“18–24 April. Keluaran 18–20: ‘Kami Akan Melakukan Segala yang Telah Difirmankan Tuhan,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“18–24 April. Keluaran 18–20,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
18–24 April
Keluaran 18–20
“Kami Akan Melakukan Segala yang Telah Difirmankan Tuhan”
Sister Michelle Craig mengajarkan, “Sebagai pengikut beriman [Yesus Kristus], anda boleh menerima ilham dan wahyu peribadi, yang konsisten dengan perintah-Nya, khusus untuk anda.” (“Kemampuan Rohani,” Liahona, Nov. 2019, 21). Catatkan dan bertindak atas ilham yang anda terima semasa anda membaca Keluaran 18–20.
Mencatat Tanggapan Anda
Perjalanan orang Israel dari Mesir ke kaki Gunung Sinai dipenuhi dengan mukjizat—pernyataan kuasa yang tiada bandingnya, kasih, dan belas kasihan Tuhan yang tidak dapat disangkal. Namun, Tuhan memiliki berkat-berkat bagi mereka yang melebihi pembebasan mereka dari Mesir dan kepuasan kelaparan dan kehausan jasmani mereka. Dia mahu mereka menjadi umat perjanjian-Nya, “umat pilihan,” dan “umat yang ditahbiskan” (Keluaran 19:5–6). Hari ini, berkat-berkat perjanjian ini dihulurkan kepada lebih dari satu bangsa atau umat. Tuhan mahu semua anak-Nya menjadi umat perjanjian-Nya, untuk “taat kepada-[Nya] dan setia kepada perjanjian-[Nya]” (Keluaran 19:5), kerana Dia menunjukkan belas kasihan-Nya “kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi [Dia] dan taat kepada hukum-[Nya]” (Keluaran 20:6).
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Saya boleh membantu “memikul beban” melakukan pekerjaan Tuhan.
Semasa anda membaca nasihat yang Musa terima daripada bapa mertuanya, Yitro, renungkan bagaimana anda dapat menjadi seperti “lelaki yang boleh dipercayai” (kadangkala diterjemahkan sebagai lelaki yang “jujur”) yang digambarkan dalam ayat 21. Bagaimanakah anda boleh membantu “memikul beban” para pemimpin Gereja anda? (ayat 22). Sebagai contoh, bagaimana nasihat ini dapat digunakan dalam usaha pelayanan anda?
Anda juga boleh mempertimbangkan sama ada anda, kadangkala, seperti Musa, cuba melakukan terlalu banyak perkara. Bagaimanakah nasihat Yitro berguna kepada anda?
Lihat juga Mosia 4:27.
Umat perjanjian Tuhan adalah harta bagi-Nya.
Pertimbangkan apakah makna bagi anda untuk menjadi “umat pilihan” Tuhan (Keluaran 19:5). Presiden Russell M. Nelson menawarkan satu penjelasan mengenai frasa ini: “Dalam Perjanjian Lama, istilah Ibrani dari mana pilihan telah diterjemahkan sebagai segullah, yang bermaksud ‘harta yang berharga,’ atau ‘harta’. … Untuk kita hamba-hamba Tuhan dikenali sebagai umat pilihan-Nya adalah satu pujian yang sangat tinggi” (“Children of the Covenant,” Ensign, Mei 1995, 34). Bagaimanakah mengetahui bahawa mentaati perjanjian anda menjadikan anda “umat pilihan” mempengaruhi cara anda hidup?
Lihat juga Gerrit W. Gong, “Pemilikan Perjanjian,” Liahona, Nov. 2019, 80–83.
Pengalaman yang kudus memerlukan persediaan.
Tuhan memberitahu Musa bahawa anak-anak Israel perlu bersedia sebelum mereka dapat “bertemu dengan Tuhan” (Keluaran 19:10–11, 17) dan mentaati perjanjian dengan-Nya (lihat Keluaran 19:5). Apakah yang anda lakukan untuk bersedia bagi pengalaman kudus dalam hidup anda, seperti menghadiri bait suci atau mengambil sakramen? Apakah yang anda boleh lakukan untuk bersedia sepenuhnya bagi pengalaman ini? Fikirkan aktiviti rohani lain yang memerlukan persediaan, dan renungkan bagaimana persediaan anda dapat mempengaruhi jenis pengalaman yang anda miliki.
Tuhan berbelas kasihan.
Semasa anda membaca Keluaran 20, pertimbangkan untuk perhatikan Sepuluh Perintah yang anda sedang patuhi dan mana yang anda rasa anda boleh patuhi dengan lebih beriman. Anda boleh memilih satu perintah untuk diusahakan dan kemudian mengkajinya dengan lebih terperinci dengan membaca tulisan suci yang berkaitan (lihat Panduan Tulisan Suci di scriptures.ChurchofJesusChrist.org) atau pesanan persidangan umum di conference.ChurchofJesusChrist.org). Pertimbangkan untuk memasukkan dalam kajian anda tentang berkat-berkat yang datang kepada mereka yang mematuhi perintah. Bagaimanakah berkat-berkat ini menunjukkan belas kasihan dan kasih Tuhan kepada anda?
Lihat juga Carole M. Stephens, “Jika Kamu Mengasihi Aku, Kamu Akan Mentaati Perintah-perintah-Ku,” Liahona, Nov. 2015, 118–20.
Ia adalah penting untuk mengutamakan Tuhan dalam hidup saya.
Membaca Keluaran 20:1–7 mungkin mendorong anda untuk memikirkan keutamaan dalam hidup anda—anda boleh mencatatnya dalam satu senarai. Apakah “tuhan-tuhan” atau “patung ukiran” (Keluaran 20:3–4)yang anda mungkin tergoda untuk lebih utamakan daripada Tuhan? Bagaimanakah mengutamakan Tuhan terlebih dahulu dapat membantu anda dengan perkara-perkara penting yang lain dalam hidup anda? Apakah yang anda terilham untuk lakukan bagi meningkatkan tumpuan anda kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus?
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Keluaran 18:8–12.Apakah kesan kesaksian Musa tentang pembebasan Tuhan terhadap Yitro? Apakah perkara hebat yang Tuhan telah lakukan untuk keluarga kita? Dengan siapakah kita boleh kongsikan pengalaman kita? Bagaimanakah kita boleh memelihara pengalaman tersebut untuk generasi akan datang?
-
Keluaran 18:13–26.Ayat-ayat ini boleh mengilhami keluarga anda untuk memikirkan pelayanan para pemimpin Gereja tempatan anda, seperti uskup, pemimpin remaja, atau pengajar Sekolah Primer. Apakah tanggungjawab mereka ada yang kelihatan “terlalu berat” (Keluaran 18:18) untuk dipikul berseorangan? Apakah yang kita boleh lakukan untuk membantu mengangkat beban mereka?
-
Keluaran 20:3–17.Fikirkan cara yang bermakna untuk membincangkan Sepuluh Perintah sebagai sebuah keluarga. Sebagai contoh, anda boleh menulis perintah dalam Keluaran 20:3–17 pada sepuluh keping jalur kertas. Ahli keluarga kemudian boleh menyusunnya menjadi dua kategori: (1) menghormati Tuhan dan (2) mengasihi orang lain (lihat juga Matius 22:36–40). Pertimbangkan untuk memilih satu atau dua perintah setiap hari dalam minggu ini dan bincangkannya dengan lebih terperinci. Sebagai contoh, bagaimanakah mematuhi perintah ini memperkuatkan keluarga kita? Bagaimanakah Juruselamat mematuhinya?
-
Keluaran 20:12.Untuk memahami dengan lebih baik Keluaran 20:12, keluarga anda boleh mencari definisi perkataan “hormatilah.” Kemudian ahli keluarga boleh membuat senarai perkara yang kita boleh lakukan untuk menghormati ibu bapa kita.
Untuk idea–idea lanjut berkenaan mengajar kanak–kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Patuhi P’rintah,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 68