“29 Jun–5 Julai. Alma 23–29: Mereka ‘Tidaklah Pernah Jatuh,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Kitab Mormon 2020 (2020)
“29 Jun–5 Julai. Alma 23–29,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2020
29 Jun–5 Julai
Alma 23–29
Mereka “Tidaklah Pernah Jatuh”
Apabila anda mengkaji Alma 23–29, apakah pesanan yang anda dapati untuk diri anda sendiri dan keluarga anda? Apakah yang anda boleh berkongsi dalam kelas Gereja anda?
Mencatat Tanggapan Anda
Adakah anda kadangkala tertanya-tanya sama ada orang benar-benar boleh berubah? Mungkin anda risau sama ada anda boleh mengatasi pilihan buruk yang anda pernah buat atau tabiat yang buruk yang anda ada, atau anda mungkin mempunyai kerisauan yang sama tentang orang yang dikasihi. Jika ya, kisah orang Anti-Nefi-Lehi dapat membantu anda. Orang-orang ini adalah musuh ketat bangsa Nefi. Apabila Amon dan saudaranya memutuskan untuk mengkhutbahkan injil kepada mereka, bangsa Nefi “mengetawakan [mereka] untuk mencemuh.” Membunuh bangsa Laman kelihatan seperti penyelesaian yang lebih masuk akal daripada membuat mereka berpaling kepada Tuhan. (Lihat Alma 26:23–25.)
Tetapi bangsa Laman telah berubah—melalui kuasa Tuhan yang membuat mereka bertukar hati. Mereka yang pernah dikenali sebagai “bangsa yang keras hati dan yang ganas” (Alma 17:14), menjadi bangsa yang “dibezakan kerana semangat mereka terhadap Tuhan” (Alma 27:27). Tambahan pula, mereka “tidaklah pernah jatuh” (Alma 23:6).
Mungkin anda mempunyai tradisi palsu untuk ditinggalkan atau “senjata … pemberontakan” untuk diletakkan (Alma 23:7). Atau mungkin anda hanya perlu menjadi lebih bersemangat dalam kesaksian anda dan sedikit kurang cenderung untuk jatuh. Tidak kira apa perubahan yang anda perlukan, Alma 23–29 boleh memberi anda harapan bahawa melalui kuasa korban tebusan Yesus Kristus, perubahan yang tahan lama boleh berlaku.
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Apabila anak-anak Tuhan menerima injil, berkat-berkat yang besar akan diikuti.
Apabila raja bangsa Laman mengisytiharkan bahawa firman Tuhan “tidak akan mengalami halangan” di kalangan rakyatnya (lihat Alma 23:1–5), dia membuka pintu untuk berkat besar untuk mereka. Apabila anda membaca Alma 23–29, cari berkat-berkat ini. Bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa firman Tuhan “tidak akan mengalami halangan” dalam hidup anda atau dalam keluarga anda?
Penukaran hati saya kepada Yesus Kristus dan injil-Nya mengubah hidup saya.
Bangsa Laman yang dikunjungi oleh Amon dan saudaranya seolah-olahnya calon-calon yang mustahil untuk penukaran hati—mereka terperangkap oleh adat resam nenek moyang dan kejahatan mereka sendiri. Namun ramai di antara mereka menerima injil Yesus Kristus dan membuat perubahan besar dalam hidup mereka. Sebagai lambang penukaran hati mereka sendiri, bangsa Laman ini memanggil diri mereka orang Anti-Nefi-Lehi. (Maksud “anti” dalam kes ini tidak sama dengan “anti” dalam “anti-Kristus”).
Fikir kembali tentang penukaran hati bangsa Laman ini mungkin mendorong anda untuk merenungkan penukaran hati anda sendiri “kepada Tuhan” (Alma 23:6). Satu cara untuk mengkaji bab ini adalah untuk mengenal pasti bagaimana penukaran hati orang Anti-Nefi-Lehi mengubah hidup mereka. Ayat-ayat berikut boleh membantu anda bermula.
Semasa anda merenungkan perubahan dalam orang Anti-Nefi-Lehi, pertimbangkan bagaimana penukaran hati anda sendiri kepada Kristus sedang mengubah anda. Apakah yang anda rasa anda masih perlu berubah supaya injil dapat memiliki kuasa yang lebih besar dalam hidup anda?
Tuhan berbelas kasihan.
Walaupun dosa-dosa yang harus diatasi oleh Amon dan orang Anti-Nefi-Lehi mungkin berbeza dari apa pun dalam hidup anda, kita semua bergantung kepada belas kasihan Tuhan. Apakah yang anda temui dalam Alma 24:7–19 dan 26:17–22 yang membantu anda memahami belas kasihan-Nya? Apabila anda membaca, anda mungkin berfikir tentang perkara-perkara ini: cara-cara anda telah dijemput untuk bertaubat, pengalaman anda dengan pertaubatan, bagaimana anda telah berusaha untuk menghindari dari berdosa lagi, dan berkat-berkat yang telah datang kepada anda melalui pertaubatan. Apabila anda membaca ayat-ayat dengan cara ini, apakah yang anda pelajari tentang belas kasihan Tuhan dalam hidup anda?
Melayani Tuhan membawa kegembiraan.
Walaupun pengalaman mereka yang berbeza, Amon dan Alma menyatakan perasaan yang sama mengenai pekerjaan penginjil mereka. Pertimbangkan untuk membaca Alma 26 dan 29 dan membandingkannya. Apakah persamaan yang anda perhatikan? Apakah perkataan dan frasa yang diulangi? Apakah yang anda boleh belajar daripada Amon dan Alma mengenai bagaimana untuk mencari kegembiraan yang benar walaupun menghadapi cabaran? (Untuk mengkaji semula cabaran yang dihadapi Alma, lihat pengenalan bab untuk Alma 5–16. Untuk mengkaji semula cabaran Amon dan saudaranya, lihat pengenalan bab untuk Alma 17–28.)
Apakah berkas dan jelapang?
Pada masa menuai, bijirin sering dikumpulkan ke dalam ikat yang dipanggil berkas dan ditempatkan di gudang simpanan, kadangkala ia dipanggil jelapang. Elder David A. Bednar berkongsi tafsiran lambang dalam Alma 26:5: “berkas dalam analogi ini mewakili ahli Gereja yang baru dibaptiskan. Jelapang adalah bait suci yang kudus” (“Honorably Hold a Name and Standing,” Ensign atau Liahona, Mei 2009, 97). Pertimbangkan apakah yang diajar oleh analogi dalam Alma 26:5–7 kepada anda tentang kepentingan perjanjian bait suci.
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
Apabila anda membaca tulisan suci dengan keluarga anda, Roh boleh membantu anda mengetahui asas apa yang perlu ditekankan dan dibincangkan untuk memenuhi keperluan keluarga anda. Berikut ialah beberapa idea.
Alma 24:6–19
Mengapakah orang Anti-Nefi-Lehi menguburkan senjata mereka “jauh ke dalam bumi”? (Alma 24:16). Mungkin ahli keluarga akan suka menulis pada kepingan kertas tentang sesuatu yang mereka ingin mengatasi atau meninggalkan. Mereka kemudian boleh menggali lubang dan menguburkan kertas tersebut.
Alma 24:7–12
Mengkaji ayat-ayat ini dapat membantu keluarga anda memahami kurnia pertaubatan yang menakjubkan. Apakah yang dilakukan oleh orang Anti-Nefi-Lehi untuk bertaubat dari dosa-dosa mereka? Bagaimanakah Tuhan membantu mereka bertaubat? Apakah yang kita boleh pelajari dari contoh ini?
Alma 24:20–27
Apakah yang kita telah lihat yang bersaksi kebenaran pengisytiharan Mormon: “Demikianlah kita melihat bahawa Tuhan bekerja dalam banyak cara untuk keselamatan umat-Nya”? (Alma 24:27).
Alma 26:2
Bagaimanakah keluarga anda akan menjawab soalan Amon dalam Alma 26:2? Mungkin anda boleh membuat senarai jawapan mereka pada sekeping kertas yang besar dan menggantungnya di tempat di mana semua orang dapat melihatnya. Galakkan ahli keluarga untuk menambah kepada senarai apabila mereka memikirkan berkat-berkat lain yang Tuhan “kurniakan pada diri kita.”
Alma 29:9
Bagaimanakah Amon dan Alma menjadi sarana dalam tangan Tuhan? Pertimbangkan melihat alat atau sarana di rumah anda dan bincangkan bagaimana mereka masing-masing membantu keluarga anda. Bagaimanakah ini membantu kita memahami bagaimana kita boleh “alat dalam tangan Tuhan”?
Untuk idea lanjut untuk mengajar kanak-kanak, lihat rangka panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.