“Fikiran untuk Direnungkan: Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“Fikiran untuk Direnungkan: Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
Fikiran untuk Direnungkan
Kitab Sejarah dalam Perjanjian Lama
Kitab-kitab Yosua sehingga Ester mengikut tradisi dikenali sebagai “kitab sejarah” Perjanjian Lama. Ini tidak bermaksud bahawa kitab-kitab lain dalam Perjanjian Lama tidak mempunyai nilai sejarah. Sebaliknya, kitab-kitab sejarah ini digelar sebegitu kerana objektif utama penulis mereka adalah untuk memperlihatkan pengaruh Tuhan dalam sejarah umat Israel. Tujuannya bukan untuk menggariskan hukum Musa, seperti yang telah digambarkan dalam Imamat dan Ulangan. Ini bukan untuk melafazkan pujian atau ratapan dalam bentuk puisi, seperti yang telah digambarkan dalam Mazmur dan Ratapan. Selain itu, ini bukan untuk mencatat firman para nabi, seperti yang ditampilkan dalam kitab-kitab Yesaya dan Yehezkiel. Sebaliknya, kitab-kitab sejarah ini mengisahkan cerita.
Perspektif Semata-mata
Cerita dikisahkan secara semula jadinya dari titik pandangan tertentu—sememangnya, titik pandangan yang tertentu. Sepertimana ia adalah mustahil untuk melihat bunga, batu atau pokok dari lebih daripada satu sudut pada satu masa, ia tidak dapat dielakkan juga bahawa laporan sejarah akan mencerminkan perspektif seseorang atau sekumpulan orang yang menulis catatan tersebut. Perspektif ini merangkumi hubungan nasional atau etnik penulis dan kebiasaan serta kepercayaan budaya mereka. Kesedaran tentang hal ini boleh membantu kita memahami bahawa penulis dan penyusun kitab-kitab sejarah telah memfokuskan pada butiran tertentu sementara meninggalkan perkara lain.1 Mereka membuat andaian tertentu yang mungkin tidak dibuat oleh orang lain. Selain itu, mereka membuat kesimpulan berdasarkan butiran dan andaian tersebut. Malah, kita dapat melihat perspektif yang berbeza antara kitab-kitab Alkitab (dan kadang-kadang dalam kitab yang sama).2 Semakin kita menyedari akan perspektif ini, semakin baik kita dapat memahami kitab-kitab sejarah ini.
Satu perspektif yang umum pada semua kitab sejarah Perjanjian Lama ialah perspektif keturunan orang Israel, umat perjanjian Tuhan. Iman mereka terhadap Tuhan telah membantu mereka melihat pengaruh-Nya dalam kehidupan mereka dan campur tangan-Nya dalam hal-ehwal negara mereka. Walaupun kitab-kitab sejarah sekular tidak bertujuan untuk melihat sesuatu melalui cara ini, perspektif rohani ini merupakan sebahagian daripada perkara yang menjadikan kitab-kitab sejarah Perjanjian Lama begitu berharga kepada mereka yang ingin membina iman mereka sendiri terhadap Tuhan.
Konteks untuk Perjanjian Lama yang Selebihnya
Kitab-kitab sejarah bermula dari kitab terakhir Ulangan, ketika perjalanan orang Israel di padang belantara hampir berakhir. Kitab Yosua menunjukkan keturunan orang Israel bersedia untuk masuk ke Kanaan, negeri yang dijanjikan dan menjelaskan cara mereka mengambil alih negeri tersebut. Kitab-kitab yang menyusul, Hakim-Hakim sehingga 2 Tawarikh, menggambarkan pengalaman orang Israel di negeri yang dijanjikan, dari masa mereka menetap di negeri tersebut sehingga masa mereka ditawan oleh Assyria dan Babilon. Kitab-kitab Ezra dan Nehemia mengisahkan pengembalian beberapa kumpulan orang Israel ke ibu negeri mereka, Yerusalem, beberapa dekad kemudian. Akhir sekali, kitab Ester mengaitkan kisah orang Israel hidup dalam buangan di bawah pemerintahan orang Persia.
Pada ketika itulah kronologi Perjanjian Lama berakhir. Beberapa pembaca Alkitab buat pertama kali terkejut mendapati bahawa mereka telah habis membaca cerita Perjanjian Lama sebelum mereka membaca lebih daripada setengah halaman kitab tersebut. Selepas Ester, kita tidak mendapat banyak maklumat tentang sejarah orang Israel. Sebaliknya, kitab-kitab yang menyusul—terutamanya kitab para nabi—sepadan dengan garis masa yang kitab-kitab sejarah ini bentangkan.3 Pelayanan nabi Yeremia, misalnya, berlaku sepanjang peristiwa yang dicatatkan dalam 2 Raja-Raja 22–25 (dan sama dengan laporan dalam 2 Tawarikh 34–36). Kesedaran tentang hal ini boleh mempengaruhi cara anda membaca kedua-dua kisah sejarah dan kitab kenabian.
Apabila Tidak Bersesuaian
Semasa membaca Perjanjian Lama, seperti dengan sejarah yang lain, anda mungkin membaca tentang orang ramai yang melakukan atau mengatakan perkara-perkara yang, dari sudut pandangan moden, kelihatan aneh atau merisaukan. Kita harus menjangkakan hal ini—penulis Perjanjian Lama telah melihat dunia dari perspektif yang, dalam sesetengah hal, agak berbeza dengan kita. Kekerasan, hubungan etnik dan peranan wanita hanyalah beberapa daripada isu yang mungkin penulis purbakala telah lihat secara berbeza berbanding dengan apa yang kita lihat pada hari ini.
Jadi, apakah yang kita harus lakukan apabila kita terjumpa petikan-petikan dalam tulisan suci yang kelihatan merisaukan? Pertama sekali, ia mungkin membantu untuk pertimbangkan setiap petikan dalam konteks yang lebih luas. Bagaimanakah hal itu sepadan dalam rancangan keselamatan Tuhan? Bagaimanakah hal itu sepadan dengan perkara yang anda ketahui tentang sifat Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus? Bagaimanakah hal itu sepadan dengan kebenaran yang diungkapkan dalam kitab suci yang lain atau dengan ajaran-ajaran para nabi hidup? Bagaimanakah hal itu sepadan dengan bisikan Roh kepada hati dan fikiran anda sendiri?
Dalam sesetengah keadaan, petikan itu mungkin tidak sepadan dengan mana-mana perkara ini. Kadang-kadang petikan itu mungkin seperti kepingan suai gambar yang kelihatan seolah-olah tiada tempatnya dalam kalangan kepingan lain yang anda telah susunkan. Percubaan untuk memaksa kepingan tersebut agar sepadan bukan pendekatan yang terbaik. Namun, mengabaikan keseluruhan suai gambar itu pun bukan cara yang terbaik. Sebaliknya, anda mungkin perlu mengetepikan kepingan tersebut buat masa ini. Sambil anda belajar lebih banyak dan menyusun lebih banyak kepingan suai gambar, anda mungkin dapat melihat cara kepingan-kepingan ini dapat dipadankan bersama.
Pendekatan ini turut boleh membantu mengingatkan bahawa selain perspektif yang terhad, sejarah tulisan suci sudah tentu tertakluk pada kesilapan manusia (lihat Fasal-fasal Kepercayaan 1:8). Contohnya, sepanjang abad “banyak perkara yang jelas dan bernilai diambil dari [Alkitab] itu”, termasuk kebenaran yang penting tentang ajaran dan tatacara (1 Nefi 13:28; lihat juga ayat 29, 40). Pada masa yang sama, kita harus sanggup mengakui bahawa perspektif kita sendiri adalah terhad juga: memang akan terdapat perkara yang kita tidak fahami sepenuhnya dan soalan yang belum dapat kita jawab.
Mencari Permata
Walau bagaimanapun sementara itu, soalan yang tidak terjawab tidak harus menjauhkan kita daripada permata kebenaran abadi yang boleh didapati dalam Perjanjian Lama—walaupun permata itu kadang-kadang tersembunyi di kawasan berbatu-bata, di sebalik pengalaman yang merisaukan dan pilihan buruk yang dibuat oleh insan yang tidak sempurna. Mungkin permata-permata yang paling berharga ini merupakan cerita dan petikan yang bersaksi tentang kasih Tuhan—terutama yang membimbing fikiran kita kepada pengorbanan Yesus Kristus. Apabila dilihat dari mana-mana sudut, permata seperti ini bersinar sama terangnya pada hari ini seperti pada dahulukala. Selain itu, disebabkan laporan ini mengisahkan cerita mengenai umat perjanjian Tuhan—lelaki dan wanita yang mempunyai kelemahan manusia dan masih mengasihi serta melayani Tuhan—permata kebenaran yang banyak ditemui dalam kitab-kitab Perjanjian Lama.