Perjanjian Lama 2022
14–20 Mac. Kejadian 42–50 “Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan”


“14–20 Mac. Kejadian 42–50: ‘Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“14–20 Mac. Kejadian 42–50,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022

Yusuf dari Mesir

Ilustrasi Yusuf dari Mesir, oleh Robert T. Barrett

14–20 Mac

Kejadian 42–50

“Tuhan Mengubah Kejahatan Itu Menjadi Kebaikan”

Membaca tulisan suci menjemput Roh. Dengarkan bisikan-bisikan-Nya semasa anda membaca, walaupun ia kelihatan tidak berkaitan langsung dengan apa yang anda baca.

Mencatat Tanggapan Anda

Sudah kira-kira 22 tahun sejak Yusuf dijual ke Mesir oleh saudara-saudaranya Dia telah mengalami banyak percubaan, termasuk tuduhan palsu dan dipenjarakan. Ketika dia akhirnya melihat saudara-saudaranya lagi, Yusuf adalah gabenor seluruh Mesir, kedua berkuasa selepas firaun. Dia boleh membalas dendam terhadap mereka dengan mudah, dan mempertimbangkan apa yang mereka telah lakukan kepada Yusuf, itu boleh difahami. Namun Yusuf memaafkan saudara-saudaranya. Bukan hanya itu, dia juga membantu mereka melihat tujuan ilahi dalam penderitaannya. “Tuhan mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan” (Kejadian 50:20), dia memberitahu mereka, kerana ia membolehkan dia menyelamatkan “sanak saudaranya, termasuk yang paling muda” (Kejadian 47:12) dari kebuluran.

Dalam banyak cara, kehidupan Yusuf sama dengan kehidupan Yesus Kristus. Walaupun dosa-dosa kita menyebabkan Dia menderita besar, Juruselamat menawarkan keampunan, membebaskan kita semua dari nasib yang jauh lebih buruk daripada kebuluran. Sama ada kita perlu menerima keampunan atau menghulurkannya—ada masanya kita semua harus melakukan kedua-duanya—teladan Yusuf mengarahkan kita kepada Juruselamat, sumber penyembuhan dan pendamaian yang sebenarnya.

ikon kajian peribadi

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Kejadian 45:1–8; 50:20

“Tuhan … menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan banyak orang.”

Semasa anda membaca tentang Yusuf, adakah anda melihat persamaan antara kisahnya dan misi korban tebusan Yesus Kristus? Anda boleh merenungkan bagaimana peranan Yusuf dalam keluarganya serupa dengan peranan Juruselamat dalam keluarga Tuhan. Apakah persamaan yang anda lihat antara pengalaman Yusuf dan misi Juruselamat, yang diutus “untuk menyelamatkan [kita] dengan [pembebasan] yang menakjubkan”? (Kejadian 45:7).

Kejadian 45; 50:15–21

Keampunan membawa penyembuhan.

Membaca tentang Yusuf mengampuni saudara-saudaranya atas hal-hal buruk yang mereka telah lakukan kepadanya boleh mendorong anda untuk memikirkan seseorang yang anda sedang bergelut untuk mengampuni. Atau cabaran mengampuni yang sukar di masa depan anda nanti. Walau apa pun, ia berguna untuk merenungkan mengapa Yusuf boleh mengampuni. Apakah petunjuk tentang perwatakkan dan sikap Yusuf yang anda temui dalam Kejadian 45; 50:15–21? Bagaimanakah pengalaman Yusuf mempengaruhinya untuk menjadi lebih pemaaf? Apakah yang teladan Yusuf cadangkan tentang bagaimana anda boleh menjadi lebih pemaaf dengan bantuan Juruselamat?

Perhatikan juga berkat-berkat yang datang kepada keluarga Yusuf kerana pengampunannya. Apakah berkat yang anda telah lihat dari pengampunan? Adakah anda terilham untuk menghubungi seseorang yang telah membuat salah kepada anda?

Lihat juga Kejadian 33:1–4; Ajaran dan Perjanjian 64:9–11; Larry J. Echo Hawk, “Seperti Kristus Mengampuni Anda, Harus Anda Lakukan Perkara Sama,” Liahona, Mei 2018, 15–16.

Kejadian 49

Apakah makna lambang dalam berkat-berkat Yakub?

Berkat-berkat Yakub untuk keturunannya mengandungi gambaran yang jelas, tetapi sebilangan pembaca mungkin sukar memahaminya. Syukurlah, injil yang dipulihkan memberi kita pemahaman tambahan. Apabila anda membaca berkat kepada Yusuf dalam Kejadian 49:22–26, baca juga ayat-ayat berikut, dan lihat pandangan yang diberikan: 1 Nefi 15:12; 2 Nefi 3:4–5; Yakub 2:25; Ajaran dan Perjanjian 50:44.

Semasa anda membaca tentang berkat Yehuda dalam Kejadian 49:8–12, ingatlah bahawa Raja Daud dan Yesus Kristus adalah keturunan Yehuda. Apakah perkataan dan frasa dalam ayat-ayat ini yang mengingatkan anda tentang Juruselamat? Semasa anda mengkaji berkat Yehuda, turut membantu untuk membaca Wahyu 5:5–6, 9; 1 Nefi 15:14–15; Ajaran dan Perjanjian 45:59; 133:46–50.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang anak-anak Yakub dan suku-suku Israel yang berasal dari mereka, terdapat entri untuk setiap satu di Panduan Tulisan suci (scriptures.ChurchofJesusChrist.org).

Joseph dari Mesir melihat penglihatan Joseph Smith menerima kepingan-kepingan emas

Ilustrasi Yusuf dari Mesir, oleh Paul Mann

ikon kajian sekeluarga

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Kejadian 42–46.Keluarga anda mungkin boleh melakonkan kisah Yusuf bertemu kembali dengan saudara-saudaranya. Berseronok—gunakan kostum dan alat untuk berlakon jika anda mahu. Galakkan ahli keluarga untuk cuba memahami emosi dan perspektif watak. Anda boleh memberi tumpuan terutamanya pada perasaan Yusuf terhadap saudara-saudaranya dan bagaimana perasaan mereka ketika Yusuf memaafkan mereka. Ini boleh membawa kepada satu perbincangan tentang bagaimana pengampunan dapat memberkati keluarga anda.

Ketika Yusuf bertemu dengan saudara-saudaranya lagi setelah bertahun-tahun, bagaimana para saudaranya menunjukkan bahawa mereka telah berubah sejak kali terakhir mereka bertemu? Apakah yang kita boleh pelajari tentang pertaubatan dari pengalaman mereka?

Kejadian 45:3–11; 50:19–21.Yusuf menyedari bahawa meskipun pengalamannya di Mesir sukar, “Tuhan mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan” (Kejadian 50:20). Adakah keluarga anda pernah mengalami percubaan yang Tuhan ubah menjadi berkat?

Satu lagu rohani tentang kebaikan Tuhan pada masa-masa percubaan (seperti “Teguhlah Landasan” [Nyanyian Rohani, no. 28]) boleh meningkatkan perbincangan ini. Apakah maklumat dari pengalaman Yusuf yang menunjukkan apa yang lagu rohani itu ajarkan?

Kejadian 49:9–11, 24–25.Apakah yang ayat-ayat ini ajarkan kita tentang peranan dan misi Yesus Kristus? (Untuk bantuan memahami frasa dalam ayat-ayat ini, lihat bahan tentang Kejadian 49 dalam “Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi”)

Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu cadangan: “Teguhlah Landasan,” Nyanyian Rohani, no. 28.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Gunakan musik. Bantu ahli keluarga mencari kebenaran injil dalam lirik lagu rohani dan lagu Sekolah Primer. Carikan cara untuk menjadikan muzik kudus sebagai bahagian biasa dalam kajian injil anda.

Yakub memberkati anak-anaknya

Jacob Blessing His Sons (Yakub Memberkati Anak-anaknya), oleh Harry Anderson