Ajaran dan Perjanjian 2021
2–8 Ogos. Ajaran dan Perjanjian 85–87: “Berdirilah Kamu di Tempat-tempat Kudus”


“2–8 Ogos. Ajaran dan Perjanjian 85–87: ‘Berdirilah Kamu di Tempat-tempat Kudus,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Ajaran dan Perjanjian 2021 (2020)

“2–8 Ogos. Ajaran dan Perjanjian 85–87,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2021

Imej
keluarga berjalan menuju bait suci

2–8 Ogos

Ajaran dan Perjanjian 85–87

“Berdirilah Kamu di Tempat-tempat Kudus”

Roh akan membimbing anda untuk mengkaji asas dalam bahagian 85–87 yang tidak disebut dalam panduan ini. Ikutilah dorongan-Nya.

Mencatat Tanggapan Anda

Hari Krismas biasanya merupakan masa untuk merenungkan pesanan seperti “damai di bumi” dan “ sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya” (lihat Lukas 2:14). Tetapi pada 25 Disember 1832, fikiran Joseph Smith dipenuhi dengan ancaman perang. South Carolina baru sahaja menentang kerajaan Amerika Syarikat dan bersedia untuk berperang. Dan Tuhan mengungkapkan kepada Joseph bahawa ini hanya permulaan: “Perang,” Dia menyatakan, “akan dicurahkan ke atas semua bangsa” (Ajaran dan Perjanjian 87:2). Nampaknya nubuat ini akan dipenuhi tidak lama lagi.

Tetapi kemudian ia tidak berlaku. Dalam masa beberapa minggu sahaja, South Carolina dan kerajaan A.S. mencapai kompromi, dan perang telah dicegah. Tetapi wahyu tidak selalu dipenuhi pada masa atau cara yang kita jangkakan. Hampir 30 tahun kemudian, lama selepas Joseph Smith mati syahid dan para Orang Suci telah berpindah ke barat, South Carolina melakukan pemberontakan dan perang saudara diikuti. Sejak itu, peperangan di seluruh dunia telah menyebabkan “bumi berduka nestapa” (Ajaran dan Perjanjian 87:6). Walaupun nubuat ini akhirnya dipenuhi, wahyu ini kurang meramalkan bila bencana akan datang dan lebih banyak mengajarkan apa yang perlu dilakukan apabila ia berlaku. Nasihat itu adalah sama pada 1831, 1861, dan 2021: “Berdirilah kamu di tempat-tempat kudus, dan janganlah goyah” (ayat 8).

Imej
Ikon kajian peribadi

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Ajaran dan Perjanjian 85:1–2

Ia adalah baik untuk “menyimpan sejarah.”

“Sejarah” yang digambarkan dalam ayat 1 mencatatkan nama-nama mereka yang telah “menerima warisan secara sah” dalam Sion (lihat juga Ajaran dan Perjanjian 72:24–26). Bagaimanapun, sejarah ini mempunyai lebih dari sekadar pentadbiran—ia juga merupakan catatan bernilai para Orang suci tentang “cara hidup mereka, iman, dan pekerjaan mereka” (ayat 2).

Adakah anda menyimpan sejarah peribadi atau jurnal? Apakah yang anda boleh catatkan mengenai cara hidup, iman, dan pekerjaan anda yang mungkin menjadi berkat kepada generasi akan datang? Bagaimanakah sejarah ini menjadi berkat bagi anda?

Ajaran dan Perjanjian 85:6

Roh berbicara dengan “suara kecil yang lembut.”

Renungkan kata-kata yang Joseph Smith gunakan untuk menggambarkan Roh dalam Ajaran dan Perjanjian 85:6. Dalam cara apakah suara Roh “kecil” dan “lembut”? Apakah beberapa hal yang “menusuk” dalam hidup anda?

Semasa anda fikirkan tentang cara Roh berbicara kepada anda, pertimbangkan gambaran ini yang diberikan melalui Joseph Smith: Ajaran dan Perjanjian 6:22–24; 8:2–3; 9:7–9; 11:12–13; 128:1. Berdasarkan pengkajian anda, apakah yang anda rasa anda perlu lakukan dengan baik untuk mendengar suara Roh?

Lihat juga 1 Raja-Raja 19:11–12; Helaman 5:30.

Imej
wanita membaca tulisan suci

Mengkaji tulisan suci membantu kita mendengar Roh Kudus.

Ajaran dan Perjanjian 86

Yang soleh akan dikumpulkan pada hari-hari terakhir.

Ajaran dan Perjanjian 86:1–7 mengandungi penjelasan Tuhan tentang perumpamaan gandum dan lalang, dengan penekanan yang berbeza dari yang Dia berikan dalam Matius 13:24–30, 37–43. Semasa anda membandingkan keduanya, apakah perbezaan yang anda lihat? Pertimbangkan mengapa perumpamaan ini—dan perbezaannya—adalah berharga untuk diulangi “pada zaman terakhir, bahkan sekarang” (Ajaran dan Perjanjian 86:4). Apakah yang anda boleh pelajari dari perumpamaan ini dan terjemahan zaman akhirnya?

Seperti yang dicatatkan dalam ayat 8–11, Tuhan kemudian berbicara tentang imamat, pemulihan, dan keselamatan umat-Nya. Apakah hubungan yang anda lihat antara ayat-ayat ini dan perumpamaan gandum dan lalang? Bagaimanakah anda boleh menjadi seperti “seorang penyelamat kepada umat [Tuhan]”? (ayat 11).

Ajaran dan Perjanjian 87

Kedamaian ditemui di “tempat-tempat kudus.”

Sebagai tambahan kepada bahaya jasmani tentang “pertumpahan darah … [dan] kebuluran, dan wabak penyakit, dan gempa bumi” (Ajaran dan Perjanjian 87:6), nasihat dalam wahyu ini juga boleh digunakan kepada bahaya rohani yang kita hadapi pada zaman akhir ini. Apakah “tempat-tempat kudus” anda (ayat 8) di mana anda temui kedamaian dan keselamatan? Apakah yang membuat sesuatu tempat itu kudus? Di samping lokasi fizikal, mungkin ada masa kudus, amalan kudus, atau pemikiran kudus yang dapat memberikan kedamaian. Apakah maksud untuk menjadi “tidak tergerak” dari tempat-tempat ini?

Lihat juga Henry B. Eyring, “Sebuah Rumah Di Mana Roh Tuhan Berdiam,” Ensign atau Liahona, Mei 2019, 22–25.

Imej
ikon kajian sekeluarga

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Ajaran dan Perjanjian 85:6.Bagaimanakah anda boleh mengajar keluarga anda untuk mengenal pasti suara Roh yang kecil dan lembut itu? Anda boleh bermain satu permainan di mana seseorang berbisik arahan penting di tengah-tengah bunyi yang mengganggu. Apakah yang boleh mengganggu kita dari mendengar suara Roh Kudus? Ahli keluarga boleh berkongsi apa yang mereka lakukan untuk mendengar suara Roh.

Ajaran dan Perjanjian 86.Lukis atau lihat gambar-gambar yang boleh membantu keluarga anda memahami perumpamaan tentang gandum dan lalang. Anda boleh memulakan dengan gambar hal-hal yang digambarkan dalam Matius 13:24–30. Kemudian keluarga anda boleh menandakan gambar-gambar dengan penjelasan dari Ajaran dan Perjanjian 86:1–7. Bagaimanakah kita seperti gandum? Bagaimanakah kita dapat menjadi seperti malaikat yang mengumpulkan gandum itu?

Ajaran dan Perjanjian 87:8.Untuk memperkenalkan perbincangan tentang cara menjadikan rumah anda tempat yang lebih kudus, anda boleh menjemput ahli keluarga untuk mereka sebuah rumah bagi seseorang yang mengasihi Juruselamat. Ini mungkin membawa kepada idea bagaimana untuk “mereka semula bentuk” rumah anda untuk menjadikannya tempat kedamaian di tengah bahaya rohani di dunia. Lagu seperti “Kasih dalam Keluarga,” “Rumah Menjadi Syurga” (Nyanyian Rohani, no. 134, 137), atau “Di Mana Kasih Berada” (Buku Nyanyian Anak-anak, 76–77) boleh memberi anda idea.

Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu cadangan: “Di Mana Kasih Berada,” Buku Nyanyian Anak-anak, 76–77.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Gunakan kreativiti anda. Apabila anda mengajar keluarga anda dari tulisan suci, jangan membataskan diri dengan soalan dan idea aktiviti yang dicadangkan dalam panduan ini. Biarkan idea-idea ini menjana kreativiti anda sendiri. Fikirkan tentang apa yang keluarga anda nikmati dan apa yang akan membantu mereka mencari kaitan antara tulisan suci dan kehidupan mereka.

Imej
ladang gandum

Tuhan menggunakan perumpamaan tentang gandum dan lalang untuk menggambarkan bagaimana umat-Nya akan dikumpulkan pada hari-hari terakhir.

Cetak