgawi
-
Anak-anak anda boleh bercakap tentang masa ketika seseorang membuat dan menepati janji dengan mereka. Bagaimanakah perasaan mereka apabila janji itu ditepati? Anda boleh membaca Alma 53:10–18 dan menjemput anak-anak anda untuk mencari bagaimana Helaman, orang Amon, dan para putera orang Amon membuat dan mentaati janji-janji atau perjanjian mereka. Anda boleh berkongsi bagaimana Bapa Syurgawi memberkati anda semasa anda mentaati perjanjian anda.
Saya boleh pilih untuk tidak marah.
Pertimbangkan untuk menjemput anak-anak untuk berfikir tentang masa ketika mereka dituduh melakukan sesuatu yang mereka tidak lakukan. Beritahu mereka tentang bagaimana ini berlaku kepada Pahoran (lihat Alma 60–61, lihat juga “Bab 35: Panglima Moroni dan Pahoran,” Cerita-cerita Kitab Mormon, 95–97). Untuk tahu bagaimana Pahoran bertindak balas, bergilir baca ayat-ayat dari Alma 61:3–14. Apakah yang Pahoran lakukan apabila Moroni menuduh dia? (lihat Alma 61:2–3, 8–9). Apakah yang kita pelajari tentang pengampunan dari teladan Juruselamat? (lihat Lukas 23:34).