Perjanjian Lama 2022
Fikiran untuk Direnungkan: Khemah Ibadat dan Korban


“Fikiran untuk Direnungkan: Khemah Ibadat dan Korban,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“Fikiran untuk Direnungkan: Khemah Ibadat dan Korban,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga 2022

ikon fikiran

Fikiran untuk Direnungkan

Khemah Ibadat dan Korban

Semasa kita membaca Perjanjian Lama, kita kadang-kadang menemui petikan panjang mengenai hal-hal yang jelas penting bagi Tuhan tetapi mungkin tidak relevan dengan kita hari ini. Keluaran 25–30; 35–40; Imamat 1–9; 16–17 adalah contoh. Bab-bab ini menerangkan secara terperinci khemah ibadat Israel di padang belantara dan korban binatang yang akan dilaksanakan di sana.1 Khemah ibadat itu adalah bait suci mudah alih, tempat kediaman Tuhan di kalangan umat-Nya.

Bait suci moden kita mempunyai persamaan dengan khemah ibadat Israel, tetapi pastinya tidak padan dengan gambaran dalam Keluaran. Dan kita tidak membunuh binatang di bait suci kita—Korban tebusan Juruselamat mengakhiri korban binatang lebih dari 2,000 tahun yang lalu. Namun di sebalik perbezaan ini, terdapat banyak nilai dalam membaca tentang bentuk-bentuk penyembahan Israel kuno, terutama jika kita melihatnya seperti yang dilakukan umat Tuhan dalam Kitab Mormon—sebagai cara “untuk menguatkan iman mereka kepada Kristus” (Alma 25:16; lihat juga Yakub 4:5; Yarom 1:11). Ketika kita memahami lambang khemah ibadat dan korban binatang, kita dapat memperoleh pandangan rohani yang turut memperkuatkan iman kita kepada Kristus.

orang membawa anak domba kepada imam di khemah ibadat

Ilustrasi orang Israel membawa anak domba ke khemah ibadat, oleh Robert T. Barrett

Khemah Ibadat Memperkuatkan Iman kepada Yesus Kristus

Ketika Tuhan memerintahkan Musa untuk membina khemah ibadat di perkhemahan orang Israel, Dia menyatakan tujuannya: “supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka” (Keluaran 25:8). Di dalam khemah ibadat, hadirat Tuhan diwakili oleh tabut perjanjian—sebuah kotak kayu, disaluti emas, yang berisi catatan bertulis perjanjian Tuhan dengan umat-Nya (lihat Keluaran 25:10–22). Tabut itu disimpan dalam Bilik Maha Suci dan paling dalam, dipisahkan dari khemah ibadat yang lain oleh sebuah tirai. Tirai itu melambangkan perpisahan kita dari hadirat Tuhan kerana Kejatuhan.

Selain Musa, kita tahu bahawa satu-satunya orang yang boleh memasuki “Bilik Maha Suci” itu (Keluaran 26:34)—imam tinggi. Seperti imam lain, dia harus dicuci dan disapu dengan minyak dahulu (lihat Keluaran 40:12–13) dan mengenakan pakaian imam melambangkan jawatannya (lihat Keluaran 28). Sekali setahun, pada hari yang dipanggil sebagai Hari Pengampunan Dosa, imam tinggi akan mempersembah korban bagi pihak rakyat sebelum memasuki sendiri ke dalam khemah ibadat. Di tirai, dia akan membakar kemenyan (lihat Imamat 16:12). Wangian asap naik ke syurga melambangkan doa-doa rakyat sampai kepada Tuhan (lihat Mazmur 141:2). Kemudian imam tinggi itu, mengambil darah korban binatang, melalui tirai dan mendekati takhta Tuhan, dilambangkan oleh tabut perjanjian (lihat Imamat 16:14–15).

Berdasarkan pengetahuan anda tentang Yesus Kristus dan peranan-Nya dalam rancangan Bapa Syurgawi, dapatkah anda melihat bagaimana khemah ibadat menunjukkan kita kepada Juruselamat? Seperti khemah ibadat, dan tabut di dalamnya, yang melambangkan hadirat Tuhan di kalangan umat-Nya, Yesus Kristus juga adalah hadirat Tuhan di kalangan umat-Nya (lihat Yohanes 1:14). Seperti imam tinggi, Yesus Kristus adalah Pengantara di antara kita dan Tuhan Bapa. Dia melalui tirai itu untuk membuat perantaraan bagi kita dengan darah pengorbanan-Nya sendiri (lihat Ibrani 8–10).

Beberapa aspek khemah ibadat Israel terdengar biasa bagi anda, terutama jika anda pernah ke bait suci untuk menerima tatacara anda sendiri. Seperti Bilik Maha Suci khemah ibadat, bilik selestial bait suci melambangkan hadirat Tuhan. Untuk masuk, kita mesti terlebih dahulu dicuci dan disapu dengan minyak. Kita memakai pakaian kudus. Kita berdoa di altar dari mana doa-doa naik kepada Tuhan. Dan akhirnya kita melalui tirai ke hadirat Tuhan.

Mungkin persamaan yang paling penting antara bait suci moden dan khemah ibadat kuno adalah keduanya jika difahami dengan betul, menguatkan iman kita kepada Yesus Kristus dan mengisi kita dengan kesyukuran atas korban tebusan-Nya. Tuhan ingin semua anak-Nya memasuki hadirat-Nya; Dia ingin “[satu kerajaan] imam” dan imam wanita (Keluaran 19:6). Tetapi dosa-dosa kita menghalang kita dari memperoleh berkat itu, kerana “tiada apa pun yang tidak bersih dapat hidup dengan Tuhan” (1 Nefi 10:21). Oleh itu, Tuhan Bapa mengutus Yesus Kristus, “Imam Agung [kita] daripada perkara-perkara baik” (Ibrani 9:11). Dia membelah tirai untuk kita dan memberi kuasa kepada semua umat Tuhan untuk “[datang] dengan penuh keberanian menghadap takhta Tuhan, [agar kita] menerima belas kasihan-Nya” (Ibrani 4:16).

Hari ini, tujuan bait suci adalah lebih daripada sekadar memperoleh permuliaan bagi diri kita sendiri. Setelah menerima tatacara kita sendiri, kita dapat berdiri bagi pihak moyang kita, secara perwakilan menerima tatacara bagi mereka. Dalam makna tertentu, kita dapat menjadi seperti imam tinggi kuno—dan Imam Agung—membuka jalan ke hadirat Tuhan untuk orang lain.

Korban Menguatkan Iman kepada Yesus Kristus

Asas-asas korban tebusan dan pendamaian diajarkan dengan kuat dalam amalan kuno korban binatang, yang lama wujud sebelum hukum Musa. Kerana injil yang dipulihkan, kita tahu bahawa Adam dan Hawa mempersembahkan korban, memahami lambangnya merujuk kepada pengorbanan Juruselamat, dan mengajarkan ini kepada anak-anak mereka (lihat Musa 5:4–12; lihat juga Kejadian 4:4).

Lambang korban binatang mungkin terasa sungguh memilukan pada Hari Pengampunan Dosa Israel kuno (“Yom Kippur” dalam bahasa Ibrani). Keperluan untuk upacara tahunan ini diungkapkan dalam Imamat 16:30: “Pada hari itu upacara harus dilakukan untuk menyucikan mereka daripada segala dosa agar mereka menjadi tahir.” Oleh itu, hadirat Tuhan dapat kekal di kalangan orang-orang. Upacara pengampunan dosa ini dilakukan melalui pelbagai upacara. Salah satu darinya, seekor kambing dibunuh sebagai persembahan untuk dosa-dosa rakyat, dan imam besar membawa darah kambing ke tempat yang paling kudus. Kemudian, imam besar itu meletakkan tangannya pada seekor kambing hidup dan mengaku dosa anak-anak Israel—secara lambangnya memindahkan dosa-dosa kepada kambing itu. Kambing itu kemudian diusir keluar dari kem Israel.

Dalam ritual ini, kambing melambangkan Yesus Kristus, menggantikan orang-orang yang berdosa. Dosa tidak dibenarkan dalam hadirat Tuhan. Tetapi daripada memusnahkan atau mengusirkan orang-orang berdosa, Tuhan menyediakan cara lain—seekor kambing akan dibunuh atau diusir keluar. “Kambing itu membawa segala dosa umat Israel” (Imamat 16:22).

Lambang upacara ini menunjukkan cara yang Tuhan sediakan untuk membawa kita kembali ke hadirat-Nya—Yesus Kristus dan korban tebusan-Nya. “Penderitaan kitalah yang ditanggung [Juruselamat], penyakit kitalah yang diderita-Nya,” bahkan “hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita” (Yesaya 53:4, 6). Dia berdiri bagi pihak kita, memberi nyawa-Nya untuk membayar hukuman dosa, dan kemudian menakluki kematian melalui Kebangkitan-Nya (lihat Mosia 15:8–9). Korban tebusan Yesus Kristus adalah “korban yang agung dan terakhir; ya, bukan korban manusia, tidak juga korban binatang” tetapi “korban yang tidak terhingga dan abadi” (Alma 34:10). Dia adalah pemenuhan yang semua pengorbanan kuno tujukan.

Untuk ini, selepas pengorbanan-Nya selesai, Dia berfirman, “Kamu akan mempersembahkan kepada-Ku bukan lagi penumpahan darah; ya, korban-korbanmu … akan ditamatkan. … Dan kamu akan mempersembahkan sebagai korban kepada-Ku sebuah hati yang hancur dan roh yang menyesal” (3 Nefi 9:19–20).

Oleh itu, apabila anda menemui petikan dalam Perjanjian Lama tentang korban binatang dan khemah ibadat (atau kemudiannya, bait suci)—anda akan lihat banyak tentangnya—ingatlah bahawa tujuan utama dari semuanya adalah untuk menguatkan iman anda kepada Mesias, Yesus Kristus. Biarkan hati dan minda anda berpaling kepada-Nya. Renungkan apa yang Dia telah lakukan untuk membawa anda kembali ke hadirat Tuhan—dan apa yang anda akan lakukan untuk mengikuti-Nya.

Nota

  1. Keluaran 33:7–11 menyebut “Khemah Tuhan,” tempat Musa berkomunikasi dengan Tuhan, tetapi tidak dijadikan tempat untuk korban binatang seperti yang digambarkan dalam Keluaran dan Imamat. Semua korban binatang dilaksanakan di khemah ibadat digambarkan dalam Keluaran 25–30, khemah yang Tuhan perintahkan Musa untuk bina dan khemah yang anak-anak Israel dirikan (lihat Keluaran 35–40). Khemah ibadat tempat Harun dan para puteranya melaksanakan korban binatang, juga sering dirujuk sebagai “Khemah Tuhan” (lihat, contohnya, Keluaran 28:43; 38:30; Imamat 1:3).