Ajaran dan Perjanjian 2021
23–29 Ogos. Ajaran dan Perjanjian 93: “Menerima Kegenapan-Nya”


“23–29 Ogos. Ajaran dan Perjanjian 93: ‘Menerima Kegenapan-Nya,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Ajaran dan Perjanjian 2021 (2020)

“23–29 Ogos. Ajaran dan Perjanjian 93,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2021

Imej
Stefanus melihat Tuhan dan Yesus Kristus

I See the Son of Man Standing on the Right Hand of God, oleh Walter Rane

23–29 Ogos

Ajaran dan Perjanjian 93

“Menerima Kegenapan-Nya”

Ajaran dan Perjanjian 93 mengajarkan bahawa “kebenaran adalah pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang” (ayat 24). Semasa anda mengkaji bahagian ini, carilah kebenaran dan catatlah apa yang anda pelajari. Apakah yang anda sedia untuk lakukan bagi menerima kebenaran? (lihat ayat 27–28).

Mencatat Tanggapan Anda

“Apabila anda menaiki tangga,” Joseph Smith mengajar, “anda harus bermula dari bawah, dan naik langkah demi langkah, sehingga anda tiba di atas; begitu juga dengan injil—anda harus bermula dengan yang asas, sehingga anda pelajari semua asas permuliaan” (Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 268).

Kadangkala tangga permuliaan kelihatan terlalu tinggi, tetapi kita dilahirkan untuk tiba ke atasnya. Apa pun batasan yang kita lihat dalam diri kita, Bapa Syurgawi dan Putera-Nya nampak sesuatu yang agung dalam diri kita, sesuatu yang menyerupai Tuhan. “Anda juga” seperti Yesus Kristus yang “pada mulanya bersama Bapa” (Ajaran dan Perjanjian 93:21, 23). Seperti Yesus “berterusan dari rahmat ke rahmat, sehingga Dia menerima suatu kegenapan,” begitu juga “anda akan menerima rahmat demi rahmat” (ayat 13, 20). Injil yang dipulihkan mengajar kita tentang sifat sebenar Tuhan, dan ia juga mengajar kita tentang diri kita dan apa yang kita boleh jadi. Walau apa pun usaha “yang jahat” (ayat 39)—dan walau apa pun yang anda rasa anda mungkin kekurangan—anda adalah seorang anak Tuhan yang berpotensi untuk “pada waktu yang tepat menerima kegenapan-Nya” (ayat 19).

Imej
ikon kajian peribadi

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Ajaran dan Perjanjian 93

Kita menyembah Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus.

Tentang wahyu dalam Ajaran dan Perjanjian 93, Tuhan menjelaskan, “Aku memberi kepadamu firman ini agar kamu boleh memahami dan mengetahui bagaimana menyembah, dan mengetahui apa yang kamu sembah, agar kamu boleh datang kepada Bapa dalam nama-Ku, dan pada waktu yang tepat menerima kegenapan-Nya” (ayat 19). Semasa anda mengkaji wahyu ini, tandakan kebenaran yang anda temui tentang Makhluk yang kita sembah: Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Apakah yang anda pelajari tentang “cara menyembah” Mereka? Tentang bagaimana untuk “datang kepada Bapa”?

Nabi Joseph Smith mengajarkan, ”Jika manusia tidak memahami perwatakan Tuhan, mereka tidak memahami diri mereka sendiri” (Teachings: Joseph Smith 40). Semasa anda belajar tentang Juruselamat dengan mengkaji Ajaran dan Perjanjian 93, carilah juga apa yang anda pelajari tentang diri anda. Sebagai contoh, apakah yang anda pelajari tentang-Nya dari ayat 3, 12, 21, dan 26? Apakah kebenaran serupa yang anda temui tentang diri anda dalam ayat 20, 23, dan 28–29? (Lihat juga 1 Yohanes 3:2; 3 Nefi 27:27; Dean M. Davies, “The Blessings of Worship,” Ensign atau Liahona, Nov. 2016, 93–95.)

Ajaran dan Perjanjian 93:1–39

Kemuliaan Tuhan adalah cahaya dan kebenaran.

Anda mungkin dapat melihat bahawa kemuliaan, cahaya, dan kebenaran sering muncul dalam wahyu ini. Semasa anda mengkaji ayat 21–39 , cipta senarai kebenaran yang anda pelajari tentang kemuliaan, cahaya, dan kebenaran. Bagaimanakah kebenaran-kebenaran ini mengilhami anda untuk mencari cahaya dan kebenaran? Bagaimanakah kebenaran-kebenaran ini mempengaruhi cara anda menjalani kehidupan seharian anda?

Imej
tingkap kaca

Kita menerima cahaya dan kebenaran ketika kita mematuhi perintah-perintah Tuhan.

Ajaran dan Perjanjian 93:40–50

“Mengatur rumahmu sendiri.”

Di ayat 40, Ajaran dan Perjanjian 93 beralih dari ajaran tentang kemuliaan Tuhan dan potensi ilahi kita kepada ajaran tentang keibubapaan dan mengatur rumah kita. Bagaimanakah ajaran-ajaran Tuhan tentang cahaya, kebenaran, dan kemuliaan dalam ayat 1–39 membantu anda memahami dan mengikuti nasihat dalam ayat 40–50?

Lihat juga David A. Bednar, “More Diligent and Concerned at Home,” Ensign atau Liahona, Nov. 2009, 17–20.

Imej
ikon kajian sekeluarga

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Ajaran dan Perjanjian 93:2.Bagaimanakah Yesus Kristus telah menjadi “cahaya sejati” dalam kehidupan kita? Bagaimanakah kita telah melihat cahaya-Nya dalam orang-orang sekeliling kita?

Ajaran dan Perjanjian 93:3–29.Untuk membantu keluarga anda membincangkan apa yang mereka pelajari dalam bahagian 93 tentang Juruselamat dan diri mereka, anda boleh bermain satu permainan padanan. Contohnya, anda boleh menyediakan satu set kad mengandungi ayat-ayat dari bahagian 93 yang mengajar kebenaran tentang Juruselamat (lihat ayat 3, 12, 21, 26) dan satu set kad yang lain mengajar sesuatu yang serupa tentang diri kita (lihat ayat 20, 23, 28–29). Ahli keluarga boleh bergiliran mengambil kad dari setiap set, membaca ayat-ayat tersebut, dan cuba mencari kebenaran yang sesuai. Bagaimanakah kebenaran ini mempengaruhi perasaan kita tentang Juruselamat dan tentang diri kita sendiri?

Ajaran dan Perjanjian 93:12–13, 20.Apakah maknanya menerima “rahmat demi rahmat” dan secara berterusan “dari rahmat ke rahmat”? (ayat 12–13). Apakah yang ayat-ayat ini cadangkan tentang cara kita berkembang dan belajar? Bagaimana pengetahuan ini mempengaruhi cara kita memperlakukan orang lain dan diri sendiri?

Ajaran dan Perjanjian 93:24.Baca definisi kebenaran yang terdapat dalam ayat ini, dan jemput ahli keluarga untuk berkongsi sesuatu dari bahagian 93 yang mereka anggap sebagai kebenaran yang berharga. Apakah definisi lain tentang kebenaran yang kita temui dalam Yohanes 14:6; Yakub 4:13; atau lagu rohani tentang kebenaran, seperti “O, Apakah Kebenaran Itu?” (Nyanyian Rohani, no. 136).

Ajaran dan Perjanjian 93:40.Mungkin ketika anda membaca ayat ini, keluarga anda boleh menyanyikan sebuah lagu tentang pembelajaran di rumah, seperti “Ajar ‘Ku Jalan Dalam Kasih-Nya” (Buku Nyanyian Anak-Anak, 70). Kanak-kanak kecil mungkin menikmati membuat pergerakan berserta dengan lirik. Apakah yang anda diilhami untuk lakukan bagi menjemput lebih banyak “cahaya dan kebenaran” ke dalam rumah anda?

Ajaran dan Perjanjian 93:41–50.Bincang bersama sebagai sebuah satu keluarga tentang apa yang tidak “benar dalam rumah anda.” Bagaimanakah kita “mengatur rumah [kita]”? (ayat 43–44).

Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu cadangan: “Aku Anak Tuhan,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 2–3

Memperbaikkan Pembelajaran Kita

Baca lebih dari sekali. Anda boleh pilih untuk membaca Ajaran dan Perjanjian 93 lebih dari sekali dalam minggu ini. Setiap kali anda membaca, anda mungkin lihat kebenaran yang berbeza tentang anda atau yang mengilhami anda dalam cara yang baru. Membaca berulang kali juga menyediakan peluang untuk anda merenung dengan mendalam.

Imej
Yesus Kristus

Light and Truth, oleh Simon Dewey

Cetak