Perjanjian Lama 2022
25 April–1 Mei. Keluaran 24; 31–34: “Aku Akan Ikut Engkau”


“25 April–1 Mei. Keluaran 24; 31–34: ‘Aku Akan Ikut Engkau,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)

“25 April–1 Mei. Keluaran 24; 31–34,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022

Yehovah muncul kepada Musa dan para penatua Israel

Ilustrasi Yehovah muncul kepada Musa dan 70 penatua Israel, oleh Jerry Harston

25 April–1 Mei

Keluaran 24; 31–34

“Aku Akan Ikut Engkau”

Semua asas yang bermakna dalam tulisan suci tidak dapat ditekankan dalam panduan ini. Dengarkan Roh untuk membantu anda tumpukan pada kebenaran yang anda perlukan.

Mencatat Tanggapan Anda

Terdapat sebab untuk berharap agar anak-anak Israel kekal setia kepada Tuhan setelah Dia menyatakan hukum-Nya kepada mereka (lihat Keluaran 20–23). Meskipun sebelum ini mereka merungut dan goyah, ketika Musa membacakan hukum itu di kaki Gunung Sinai, mereka membuat perjanjian ini: “Kami akan mentaati Tuhan dan melakukan segala perintah-Nya” (Keluaran 24:7). Tuhan kemudian memanggil Musa ke atas gunung, memintanya untuk membina khemah ibadat “supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka” (Keluaran 25:8; lihat bab 25–30).

Tetapi ketika Musa berada di puncak gunung belajar bagaimana orang Israel dapat memiliki kehadiran Tuhan bersama-sama mereka, orang Israel yang berada di kaki gunung sebaliknya membuat patung berhala untuk disembah. Mereka baru saja berjanji untuk “[tidak] sembah tuhan-tuhan lain,” namun mereka “telah menyimpang” daripada perintah Tuhan (Keluaran 20:3; 32:8; lihat juga Keluaran 24:3). Ini adalah sesuatu yang mengejutkan, tetapi kita tahu dari pengalaman bahawa iman dan komitmen ada masanya diatasi dengan ketidaksabaran, ketakutan, atau keraguan. Semasa kita mencari kehadiran Tuhan dalam hidup kita, ia sangat menggalakkan untuk mengetahui bahawa Tuhan tidak berputus asa terhadap Israel kuno dan Dia tidak akan putus asa terhadap kita—kerana Dia “penuh dengan rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, dan menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar” (Keluaran 34:6).

ikon kajian peribadi

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi

Keluaran 24:1–11

Perjanjian saya menunjukkan kesanggupan saya untuk mematuhi hukum Tuhan.

Semasa anda membaca dalam Keluaran 24:3–8 tentang orang Israel yang berjanji untuk mematuhi hukum Tuhan, fikiran anda mungkin beralih kepada perjanjian yang anda telah buat dengan Tuhan. Perjanjian Israel merangkumi upacara yang berbeza dari permintaan Tuhan zaman ini, tetapi anda boleh lihat beberapa persamaan, terutama jika anda pertimbangkan kebenaran abadi yang dilambangkan oleh upacara ini.

Contohnya, ayat 4, 5, dan 8 menyebut mazbah (altar), korban binatang, dan darah. Apakah yang hal-hal ini lambangkan, dan bagaimana ia berkaitan dengan perjanjian anda? Bagaimanakah perjanjian anda dapat membantu anda melakukan “segala perintah-Nya”? (ayat 7).

Lihat juga Musa 5:4–9; Becky Craven, “Berhati-hati Lawan Bersahaja,” Liahona, Mei 2019, 9–11.

Keluaran 32–34

Dosa memalingkan [kita] dari Tuhan, tetapi Tuhan menawarkan jalan untuk kembali.

Dengan merenungkan betapa cepatnya orang Israel “berdosa dan menolak [Tuhan]” (Keluaran 32:7) dengan melanggar perjanjian mereka, kita boleh mengelak kesilapan yang sama. Semasa anda membaca Keluaran 32:1–8, cuba letakkan diri anda di tempat orang Israel—anda berada di padang belantara, Musa telah pergi selama 40 hari, anda tidak tahu jika atau bila dia akan kembali, dan pertentangan dengan suku-suku Kanaan atas negeri yang dijanjikan sedang berlangsung di depan anda (lihat juga Keluaran 23:22–31). Menurut anda mengapakah orang Israel menginginkan patung berhala emas? Mengapakah dosa orang Israel begitu serius? Ayat-ayat ini mungkin mendorong anda untuk merenungkan cara-cara yang anda mungkin tergoda untuk menaruh kepercayaan kepada seseorang atau sesuatu selain Juruselamat. Adakah terdapat sesuatu yang anda diilhami untuk lakukan agar anda dapat mengutamakan Tuhan dalam kehidupan anda? Apakah yang mengilhami anda tentang rayuan Musa kepada Tuhan dalam Keluaran 33:11–17?

Meskipun dosa orang Israel itu serius, cerita ini juga termasuk pesanan belas kasihan dan keampunan Tuhan. Apakah yang Keluaran 34:1–10 ajarkan anda tentang Juruselamat? Bagaimanakah tindakan Musa bagi pihak orang Israel mengingatkan anda tentang apa yang Yesus Kristus lakukan untuk semua orang? (lihat Keluaran 32:30–32; Mosia 14:4–8; 15:9; Ajaran dan Perjanjian 45:3–5).

Terjemahan Joseph Smith, Keluaran 34:1–2 (dalam Panduan Tulisan Suci)

Apakah perbezaan antara dua set batu ukiran yang dibuat oleh Musa?

Ketika Musa turun dari gunung, dia membawa hukum-hukum yang tertulis di atas batu. Setelah mengetahui bahawa orang Israel telah melanggar perjanjian mereka, Musa membanting batu-batu itu (lihat Keluaran 31:18; 32:19). Kemudian, Tuhan memerintahkan Musa untuk membuat dua buah batu tulis dan membawanya kembali ke gunung (lihat Keluaran 34:1–4). Terjemahan Joseph Smith, Keluaran 34:1–2 (dalam Panduan Tulisan Suci) menjelaskan bahawa dua batu tulis pertama mengandungi tatacara Tuhan “tarekat kudus,” atau Imamat Melkisedek. Set kedua yang baharu termasuk “hukum perintah-perintah badaniah.” Ini adalah hukum yang lebih rendah yang ditadbir oleh “imamat yang lebih rendah” (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:17–27), untuk mempersiapkan orang Israel untuk hukum yang lebih tinggi dan imamat yang lebih tinggi sehingga mereka dapat sepenuhnya memasuki hadirat Tuhan.

ikon kajian sekeluarga

Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga

Keluaran 31:12–13, 16–17.Setelah membaca ayat-ayat ini, keluarga anda boleh membincangkan pertanyaan Presiden Russell M. Nelson mengenai kelakuan kita pada hari Sabat: “Tanda apa akan anda beri kepada Tuhan untuk menunjukkan kasih anda kepada-Nya?” (“Hari Sabat Adalah Satu Kebahagiaan,” Liahona, Mei 2015, 130). Keluarga anda boleh membuat beberapa tanda di sekitar rumah anda untuk mengingatkan anda bagaimana anda akan menunjukkan kasih kepada Tuhan pada hari Sabat.

orang berjalan di hadapan gereja

Dengan menghormati hari Sabat, kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan.

Keluaran 32:1–8.Untuk membantu keluarga anda membincangkan bagaimana orang Israel berpaling dari Tuhan, pertimbangkan untuk membuat jalan di lantai (atau cari jalan berhampiran rumah anda). Semasa berjalan di jalan itu, ahli keluarga boleh bincang tentang godaan yang kita hadapi untuk “menyimpang daripada perintah [Tuhan].” Bagaimanakah kita boleh kekal berada di jalan itu? Jika kita telah tersesat, bagaimanakah kita boleh kembali? Bagaimanakah Juruselamat membantu kita?

Keluaran 32:26.Setelah orang Israel ditemui menyembah berhala, Musa bertanya, “[Siapakah] yang memihak kepada Tuhan?” Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita berada di pihak Tuhan?

Keluaran 33:14–15.Ahli keluarga boleh berkongsi pengalaman ketika mereka merasa apa yang Tuhan janjikan kepada Musa: “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketengan fikiran kepadamu.” Anda boleh menyanyikan lagu rohani tentang kebergantungan kita pada Tuhan, seperti “Tinggal Denganku!” (Nyanyian Rohani, no. 69).

Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.

Memperbaikkan Pengajaran Kita

Menjemput Roh. Pertimbangkan bagaimana muzik, seni lukisan, dan ungkapan kasih mempengaruhi suasana rohani di dalam rumah anda semasa anda mengajar keluarga anda (lihat Teaching in the Savior’s Way, 15).

Musa membanting batu-batu bertulis

Worship of the Calf, (Penyembahan Anak Lembu) oleh W. C. Simmonds