“31 Januari–6 Februari. Kejadian 6–11; Musa 8: “Nuh Menemui Rahmat Di Mata Tuhan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“31 Januari–6 Februari. Kejadian 6–11; Musa 8,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022
31 Januari–6 Februari
Kejadian 6–11; Musa 8
“Nuh Menemui Rahmat Di Mata Tuhan”
Kisah dalam kitab suci sering dapat mengajar kita banyak pelajaran rohani. Semasa anda membaca mengenai Banjir Besar dan Menara Babel, cari ilham tentang bagaimana laporan ini boleh digunakan kepada anda.
Mencatat Tanggapan Anda
Banyak generasi pembaca Alkitab telah diilhami oleh kisah Nuh dan Banjir. Tetapi kita yang hidup pada zaman akhir mempunyai alasan khusus untuk memberi perhatian kepadanya. Ketika Yesus Kristus mengajar bagaimana kita harus memperhatikan Kedatangan Kedua-Nya, Dia berkata, “Seperti ianya terjadi pada zaman Nuh, demikian juga ia akan terjadi pada kedatangan Putera Manusia” (Joseph Smith—Matius 1:41). Sebagai tambahan, frasa yang menggambarkan zaman Nuh, seperti “kejahatan” dan “penuh dengan kekejaman,” dapat menggambarkan zaman kita dengan mudah (Kejadian 6:12–13; Musa 8:28). Kisah Menara Babel juga terasa berlaku pada zaman kita, dengan gambaran tentang keangkuhan diikuti oleh kekeliruan dan perpecahan di antara anak-anak Tuhan.
Kisah kuno ini berharga bukan hanya kerana mereka menunjukkan kepada kita bahawa kejahatan berulang sepanjang sejarah. Lebih penting lagi, ia mengajar kita apa yang harus dilakukan tentangnya. Nuh “menemui rahmat di mata Tuhan” (Musa 8:27) walaupun terdapat kejahatan di sekelilingnya. Dan keluarga-keluarga Yared dan saudaranya berpaling kepada Tuhan dan dibimbing pergi dari kejahatan di Babel (lihat Eter 1:33–43). Jika kita tertanya-tanya bagaimana untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga kita semasa berlakunya kejahatan dan kekejaman pada zaman kita, kisah-kisah dalam bab-bab ini ada banyak untuk mengajar kita.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Terdapat keselamatan rohani dalam mengikuti nabi Tuhan.
Terima kasih kepada injil yang dipulihkan, kita tahu lebih banyak tentang Nuh daripada apa yang terdapat dalam Perjanjian Lama. Penterjemahan Joseph Smith yang diilhami tentang Kejadian 6, yang terdapat dalam Musa 8, mengungkapkan bahawa Nuh adalah salah seorang nabi Tuhan yang hebat. Dia ditahbiskan dan dihantar untuk mengkhutbahkan injil Yesus Kristus, dia berjalan dan berbicara dengan Tuhan, dan dia dipilih untuk membangun kembali anak-anak Tuhan di bumi selepas Banjir (lihat juga Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 104, 201). Apakah yang anda pelajari mengenai para nabi dari pengalaman Nuh?
Semasa anda membaca tentang zaman Nuh, anda mungkin akan nampak persamaannya dengan zaman kita. Sebagai contohnya:
-
Musa 8:18, 20–21, 23–24 (penolakan hamba-hamba Tuhan)
-
Musa 8:21 (bersikap puas hati dan sifat duniawi)
-
Musa 8:22 (khayalan dan fikiran jahat)
-
Musa 8:28 (kebinasaan dan keganasan)
Apakah yang para nabi hari ini ajarkan mengenai injil Yesus Kristus yang dapat membuat anda selamat di dunia hari ini? Semasa anda membaca tentang pengalaman Nuh, apakah yang mengilhami anda untuk mengikuti para nabi Tuhan hari ini?
Lihat juga Mosia 13:33; Ajaran dan Perjanjian 21:4–7.
Lambang atau simbol yang membantu kita mengingat perjanjian kita dengan Tuhan.
Perjanjian injil dapat diwakili dengan tanda, simbol , atau “lambang” (Kejadian 9:12). Contohnya, fikirkan bagaimana roti dan air sakramen atau air pembaptisan mengingatkan anda kebenaran kudus yang berkaitan dengan perjanjian anda. Berdasarkan kepada Kejadian 9:8–17, apakah yang anda ingati apabila anda memikirkan pelangi? Mengapakah Tuhan mahu anda mengingati Dia dan perjanjian yang anda telah buat?
Lihat juga Gerrit W. Gong, “Selalu Mengingati-Nya,” Liahona, Mei 2016, 108–11.
Satu-satunya cara untuk mencapai syurga adalah dengan mengikuti Yesus Kristus.
Babel, atau Babilon kuno, telah lama digunakan sebagai lambang kejahatan dan duniawi (lihat Wahyu 18:1–10; Ajaran dan Perjanjian 133:14). Semasa anda mengkaji Kejadian 11:1–9, renungkan pandangan yang diberikan oleh nabi Mormon, yang menulis bahawa ia adalah Setan “yang meletakkan ke dalam hati manusia untuk membina sebuah menara yang cukup tinggi agar mereka boleh sampai ke syurga” (Helaman 6:28; lihat juga ayat 26–27). Apakah amaran yang ada dalam kisah Menara Babel untuk anda?
Lihat juga Mazmur 127:1.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Kejadian 6–8. Mungkin keluarga anda dapat bekerjasama untuk membina kapal mainan mudah dari kertas atau blok. Semasa anda membaca Kejadian 6–7, anda boleh membandingkan keselamatan yang disediakan oleh kapal kepada keselamatan yang kita temui semasa mengikuti nabi. Anda mungkin ingin membincangkan nasihat nabi baru-baru ini dan menulis kata-kata nasihatnya di kapal anda.
Apa lagi yang Tuhan berikan kepada kita yang boleh dibandingkan dengan bahtera yang menyelamatkan keluarga Nuh? Sumber-sumber ini menunjukkan beberapa jawapan, walaupun terdapat banyak jawapan lain: 2 Nefi 9:7–13; Ajaran dan Perjanjian 115:5–6; dan pesanan Presiden Russell M. Nelson “Menjadi Orang Suci Zaman Akhir Yang Baik” (Liahona, Nov. 2018, 113–14).
-
Musa 8:17.Apakah maksudnya Roh Tuhan “cuba” bersama kita? (Lihat 1 Nefi 7:14; Ajaran dan Perjanjian 1:33). Bilakah kita pernah mengalami Roh cuba berusaha bersama kita?
-
Kejadian 9:8–17.Kanak-kanak kecil mungkin gemar melukis atau mewarna pelangi semasa anda membincangkan apa yang diwakili olehnya. Anda boleh juga membincangkan hal-hal yang membantu kita mengingati perjanjian kita, seperti sakramen, yang membantu kita mengingati perjanjian pembaptisan kita untuk mengikuti Yesus Kristus (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:75–79).
-
Kejadian 11:1–9.Ia mungkin membantu untuk membaca Eter 1:33–43 semasa keluarga anda mengkaji Kejadian 11 dan belajar tentang Menara Babel. Apakah yang kita pelajari dari keluarga Yared dan saudaranya yang dapat membantu keluarga kita mencari keselamatan rohani di sebalik kejahatan di dunia? Apakah pelajaran tambahan yang kita pelajari daripada Nuh dan keluarganya ketika mereka menghadapi cabaran yang serupa? (lihat Musa 8:13, 16–30).
Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Patuhi Nabi,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 58 (ayat 3).