“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Baru 2023 (2022)
“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2023
Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga
Sumber Ini Adalah Untuk Siapa?
Sumber ini adalah untuk setiap individu dan keluarga dalam Gereja. Ia direka untuk membantu anda belajar injil—secara peribadi atau bersama keluarga anda. Jika anda belum mempelajari injil secara kerap, sumber ini boleh membantu anda bermula. Jika anda sudah mengamalkan tabiat mempelajari injil yang baik, sumber ini akan membantu anda mempunyai pengalaman yang lebih bermakna.
Bagaimanakah Harus Saya Gunakan Sumber Ini?
Gunakan sumber ini dalam apa cara pun yang boleh membantu anda. Sumber ini boleh menjadi panduan atau bantuan yang berguna untuk pengkajian tulisan suci peribadi dan sekeluarga. Anda juga boleh menggunakan sumber ini untuk malam keluarga. Panduan ini menunjukkan asas-asas penting dari Perjanjian Baru, cadangkan idea-idea pengkajian dan aktiviti-aktiviti untuk individu dan keluarga, serta sediakan tempat untuk mencatat tanggapan anda.
Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga bukan bertujuan untuk menggantikan atau bersaing dengan hal-hal baik yang anda sedang lakukan. Ikut bimbingan Roh untuk membuat keputusan tentang cara anda mengkaji firman Tuhan.
Bagaimanakah Sumber Ini Berkaitan dengan Apa yang Berlaku di Gereja?
Garis panduan dalam sumber ini disusun mengikut jadual pengkajian mingguan. Sumber Ikutlah Aku untuk Sekolah Primer, untuk Sekolah Minggu, dan untuk kuorum Imamat Harun dan kelas Remaja Puteri mengikut jadual yang sama. Untuk menyokong usaha anda mempelajari dan menjalani injil di rumah, pengajar anda di gereja akan memberi anda peluang untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta soalan anda mengenai petikan ayat suci yang anda telah pelajari di rumah.
Oleh kerana Sekolah Minggu diajar hanya dua kali sebulan, pengajar Sekolah Minggu boleh memilih untuk melangkau atau menggabungkan garis panduan demi mengikut jadual mingguan. Begitu juga (untuk Sekolah Minggu dan Sekolah Primer) pada minggu apabila mesyuarat Gereja tetap tidak diadakan kerana persidangan pancang atau sebab-sebab lain. Sepanjang minggu ini, anda dijemput untuk terus mengkaji Perjanjian Baru di rumah.
Perlukah Saya Mengikut Jadual?
Jadual ini akan membantu anda selesai membaca Perjanjian Baru menjelang akhir tahun. Di samping itu, mengikuti jadual yang sama seperti yang lain boleh membawa kepada pengalaman yang bermakna di rumah, di gereja dan di tempat lain. Tetapi jangan merasa terikat dengan jadual atau dipaksa untuk membaca setiap ayat; jadual tersebut hanya panduan untuk membantu anda menetapkan kelajuan pembelajaran anda. Perkara yang penting ialah anda belajar injil secara individu dan secara sekeluarga.