Perjanjian Lama 2022
Fikiran untuk Direnungkan: Bani Israel


“Fikiran untuk Direnungkan: Bani Israel,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“Fikiran untuk Direnungkan: Bani Israel,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022

ikon fikiran

Fikiran untuk Direnungkan

Bani Israel

Di suatu tempat di padang belantara di sebelah timur Kanaan, Yakub dengan gelisah menunggu pertemuan dengan saudara kembarnya, Esau. Kali terakhir Yakub melihat Esau, kira-kira 20 tahun sebelumnya, Esau mengancam akan membunuhnya. Yakub telah menghabiskan sepanjang malam bergelut di padang belantara, mencari berkat daripada Tuhan. Sebagai hasil dari iman, ketekunan, dan keazaman Yakub, Tuhan telah menjawab doanya. Pada malam itu nama Yakub ditukar menjadi Israel, nama yang bermaksud “dia yang tabah dengan Tuhan” (Kejadian 32:28, lihat juga Kejadian 32:24–32).1

Sungai Yabok

Berhampiran Sungai Yabok, Yakub menerima nama Israel.

Ini adalah kali pertama namanya Israel terdapat dalam Alkitab, dan itu adalah nama yang kekal di sepanjang kitab dan sepanjang sejarah. Nama itu tidak lama lagi merujuk kepada lebih daripada seorang lelaki. Israel mempunyai 12 anak lelaki, dan keturunan mereka secara kolektif dikenal sebagai “bani Israel,” “suku-suku Israel,” “anak-anak Israel,” atau “orang Israel.”

Sepanjang sejarah, anak-anak Israel sangat mementingkan keturunan mereka dari salah satu dari dua belas suku-suku Israel. Keturunan mereka adalah bahagian penting dalam identiti perjanjian mereka. Rasul Paulus menyatakan bahawa dia daripada “suku Benyamin” (Roma 11:1). Ketika Lehi menghantar anak-anaknya ke Yerusalem untuk mengambil kepingan-kepingan loyang, satu sebabnya ialah kepingan-kepingan itu mengandungi “suatu salasilah nenek moyangnya” (1 Nefi 5:14; lihat juga 1 Nefi 3:3). Lehi mendapati bahawa dia adalah keturunan Yusuf, dan pemahaman keturunannya mengenai hubungan mereka dengan bani Israel terbukti penting bagi mereka pada tahun-tahun yang akan datang (lihat Alma 26:36; 3 Nefi 20:25).

Di Gereja hari ini, anda mungkin mendengar tentang Israel dalam ungkapan seperti “pergumpulan Israel.” Kita menyanyi tentang “Penebus Israel,” “Yang Jadi Harapan Israel,” dan “Penatua Israel.”2 Dalam kes ini, kita tidak bercakap atau menyanyi hanya tentang kerajaan kuno Israel atau negara moden yang disebut Israel. Sebaliknya, kita merujuk kepada mereka yang telah dikumpulkan dari bangsa-bangsa di dunia ke dalam Gereja Yesus Kristus. Kita merujuk kepada orang-orang yang tabah dengan Tuhan, yang dengan sungguh-sungguh mencari berkat-Nya, dan yang, melalui pembaptisan, telah menjadi umat perjanjian-Nya.

Berkat bapa bangsa anda menyatakan hubungan anda dengan salah satu suku dari bani Israel. Itu adalah lebih daripada sekadar maklumat sejarah keluarga yang menarik. Menjadi sebahagian dari bani Israel bermaksud bahawa anda mempunyai hubungan perjanjian dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ini bermaksud bahawa anda, seperti Abraham, akan “menjadi berkat” kepada anak-anak Tuhan (Kejadian 12:2; Abraham 2:9–11). Ini bermaksud, dalam kata-kata Petrus, bahawa “kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Tuhan sendiri. Tuhan memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Tuhan sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang.” (1 Petrus 2:9). Ini bermakna bahawa anda adalah salah seorang yang “tabah dengan Tuhan” semasa anda mematuhi perjanjian anda dengan Dia.

Nota

  1. Terdapat kemungkinan makna lain untuk nama Israel, termasuk “Tuhan memerintah” atau “Tuhan melawan atau tabah.”

  2. Nyanyian Rohani, nos. 5, 110, dan 5.

pokok salasilah keluarga Yakub

Ilustrasi pokok salasilah keluarga Yakub, oleh Keith L. Beavers