Perjanjian Lama 2022
21–27 Mac. Keluaran 1–6: “Aku Mengingat Perjanjian-Ku”


“21–27 Mac. Keluaran 1–6: ‘Aku Mengingat Perjanjian-Ku,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“21–27 Mac. Keluaran 1–6,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022

Musa dan semak yang terbakar

Moses and the Burning Bush (Musa dan Semak yang Terbakar), oleh Harry Anderson

21–27 Mac

Keluaran 1–6

“Aku Mengingat Perjanjian-Ku”

Mulakan kajian anda dengan doa, dan mohon bantuan untuk mencari pesanan dalam Keluaran 1–6 yang berkaitan dengan kehidupan anda dan pelayanan anda dalam kerajaan Tuhan.

Mencatat Tanggapan Anda

Jemputan untuk tinggal di Mesir benar-benar telah menyelamatkan keluarga Yakub. Tetapi setelah beratus-ratus tahun, keturunan mereka dijadikan hamba dan diganasi oleh firaun baru “yang tidak mengenal Yusuf” (Keluaran 1:8). Ia adalah wajar bagi orang Israel untuk tertanya-tanya mengapakah Tuhan membiarkan hal ini terjadi kepada mereka, umat perjanjian-Nya. Adakah Tuhan mengingati perjanjian yang Dia telah buat dengan mereka? Adakah mereka masih umat-Nya? Bolehkah Dia melihat betapa mereka menderita?

Mungkin ada kalanya anda merasa ingin menanyakan soalan yang serupa. Anda mungkin tertanya-tanya, Adakah Tuhan tahu apa yang saya sedang lalui? Bolehkah Dia mendengar rayuan saya untuk bantuan? Kisah dalam Keluaran tentang pembebasan Israel dari Mesir menjawab dengan jelas soalan-soalan seperti itu: Tuhan tidak melupakan umat-Nya. Dia mengingati perjanjian-perjanjian-Nya dengan kita dan akan menunaikannya menurut waktu dan cara-Nya sendiri (lihat Ajaran dan Perjanjian 88:68). “Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu,” Dia menyatakan. “Akulah Tuhan; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan [anda]” (Keluaran 6:6–7).

Untuk gambaran keseluruhan kitab Keluaran, lihat “Keluaran” dalam Panduan Tulisan Suci

ikon kajian peribadi

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Keluaran 1–2

Yesus Kristus ialah Pembebas saya.

Salah satu tema utama dalam kitab Keluaran adalah bahawa Tuhan berkuasa untuk membebaskan umat-Nya dari penindasan. Perhambaan orang Israel seperti yang digambarkan dalam Keluaran 1 boleh dilihat sebagai lambang penawanan yang kita semua hadapi kerana dosa dan kematian (lihat 2 Nefi 2:26–27; 9:10; Alma 36:28). Dan Musa, pembebas orang Israel, boleh dilihat sebagai tokoh, atau perwakilan, daripada Yesus Kristus (lihat Ulangan 18:18–19; 1 Nefi 22:20–21). Baca Keluaran 1–2 sambil memikirkan perbandingan ini. Anda mungkin perhatikan, contohnya, bahawa Musa dan Yesus dilindungi dari kematian semasa bayi kecil (lihat Keluaran 1:222:10; Matius 2:13–16) dan kedua-duanya menghabiskan masa di padang belantara sebelum memulakan pelayanan mereka (lihat Keluaran 2:15–22; Matius 4:1–2). Apakah pandangan lain yang anda pelajari dari Keluaran tentang penawanan rohani? Tentang pembebasan Juruselamat?

Bayi Musa dalam bakul

Moses in the Bulrushes (Musa di Gelagah), © Providence Collection/licensed from goodsalt.com

Keluaran 3–4

Tuhan memberi kuasa kepada mereka yang Dia panggil untuk melakukan pekerjaan-Nya.

Hari ini kita mengenali Musa sebagai seorang nabi dan pemimpin yang hebat. Tetapi Musa tidak melihat dirinya seperti itu ketika Tuhan pertama kali memanggilnya. “Siapakah aku ini,” Musa tertanya-tanya, “Aku tidak sanggup menghadap raja?” (Keluaran 3:11). Namun, Tuhan mengenali siapa Musa sebenarnya—dan siapa dia boleh jadi. Semasa anda membaca Keluaran 3–4, perhatikan bagaimana Tuhan meyakinkan Musa dan menjawab kebimbangannya. Apakah yang anda temui dalam bab-bab ini yang mungkin mengilhami anda ketika anda merasa tidak mencukupi? Bagaimanakah Tuhan memberkati hamba-hamba-Nya dengan peningkatan kuasa untuk melakukan kehendak-Nya? (lihat Musa 1:1–10, 24–39; 6:31–39, 47). Bilakah anda pernah melihat Tuhan melakukan pekerjaan-Nya melalui anda atau orang lain?

Untuk lebih lanjut mengenai kehidupan dan pelayanan Musa, lihat “Musa” dalam Panduan Tulisan suci.

Keluaran 5–6

Tujuan Tuhan akan dipenuhi menurut waktu-Nya sendiri.

Walaupun Musa dengan berani menghadap Firaun, seperti yang diperintahkan Tuhan, dan menyuruhnya untuk membebaskan orang Israel, Firaun menolak. Malah, Firaun menjadikan kehidupan orang Israel lebih sukar. Musa dan orang Israel mungkin tertanya-tanya mengapa keadaan tidak berjalan lancar walaupun Musa melakukan apa yang Tuhan minta dia untuk lakukan (lihat Keluaran 5:22–23).

Pernahkah anda merasakan anda sedang melakukan kehendak Tuhan tetapi tidak melihat kejayaan yang anda harapkan? Kaji semula Keluaran 6:1–8, mencari apa yang Tuhan katakan untuk membantu Musa tabah. Bagaimanakah Tuhan telah membantu anda terus melakukan kehendak-Nya?

Keluaran 6:3

Siapakah Yehovah?

Yehovah adalah salah satu nama Yesus Kristus dan merujuk kepada Juruselamat pra-fana. Terjemahan Joseph Smith tentang Keluaran 6:3 menjelaskan bahawa nabi Abraham, Ishak, dan Yakub mengenali Tuhan dengan nama ini. Biasanya, ketika frasa “Tuhan” muncul dalam Perjanjian Lama, itu merujuk kepada Yehovah. Dalam Keluaran 3:13–15, panggilan “Aku adalah AKU” juga merujuk kepada Yehovah (lihat juga Ajaran dan Perjanjian 38:1; 39:1).

ikon kajian sekeluarga

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Keluaran 1–2.Beberapa wanita memainkan peranan penting dalam rancangan Tuhan untuk membebaskan orang Israel. Sebagai sekeluarga, anda boleh membaca tentang bidan Sifra dan Pua (Keluaran 1:15–20); Ibu Musa, Yokhebed, dan kakaknya, Miryam (Keluaran 2:2–9; Bilangan 26:59); Puteri Firaun (Keluaran 2:5–6, 10); dan isteri Musa, Zipora (Keluaran 2:16–21). Bagaimanakah wanita-wanita ini menggerakkan rancangan Tuhan? Bagaimanakah pengalaman mereka mengingatkan kita tentang misi Yesus Kristus? Anda juga boleh mengumpulkan gambar saudara-mara dan nenek moyang wanita anda dan berkongsi cerita tentang mereka. Bagaimanakah kita telah diberkati oleh wanita soleh? Pesanan Presiden Russell M. Nelson “Suatu Rayuan Kepada Para Saudari Saya” (Liahona, Nov. 2015, 95–98) boleh menambah perbincangan anda.

Keluaran 3:1–6.Ketika Musa menghampiri semak yang terbakar, Tuhan firmankannya untuk menanggalkan kasutnya sebagai tanda ketakziman. Bagaimana kita dapat menunjukkan ketakziman terhadap tempat-tempat kudus? Sebagai contoh, apakah yang kita boleh lakukan untuk menjadikan rumah kita tempat kudus di mana Roh Tuhan dapat tinggal? Bagaimana kita dapat menunjukkan lebih ketakziman di tempat-tempat kudus yang lain?

Keluaran 4:1–9.Tuhan memberi Musa kuasa untuk melaksanakan tiga mukjizat sebagai tanda untuk menunjukkan kepada anak-anak Israel bahawa Dia telah mengutus Musa. Apakah yang tanda-tanda ini ajarkan kita tentang Yesus Kristus?

Keluaran 5:2.Apakah maknanya bagi kita untuk “kenal” Tuhan? Bagaimanakah kita mengenali Dia? (contohnya, lihat Alma 22:15–18). Bagaimanakah hubungan kita dengan Dia mempengaruhi keinginan kita untuk mentaati Dia? (lihat juga Yohanes 17:3; Mosia 5:13).

Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Lagu cadangan: “Khidmat Adalah Kasih,” Buku Nyanyian Anak-anak, 12.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Menyimpan jurnal kajian. Anda akan mendapati bahawa ia membantu untuk menggunakan jurnal atau buku nota untuk mencatat pemikiran, idea, soalan, atau tanggapan yang datang semasa anda mengkaji.

Puteri Firaun menemui bayi Musa

Moses Found in the Bulrushes by Pharaoh’s Daughter (Musa Ditemui dalam Gelagah oleh Puteri Firaun), oleh George Soper