“6–12 Jun. Rut; 1 Samuel 1–3: ‘Tuhan Menggembirakan Hatiku,’” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: Perjanjian Lama 2022 (2021)
“6–12 Jun. Rut; 1 Samuel 1–3,” Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga: 2022
6–12 Jun
Rut; 1 Samuel 1–3
“Tuhan Menggembirakan Hatiku”
Semasa anda mengkaji kehidupan Rut, Naomi, Hana, dan yang lain minggu ini, dengarkan Roh dan catatkan tanggapan yang anda terima. Apakah yang anda terilham untuk lakukan?
Mencatat Tanggapan Anda
Kadang-kadang kita membayangkan bahawa kehidupan kita harus mengikuti jalan yang jelas dari awal hingga akhir. Jarak terpendek antara dua titik adalah garis lurus. Namun kehidupan sering penuh dengan kelewatan dan laluan lencongan yang membawa kita ke arah yang tidak dijangka. Kita mungkin mendapati bahawa kehidupan kita sangat berbeza dari yang kita sangkakan.
Rut dan Hana pasti memahami ini. Rut bukanlah orang Israel, tetapi dia mengahwini orang Israel, dan ketika suaminya meninggal, dia terpaksa membuat pilihan. Adakah dia akan kembali kepada keluarganya dan kehidupannya yang lama, atau dia akan memeluk agama Israel dan rumah baharu bersama ibu mertuanya? (lihat Rut 1:4–18). Rancangan Hana untuk hidupnya adalah untuk melahirkan anak, dan ketidakmampuannya untuk melakukannya membuatnya sedih (lihat 1 Samuel 1:1–10). Semasa anda membaca tentang Rut dan Hana, pertimbangkan iman yang mereka miliki untuk menyerahkan hidup mereka di tangan Tuhan dan menempuh jalan yang tidak dijangka. Kemudian, anda boleh memikirkan perjalanan anda sendiri. Ia akan kelihatan berbeza dari [kehidupan] Rut dan Hana—dan orang lain. Tetapi sepanjang percubaan dan kejutan antara sini dan destinasi abadi anda, anda dapat belajar daripada Hana, “Tuhan Menggembirakan Hatiku” (1 Samuel 2:1).
Untuk gambaran keseluruhan kitab Rut dan 1 Samuel, lihat “Rut” dan “Samuel, Nabi Perjanjian Lama” dalam Panduan Tulisan Suci.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Peribadi
Kristus dapat mengubah tragedi menjadi kemenangan.
Ketika suami Rut meninggal, tragedi itu membawa akibat yang lebih parah daripada kemungkinan yang dihadapi seorang balu hari ini. Dalam budaya orang Israel pada masa itu, seorang wanita tanpa suami atau anak lelaki, tidak mempunyai hak untuk harta benda dan tidak ada cara untuk mencari nafkah. Semasa anda membaca cerita Rut, perhatikan bagaimana Tuhan menjadikan tragedi kepada berkat besar. Apakah yang anda perhatikan tentang Rut yang membantunya? Apakah peranan Boas dalam menebus Rut dari keadaannya yang putus asa? (lihat Rut 4:4–7). Apakah sifat-sifat seperti Kristus yang anda lihat pada Rut dan Boas?
Saya boleh percaya bahawa Tuhan akan membimbing dan membantu saya tanpa mengira keadaan saya.
Bolehkah anda melihat diri anda dalam cerita Rut, Naomi, dan Hana? Mungkin anda telah kehilangan, seperti Rut dan Naomi (lihat Rut 1:1–5). Atau mungkin, seperti Hana, anda menginginkan berkat yang belum anda terima (lihat 1 Samuel 1:1–10). Renungkan pesanan apa yang anda dapat pelajari dari teladan wanita-wanita yang setia ini. Bagaimanakah Rut dan Hana menunjukkan iman kepada Tuhan? Apakah berkat-berkat yang mereka terima? Bagaimanakah anda boleh mengikuti teladan mereka? Pertimbangkan bagaimana anda “datang untuk berlindung” kepada Tuhan (Rut 2:12) bahkan ketika kesukaran hidup.
Lihat juga Reyna I. Aburto, “Bersinarkan Terang, Tinggal Denganku!” Liahona, Nov. 2019, 57–60.
Hati saya boleh bergembira dalam Tuhan.
Setelah Hana membawa Samuel ke bait suci, dia mengucapkan kata-kata pujian yang indah kepada Tuhan, yang dicatatkan dalam 1 Samuel 2:1–10. Kata-kata ini lebih menggembirakan apabila anda mempertimbangkan bahawa beberapa saat sebelumnya, “[dia] sangat sedih, … sambil menangis tersedu-sedu” (1 Samuel 1:10). Semasa anda mengkaji ayat-ayat ini, apakah pesanan yang anda temui yang meningkatkan perasaan pujian dan kesyukuran anda kepada Tuhan? Mungkin lagu Hana akan mengilhami anda untuk mencari cara yang kreatif untuk menyatakan kesyukuran anda kepada Tuhan—sebuah lagu, lukisan, pelayanan, atau apa-apa sahaja yang menyampaikan perasaan anda kepada-Nya.
Sudah tentu, tidak semua doa yang bersungguh-sungguh dijawab seperti yang Hana telah lalui. Apakah yang membantu anda kekal setia ketika doa anda tidak dijawab dalam cara yang anda harapkan?
Saya boleh mendengar dan mematuhi suara Tuhan.
Seperti kita semua, Samuel harus belajar bagaimana untuk mengenali suara Tuhan. Semasa anda mengkaji 1 Samuel 3, apakah yang anda pelajari daripada anak muda ini tentang mendengar dan mematuhi suara Tuhan? Apakah pengalaman yang anda pernah ada dalam mendengar suara-Nya? Apakah peluang yang anda miliki, seperti Eli, untuk membantu orang lain mengenali ketika Tuhan sedang berbicara kepada mereka? (lihat 1 Samuel 3:7).
Lihat juga Yohanes 14:14–21; David P. Homer, “Mendengar Suara-Nya,” Liahona, Mei 2019, 41–43.
Idea–idea untuk Pengkajian Tulisan Suci Sekeluarga dan Malam Keluarga
-
Rut 1:16–18; 2:5–8, 11–12.Keluarga anda dapat mencari contoh kebaikan dan kesetiaan dalam ayat-ayat ini. Bagaimanakah kita menunjukkan kebaikan kepada keluarga dan orang lain serta kesetiaan kepada Yesus Kristus? Bab “Rut dan Naomi” (dalam Cerita-cerita Perjanjian Lama) dapat membantu keluarga anda belajar dari teladan Rut.
-
1 Samuel 1:15.Mungkin anda boleh mencurahkan sesuatu dari bekas untuk membantu ahli keluarga membayangkan apa yang dimaksudkan oleh Hana ketika dia berkata, “Saya … meluahkan (mencurahkan) isi hati kepada Tuhan.” Mengapakah ini adalah cara yang baik untuk menggambarkan doa kita? Bagaimanakah kita dapat memperbaiki doa peribadi dan keluarga kita?
-
1 Samuel 2:1–10.Puisi pujian Hana kepada Tuhan dapat membuat anda memikirkan lagu yang anda gunakan untuk memuji Tuhan. Anda boleh menyanyi bersama. Ahli keluarga anda juga boleh memikirkan cara lain untuk menyatakan perasaan mereka kepada Yesus Kristus. Contohnya, mereka boleh melukis gambar yang menunjukkan mengapa mereka mengasihi Juruselamat.
-
1 Samuel 3:1–11.Keluarga anda boleh melakonkan cerita Tuhan memanggil Samuel. Ahli keluarga boleh bercakap tentang saat-saat ketika mereka merasakan Tuhan berbicara kepada mereka dan bagaimana mereka bertindak atas firman-Nya.
Untuk idea-idea lanjut berkenaan mengajar kanak-kanak, lihat panduan minggu ini dalam Ikutlah Aku—Untuk Sekolah Primer.
Lagu cadangan: “Ada Terang dalam Jiwaku,” Nyanyian Rohani, no. 107.