“31 Ogos–6 September. Helaman 13–16: ‘Khabar Gembira Tentang Kebahagiaan yang Besar,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Kitab Mormon 2020 (2020)
“31 Ogos–6 September,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2020
31 Ogos–6 September
Helaman 13–16
“Khabar Gembira Tentang Kebahagiaan yang Besar”
Apabila anda mencatat tanggapan anda minggu ini, fikirkan bagaimana asas-asas dalam Helaman 13–16 membina dan mengukuhkan hal-hal lain yang anda telah pelajari dalam tulisan suci.
Mencatat Tanggapan Anda
Kali pertama Samuel si bangsa Laman cuba berkongsi “khabar gembira” di Zarahemla (Helaman 13:7), dia ditolak dan diusir oleh bangsa Nefi yang keras hati. Anda boleh mengatakan bahawa seolah-olahnya mereka telah membina tembok yang tidak dapat ditembusi di sekitar hati mereka yang menghalang mereka dari menerima pesanan Samuel. Samuel memahami kepentingan pesanan yang dia berikan dan dia menunjukkan iman dengan mematuhi perintah Tuhan “bahawa dia seharusnya kembali lagi, dan bernubuat” (Helaman 13:3). Sama seperti Samuel, kita semua menemui dinding semasa kita “persiapkanlah jalan Tuhan” (Helaman 14:9) dan berusaha untuk mengikuti nabi-Nya. Dan seperti Samuel, kita juga menjadi saksi tentang Yesus Kristus, “yang pasti akan datang,” dan menjemput semua untuk “percaya kepada nama-Nya” (Helaman 13:6; 14:13). Tidak semua orang akan mendengar, dan ada juga yang mungkin menentang kita secara aktif. Tetapi orang-orang yang percaya pada pesanan ini dengan iman kepada Kristus mendapati bahawa ia benar-benar “khabar gembira tentang kebahagiaan yang besar” (Helaman 16:14).
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Tuhan memberi amaran melalui para nabi-Nya.
Dalam tulisan suci, para nabi kadang kala dibandingkan dengan penjaga di atas tembok atau menara yang memberi amaran bahaya (lihat Yesaya 62:6; Yehezkiel 33:1–7).
Presiden M. Russell Ballard mengajarkan: “Sepanjang berabad-abad, para nabi melaksanakan tugas mereka apabila mereka telah memberi amaran kepada orang-orang tentang kebahayaan yang di hadapan mereka. Para Rasul Tuhan berkewajipan untuk menjaga, memberi amaran, dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang mencari jawapan kepada soalan-soalan kehidupan” (“Tuhan Berada Pada Kemudi,” Ensign atau Liahona, Nov. 2015, 25).
Apabila anda mengkaji dan merenung Helaman 13, anda boleh menandakan banyak amaran yang diberi oleh Samuel. Sebagai contoh, apakah yang dia ajarkan tentang pertaubatan? tentang kerendahan hati dan kekayaan? Bagaimanakah mungkin amaran ini berkaitan dengan anda? Apakah amaran yang diberikan oleh para nabi moden baru-baru ini, dan apakah yang anda rasa anda perlu lakukan tentang amaran tersebut?
Tuhan berbelas kasihan kepada mereka yang bertaubat.
Pada mulanya, Samuel telah dihantar kepada bangsa Nefi untuk berkongsi berita gembira tentang kedatangan Juruselamat (lihat Helaman 13:7). Disebabkan mereka menolaknya, dia kembali dengan amaran tegas tentang penghakiman Tuhan. Tetapi amaran-amaran tersebut secara konsisten menyertakan satu jemputan yang penuh belas kasihan untuk bertaubat; cari jemputan ini di seluruh Helaman 13–15 (lihat terutamanya Helaman 13:6, 11; 14:15–19; 15:7–8). Bagaimanakah jemputan ini berkaitan dengan anda? Apakah yang anda pelajari dari ayat-ayat ini tentang pertaubatan? Bilakah anda telah mengalami belas kasihan Tuhan yang datang dari pertaubatan?
Tanda-tanda dan keajaiban-keajaiban dapat menguatkan iman orang-orang yang tidak mengeraskan hati mereka.
Dalam Helaman 14, Samuel menjelaskan sebab Tuhan menyediakan tanda-tanda kelahiran dan kematian Juruselamat: “untuk tujuan agar kamu boleh percaya kepada nama-Nya” (Helaman 14:12). Apabila anda mengkaji Helaman 14, perhatikan tanda-tanda kelahiran Juruselamat dalam ayat 1–8 dan tanda kematian-Nya dalam ayat 20–28. Mengapakah tanda-tanda ini akan menjadi cara yang berkesan untuk menandakan kelahiran dan kematian Yesus Kristus?
Bolehkah anda memikirkan apa-apa tanda yang Tuhan berikan untuk membantu anda mempercayai Dia? Sebagai contoh, nabi telah meramalkan tanda-tanda yang akan muncul sebelum Kedatangan Kedua Juruselamat (lihat “Tanda-tanda Zaman Akhir,” Panduan Tulisan Suci, scriptures.ChurchofJesusChrist.org). Adakah sebarang tanda-tanda ini telah dipenuhi di zaman kita? Tanda-tanda lain yang membawa kepada iman dalam Yesus Kristus mungkin lebih peribadi dan kurang dramatik. Luangkan masa untuk memikirkan cara anda menyaksikan tangan-Nya dalam hidup anda.
Apakah peringatan yang diberikan mengenai tanda-tanda dalam Helaman 16:13–23? Bagaimanakah anda dapat mengelakkan sikap orang yang digambarkan dalam ayat-ayat ini?
Lihat juga Alma 30:43–52; Ronald A. Rasband, “Dengan Rancangan Ilahi,” Ensign atau Liahona, Nov. 2017, 55–57.
Mengikuti nasihat nabi membawa saya lebih dekat dengan Tuhan.
Elder Neil L. Andersen mengajarkan: “Saya mendapati bahawa apabila saya mengkaji kata-kata nabi Tuhan dengan teliti, dengan kesabaran, dan melaraskan kehendak saya dengan ajaran rohaninya, iman saya kepada Tuhan Yesus Kristus selalu meningkat. Jika kita pilih untuk mengetepikan nasihatnya dan memutus bahawa kita lebih bijak, iman kita menderita dan perspektif abadi kita akan menjadi kabur” (“Nabi Tuhan,” Ensign atau Liahona, Mei 2018, 26–27). Bagaimanakah perkataan dan tindakan bangsa Nefi dalam Helaman 16 mengesahkan apa yang diajar oleh Elder Andersen? Apakah komitmen peribadi yang anda rasa perlu dibuat mengenai para nabi Tuhan dan pesanan mereka?
Idea-idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
Apabila anda membaca tulisan suci dengan keluarga anda, Roh boleh membantu anda mengetahui asas apa yang perlu ditekankan dan dibincangkan untuk memenuhi keperluan keluarga anda. Berikut ialah beberapa idea.
Helaman 13:3–4
Apakah yang mengilhami keluarga anda tentang tindak balas Samuel terhadap perintah Tuhan in Helaman 13:3–4? Semasa keluarga anda mengkaji minggu ini, mungkin anda boleh menggalakkan ahli keluarga berkongsi tanggapan yang “masuk ke dalam hati [mereka].”
Helaman 13:38
Idea bahawa kebahagiaan dapat dijumpai dengan “melakukan kederhakaan” adalah umum di zaman kita. Dalam cara apakah dengan menjalani injil membawa kita kebahagiaan benar?
Helaman 15:3
Bagaimanakah pembetulan daripada Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita? Jemput ahli keluarga dengan rendah diri meminta Tuhan apakah yang mereka boleh lakukan untuk memperbaiki diri.
Helaman 15:5–8
Apakah yang kita pelajari mengenai penukaran hati dari bangsa Laman yang digambarkan dalam ayat-ayat ini? Bagaimanakah kita dapat mengikuti contoh mereka?
Helaman 16:1–3
Adakah keluarga anda dapat menikmati berlakon semula kisah Samuel si bangsa Laman? Selepas membaca laporan itu, mungkin ahli keluarga boleh bergilir berdiri di atas kerusi dan membaca beberapa nubuat Samuel sementara ahli keluarga lain berpura-pura menembak anak panah atau membaling batu. Ini dapat membantu keluarga anda memahami perasaan Samuel dan bangsa Nefi. Kanak-kanak kecil mungkin juga menikmati melukiskan tentang cerita itu. Bagaimanakah kita boleh menjadi seperti Samuel dan berkongsi injil dengan orang lain walaupun kita takut?
Untuk idea lanjut untuk mengajar kanak-kanak, lihat rangka panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.